Isnin, 26 November 2012

Doa Hidayah Kepada Yang Zalim Lebih Aula Daripada Doakan Kehancurannya

Sepertimana Allah melarang kita melakukan kezaliman terhadap makhlukNya atau cenderung kepada mereka yang zalim dalam kezalimannya, Allah juga melarang kita melampaui batas dalam bertindak terhadap mereka yang zalim terutama di kalangan muslimin.

Malah mengharapkan hidayah Allah kepada mereka adalah sesuatu yang dituntut, kerana ia memberi faedah jangka panjang kepada Islam dan Muslimin.

Rasulullah pernah meminta hidayah untuk orang-orang Taif yang menzalimi baginda semasa baginda ke Taif untuk meminta perlindungan walaupun Jibril telah menawarkan kepada baginda untuk menghancurkan orang-orang Taif itu dengan menghempapkan bukit ke atas mereka.
اللهم اهدى قومي فانهم لا يعلمون
“Ya Allah, berilah hidayahMu kepada bangsaku (Arab Taif), sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Terbukti doa Rasulullah s.a.w itu dimakbulkan Allah dan terbukti memberi faedah yang lebih kepada Islam dan Muslimin selepas itu di mana Arab Taif telah memeluk Islam selepas pembukaan Mekah serta kuat mempertahankan Islam selepas itu sehingga apabila sebahagian kabilah Arab murtad selepas Baginda wafat tetapi kabilah Arab Taif tetap dengan Islam dan tidak terlibat dengan riddah yang diperangi oleh Khalifah Abu Bakar.

Begitu juga Rasulullah pernah berdoa untuk diberikan hidayah kepada salah seorang dari dua Umar yang amat kuat menentang Islam semasa Muslimin ditindas di Mekah sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu Umar bin al-Hakam (Abu Jahal) atau Umar al-Khattab.

Bagi saya, doakan hidayah akan menghentikan kezaliman serta menukar yang zalim kepada adil dan menambah bilangan orang yang baik serta kebaikannya selepas itu.
Adapun doakan kehancuran hanyalah menghapuskan si zalim dan kezalimannya sahaja dan tidak akan menambah apa-apa.

Tujuan asal doa dan dakwah di dalam Islam adalah untuk menambahkan kemakmuran di dunia ini dengan bertambahnya orang-orang baik dan soleh serta kebaikannya dan meramaikan ahli syurga di akhirat. Bukan tujuannya untuk menghancurkan sesiapa ini atau meramaikan ahli neraka di akhirat kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan