1.0 Pengenalan
Setiap bangsa di dunia ini mempunyai bahasa
pertuturan yang tersendiri. Begitu juga bagi bangsa Melayu. Bahasa yang menjadi perantara untuk
dituturkan di kalangan bangsa Melayu ialah bahasa Melayu. Bahasa Melayu
tergolong dalam subkeluarga bahasa Melayu-Polinesia dan terletak di bawah
rumpun Austronesia. Penyebaran bahasa ini di Kepulauan Melayu dan
Lautan Pasifik menyebabkan Bahasa Melayu telah berkembang dan membentuk bahasa
daerah masing-masing. Bahasa Melayu berada di bawah cabang keluarga Nusantara
yang mempunyai kira-kira 200-300 pecahan bahasa di bawahnya. Para ahli bahasa
telah membahagikan peringkat perkembangan bahasa Melayu sejak zaman awal
penemuannya hingga kini kepada empat iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman
bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik dan zaman bahasa Melayu moden. Namun begitu, bagi tujuan kajian ini pengkaji
membataskan perbincangan terhadap bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden
sahaja.
1.1 Zaman
Bahasa Melayu Klasik
Zaman bahasa Melayu klasik bermula dari awal abad ke-14 Masihi hingga ke
akhir abad ke-18 Masihi. Bahasa Melayu Klasik berada pada tahap ketiga dalam
periodisasi bahasa Melayu, selepas bahasa Melayu purba dan bahasa Melayu kuno.
(Awang Sariyan, 1998 ). Terdapat
beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa tentang bahasa
Melayu klasik. Antaranya
ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), yang menyatakan bahawa “
bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”.
Bahasa Melayu klasik
juga dikaitkan dengan kedatangan dan pengaruh agama Islam yang semakin mantap
di Asia Tenggara ketika itu. Sejak itu bahasa Melayu pada zaman ini turut mengalami
pelbagai perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat, dan bentuk tulisan.
Selain itu, bukti-bukti sahih yang menunjukkan kewujudan bahasa Melayu klasik
ini ialah penemuan beberapa batu bersurat atau prasasti yang di beberapa daerah
di Asia Tenggara dan Tanah Melayu menguatkan lagi fakta ini. Antaranya ialah batu bersurat di Pagar
Ruyung, Minangkabau (1356 Masihi), batu bersurat di Minye Tujuh, Aceh (1380
Masihi) dan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu ( 1303-1387 Masihi) yang
ditulis dalam tulisan Jawi. (Siti Hajar Abdul Aziz,2011) Ini menunjukkan bahawa
pengaruh Islam semakin kuat sehingga bahasa Melayu turut mengalami perubahan. Antara ciri-ciri bahasa Melayu klasik selaras
dengan perubahan yang dialaminya ialah:
a)
Ayatnya panjang, meleret-leret dan berulang-ulang
b)
Banyak menggunakan ayat songsang dengan pendepanan
predikat akibat pengaruh bahasa Arab dan ragam ayat pasif. (Goay Teck, Choo Say
Tee, Zainuddin Ahmad, 2007)
c) Banyak menggunakan gaya bahasa istana.
d) Menggunakan kosakata klasik seperti ratna mutu manikam,(berjenis intan permata) edan kesmaran (mabuk asmara)
dan masyghul ( bersedih ).
e) Kebanyakan kata pangkal ayat yang sering
digunakan ialah seperti sebermula,
alkisah, hatta, adapun.
f)
Penggunaan partikel pun dan lah sering
digunakan bersama perkataan lain seperti kendatipun,
tersebutlah.
g)
Menggunakan tulisan Jawi iaitu pinjaman huruf atau
aksara daripada bahasa Arab yang ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
h)
Penggunaan banyak kosakata daripada pengaruh Arab
dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti ilmu keagamaan, undang-undang,
kesusasteraan, perubatan, falsafah, tasawuf dan pemerintahan dan pentadbiran.
i)
Frasa dan ayat daripada pengaruh Arab terutamanya
dalam kitab-kitab klasik Melayu. Contohnya ialah penggunaan frasa ketahuilah olehmu dan maka kemudian daripada itu.
j)
Terdapat unsur-unsur falsafah Islam dalam hasil
penulisan Melayu seperti dalam bidang ilmu kalam, tasawuf dan Aqa’id al-lman.
Bahasa Melayu klasik
melalui zaman kegemilangan setelah pemerintah kerajaan Melayu memeluk agama
Islam dan mempelajari bahasa Arab daripada para pedagang Islam ketika itu. Tiga tampuk pemerintahan kerajaan Melayu
terpenting pada zaman itu terdiri daripada kerajaan Melaka, kerajaan Aceh dan
kerajaan Johor-Riau. Selain itu, pada zaman ini juga telah lahir beberapa tokoh
penulis yang tersohor seperti Hamzah
Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf
al-Singkel. Beberapa naskah karya
sastera terkenal turut dihasilkan pada zaman ini. Antaranya ialah hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Amir
Hamzah, Hikayat Hang Tuah Bustannus Salatin, Sejarah Melayu dan sebagainya. (Abdul Rashid Melebek dan Amat
Juhari Moain,2006) Zaman bahasa Melayu
klasik agak panjang. Seiring dengan peredaran zaman, bahasa Melayu ini turut
mengalami perubahan. Perubahan-perubahan
yang berlaku bersama dengan kepesatan teknologi penerbitan telah memodenkan
bahasa Melayu ini.
1.2 Zaman
bahasa Melayu Moden
Zaman bahasa Melayu moden
bermula sekitar abad ke 19. Bahasa Melayu moden berasal dari bahasa Melayu
klasik. Perintis bahasa pada zaman ini
ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau dikenali sebagai Abdullah Munsyi. Beliau telah mengarang Hikayat Abdullah (1840) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1837) merupakan permulaan kepada
penggunaan bahasa moden yang menjadi lambang kepada perubahan bahasa dan
kesusasteraan Melayu moden. Karya Abdullah Munsyi ini berkonsepkan penulisan
yang lebih moden malahan karya beliau juga bebas daripada unsur-unsur luar
biasa dan khayalan seperti mitos seperti yang terdapat dalam kebanyakan karya
sastera Melayu klasik. Konsep ini
kemudiannya diteruskan pula oleh seorang lagi pengkarya iaitu Raja Ali Haji bin
Raja Ahmad yang menghasilkan Tuhfat
al-Nafis, Silsilah Melayu dan Bugis dan
Sekelian Raja-rajanya. Pada abad ini
dikatakan turut berlakunya kebanjiran pendatang luar terutama dari Barat ke
Asia Tenggara. Kedatangan penjajah
khususnya pihak Inggeris dikatakan telah melahirkan ramai sarjana Melayu yang
terlatih dalam bidang ini. Bahasa Melayu semakin berkembang luas seiring
dengan kedatangan pihak barat apabila bahasa ini turut menerima pengaruh barat
sama ada dari sudut gaya penulisan mahupun
terjemahannya. Ledakan teknologi
yang berlaku terutama dalam bidang percetakan menyebabkan penerbitan
bahan-bahan penulisan berbahasa Melayu tersebar luas dengan lebih pantas. Penerbitan akhbar-akhbar bahasa Melayu
seperti Jawi Peranakan, Bintang Timor, Chahaya Pulau Pinang dan beberapa lagi
menjadi bukti kukuh perkembangan ini.
Selain itu, penubuhan beberapa pertubuhan bahasa Melayu ’Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa Melayu’
diadakan untuk meningkatkan taraf serta peranan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang
pendidikan turut mula diperkenalkan di sekolah-sekolah negeri-negeri Selat pada
tahun 1821. Penubuhan Maktab Perguruan
Melayu atau Malay Training College yang pertama mula dibuka di Singapura pada
tahun 1878 untuk melatih guru-guru untuk mengajar bahasa Melayu.
Bahasa Melayu
diperkasakan lagi selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk
memajukan bahasa ini dalam bidang pentadbiran, pemerintahan negara, pendidikan,
kehakiman dan sebagainya. Dan kini,
selama 50 tahun perancangan bahasa Melayu berlangsung, bahasa Melayu telah
membuktikan kemampuannya sebagai bahasa moden yang duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi di persada dunia dengan bahasa-bahasa moden yang lain. Antara ciri-ciri bahasa Melayu moden ialah:
- Tidak lagi menggunakan pendahuluan dan mukadimah yang meleret-leret dalam penulisan.
- Unsur pemula atau kata praklausa seperti arakian, hatta, kalakian dan sebagainya tidak lagi digunakan dalam penulisan bahasa Melayu moden.
- Bahasa melayu mempunyai struktur bahasa dan nahu yang lebih bersistem.
- Bahasa Melayu moden mempunyai banyak kata pinjaman kesan daripada penaklukan kuasa Portugis, Belanda dan Inggeris selain bahasa Arab dan Parsi kesan daripada pengembangan agama Islam.
- Penulisan bahasa Melayu moden lebih tepat menyampaikan fakta serta kurang menggunakan ungkapan yang beralas berbanding penulisan dalam bahasa Melayu klasik.
2.0
Analisis
Perbezaan Antara Bahasa Melayu Klasik Dan Bahasa Melayu Moden
Bagi tujuan kajian ini, analisis yang
dijalankan adalah untuk melihat perbezaan terhadap bahasa melayu klasik yang
terdapat dalam teks hikayat Sejarah Melayu dengan bahasa melayu moden daripada
sudut morfologi(perkataan) dan sintaksis(ayat).
Sejarah Melayu
dikarang bertujuan menceritakan mengenai raja-raja Melayu yang memerintah
negeri-negeri Melayu terutama raja-raja Melaka, dan merakamkan segala adat
istiadat Melayu yang menunjukkan satu tatacara pentadbiran/pemerintahan menurut
etika adat Melayu yang bersandarkan ajaran Islam. Ramai sarjana terutamanya ahli penyelidik
Barat menganggap Sejarah Melayu atau Sulalatus
Salatin sebagai hasil sastera Melayu yang terpenting dan terbaik antara
hasil sastera Melayu lama. Dalam
penulisan ini, pengkaji telah memilih naskah Hikayat Sejarah Melayu edisi W.G.
Shellabear (1986) yang telah ditulis dalam tulisan rumi pada tahun (1898) yang
mengandungi 34 cerita dan diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. Pengkaji
juga telah menggunakan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) dan Tatabahasa Dewan
Edisi Ketiga (2009) sebagai rujukan bahasa Melayu moden untuk melihat perbezaan
di antara dua bahasa tersebut.
Teks
Sejarah Melayu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mukadimah, kandungan isi
dan penutup. Dalam naskah edisi Shellabear mengandungi tiga puluh empat (34)
cerita atau bab. Bahasa Melayu yang digunakan dalam Sejarah Melayu ini,
dikategorikan sebagai bahasa Melayu klasik yang pernah digunakan atau
dituturkan oleh sekelompok masyarakat pada suatu ketika dulu. Oleh kerana
bahasa mempunyai sifat dan cirinya tersendiri, ia juga turut berkembang
mengikut peredaran zaman dan tahap kemajuan sesebuah masyarakat. Namun, bahasa
Melayu mempunyai sifat terbuka dan telah menerima banyak perubahan terutama
dari segi kosa kata.
2.1
Analisis
Bahasa Dari Sudut Morfologi (Perkataan)
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji
struktur kata, bentuk kata dan golongan kata. Struktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi
ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk
kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal ataupun hasil
dari proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan
kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan kesamaan bentuk dan
fungsinya. (Nik Safiah Karim et.al, 2008).
Menurut Asmah Hj Omar (1991), perbendaharaan kata
Melayu asli terdiri daripada tiga subkategori iaitu kata Melayu Am, kata Melayu
dialek dan kata Melayu klasik atau arkaik. Kata arkaik ini merupakan kata yang
tidak lagi digunakan pada hari ini. Hal
ini bermakna penggunaannya semakin usang.
Namun begitu penggunaannya begitu ketara dalam teks Sejarah Melayu. Jadual berikut menunjukkan beberapa contoh
perkataan dalam bahasa Melayu klasik (halaman 44) dan maksudnya dalam bahasa Melayu moden
berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat .(2010)
2.1.1
Perkataan Melayu klasik / Arkaik
Bil
|
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
1.
|
Ayapan
|
Makanan dan minuman
|
2.
|
Waad
|
Janji
|
Jadual 2.1: Perkataan Melayu klasik / Arkaik
Tetapi kini, kebanyakan kata ini tidak lagi digunakan
dalam pertuturan atau tulisan bahasa Melayu baku. Ini mungkin disebabkan bahasa
itu sendiri yang mengalami perubahan yang pesat seiring dengan zaman. Namun, kata arkaik akan terus hidup dalam penggunaan yang
terhad oleh golongan istana. Justeru selagi ada golongan istana, selagi itulah
akan terpelihara kota kata arkaik daripada pupus akibat ditelan zaman.
2.1.2
Kata Pinjaman
Leksikon bahasa Melayu penuh dengan berbagai-bagai
jenis perkataan, seperti kata warisan, kata pinjaman atau kata serapan, kata
slanga, kata basahan dan istilah.
Perbezaan dalam bahasa klasik juga dapat dilihat menerusi penggunaan kata
pinjaman. Teks Sejarah Melayu
mengandungi banyak kata pinjaman daripada bahasa-bahasa lain seperti Sanskrit,
Arab, Parsi, Jawa. Ini disebabkan semasa
perkembangannya bahasa Melayu turut menerima serapan daripada bahasa-bahasa tersebut
bagi menambahkan perbendaharaan kata Melayu. Berikut adalah beberapa contoh
kata pinjaman yang digunakan dalam teks Sejarah Melayu ). ( halaman 21, 44 dan 56 ) dan maksudnya dalam bahasa Melayu moden
berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010
2.1.2.1 Pinjaman Bahasa Arab
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Munajat
|
doa
|
makhdum
|
tuan
|
Jadual 2.2 : Pinjaman Bahasa Arab
2.1.2.2
Pinjaman Bahasa Parsi
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Nobat
|
Gendang besar
|
Istana
|
Rumah kediaman raja
|
Jadual 2.3 : Pinjaman Bahasa Parsi
2.1.2.3
Pinjaman Bahasa Jawa
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Manira
|
aku
|
adipati
|
raja
|
Jadual 2.4 : Pinjaman Bahasa Jawa
2.1.3
Bahasa Istana
Selain itu, teks Sejarah Melayu merupakan teks yang tinggi nilai
bahasanya dan kebanyakan cerita adalah berkaitan dengan golongan istana dan
bangsawan. Justeru pengarang banyak menggunakan bahasa istana di dalam teks ini.
Penggunaan bahasa istana
dalam teks ini amat ketara digunakan untuk kata panggilan atau kata gantinama
diri pertama, kedua dan ketiga. Antara
contoh kata gantinama diri dalam bahasa istana seperti terdapat dalam teks
Sejarah Melayu ialah: ( halaman 13)
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Tuan
hamba
|
Awak
|
Tuanku
|
raja
|
Jadual 2.5 : Kata Gantinama Diri
Kata gantinama diri tersebut digunakan oleh
golongan diraja dan orang-orang bangsawan ketika itu. Selain kata gantinama diri , terdapat juga
penggunaan bahasa istana bagi jenis kata nama dan kata adjektif dalam teks
Sejarah Melayu .(halaman 110)
Contohnya:
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Destar
|
Kain ikat kepala
|
Gundik
|
Isteri tidak rasmi
|
Jadual 2.6 :
Kata Nama
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Gering
|
Sakit
|
Murka
|
Marah
|
Jadual 2.7 :
Kata Adjektif
2.1.4. Imbuhan
Proses pengimbuhan merupakan proses utama
pembentukan kata dalam Sejarah Melayu. Ciri sesuatu kata boleh menerima imbuhan
per- dan ber- bukanlah merupakan ciri-ciri bahasa Melayu moden. Pengimbuhan per- dan ber- dengan makna yang sama jelas memperlihatkan ciri-ciri bahasa
Melayu klasik. Bentuk yang dilihat dalam pengimbuhan ini menunjukkan bahawa
bahasa dalam Sejarah Melayu adalah dalam proses transisi, iaitu daripada bentuk
klasik perlahan-lahan akan berubah kepada bentuk bahasa Melayu moden. Berikut
merupakan beberapa contoh imbuhan per-
dan ber- yang didapati dalam teks
Sejarah Melayu:
Bahasa klasik (Per- )
|
Bahasa klasik (Ber-)
|
Bahasa moden
|
(di)perbuat(kan/lah/nya)
|
berbuat(lah)
|
membuat
|
pertuan(kan)
|
bertuan(kan)
|
memilih
seseorang sebagai tuan
|
Jadual
2.8 : Imbuhan per- dan ber-
Selain itu
penggunaan imbuhan akhiran juga menunjukkan perbezaan yang ketara di antara
bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden. Contohnya:
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Dinamai
|
dinamakan
|
Campaki
|
campakkan
|
Jadual
2.9 : Imbuhan akhiran
Dalam
bahasa Melayu klasik, imbuhan akhiran ‘i’ akan digunakan untuk menunjukkan sesuatu
perbuatan tetapi dalam bahasa Melayu moden ianya ditukar kepada imbuhan ‘kan’.(halaman 16)
2.1.5 Penggandaan
Proses
pembentukan seterusnya yang terdapat teks Sejarah Melayu ini ialah penggandaan.
Penggandaan kata dalam teks Sejarah
Melayu juga memainkan peranan yang penting dalam penceritaan
peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Dua bentuk
penggandaan yang banyak terdapat dalam teks Sejarah Melayu ialah penggandaan
penuh dan penggandaan berentak. Jadual di bawah menunjukkan beberapa contoh
kata ganda dan maksudnya dalam bahasa Melayu moden. (halaman
4, 21 dan 35)
2.1.5.1 Penggandaan penuh
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Safa-safa
|
terang
|
Panji-panji
|
bendera
|
Jadual 2.10 :
Penggandaan Penuh
2.1.5.2 Penggandaan berentak
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
sayur-mayur
|
Sayur-sayuran
|
Panca-persada
|
Rumah bertingkat lima tempat pengantin raja
|
Jadual 2.11 :
Penggandaan berentak
Ada
di antara kata ganda ini yang sudah tidak digunakan lagi kerana dianggap
terlalu lama seperti panca-persada
dan ada yang telah diubahsuai semula dari sudut ejaan, contohnya sayur-mayur di
ubah menjadi sayur-sayuran yang menunjukkan pelbagai jenis sayur.
2.1.6
Golongan Kata
Selain itu ,
analisis juga dijalankan dari sudut penggunaan golongan kata yang terdapat
dalam teks Sejarah Melayu. Pengkaji
mendapati terdapat beberapa jenis golongan kata dalam teks menunjukkan
perbezaan yang ketara di antara bahasa
klasik dan bahasa moden. Antaranya ialah
kata nama dan kata kerja. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan antara
penggunaan kata nama dan kata kerja dalam
bahasa klasik dan bahasa moden. (halaman
60)
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Ketur
|
Tempat ludah
atau basuh tangan
|
Puan
|
Tempat sireh
atau tepak sireh
|
Jadual 2.12 : Kata Nama
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Bermukah
|
Berzina
|
Menitir
|
Memukul gendang bertalu-talu dengan cepat
|
Jadual 2.13 : Kata Kerja
2.1.7
Penggunaan partikel ’lah dan ’pun’ Dalam
Perkataan
Kebanyakan kosakata yang terdapat dalam teks
Sejarah Melayu mempunyai partikel ’lah dan ’pun’ dihujungnya. Dalam bahasa Melayu moden, partikel ’lah dan
’pun’ bertindak sebagai kata penegas. Contohnya: (halaman 155, 87)
Bahasa klasik
|
Bahasa moden
|
Adapun
|
Sebenarnya
|
Sampailah
|
Telah sampai
|
Jadual 2.14 : Kata partikel ’lah’ dan’pun’
2.2
Analisis Bahasa Dari Sudut Sintaksis
Sintaksis pula merupakan ilmu bahasa yang mengkaji
proses pembinaan ayat. Sintaksis juga membawa maksud bidang yang mengkaji hukum
atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan
perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
Ayat merupakan unit pengucapan yang paling
tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat mengandungi unsur klausa, klausa
terbentuk daripada frasa dan frasa terdiri daripada perkataan. (Nik Safiah
Karim, 1996). Za’ba (1953) pula mendefinisikan ayat itu ialah apa-apa susunan
perkataan yang cukup memberi faham, terjadi daripada benda dan cerita dari hal
benda itu.
2.2.1
Jenis Ayat
Apabila membincangkan jenis ayat dalam
Sejarah Melayu, Awang Sariyan menyatakan bahawa Sejarah Melayu atau Sulalat-us-Salatin mempunyai
kecenderungan menggunakan ayat majmuk lebih banyak daripada ayat mudah dan ayat
transfomasi satu dasar” ( dipetik daripada: Kang Kok Sok, 1995)
Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008),
ayat majmuk terbahagi kepada tiga iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk
pancangan dan ayat majmuk campuran. Dalam Sejarah Melayu terdapat dua jenis
ayat majmuk gabungan iaitu ayat majmuk gabungan yang hadir secara bersendirian
dan ayat majmuk gabungan yang hadir dalam konteks ayat majmuk campuran. Dalam
Sejarah Melayu terdapat ayat majmuk gabungan iaitu ayat yang terdiri daripada
dua ayat atau lebih yang disambung dengan kata-kata hubung dan, lalu, serta, lagi dan tetapi.
Berikut adalah beberapa contoh ayat majmuk dengan kata hubung dan maksudnya
dalam bahasa moden:
Contoh 1
“Maka
puan dan segala alat kerajaan dan gendang semuanya diarak dahulu
ke masjid.” (halaman 60)
Maksudnya:
Membawa tepak sireh, gendang dan semua
jenis alat kebesaran ke masjid.
Contoh 2
“Maka baginda pun menganugerah Tun Telanai dan
Menteri Jana Putra dengan selengkapnya serta puji baginda akan Menteri
Jana Putra itu. (halaman 97)
Maksudnya:
Ayat ini pula bermaksud raja telah
memberikan anugerah dan pujian kepada Tun Telanai dan Menteri Jana Putra.
Terdapat lebih daripada satu kata hubung
(bergaris) dalam ayat menunjukkan lebih daripada satu ayat tunggal yang
digabungkan menjadi ayat majmuk.
2.2.2
Proses Pembentukan Ayat
Dalam konteks Sejarah Melayu struktur ayat dalam
teks tersebut berbeza dengan struktur ayat yang digunakan pada masa kini. Proses pembentukan ayatnya yang
panjang, meleret-leret, berbelit-belit dan disambung dengan berbagai-bagai kata
hubung atau tanda baca ialah merupakan salah satu ciri laras bahasa Melayu klasik.
Misalnya:
Contoh 4
“Setelah
Sultan Mahmud Syah mendengar sembah bendahara dan segala orang
besar-besar itu, maka terlalu sukacita baginda, seraya meraih leher paduka
ananda baginda, dipeluk dicium baginda seraya bertitah ‘Hai anakku, dan cahaya
mataku, engkau kerajaan, hendaklah bendahara dan sekalian hulubalang;
sangat-sangat adil saksama pada hukum atas bala tenteramu. Jangan engkau
dengar-dengaran barang sembah orang yang tiada dengan sebenarnya; sangat-sangat
ampun periksamu akan mereka itu sekalian kerana ia bernaung kepada keadilan dan
kemurahanmu; dan jangan taksir daripada menafahus dan memeriksai atas
rakyatmu, supaya sentosa kerajaan engkau. Maka Sultan Muda pun terlalu
sangat baginda menangis di atas ribaan paduka ayahanda baginda”. (halaman 219)
Maksudnya:
Ayat yang panjang di atas digunakan untuk
menceritakan kejadian yang berlaku sebelum pemergian Sultan Mahmud Syah yang
kembali ke rahmatullah. Pengarang menukilkan nasihat-nasihat dan pesanan
terakhir untuk anakandanya supaya dapat memerintah dengan adil.
2.2.3 Ragam
Ayat Pasif
Bagi aspek ragam ayat pula, pengkaji
mendapati teks Sejarah Melayu ini mengandungi banyak struktur ayat pasif dan
ayat songsang. Ayat pasif ialah ayat
yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek sebagai judul atau unsur yang
diterangkan. Sementara ayat songsang atau ayat terbalik pula ialah ayat
yang mendahulukan predikat sebelum subjek.
Ayat ini berlawanan daripada
pola ayat biasa iaitu mengikut susunan subjek + predikat. Contoh ayat pasif atau songsang yang
terrdapat dalam teks hikayat ini ialah:
Contoh 5
“Maka
oleh Raja China disuruhnya sayurkan kangkung itu, seperti kata Tun
Perpatih Putih itu. ”( halaman 95)
Maksudnya:
Ayat di atas menceritakan bahawa tentang Raja
China yang meminta kangkung itu di masak sayur. Ayat di atas menunjukkan predikat
(disuruhnya sayurkan) mendahului subjek (kangkung).
Contoh 6
Maka
dibuangkanlah orang mahkota itu.(halaman 28)
Maksudnya:
Ayat di atas menyatakan bahawa seseorang telah
membuang mahkota tersebut.
2.2.4
Pengaruh Bahasa Arab
Selain itu, ayat-ayat di dalam teks turut
mendapat pengaruh Arab dan bahasa Al-Quran. Ini terbukti apabila pengarang
dengan mudah membawa petikan-petikan daripada Al-Quran, hadis dan
berbagai-bagai lagi kitab Arab. Pengarang Sejarah Melayu juga tentunya seorang
yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang agama Islam.
Contoh 7
Bi-‘smillahi’r-rahmani’r-rahim
AL-HAMDU
li’llahi’l-ladzi la ilaha illa huwa, wa kana fi’l-azali wa la shay’a ma’ahu.
Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan yang tiada Tuhan hanya Ia, dan adalah Ia
pada azal, tiada sesuatu juapun sertaNya. Wa huwa ‘I-abadiyyu ‘I-sarmadiyyu wa
la shay’a ba’dahu. Thumma khalaqa’l
khala’iqa wa la hajata lahu. Dan
ialah Tuhan yang abadi, lagi sentiasa adanya, dan tiadanya, dan tiada hajat
bagiNya. Wa lamma arada ishara rub-buiyyatihi fa-khalaqa nura habihi; wa min
dzalika ‘l-nuri khalaqa ‘l-anbiya’s wa fara’a rutbatahu. Maka tatkala Ia hendak
menyatakan ketahuannya, maka dijadikanNya nur kekasihNya, dan daripada nur
itulah dijadikan segala anbiak, dan diperangkatnya martabatnya…” (halaman 1)
Maksudnya:
Petikan di atas merupakan mukadimah Sejarah Melayu
mengandungi pernyataan berselang seli dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu yang
memuji Allah S.W.T dan menegaskan kekuasaan-Nya, serta menyatakan kisah permulaan
penciptaan makhluk.
2.2.5
Pengaruh Arab Dalam Ayat Dan Frasa
Selain penggunaan kalimah-kalimah daripada kitab
Al-Quran dan hadis, pengaruh Arab juga banyak dikesan dalam penghasilan frasa
dan ayat-ayat teks Sejarah Melayu ini.
Contoh 8
Sebermula,
maka tersebutlah sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, bersabda kepada
sahabat: “Pada akhir zaman kelak ada sebuah negeri di bawah angin, Semudra
namanya.( halaman 40)
Maksudnya:
Rasullullah s.a.w pernah bersabda kepada para
sahabat bahawa pada akhir zaman nanti akan muncul sebuah negeri yang bernama
Semudra.
2.2.6
Pengaruh Bahasa Jawa
Selain bahasa Arab dan bahasa Parsi, pengarang
juga menggunakan bahasa Jawa untuk menceritakan kerajaan Majapahit . Contoh
berdasarkan teks adalah seperti dibawah:
Contoh 9
Maka
segala anak periai itupun melawan maka habis mati dibunuh orang, serta mati
seorang diberi orang tahu pada Patih Adam, ‘Pengeran, si anu sampun pejah.’
Maka sahut Patih Adam, ‘Dimenei’, ertinya, Biarkanlah.’(halaman 159)
Maksudnya:
Ayat menerangkan tentang peristiwa pembunuhan yang
dikhabarkan kepada Patih Adam tetapi tidak diendahkan olehnya.
2.2.7
Penggunaan Kata Pangkal Ayat / Praklausa
Di samping itu, dalam teks Sejarah Melayu
mempunyai ayat-ayat yang pangkalnya dimulakan dengan perkataan praklausa atau
pembuka ayat yang tidak digunakan lagi dalam bahasa moden seperti hatta, syahdan, sebermula dan
sebagainya.
Antara contoh-contoh ayat yang menggunakan
kata-kata ini adalah seperti berikut:
Contoh 10
Sebermula akan titah Sultan Mahmud pada keempat orang itu.
’ Apa kehendak tuan hamba sekalian,
pintalah pada kita; jikalau apa
sekalipun tiada kita tahani.’
(halaman
145)
Maksudnya:
Sultan Mahmud akan memenuhi semua permintaan
keempat-empat orang itu.
Contoh 11
Hatta maka Pau Gelang pun besarlah.(halaman 119)
Maksudnya:
Ayat ini menggambarkan Pau Gelang yang
telah dewasa.
Perkataan-perkataan seperti ini sudah dianggap
usang dan tidak lagi digunakan dalam pembentukan ayat-ayat bahasa Melayu
moden. Dalam bahasa Melayu moden kata
pangkal ayat disebut sebagai penanda wacana. Contoh penanda wacana dalam bahasa
Melayu moden ialah seperti pada suatu
masa, sejak itu, justeru, selain itu dan sebagainya.
2.2.8
Penggunaan Partikel ’lah’ dan ’pun’
Seterusnya, ayat-ayat dalam teks Sejarah Melayu
ini juga dikesan banyak memasukkan partikel ’lah’ dan ’pun’ dalam
perkataannya.
Contoh 12
Adapun Sang Nila Utama dengan segala menteri, pegawai
rakyat pergi berburu; maka terlalulah banyak beroleh perburuan. (halaman
28)
Maksudnya:
Sang Nila Utama yang ditemani pegawai-pegawainya
telah pergi berburu dan mendapat hasil yang banyak.
Penggunaan partikel ini sebagai suatu kemestian dalam
ayat untuk menceritakan tentang sesuatu
situasi. Namun bagi bahasa Melayu moden
penggunaan partikel ’lah’ dan ’pun’ tergolong dalam kategori kata penegas. Kata ini berfungsi sebagai tanda menunjukkan
kepentingan predikat dalam sesuatu ayat.
2.2.9
Laras Bahasa Istana
Bahasa istana ialah bahasa yang halus dan
digunakan dengan sopan santun dan adab tertib tanpa mengira keadaan. Dalam teks
Sejarah Melayu terdapat banyak penggunaan bahasa istana dalam komunikasi antara
watak-watak yang terdapat dalam cerita.
Tetapi dalam bahasa Melayu moden, bahasa ini hanya dituturkan dikalangan
keluarga diraja sahaja. Contoh penggunaan bahasa istana dalam ayat ialah:
Contoh 13
Adapun
akan Sultan Mahmud Syah, ada lagi nenda baginda Sultan Alaudin, disebut orang
Raja Tua; akan baginda itu kasih akan cunda baginda Sultan Menawar Syah
daripada Sultan Mahmud. ( halaman 139 )
Maksudnya:
Sebenarnya Sultan Mahmud Syah masih mempunyai
datuk iaitu Sultan Alaudin atau juga digelar sebagai Raja Tua. Tetapi Sultan
Alaudin lebih menyayangi Sultan Menawar Syah daripada Sultan Mahmud Syah.
2.2.10
Penggunaan Kosakata Klasik
Sejarah Melayu dikarang dengan menggunakan bahasa
Melayu klasik. Justeru, pastilah terdapat banyak kosakata klasik dalam
ayat-ayatnya. Ada di antara kosakata ini
telah tidak digunakan lagi pada zaman moden ini. Contoh ayat dengan penggunaan
kosakata klasik ini adalah:
Contoh 14
Maka
oleh Sang Sapurba akan ananda baginda Sang Nila Utama itu dianugerahi baginda
satu mahkota kerajaan, tiada bahana kelihatan emasnya daripada kebanyakan ratna
mutu manikam yang terkena pada mahkota itu; dan dianugerahi cap kempa, seperti
cap baginda juga rupanya, suatu cap itu dibelah dua. ( halaman 25 )
Maksudnya:
Sang Sapurba telah menganugerahkan mahkota
kerajaan yang dipenuhi intan permata dan juga mohor diraja yang serupa dengan
kepunyaannya kepada anakandanya Sang Nila Utama.
3.0
Kesimpulan
Berdasarkan analisis yang
dijalankan, terdapat banyak perbezaan antara bahasa Melayu klasik dalam teks
Sejarah Melayu atau Sulalat-us-Salatin
ini dengan bahasa Melayu moden.
Perbezaannya dapat dilihat dari sudut morfologi (perkataan) dan sintaksis (ayat). Hasil analisis dari
sudut morfologi, terdapat perbezaan yang agak ketara dilihat menerusi penggunaan
kata nama, kata adjektif, kata gantinama diri, kata pinjaman, kata ganda,
imbuhan dan aspek bahasa halus iaitu bahasa istana. Perbezaan wujud dari pelbagai aspek seperti
makna dan ejaan dalam bahasa Melayu
moden. Sementara dari sudut sintaksis
pula, pengkaji menganalisis tentang proses pembentukan ayat, ragam ayat, ayat
majmuk, pengaruh bahasa asing, laras bahasa, penggunaan kata penegas, kata
praklausa dan kosakata klasik yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu ini. Seperti juga morfologi, bidang sintaksis juga mempunyai perbezaan
yang besar dengan bahasa Melayu moden.
Antara perbezaan yang dapat dikesan adalah berdasarkan aspek makna,
struktur kata, struktur binaan dan ragam ayatnya.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa
teks Sejarah Melayu ini mempunyai bahasa yang amat indah dan memberi kesan yang
mendalam kepada pembaca atas nasihat-nasihat dan cerita-cerita yang boleh
dijadikan teladan. Ini bertepatan dengan pandangan Abdullah Munsyi yang
menyatakan kepentingan Sejarah Melayu bukanlah terletak pada maklumat sejarah
yang terkandung di dalamnya tetapi pada bahasanya yang patut dijadikan contoh
oleh semua orang yang mahu mempelajari bahasa Melayu yang betul dan halus. Tidak hairanlah teks Sejarah Melayu ini telah
dicetak sebanyak tiga kali dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Perancis. Justeru, Sejarah Melayu dikatakan sebuah
karya sastera yang amat termasyhur dalam kalangan rakyat negara kita. Sejarah Melayu bukan sahaja berjaya
memaparkan sejarah keagungan bangsa Melayu yang penuh dengan kehebatan dan
pencapaian, bahkan berjaya memaparkan penggunaan bahasa Melayu yang begitu baik
dan berkesan.
Rujukan
Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain.(2006). Sejarah
bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors
Sdn.Bhd.
Asmah Haji Omar. (1991). Bahasa Melayu abad ke-16: Satu analisis berdasarkan
teks Melayu Aqaid al-Nasafi. Kualau Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar. (1992). Aspek bahasa dan kajiannya. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. Dipetik
daripada Ensiklopedia kebudayaan Melayu
(1998). Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan pustaka.
Goay Teck Chong,
Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad. (2007). Teks pra
U STPM bahasa Melayu kertas 1.
Selangor: Longman Pearson Sdn.Bhd.
Kamus Dewan
Edisi Keempat. (2010). Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Kang Kok Sok. (1995). Gaya bahasa sejarah Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shellabear,
W.G. (1986). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu I edisi kedua. Selangor
Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment