Jumaat, 10 Mei 2013

Kata Hubung di Pangkal Ayat


Sebilangan pengguna bahasa Melayu mengalami kekeliruan tentang kehadiran kata hubung di pangkal ayat. Mereka berpendapat bahawa kata hubung sepatutnya hadir di bahagian tengah ayat, bukan di pangkal ayat. Pendapat ini tidak benar. Jika mereka menguasai binaan ayat, kekeliruan ini sudah pasti tidak akan berlaku. Sila perhatikan ayat (1) hingga (5) yang berikut ini:
1. Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
2. Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
3. Kerana tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya.
4. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, beliau mampu melebarkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa.
5. Yang ini menu kegemaran saya.

Dalam ayat (1) perkataan “bahawa” ialah kata hubung pancangan komplemen. Kata hubung ini menduduki bahagian hadapan ayat setelah berlakunya proses pasif atau pemasifan. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:
1(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit. (Ayat aktif)
Apabila ayat aktif di atas ini dipasifkan, klausa “bahawa masalah itu sangat rumit” dikedepankan untuk membentuk ayat (1), iaitu:
1.Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.

Ayat (2) pula ialah ayat majmuk komplemen “untuk”. Ayat tersebut sebenarnya terdiri daripada dua ayat yang berikut, iaitu:

2(a) Pihak kerajaan menangani masalah itu.
2(b) Masalah itu amatlah sukar.
Apabila ayat tunggal 2(a) dan 2(b) digabungkan, ayat (2) yang terbentuk seperti yang di bawah ini:
2.Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
Apabila digabungkan, lazimnya bahagian “pihak kerajaan” digugurkan. Oleh hal yang demikian, kita sering menemukan ayat yang di bawah ini:
2(c) Untuk menangani masalah itu amatlah sukar.
Hal ini menjadi demikian kerana kata hubung “untuk” lazimnya diikuti oleh kata kerja, bukan kata atau frasa nama seperti “pihak kerajaan”.


Ayat (3) juga merupakan ayat yang gramatis. Ayat ini ialah ayat majmuk pancangan keterangan yang disongsangkan. Ayat (3) ini berasal daripada ayat yang berikut:
3(a) Beliau telah menentang ketuanya kerana tidak berpuas hati.
Dalam bahasa Melayu, ayat 3(a) boleh disongsangkan dalam beberapa bentuk susunan seperti yang di bawah ini:
3.Kerana tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya
3(b) Kerana tidak berpuas hati, telah menentang ketuanya beliau.
3(c) Telah menentang ketuanya beliau kerana tidak berpuas hati.
Walaupun ayat di atas ini kelihatan pelik, ketiga-tiga ayat tersebut gramatis kerana mempunyai bahagian subjek dan predikat. Namun demikian, ayat yang sering digunakan sebagai ayat songsang ialah ayat (3).

Ayat (4) juga gramatis. Ayat tersebut dikenal sebagai ayat yang bersusunan songsang. Ayat tersebut berasal daripada ayat yang berikut:
4(a) Beliau mampu melebarkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa walaupun tidak berpelajaran tinggi.
Ayat 4(a) dikenal sebagai ayat majmuk pancangan keterangan yang membawa maksud pertentangan.

Marilah kita meneliti ayat (5) pula. Ayat ini juga gramatis.
5.Yang ini menu kegemaran saya.
Dalam bahasa Melayu, perkataan “yang” ialah kata hubung pancangan relatif. Dalam ayat tertentu, perkataan “yang” dapat berfungsi sebagai frasa nama apabila berlakunya pengguguran subjek seperti ayat yang dikemukakan.
Dalam ayat 5, perkataan “yang” ialah  kata hubung pancangan relatif yang telah berfungsi sebagai frasa nama. Ayat (5) tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

5(a) Menu yang ini menu kegemaran saya.

Apabila subjek ayat, iaitu “menu” digugurkan, perkataan “yang” berfungsi sebagai frasa nama. Oleh hal yang demikian, ayat (5)  betul.
Ayat yang mempunyai frasa nama “yang” sebagai subjek perlulah mempunyai partikal “-lah” apabila disongsangkan untuk memberikan penekanan bagi membezakan bahagian predikat yang dikedepankan dengan bahagian subjek yang menduduki bahagian subjek.
Marilah kita lihat ayat (5) tersebut apabila disongsangkan.
5.Yang ini menu kegemaran saya. (Ayat susunan biasa)
5(b) Menu kegemaran sayalah yang ini. (Ayat susunan songsang)
Dalam hal ini, pengguna bahasa Melayu perlulah  memahami bahawa kata hubung pancangan relatif “yang” boleh hadir di hadapan ayat apabila “yang” berfungsi sebagai frasa nama selepas berlakunya pengguguran subjek. Sila teliti pantun yang berikut ini:
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Dalam pantun di atas ini, semua perkataan “yang” tersebut berfungsi sebagai frasa nama.
Sebagai kesimpulannya, kata hubung boleh hadir di pangkal ayat. Bagi kata hubung pancangan komplimen bahawa, kehadirannya di hadapan ayat berlaku apabila bahagian objek dikedepankan dalam ayat pasif. Bagi kata hubung komplemen untuk pula, kehadirannya di hadapan ayat apabila klausa komplemen tersebut berfungsi sebagai subjek. Bagi kata hubung pancangan keterangan “kerana” dan “walaupun” pula, kata hubung hadir di hadapan ayat setelah bahagian keterangan disongsangkan. Bagi perkataan “yang” pula, kata hubung ini hadir di pangkal ayat setelah kata hubung tersebut berfungsi sebagai frasa nama selepas subjek  ayat mengalami pengguguran. Sebagai pengguna bahasa, kita perlu menguasai ayat supaya kita dapat membezakan ayat yang gramatis dengan ayat yang tidak gramatis.

 sumber Abd Ghalib Yunus Munsyi Dewan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan