Jumaat, 10 April 2009

Tip Menjawab Soalan Pemahaman Prosa Moden

 Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
 Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK).
 Pelajar mesti memberi contoh yang tepat berdasarkan petikan/ teks (Komsas).
 Semua cerpen dan drama Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
 Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
 Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa
 Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema > perlu ada huraian/ contoh
-persoalan > perlu ada huraian/ contoh
-perwatakan > perlu ada contoh
-latar > perlu ada contoh
-nilai > perlu ada contoh
-pengajaran > perlu ada huraian/ contoh

Contoh petikan:

Kris telah bermurah hati mempelawa aku tinggal di rumah ibunya di pinggir bandar Cardiff. Kebetulan bapanya masih berada di Malaysia. Memang canggung apabila tinggal di rumah orang asing yang tiada pertalian darah. Tambahan pula, mereka merupakan sebahagian dari ribuan orang Inggeris yang mempunyai nilai disiplin yang tinggi. Namun, aku tetap bersyukur kerana memperoleh tempat tinggal sebelum aku berjaya mendapat apartment.

Aku, Kris dan Kristal jadi tiga serangkai dan sahabat yang baik. Aku pernah mendengar daripada Teh, sepupuku yang pernah melancong ke sini. Orang Inggeris sombong-sombong belaka. Salah kau, Teh! Aku pernah menulis kepada mak dan abah di kampung tentang kebaikan dan kemurahan hati mereka memberi bantuan. Tidak lupa kuselitkan nama Kris dan Kristal. Namun seminggu kemudian aku menerima imbalan daripada mak. Antaranya aku diingatkan agar tidak terlalu mempercayai orang asing yang tidak kenal asal-usulnya.

1.Jelaskan perbezaan pandangan antara Teh dengan aku. [2 markah]

Contoh jawapan lengkap:

Teh menganggap orang Inggeris sangat sombong. ‘Aku’ pula berpendapat orang Inggeris baik dan murah hati.

2. Pada pendapat anda, apakah yang dibimbangi oleh ibu aku? [4 markah]

Contoh jawapan lengkap:

Pada pendapat saya, ibu `aku’ bimbang kalau-kalau `aku’ terpengaruh oleh cara hidup Barat. Selain itu, dia bimbang `aku’ akan melupakan keluarga di kampung. Ibu `aku’ juga mungkin bimbang `aku’ akan terdedah kepada gejala maksiat. `Aku’ juga dikhuatiri akan mengabaikan pelajaran.

3. Jelaskan satu perwatakan Kris berdasarkan petikan cerpen di atas. Jelaskan juga dua perwatakan Kris yang terdapat dalam cerpen ini secara keseluruhan. [3 markah]

Contoh jawapan lengkap:

Dalam petikan di atas, Kris digambarkan sebagai seorang pemuda yang suka membantu. Buktinya, dia mempelawa Hana tinggal di rumah ibunya.Dalam cerpen ini secara keseluruhan pula, Kris mudah mesra dengan kenalan baru. Buktinya, Kris menegur Hana sewaktu mula-mula bertemu. Selain itu, Kris mudah kecewa. Buktinya, dia membawa diri ke Jerman setelah Hana kurang mengendahkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan