Followers

Nuffnang

Saturday 7 January 2012

Akhirnya Aku ‘Abdullah’

HMP Greenock, Glasgow, Scotland

Are you straight or gay?” tanya Pegawai Penjara.


Saya tergamam.


Apabila penjara di negara Barat disebut, bab inilah yang paling menakutkan.


Straight!” saya menjawab.


Pegawai tersebut terus mencatat. Biodata saya diambil dengan selengkapnya. Satu demi satu soalan ditanya.


You’re Moslem?” soalnya lagi.


“Yes. Alhamdulillah” saya membalas jawab.


“Sunni or Syi’i?” beliau menyoal soalan seterusnya.


Terkejut.



Why do you ask that?” saya terkejut dan berminat untuk tahu mengapa soalan itu ditanya.
Pegawai tersebut menjelaskan bahawa dia akan pastikan Sunni tidak duduk dalam satu sel dengan Syiah. Biar sebilik dengan Kristian, atau sesiapa sahaja. Tidak mahu menimbulkan sebarang rasa tidak selesa, atau risiko mencetuskan masalah kerana bagi mereka, Sunni dan Syiah mesti dielak daripada ‘dikurung dalam tekanan’ di dalam tahanan.


Teliti.


Open your shirt!” kata pegawai yang seorang lagi.


Saya membuka baju melayu biru yang dipakai. Melipatnya dan meletakkannya di meja samping.


Stand there!” beliau mengarahkan saya berdiri di sebuah ‘tapak’ lapang.


Hati berdegup kencang, merayu kepada Allah bahawa selepas berada di dalam tahanan, janganlah ‘harta’ yang satu ini diragut sama. Maruah dan harga diri. Saya takut jika saya diarahkan berbogel. Tidak tahu apa yang hendak dijangka.


Pegawai HMP Greenock itu memancutkan air kepada saya dengan hos seperti yang digunakan oleh bomba. Tekanan air yang begitu kuat menyebabkan saya hampir rebah. Tambahan pula saya sudah lebih 24 jam tidak menjamah apa-apa makanan.  Pancutan itu adalah untuk membersihkan saya. Seketul sabun kecil tanpa bau diberikan kepada saya dan ia diarahkan untuk digunakan pada membersihkan badan sambil beliau terus memancutkan air tersebut.


Take these clothes and change them in that room. Wait until release” kata pegawai tersebut.


Saya diberikan pakaian seragam penjara. Sehelai t-shirt berwarna hijau pekat. Syukur, ini bukan zaman baju belang lagi. Mendapat sepersalinan, saya diarahkan masuk ke sebuah bilik yang sangat kecil. Dinding, lantai, bumbung dan seluruh bilik sebesar bilik air pesawat itu berwarna merah jambu.


“Inikah ‘The Pink Room‘ yang selalu disebut itu?” hati saya bermonolog.


Selesai menukar pakaian, saya berdiri termenung di dalam bilik itu. Warna merah jambu terang itu agak menekan. Ia melemahkan semangat saya dan terasa bagai ‘dirasuk’ untuk pasrah.


“Hasrizal, apa yang terjadi kepada dirimu?” saya bertanya kepada diri.


Pelajar cemerlang, anak yang baik, naqib usrah, penceramah, imam, dan sekarang saya tersumbat di dalam penjara. Apa yang sedang berlaku?


TITIK TERENDAH KEHIDUPAN


Tanpa sedar, pipi saya basah dengan linangan air mata. Ada satu perasaan ganjil semasa itu. Seperti buat pertama kalinya dalam hidup, saya sudah tidak memiliki apa-apa selain diri ini dan Allah. Dapat merasakan bahawa susuk tubuh di Bilik Merah Jambu itu tidak lebih daripada sekadar seorang Abdullah. Hamba Allah!


“Siapa kamu mahu memilih bentuk ujian yang datang?” saya menyoal diri.


Kita mengimpikan ujian yang berbau pahlawan. Ditahan kerana demonstrasi. Dibuang daerah, dipecat… semua itu menyakitkan. Tetapi kesannya boleh menjadikan kita perwira. Dikenang sepanjang masa. Nanti inspirasi hukuman ke atas kita menyebabkan semua orang mahu menjadi kita.


“Kulluna Marwan!” antara slogan di Jordan dahulu.


Semua mahu jadi Marwan. Mahasiswa University of Jordan yang terbunuh syahid di Palestin.


Siapa mahu jadi Hasrizal? Tahanan penjara HMP Greenock kerana visa tamat tempoh. Sungguh mengaibkan!


“Tetapi bukankah Nabi Ayyub alayhi al-Salaam begitu? Ujian ke atasnya bukan penindasan pemerintah yang zalim. Hanya penyakit kulit. Tiada kena mengena dengan perjuangan. Lebih berat daripada itu, sakit kulit yang menyebabkan isteri dan anak-anak menjauhkan diri! Itulah ujian Allah ke atas seorang Rasul, yang hakikatnya masih seorang hamba kepada-Nya” saya bercakap sendirian.


وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [Al-Anbiya' 21:83]

Dinding merah jambu meneman kegusaran dan sepi.

Saya sangat menyayangi pengalaman membasuh pinggan di London. Tok Din pernah beritahu, kerja di London ni peluang belajar mengenal manusia. Tetapi bagi saya, ia bukan sekadar peluang belajar mengenal manusia, sebaliknya juga belajar menjadi manusia. Basuh mangkuk tandas, kena maki dengan Melayu sombong yang datang makan di Kantin Malaysia Hall… pahit tetapi mujarab untuk ‘menjatuhkan diri’. Jatuh ke tanah, sesuai dengan hakikat diri.


Rupa-rupanya Allah mahu saya jatuh lebih lagi. Tidak cukup terduduk, perlu tersembam.
Bukan mudah mahu menyedarkan diri bahawa engkau hanya Abdullah. Hamba Allah!


Mr. Abdul, come out here!” pegawai penjara memanggil saya keluar. Pintu The Pink Room dibuka.


Menggeletar kesejukan, saya menyerahkan baju Melayu dan seluar yang basah. Saya diberikan sehelai seluar lain bersama t-shirt hijau berkenaan.


Take these clothes, go upstairs, Level Four. Officer Michael is waiting for you there!” arah pegawai tersebut.


Saya mengutip seluruh semangat yang berbaki untuk melangkah menaiki tangga yang terletak betul-betul di tengah ruang terbuka blok penjara tersebut. Melangkah perlahan menaiki tangga, mulut saya berselawat dan berdoa sebanyak-banyaknya.


Kelihatan sekumpulan tahanan yang sedang bermain ping-pong memberhentikan permainan mereka. Memerhatikan saya. Tahanan-tahanan lain juga begitu. Kesemua mereka yang berjumlah ratusan orang itu memerhatikan saya. Dewan terbuka yang tadinya agak riuh rendah, sepi seketika. Ia membina tekanan yang maha dahsyat ke atas diri saya. Terasa perit di dada.


“Ya Allah, hanya Engkau tempatku bergantung” saya memohon kekuatan.


Satu demi satu anak tangga dipanjat.


Officer Michael sudah menampakkan wajahnya dari atas. Tersenyum melihat saya.


“Ahh, mengapa empat tingkat ini terasa begitu tinggi?” saya geram di dalam diam.


‘SELAMAT DATANG’


Welcome!” Officer Michael menghulurkan tangan menjabat saya.


Thank you!” saya membalas ‘mesra’.


I’m not sure how to say this. But I’m glad to tell you that you’re the first Malaysian here in HMP Greenock. And I’m happy about it!” kata pegawai itu.


Wajah lelaki Scottish itu kelihatan tulus.


Suka saya masuk penjara?


Aduh, bingung seketika.


Mr. Abdul, remember. You’re not a prisoner! You’re not a criminal. You’re an illegal immigrant” kata pegawai itu.


Beliau menjelaskan begitu kerana tidak mahu saya mengheret beban yang salah ke atas diri. Saya ditahan kerana melanggar akta Imigresen dan bukannya kerana melakukan jenayah. Maka status di penjara juga tidak sama. Tetapi semua itu konsep. Hakikatnya, saya sekarang berada di balik tembok.


Beliau telah menghantar saya ke sel yang ditetapkan. Saya diberikan masa 20 minit untuk ke bilik mandi dan berada di luar sel sebelum pintu sel ditutup secara otomatik pada jam 4 petang.


Sungguh sukar.


Hendak mandi, hendak buang air, semuanya perlu dilakukan di tandas yang tiada pintu. Mustahil!


Saya termenung di dalam sel.


Cellmate saya berbangsa Cina. Beliau kelihatan seperti tidak suka dengan saya. Tanpa berlengah, tahanan itu tiba-tiba batuk teruk dan memanggil-manggil pegawai penjara.


Infectious! Infectious!” kata tahanan itu.


Dia menjadikan alasan bahawa beliau tidak mahu batuknya berjangkit kepada saya.


He doesn’t like you being with him. I get you another cell!” Officer Michael membantu.


Entah mengapa, saya rasa pegawai itu amat bersungguh membantu saya. Terasa keikhlasannya.


Saya kemudiannya ditempatkan di sel lain bersama seorang tahanan dari Afrika. Tanpa senyuman atau apa-apa reaksi, beliau bersandar di katil atas memerhatikan saya.


Seminit dua sebelum pintu sel ditutup, seorang doktor datang menemui saya.


Do you have any feeling to attempt suicide?” tanya doktor tersebut.


What???” saya terkejut.


Do you have any feeling to attempt suicide?” beliau mengulangi soalannya.


Of course not!” saya menjawab tegas.


Ok. Thank you!” balas doktor tersebut.


Selepas mencatatkan sesuatu di fail yang dibawa di tangannya, doktor itu beredar.


Tepat jam 4, Officer Michael menjerit mengumumkan penutupan pintu sel. Semua tahanan sudah pun berada di dalam sel masing-masing.


Tangggg!


Saya berada di dalam kurungan.


Sepi…


Menyambut ketibaan senja menuju Maghrib dan gelap malam.
Segelap pandanganku mencari sinar di hujung jalan.


“Ya Allah, aku ingin semula memperkenalkan diri.


Namaku ‘Abdullah’…


Aku hamba-Mu!’


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra


No comments:

Post a Comment