Khamis, 9 April 2009

SIPOLAN YANG DIPINGGIR



Lebih banyak persoalan daripada jawapan.Senarai Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Najib Tun Razak petang tadi menimbulkan pelbagai kemusykilan mengenai tahap sebenar kesihatan politik dalaman partinya.

Tinjauan mendapati pelbagai pihak melihat beberapa sudut keputusan Najib agak pelik menurut tradisi UMNO.

Perkara yang paling jelas ialah kedudukan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.Namanya langsung tidak tersenarai dalam Jemaah Menteri, malah tiada jawatan Timbalan Menteri disediakan untuknya.

Dalam keadaan biasa keputusan Najib ini, tidaklah menjadi satu isu besar. Bagaimanapun apabila Najib melantik Naib Ketua Pemuda UMNO, Razali Ibrahim menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, persoalan mula timbul kenapa Khairy yang juga ahli Parlimen Jelebu diketepikan?

Tambah mengelirukan ialah Mukriz Mahathir yang tewas dan tercorot dalam persaingan tiga penjuru dengan Khairy dan bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo,dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Malah Ketua Puteri UMNO, Rosnah Rashid Shirlin diberikan jawatan Timbalan Menteri Kesihatan.

Yang menjadi tanda tanya adakah Lembaga Disiplin UMNO akan dan telah mendapat bukti baru mengenai rasuah politik yang membabitkan Khairy dalam proses pemilihan UMNO akhir Mac lalu.

Jika ada, mungkinkah ini bererti nasib Khairy akan sama dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Samad yang digantung jawatan Naib Presiden selepas pemilihan kerana ada bukti ditemui beliau terlibat dengan rasuah politik?

Jika ini berlaku, adakah pergerakan Pemuda UMNO akan diketuai sementara oleh Naib Ketuanya iaitu Razali Ibrahim yang dilantik Timbalan Menteri Belia dan Sukan?

Walaupun Khairy membuat kenyataan bahawa Najib semalam telah memaklumkannya mengenai keputusan tidak melantiknya dalam Jemaah Menteri kerana mahu Khairy menumpukan perhatian membina semula imej Pemuda UMNO, umum dapat merasakan bahawa UMNO sebenarnya masih mengalami sakit dalaman.

Tiada ulasan: