Islamic Calendar

Islamic Clock

Asma Ul'Husna






:: Himpunan Hadis Rasullullah S.A.W ::

[1] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa. [Bukhari & Muslim] 


[2] 
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya. [Bukhari & Muslim] 


[3] 
Zaid bin Thabit r.a katanya:
Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat. [Bukhari & Muslim] 


[4] 
"Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim enam perkara: 
Apabila engkau bertemu dengannya, hendaklah engkau memberi salam, apabila beliau menjemputmu hendaklah engkau menunaikan jemputannya, apabila beliau menasihatimu, hendaklah engkau juga menasihatinya, apabila beliau bersin dan menyebut "AlhamduliLlah" hendaklah engkau menyebut :YarhamukaLlah", apabila beliau sakit hendaklah engkau menziarahinya dan apabila beliau meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya." (Hadis riwayat Muslim). 


[5] 
"Barangsiapa yang menyeru manusia kepada hidayah, dia mempunyai pahala seperti pahala yang dicapai oleh orang yang menyahut seruannya tanpa mengurangi pahala mereka yang menyambut seruannya, semakin banyak orang yang mengikuti seruannya semakin berlipat ganda pahala yang diperolehinya." (Riwayat Muslim) 


[6] 
Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi SAW beliau bersabda:
"Janganlah sekali-kali seorang laki-laki berduaan sahaja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang mahram." Lalu ada seorang laki-laki berdiri dan berkata: "Isteri saya pergi haji, sedangkan saya telah ditetapkan untuk ikut dalam peperangan ini dan peperangan itu." Rasul berkata: "Kembalilah,dan pergilah haji bersama dengan isterimu."
[Bukhari] 


[7] 
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka jangan sekali-kali bersendirian dgn seorg perempuan yg tidak bersama mahramnya,kerana yang ketiga ialah syaitan" (HR Ahmad) 


[8] 
Nabi SAW bersabda, maksudnya:
" Kamu akan dapati sejahat-jahat orang ialah yang bermuka dua, yang datang ke sini dengan satu muka dan ke sana dengan muka yang lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


[9] 
"Perumpamaan orang-orang Mu'min yang membaca Al-Qur'an bagaikan buah utrujah, baunya harum dan rasanya juga nik'mat. Dan perumpamaan orang mu'min yang tidak suka membaca Al-Qur'an bagaikan buah korma, rasanya manis tapi tidak berbau harum." (H.R. Muttafaq 'alaih). 


[10] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan dia mandi didalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya? Para Sahabat menjawab: Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya. Lalu baginda bersabda: Begitulah perumpamaannya dengan sembahyang lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka.[Bukhari &Muslim] 


[11] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Allah s.w.t akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya. [Bukhari & Muslim] 


[12] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tersenyum (reda) terhadap dua orang lelaki,salah seorang darinya membunuh yang seorang lagi namun kedua-duanya dimasukkan kedalam Syurga. Para Sahabat bertanya: Bagaimana boleh terjadi begitu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Seseorang yang ikut berperang pada jalan Allah lalu beliau mati syahid, kemudian orang yang membunuh tadi telah bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya. Setelah memeluk Islam beliau juga turut keluar berperang pada jalan Allah, kemudian beliau juga mati syahid. [Bukhari & Muslim] 


[13] 
Dari Abi Hamzah Anas bin Malik radiyallahu 'anh khadam Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam dari Nabi sallallahu 'alayhiwa sallam, sabdanya: "Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.) 


[14] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullahs.a.w bersabda:
Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan. [Bukhari & Muslim] 


[15] 
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:
Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata: yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu daripada siksa kubur dan aku memohon perlindungan kepadaMu daripada fitnah Dajjal. Aku juga memohon perlindungan kepadaMu daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepadaMu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullahs.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari. [Bukhari & Muslim] 


[16] 
Diriwayatkan drpd Abu Musa r.a katanya: 
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok. [Bukhari & Muslim] 


[17] 
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara tanda-tanda hampir Kiamat ialah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan. [Bukhari & Muslim] 


[18] 
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w 
bersabda: Beberapa hari sebelum munculnya hari Kiamat,ilmu Islam dihapuskan, timbulnya kejahilan dan banyak berlaku jenayah terutama jenayah pembunuhan. [Bukhari & Muslim] 


[19] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah. Sahabat bertanya: Apakah jenayah yang dimaksudkan? Rasulullahs.a.w bersabda: Iaitu jenayah pembunuhan. [Bukhari & Muslim] 


[20] 
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan drpd Alqamahr.a katanya: 
Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya:Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yg pernah disabdakan oleh Rasulullah [s.a.w] kapada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin utk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu. [Bukhari & Muslim] 


[21] 
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. [Bukhari & Muslim] 


[22] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. [Bukhari & Muslim] 


[23] 
Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam. [Bukhari & Muslim] 


[24] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a ka tanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku hanyalah manusia. Setiap orang muslim yang aku caci maki atau aku kutuk atau aku pukul, maka jadikanlah itu sebagai zakat dan rahmat baginya. 
[Bukhari & Muslim] 


[25] 
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya. [Bukhari & Muslim] 


[26] 
Diriwayatkan daripada Ummu Kalsum binti Uqbah r.a katanya: 
Sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah dikira sebagai pendusta jika seseorang mendamaikan perselisihan di antara manusia. Beliau berkata yang baik dan menyampaikan yang baik pula. [Bukhari & Muslim] 


[27] 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kekuatan itu tidak dibuktikan dengan kemenangan bertumbuk. Tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika sedang marah. [Bukhari & Muslim] 


[28] 
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-Asr.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
[ Bukhari & Muslim] 


[29] 
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:
Nabi s.a.w pernah menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah, mengherdik kedua-dua ibubapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu. [Bukhari & Muslim] 


[30] 
Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:
Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. Semasa Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk. Baginda terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga baginda berhenti dari menyebut Hadis tersebut. [Bukhari & Muslim].

0 comments:

Post a Comment

.