Friday, October 30, 2009

AKURLAH DENGAN TEGURAN



Setiap permulaan sudah pasti akan ada pengakhirannya. Kita bukannya dilahirkan sebagai immortal yang boleh hidup kekal abadi dan kekal muda seolah-olah masa itu beku untuk kita. Kita juga bukan kebal untuk menahan setiap asakan dan gelombang perubahan dunia yang bertukar bagaikan arus yang deras. Masa juga bukan milik kita kerana ia tetap berlalu meninggalkan kita walaupun kita seorang sang setia  menanti waktu.
Sepanjang hampir setahun kita semua mengembara merentasi badai dan belantara memikul tugas dan amanah yang mungkin tidak terpikul atau ada sebahagiannya merungut memikul beban yang lebih berat tidak seharusnya ditimbulkan dalam perbincangan kita kerana kita diberikan tugas dan portfolio yang berbeza. Mungkin dalam kalangan kita sudah arif dengan tugasan yang bakal diterima sebelum berkecimpung dalam organisasi MPP kerana saya mendapati anda semua cukup berbakat dalam mengendalikan setiap permasalahan.
IDEA
Setiap dari ahli tidak pernah kekeringan idea dan pendapat. Sebahagian idea mungkin boleh dianggap bernas. Setiap individu dalam organisasi memang diberikan peluang untuk melontarkan idea tetapi adakah idea yang disepakati diterima dengan baik oleh kepimpinan? Saya hanya bertanya tetapi janganlah blacklist nama saya pula. Jika kita sememangnya tidak suka menerima idea ataupun pendapat orang lain, sepatutnya awal-awal lagi kita perlu berundur dari organisasi. Hidup dalam jemaah kenalah ada adab berjemaah. Adab berjemaah sudah pastinya memerlukan pemimpin dan pemimpin sudah pasti memerlukan rakyat atau orang bawahan untuk dipimpin.
Program
Program-program yang diatur dan disediakan memang tidak mengecewakan. Bagi saya keseluruhan aktiviti yang dijalankan memuaskan walaupun ada sebahagian aktiviti tidak mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar. Tidak mendapat sambutan pelajar tidak bererti gagal dan sambutan yang meriah tidak bermakna kejayaan. Saya tidak berhasrat untuk menyatakan senarai aktiviti yang berjalan sepanjang tahun kerana aktiviti-aktiviti itu sudah berlalu. Mengapa perlu dikenang perkara yang sudah berlalu kerana di hadapan kita masih banyak lagi ujian yang harus direntasi? Janganlah kita mengukur sambutan pelajar sebagai penanda aras berjaya ataupun gagal dalam mengendalikan program kerana kita kena faham jiwa muda selalu dahagakan hiburan. Oleh itu saya berharap kepimpinan yang akan datang janganlah hanya menyajikan aktiviti berunsur hiburan semata-mata kerana ingin menarik kehadiran pelajar yang ramai menyertai aktiviti. Satu perkara lagi kita kena faham kopun aktiviti yang dikumpulkan adalah bertujuan untuk mendapatkan kemudahan kolej. Oleh itu, bagi siswa yang melepasi bahagian 4 yang tiada jaminan penempatan kolej,oleh itu, mereka agak keberatan untuk menghadiri aktiviti yang disediakan. Memang hebat pemikiran mahasiswa yang berjiwa glocal. Istilah kirim kupon juga berlaku, pelajar-pelajar yang tidak menyertai aktiviti anjuran MPP,JPK mahupun universiti masih berpeluang mendapatkan kupon melalui teman-temannya yang menghadiri aktiviti tersebut. Adakah masih relevan sistem kupon dipraktikkan lagi di zaman IT ini?


Kerjasama
Kerjasama dan persefahaman yang ditunjukkan masih utuh bagaikan adik-beradik. Kita selalu bersama walau dalam apa jua keadaan. Kita mungkin berasa sedih kerana ada dikalangan kita yang akan graduate tahun ini, yang menjalani praktikal tetapi kita masih ada kemudahan yang membolehkan hubungan kekeluargaan terus berlanjutan. Apa gunanya kita memiliki handphone yang canggih-canggih, laman sosial yang lebih daripada satu kalau tidak digunakan untuk mengeratkan silaturrahim. Memang tidak dinafikan langit tidak selalu cerah, panas tidak akan sampai ke petang kerana ia mungkin mendung ataupun hujan di tengah hari. Jadikan hubungan itu seperti adik-beradik , adakalanya kita bergaduh, adik merajuk dengan abang, kakak yang mudah mengalirkan air mata tetapi semua itu berlalu begitu sahaja kerana eratnya kasih sayang. Janganlah ada dikalangan kita suka mensabotaj orang lain. Kita tidak boleh menentang seseorang disebabkan peribadi yang tak elok tetapi tarbiyyahlah ia untuk menjadi hamba Allah yang berakhlak mulia. Manusia mana yang tidak pernah buat silap dan salah, selagi kita bernama insan janganlah kita sombong dan angkuh kerana kita juga tidak sempurna.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud
“Tidak sempurna iman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri”

Bagaimana ingin memupuk kasih sayang kalau hasad dengki dan berprasangka buruk menguasai hati?
Kekuatan kasih sayang hendaklah dibina dan robohkan sifat hasad dengki dan berprasangka buruk terhadap orang lain, kerana kita semua tidak jauh berbeza.memang terlalu mudah untuk mencari kelemahan orang lain kerana kita jarang muhasabah diri kita. Walaupun kedudukan kita lebih tinggi tidak semestinya kita lebih mulia, jika kita kaya bukanlah jaminan hidup yang bahagia, kalaupun kita ramai tak bermakna kita kuat. Semua ini berakar umbi kerana kita tidak menerima Islam keseluruhannya walaupun Islam ini meliputi segala aspek. Jika ada orang bertanya apa bukti yang menunjukkan kita ni orang Islam? Adakah kerana kita bangsa melayu? Kalau itu lah jawapan kita berikan maka orang arab lebih layak diiktiraf sebagai muslim kerana Rasulullah orang arab. Terimalah Islam sebagai ad-Din jangan biarkan ia hanya sebagai ungkapan yang manis di bibir.

Saya rasa cukuplah sampai di sini sahaja. Saya berharap kita semua dapat menghayati apa yang telah saya kongsikan. Saya bukanlah seorang yang mampu menjadikan kata-kata sebagai azimat dalam melontarkan setiap hujah. Bukalah mata hati kita dan nilai apa yang telah kita sumbangkan untuk diri kita, masyarakat malah yang paling utama kepada agama kita. Belajarlah daripada pengalaman kerana pengalaman banyak mengajar kita tentang kerukunan hidup. Peristiwa tidak bisa mencetuskan emosi tetapi emosi selalu menghadirkan peristiwa. Sekadar memberi pandangan, kalau ada silap dan salah saya dahului dengan sejuta kemaafan dan semoga Allah mengampuni kita dan kesalahan yang telah kita lakukan di masa yang lampau.


1 comment:

al-quran

Listen to Quran

lawati juga