Jumaat, 13 Februari 2009

Warkah kepada Paduka Seri Sultan Perak

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah

Paduka Seri Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Ampun Tuanku beribu ampun. Sembah patik sembah derhaka, harap diampun Paduka yang mulia.

Patik seorang hamba rakyat di negara Malaysia, meski bukan seorang rakyat di negeri Tuanku, melihat dengan gusar dan sedih hati akan perkembangan kerajaan Tuanku.

Patik sedia faham bahawa Tuanku telah membuat keputusan Menteri Besar Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri Perak. Justeru Tuanku telah memberi perkenan kepada seorang ahli Dewan Negeri Perak lain untuk membentuk kerajaan yang baru.

Tuanku membuat keputusan ini dengan menemui 31 ahli Dewan Negeri Perak. Tiada undi tidak percaya dikemukakan di dalam Dewan Negeri Perak untuk menunjukkan bahawa memanda Menteri Besar sekarang tidak lagi mendapat sokongan majoriti Dewan.

Ampun Tuanku,

Patik percaya Paduka Seri Sultan Perak adalah bijaksana.

Barang tentu sedia maklum bahawa 2 daripada 31 Ahli Dewan Negeri yang mengadap Tuanku bagi menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional itu sekarang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah. Tuanku juga patik yakin sedia tahu bahawa kedudukan 3 Ahli Dewan Negeri yang keluar daripada keADILan dan DAP itu sedang dicabar di mahkamah.

Ahli-ahli Barisan Nasional di Dewan Negeri Perak hanya 28 orang. Sama jumlahnya dengan ahli-ahli daripada Pakatan Rakyat.

Justeru pembentukan kerajaan BN dengan sokongan 3 ahli bebas yang dicabar kedudukan mereka dan 2 daripadanya pula menghadapi pertuduhan jenayah sudah tentu akan menjadikan kerajaan Perak yang mahu dibentuk BN itu sangat lemah.

Ampun Tuanku,

Peranan Tuanku sebagai Payung Negeri bukan sekadar untuk menentukan jumlah dan angka seperti yang dituntut BN. Sudah barang tentu Tuanku sedia maklum akan peri pentingnya sebuah kerajaan itu stabil dan kukuh.

Kerana itu rakyat menyembahkan ke bawah Duli Tuanku agar memperkenankan pembubaran Dewan Negeri Perak dan mengembalikan kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka. Dengan cara ini kedudukan 3 ahli bebas yang dicabar itu akan dapat dipastikan.

Malah rakyat, setelah tahu kedudukan sekarang, akan dapat memberikan mandat yang jelas kepada sebuah kerajaan baru.

Ampun Tuanku,

Patik dan hamba rakyat merayu pertimbangan bijaksana Tuanku untuk memastikan kerajaan Tuanku mantap dan stabil melalui cara demokrasi pilihanraya.

Tindakan Tuanku membenarkan kerajaan baru dibentuk tanpa mandat yang jelas daripada rakyat patik percaya akan hanya menjadikan rakyat Perak dan Malaysia gundah gulana.

Bagaimana jadinya jika mahkamah menentukan bahawa 3 ahli Dewan Negeri Perak yang dicabar kedudukannya oleh Yang DiPertua Dewan Negeri itu bukan lagi wakil rakyat? Atau 2 ahli yang menghadapi tuduhan jenayah itu didapati bersalah dan hilang kelayakan?

Apakah kita akan meyaksikan satu lagi pertukaran kerajaan? Patik percaya Tuanku sedia maklum akibat pertukaran kerajaan yang kerap begini.

Sebagai Payung Negeri, Tuanku mempunyai peranan untuk menjaga kepentingan Negeri dan rakyat, tanpa tunduk kepada tuntutan pihak tertentu yang hanya mahu merebut kuasa.

Raja yang adil sudah tentu tahu akan harapan rakyatnya, sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat.

Pembubaran Dewan Negeri Perak akan mengembalikan kepada rakyat hak untuk memilih wakil. Jika takdirnya BN mendapat sokongan yang lebih meluas, maka ketika itu biar BN membentuk kerajaan. Jika rakyat mahukan kerajaan Pakatan Rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang lebih meluas. Paling penting kerajaan perlu stabil dan mantap, mendapat mandat jelas daripada rakyat.

Tidak ada sebab pihak yang mahu membentuk kerajaan takut kepada rakyat. Jika mereka takut untuk menghadapi rakyat, meminta mandat rakyat; sudah tentu mereka tidak layak membentuk kerajaan. Patik yakin Tuanku sedia maklum peri penting mandat rakyat atau consent of the governed.

Ampun Tuanku,

Patik pohon pertimbangan Tuanku yang dibuat dengan hikmah bijaksana, ilmu dan iman.

Tidak ada hinanya membuat perubahan kepada keputusan yang sudah terkhilaf. Tetapi tentu rosak kemuliaan jika mempertahankan yang salah dan silap.

Semoga Tuanku membuat keputusan sebaik-baiknya yang akan meningkatkan rasa hormat dan kasih rakyat. Patik doakan agar ALlah memberikan hidayat dan taufik kepada Tuanku, melindungi Tuanku daripada tekanan dan memelihara kemuliaan Tuanku.

Daulat Tuanku!

Tiada ulasan: