15 September 2011

Faktor Penyebab Berlakunya Jenayah Zina

1. Sarang maksiat yang cukup banyak dalam negara memberikan kredit tertinggi dalam meningkatkan kadar kes zina. Tiada satu kawalan atau sekatan berkesan terhadap sarang-sarang maksiat seperti pusat disko, karaoke, rumah urut, kelab malam dan sebagainya.

2. Perkembangan teknologi yang tidak terkawal sehingga terlalu mudah untuk melayari laman-laman web lucah dan pornografi serta media yang tidak peka dengan nilai moral serta sensitiviti masyarakat dalam menyiarkan filem-filem dan iklan yang melanggar dasar etika dan akhlak.

3. Kelemahan hukuman jenayah zina yang dilihat amat ringan berbanding hukuman syariah dan ia dipandang tidak

menggerunkan para penjenayah serta tidak mampu mengajar mereka bahkan mereka berani mengulangi jenayah berulang kali tanpa rasa malu.

4. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan di mana sahaja sehingga di pusat pendidikan sendiri bermula sekolah tadika sampailah universiti lebih-lebih lagi dalam program-program hiburan seperti konsert, jom heboh, sua rasa serta sambutan-sambutan rasmi kerajaan seperti tahun baru dan lain-lain.

5. Kesukaran untuk melaksanakan perkahwinan yang mana menelan belanja puluhan ribu ringgit yang menyebabkan para pemuda-pemudi lebih suka menjalin hubungan tanpa ikatan perkahwinan dengan alasan tidak mampu berkahwin.

6. Cara hidup barat terlalu menebal sehingga merasakan perbuatan zina bukanlah satu perbuatan yang jijik bahkan salah satu bentuk menifestasi kasih sayang dan rindu antara lelaki dan wanita.

7. Kesedaran masyarakat yang lemah dalam membendung muqaddimah zina seperti membiarkan budaya couple, hubungan intim perempuan dengan lelaki bukan mahram, tidak mempedulikan lansung persoalan maksiat yang berlaku di depan mata, takut membuat aduan dan lain-lain ditambah penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkuasa seperti jabatan agama.

Penyelesaian

a) Terhadap Faktor

1. Menyekat pertumbuhan sarang-sarang maksiat.

2. Mengawal penyalahgunaan teknologi dan mewajibkan perisian yang menyekat pengguna daripada melayari laman-laman web lucah dan sebagainya serta kawalan media massa yang menyeluruh melalui tapisan filem dan iklan.

3. Penguatkuasaan hukuman syariah yang betul seperti yang termaktub dalam al-Quran.

4. Membuat pengasingan antara lelaki dan perempuan di pusat-pusat pendidikan dan mengawal percampuran antara lelaki dan perempuan dalam semua program.

5. Memudahkan proses perkahwinan bagi mereka yang tidak mampu dengan kerjasama jabatan agama dan pihak berwajib dengan menyediakan sumber ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh pasangan yang ingin berkahwin seperti skim pinjaman perkahwinan dan lain-lain.

6. Kempen menjauhi zina dan pergaulan bebas besar-besaran yang dilakukan sepanjang tahun serta memperbanyakkan aktiviti kesedaran seperti ceramah, forum dan dakwah tanpa mengira bangsa dan agama.

7. Menambah bilangan penguatkuasa agama di setiap negeri dan memberi galakan supaya membuat laporan terhadap setiap kes-kes dan aktiviti yang mencurigakan serta perlindungan terhadap mereka yang melaporkannya.

b) Melalui Hukuman

1. Islam telah meletakkan satu hukuman yang keras terhadap penjenayah zina di mana hukuman sebat 100 kali dilaksanakan kepada penzina yang belum berkahwin dan hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin dan pernah melakukan hubungan kelamin yang sah.

2. Oleh kerana wujudnya halangan untuk melaksanakan hukuman syariah dalam negara ini, pihak kami mencadangkan supaya setiap aktiviti zina perlu dikira sebagai jenayah tanpa mengira bangsa dan agama dan hukuman yang lebih berat daripada apa yang ada seperti sebat dan penjara perlu dikuatkuasakan samada ianya diputuskan oleh mahkamah syariah sendiri bagi orang Islam dan sivil bagi bukan Islam.

3. Kami juga mencadangkan penguatkuasaan dalam isu zina dan khalwat tidak terhad kepada orang Islam sahaja bahkan diperluaskan skopnya kepada bukan Islam kerana zina perlu dianggap sebagai musuh utama negara sama juga seperti dadah.

4. Melaksanakan hukuman denda kepada mana-mana individu yang berpakaian menjolok mata dan melakukan aktiviti tidak sopan.

Kesimpulan

Segala bentuk cadangan dan perlaksanaan hukuman yang dinyatakan dalam artikel ini adalah melihat kepada betapa kejinya aktiviti penzinaan dalam negara dan betapa membarahnya gejala membuang bayi serta rogol sedangkan tindakan menghapuskan sumber-sumber berlakunya maksiat tersebut dipandang remeh oleh pihak berwajib. Kita seharusnya sedar setiap penyakit sekiranya tidak diubati dari akarnya maka harapan untuk sembuh tidak akan berjaya.


DiCopy daripada artikel:
Khairul Anuar Bin Ismail
Felo MANHAL PMRAM

Anak Luar Nikah Bernasabkan Bapa Undang Implikasi Buruk


Masyarakat perlu ubah tanggapan hapus tekanan

PERKEMBANGAN dalam masyarakat membuka mata kita kepada pelbagai isu khususnya membabitkan hukum yang memerlukan penerangan jelas bagi mengelak kekeliruan hingga menjejaskan kehidupan umat Islam secara umum.

Antaranya, isu membabitkan status anak luar nikah yang dibangkitkan baru-baru ini dari sudut nasab untuk dibinkan kepada siapa, pihak yang berkewajipan menanggung anak itu, maruah anak luar nikah dan hak mereka.

Penggunaan nama Allah sebagai nama bapa dalam pengenalannya sudah mengetepikan tanggapan buruk masyarakat. Masyarakat harus memberi pertimbangan adil terhadap kedudukan anak tidak sah taraf bagi menghapuskan tekanan yang sering menghantui hidupnya

Bolehkah anak tidak sah taraf didaftarkan dengan dinasabkan kepada bapa angkat atau pasangan ibunya (lelaki yang menghamilkan ibunya)? Adalah jelas hukum syarak tidak membenarkan anak tidak sah taraf dibinkan selain daripada ibunya.

Jika seseorang anak lahir tanpa ikatan perkahwinan sah antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya, maka anak berkenaan tidak boleh dibin atau dibintikan ke-pada bapa zina (kecuali persetubuhan syubhah). Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau nama Asma’ ul-Husna yang berpangkalkan Abdul.

Matlamat perundangan Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah. Justeru, dalam menjaga keturunan atau nasab seseorang itu maka anak luar nikah itu tidak boleh dinasabkan seperti anak yang lahir daripada pernikahan sah.

Walaupun ada cadangan supaya anak luar nikah dibinkan kepada pelaku lelaki sebagai bapa biologi, ia tidak akan menyelesaikan semua masalah berbangkit malah mungkin memberi kesan lebih buruk terutama dari sudut hukum syarak.

Jika perkara ini dibenarkan maka banyak implikasi akan berlaku membabitkan soal pewarisan, keturunan dan sebagainya.

Ada juga cadangan supaya undang-undang digubal bagi mewajibkan pelaku atau bapa biologi anak itu dipertanggungjawabkan untuk menanggung anak itu walaupun tiada perkahwinan yang sah. Dari sudut hukum syarak dan perundangan Islam, jelas nasab anak luar nikah ini semata-mata kepada ibunya.

Malah, tanggungan ke atas anak itu juga menjadi kewajipan ibunya. Bagaimanapun, satu mekanisme boleh dikaji supaya denda atau hukuman dikenakan kepada pelaku atau bapa biologi anak.

Denda atau pampasan itu boleh dijadikan sandaran bagi ibu untuk menanggung anak berkenaan. Ia juga boleh menjadi asas supaya pelaku atau bapa biologi turut menerima tanggungjawab atas perbuatannya.

Namun, ia perlu diperhalusi supaya tidak bertentangan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Langkah berkenaan boleh dilaksanakan dengan kesedaran diri pelaku atau bapa biologi kerana tanpa kerjasama pelaku, sukar bagi ibu mendapatkan hak untuk anaknya.

Cadangan supaya anak luar nikah dibinkan kepada bapa biologi untuk menjaga aib tidak boleh menyelesaikan masalah secara keseluruhan malah boleh menimbulkan implikasi lain. Apa yang penting, masyarakat tidak perlu memandang serong terhadap anak luar nikah kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan terhadap perlakuan ibu mereka.

Penggunaan nama Allah sebagai nama bapa dalam pengenalannya sudah mengetepikan tanggapan buruk masyarakat. Masyarakat harus memberi pertimbangan adil terhadap kedudukan anak tidak sah taraf bagi menghapuskan tekanan yang sering menghantui hidupnya.

Anak tidak sah taraf ini mempunyai hak yang sama dari sudut perundangan dan hukum syarak. Dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah.

Anak tidak sah taraf juga berhak untuk mendapat keistimewaan, faedah, kebajikan dan pendidikan serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Anak tidak sah taraf juga berhak terhadap pewarisan harta ibunya selain mempunyai hak sama dari sudut undang-undang termasuk menerima hibah, wasiat, pampasan atau membuat keputusan berkaitan haknya atau hak ibunya yang sudah meninggal.

Anak ini juga tidak terkecuali dalam melaksanakan muamalah seperti anak sah taraf. Apa yang penting, kesedaran perlu dipupuk bukan saja kepada anak tidak sah taraf, ibu atau bapa biologi semata-mata, tetapi meliputi masyarakat untuk menerima anak tidak sah taraf dalam kehidupan bermasyarakat.

Oleh Roshdan Sujak Rafie
(Pusat Perbangunan Pondok Berhad)

14 September 2011

KESAN PENGGUGURAN HARAM


ISU pembuangan bayi bukanlah perkara baru. Boleh dikatakan saban hari ada saja akhbar melaporkan mengenai kes sebegitu sehingga bagaikan lumrah dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Lazimnya, wanita yang sanggup membuang bayinya membabitkan kes kehamilan di luar nikah akibat gejala sosial atau kecurangan bagi mengelakkan berita tersebar. Tetapi, ada juga yang mengambil jalan mudah dengan menggugurkan kandungan sebelum perut membesar bagi mengelakkan maruah tercalar.

Pendedahan akhbar mengenai klinik di sekitar ibu kota yang sanggup menjalankan khidmat berkenaan, tidak memeranjatkan kerana khabar angin mengenainya sudah lama tersebar. Malah, ada juga yang mengatakan khidmat menggugurkan kandungan turut dijalankan bidan kampung.

Pakar Perunding Sakit Puan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata pengguguran haram boleh memberi implikasi besar kepada kesihatan individu berkenaan kerana selalunya dilakukan tanpa prosedur perubatan yang ditetapkan atau dikendalikan oleh pihak yang tidak terlatih.

“Pengguguran tidak selamat dibuat tanpa membuat rujukan daripada pakar perubatan yang bertauliah. Ada juga yang melakukan pengguguran haram dengan menggunakan perkhidmatan mereka yang tidak bertauliah antaranya mengikut cara tradisional. Ini memberikan banyak kesan kepada mereka.

“Wanita terbabit berisiko tinggi menghadapi kematian berikutan pendarahan dan jangkitan pada rahim. Mereka juga terdedah kepada kesakitan pada saluran pembiakan sekali gus boleh mengakibatkan kemandulan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Akhbar sebelum ini pernah melaporkan walaupun tiada statistik direkodkan di Malaysia, jumlah kematian akibat pengguguran tidak selamat juga dijangka terus meningkat hasil kehamilan yang tidak diinginkan, manakala kadar pengguguran pula dianggarkan meningkat sebanyak 30 peratus.

Ini tidak mustahil berlaku kerana berdasarkan statistik ditunjukkan pada 10 tahun lalu, jumlah kematian terus meningkat dari 251 dalam setiap 100,000 pada 1995 kepada 266 kematian pada 1996.

Bagaimanapun, Dr Halina berkata, secara purata, pengguguran kandungan di seluruh dunia dianggarkan membabitkan 50 juta kes setiap tahun, dengan sebanyak 30 juta melakukannya secara sah, sementara 20 juta lagi dibuat dengan tidak selamat atau secara haram.

Daripada jumlah pengguguran secara haram itu, 80,000 menghadapi kematian akibat kompilasi yang rumit.

Beliau berkata, seperti kebanyakan negara lain undang-undang negara ini turut mengharamkan pengguguran kerana ia adalah satu jenayah. Malah, mereka yang terbabit dalam kes pengguguran berkenaan boleh didakwa.

Beliau yang juga Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) berkata, ada banyak cara boleh dilakukan sama ada mengikut cara moden iaitu perubatan ataupun tradisional. Ada yang melakukan pengguguran dengan cara pembedahan, menggunakan sedutan vakum dan mengorek.

Bagi cara tradisional pula, katanya, pengamal perubatan berkenaan selalu menggunakan herba atau cecair beralkohol. Selain itu, ada yang hanya melakukan urutan. Satu lagi cara yang merbahaya dan tidak bersih ialah dengan memasukkan benda asing ke dalam rahim.

“Selain kehamilan luar nikah, ada pengguguran berlaku atas sebab tertentu yang mana wanita sudah berkahwin, tetapi belum bersedia menimang cahaya mata. Pelbagai alasan dikemukakan untuk melakukan proses itu antaranya sumber kewangan masih tidak mencukupi, mengalami tekanan emosi,” katanya.

Beliau berkata, semua agama di dunia melarang pengguguran tetapi sekiranya ia memudaratkan ibu mengandung, kandungan itu perlu digugurkan.

Sementara itu, Ketua Obstetrik dan Ginekologi di HUKM, Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi, berkata pengguguran memberi kesan besar pada seseorang yang melakukannya. Mereka yang melakukan secara tidak betul boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian peranakan.

“Selain itu, ia berpotensi mengalami pendarahan dalam perut yang boleh menyebabkan wanita berkenaan pengsan atau lebih teruk maut. Rahim juga boleh mengalami kecederaan apabila melakukan pengguguran secara tradisional kerana mereka yang tidak bertauliah akan menggunakan benda tajam seperti kayu, lidi atau ranting kayu.

“Pendarahan itu kadangkala tidak dapat dikesan dengan cepat, tetapi mengambil masa panjang. Ada antara mereka tidak sedar mengalami pendarahan berkenaan sehinggalah pengsan,” katanya.

Dr Zainul berkata, pada jangka masa yang lama, sukar bagi wanita berkenaan untuk mengandung lagi kerana proses pengguguran itu juga boleh mengakibatkan usus dan rahim melekat selain saluran ovari tersumbat.

“Sekiranya wanita itu hamil dia mungkin mengalami kehamilan di luar rahim. Bagi yang pernah mengalami kecederaan sebelum ini, rahim boleh pecah secara spontan dan menyebabkan maut.

“Sekiranya tidak, wanita yang pernah melakukan pengguguran boleh mengalami kemandulan. Itu kesan pada diri sendiri, tetapi ia boleh juga memberi kesan pada mental dan emosi selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan juga boleh masalah psikologi khususnya kemurungan terutama apabila sudah berumur kerana sering terfikir mengenai kandungan yang pernah dibuang itu.

Kesan lain termasuk mengalami senggugut dalam rahim yang mana keadaannya lebih sakit berbanding ketika mengalami proses haid.

FAKTA: Kesan pengguguran haram

Pada diri sendiri:

Jangkitan kuman pada bahagian peranakan.
Mengalami pendarahan dalam perut yang boleh mengakibatkan kematian.
Kecederaan pada rahim.
Sukar untuk mengandung lagi.
Jika mengandung, wanita berkenaan akan mengandung di luar rahim dan apabila beranak rahim boleh pecah secara spontan.
Mandul.
Senggugut dalam rahim.
Masalah psikologi – mental dan emosi.
Kemurungan berikutan teringat akan anak yang pernah dibuang.

Keluarga

Malu.
Psikologi – mental dan emosi.

Masyarakat

Mengikut langkah selepas mendapat tahu ada cara mudah yang boleh menggugurkan kandungan.
Kes pembuangan bayi semakin berleluasa.
Pandangan serong oleh orang sekeliling.


Sumber:
homefamilysite http://homefamilysite.com/blog/kesan-pengguguran-haram/#ixzz1XzDk74IW

STATISTIK ANAK LUAR NIKAH DI MALAYSIA


Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.

STATISTIK

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TS8NFMF11AE4UI75

11 September 2011

Tujuan Dakwah


Dalam teologri Islam, tujuan Dakwah adalah untuk menjemput orang, yang Islam dan bukan Islam, untuk memahami penyembahan Tuhan seperti disebutkan dalam al-Quran, dan juga untuk memberitahu mereka berkaitan Muhammad.[2] Seperti diarahkan ke yang bukan Islam, ia terdiri dari menjelaskan Islam melalui tindakan, perbincangan dan dialog.

Uslub Dakwah

Uslub dakwah bermaksud ilmu tentang cara berdakwah dengan menggunakan pendekatan-pendekatan dakwah dalam menarik golongan yang diseru kepada ajaran Islam

Sasaran Dakwah

Kaedah untuk menarik perhatian sasaran dakwah

1. Mempermudahkan dan kelonggaran yang diberikan

Masyarakat non Muslim diberi pilihan dengan tidak ada paksaan untuk menerima Islam. Mereka boleh menilai dengan melihat kepada keperluan fitrah semulajadi yang ada dalam diri mereka. Islam sentiasa membenarkan pendakwah mempermudahkan dan menarik alternatif bagi memberi kelonggaran dalam beberapa hal kepada non Muslim dan saudara baru memeluk Islam.

2. Dakwah bil hal

Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat Islam hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman sejagat. Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat non Muslim untuk dinilai sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat Islam serta berbentuk ajakan kepada kesempurnaan Islam.

3. Dakwah melalui pendidikan

Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidkan Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah S.A.W semasa di peringkat awal Islam yang lebih memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.

4. Dakwah melalui pergaulan

Islam telah menggesa kepada umat Islam umumnya dan para pendakwah khususnya supaya mewujudkan suasana pergaulan yang baik dan menunjukkan jalan yang lurus kepada masyarakat yang belum Islam atau non Muslim. Para pendakwah harus mengenali latar belakang masyarakat yang hendak diseru itu terlebih dahulu supaya dapat melicinkan pergaulan dan proses bermuamalah dengan mereka.

5. Dakwah melalui ziarah

Ziarah merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan non Muslim yang digalakkan oleh Islam terutama di waktu-waktu yang diperlukan seperti apabila mereka sakit, bermasalah, mahukan pertolongan dan seumpamanya. Ziarah boleh melapangkan dada mereka dan memberi ketenangan.

Adab Belajar Mengikut Imama Al-Ghazali R.A


1)Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormanatan - Ikut jantina

2) Jangan banyak bercakap dihadapan guru

3) jangan bercakap jikalau tidak ditanya.

4) Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru.

5) Jangan menyangkal kata-kata guru.

6) Jangan mengumpat pelajar lain.

7) Jangan berbisik di hadapan guru.

8) Jangan berpaling kiri dan kanan.

9) Jangan menyoal semasa guru kepenatan.

10) Berdiri apabila guru bangun.

11) Dengar dengan kusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali.

12) rujuk guru dalam memilih ilmu.

13) Jangan duduk tempat guru.

14) Jangan berjalan dihadapan guru kecuali darurat.

15) Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya.

16) Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauh kemurkaannya.

17) Muliakan anak-anak guru.

18) Selalu berhubung dengan guru.

19)Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.

20)Selalu mendoakan guru selepas setiap solat fardhu.

08 September 2011

Puasa Enam dibuat Berterusan Lebih Afdal


RAMADAN melabuhkan tirainya dengan penuh kesyahduan dan pengharapan supaya dipertemukan lagi dengan Ramadan tahun depan. Keriangan terpancar di wajah mereka yang menyambut hari raya sebagai tanda kemenangan menghadapi ujian Ramadan lalu.Orang yang beriman hendaklah yakin dengan apa yang diperoleh daripada Ramadan baru berlalu iaitu mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT terhadap amalan dilakukan.

Ibnu Masud menyebut, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya tiada sesuatu pemberian yang terbaik dari Allah SWT selain dari bersangka baik dengan-Nya kerana ia akan memperoleh seperti apa yang disangkakan.”Hadis sahih menyebut yang bermaksud: “Jika seseorang memohon, hendaklah memohon yang terbaik dan terbanyak.” (Al-Hadis)

Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dimohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak. Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya.

Puasa Syawal adalah lebih afdal (lebih baik) dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan.

Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebutkan dalam hadis Abi Ayyub dari Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menunjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah SWT. Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. (Durratul Waizin 71)

Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya.
Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.” (Targhib Wattarhib Fi Fadail A’mal)

Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda.
Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya.

Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan kempunan ketika hampirnya masa roh seseorang akan berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT. (Durratu Nasihin-Ibnu Ahmad As Syakir)
Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal.

Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, jangan tunggu lagi.

Artikel daripada: Ustaz Zamanuddin Jusoh

07 September 2011

Bayi Mangsa Jahiliah Moden Bangkit Tuntut Hak di Akhirat


- Apa SALAH kami..???
- Kenapa kami dilakukan sebergini..???
- Untuk apa MEREKA lakukan terhadap kami..???

Adakah mereka lupa hari kiamat termasuk dalam Rukun Iman..??? dan sudah pasti akan berlaku dan wajib bagi semua orang mempercayainya. Bagi yang tidak mahu mempercayainya, mereka adalah orang yang mendustai Allah dan rasul-Nya.

Pastinya, hari kiamat itu adalah malapetaka yang amat dahsyat dan menakutkan bagi sesiapa yang menghayatinya. Gambaran mengenai peristiwa ngeri dan dahsyat yang berlaku ketika datangnya hari kiamat adalah untuk menimbulkan rasa takut, gementar dan gerun dalam hati manusia kerana melihat perkara yang tidak pernah terjadi sebelumnya.

Firman Allah dalam surah at-Takwir ayat 1-9 yang bermaksud: "Apabila matahari dilingkari cahaya (dan hilang lenyap) dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung ganang diterbangkan di angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu) dan apabila unta yang bunting terbiar dihimpunkan dan apabila lautan meluap dan apabila tiap diri disatukan dengan pasangan dan apabila anak perempuan yang di tanam hidup-hidup ditanya, apakah dosa mereka sehingga dibunuh dengan sedemikian rupa?"
Ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa antara peristiwa yang berlaku pada hari kiamat nanti akan dibangkitkan bayi yang dibuang atau ditanam hidup-hidup dan bertanya apakah dosanya sehingga dibunuh tanpa rasa belas kasihan?

Seperti yang kita tahu, bangsa Arab sebelum datangnya Islam yang dibawa oleh Nabi SAW membuang dan menanam hidup-hidup bayi adalah budaya mereka yang duduk di kampung dan miskin pada zaman jahiliah.

Di dalam ayat ini Allah SWT menjelaskannya sebagai satu kutukan dan cemuhan kepada sesiapa yang membunuh, membuang, menyeksa dan menghina bayi yang tidak mengetahui apa-apa.

Bertambah sedih lagi apabila anak yang tidak berdosa itu dibunuh tanpa rasa bersalah. Hari ini kita lihat jahiliah moden kembali dan cara serta tindakan lebih kejam, zalim dan menindas berbanding dulu. Mereka membuang bayi merata-rata, di jalan, bilik air, masjid, tong sampah, depan rumah dan yang lebih menyedihkan lagi menjadi hidangan anjing liar serta menjadi makanan ulat. Allah SWT mengutuk sekeras-kerasnya pekerjaan keji sedangkan manusia dijadikan Allah sebagai makhluk paling mulia di muka bumi.

Di akhirat nanti Allah akan memberikan hak kepada bayi untuk bertanya selepas mereka dinafikan hak di dunia, Allah juga memberikan peluang untuk membela diri, selepas sekujur tubuh yang lemah tidak berdaya melawan ketika dibuang di dunia.
Sudah semestinya persoalan yang dilontarkan kepada kedua-dua ibu bapanya memberikan peringatan kepada pembunuh dan mereka yang ‘bercita-cita’ menjadi pembunuh.
Berfikirlah sebelum melakukan jenayah zina, hubungan terlarang dan perbuatan tidak berperikemanusiaan. Hari ini, gejala sosial ini berada pada tahap kritikal walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menangani masalah ini.

Sebagai contoh, kebanyakan mereka yang membuang bayi adalah daripada umat Islam. Hakikatnya, keprihatinan kita sebagai umat Islam dalam menangani masalah ini begitu rendah. Media semasa yang ada lebih fokus kepada isu politik sehingga menyebabkan perpecahan umat serta merosakan tali persaudaraan sesama umat Islam.

Oleh itu, kami anak muda ABIM Daerah Padang Terap akan memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam mengIslah masyarakat serta membantu insan yang memerlukan bantuan.

" Jom Bersama Mengamalkan Islam Secara Syumul "