Tuesday, September 30, 2008

MAKNA SEBENAR HARI RAYA

Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan telah pun sampai ke penghujungnya dan telah meninggalkan kita. Bulan Ramadhan adalah bulan ujian. Seluruh umat Islam akan menempuh ujian di bulan tersebut. Segelintir yang berjaya dan ramai yang gagal. Sebaliknya ada juga sesetengah umat Islam yang enggan terus terlibat dengan ujian di bulan tersebut.

Kini Aidil Fitri telah pun tiba. Kedatangan Aidil Fitri perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan telah berjaya. Namun demikian, ini bukanlah bererti bahawa perjuangan tersebut terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan wajar diteruskan dan amalan yang haram ditinggalkan.

Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi penuh dengan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. dan mengharapkan keberkatan daripada-Nya. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kembali mengikut hawa nafsu yang cenderung kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, janganlah dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran, janganlah diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah dipulihkan, janganlah dirosakkan pula kerana dorongan syaitan.

Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu. Oleh yang demikian, di antara perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah:

* Tahu menjaga dan menghargai masa serta menggunakannya dengan sebaik-baiknya.
* Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat.
* Sikap gemar bersedekah, pemurah, suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan belas ihsan.
* Kesungguhan beribadat kepada Allah S.W.T. dan sifat suka berjemaah di masjid.
* Sifat tabah, sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan yang baik samada berupa ibadat ataupun perkara-perkara kebajikan.

Aidil Fitri menurut perspektif Islam merupakan hari yang berkat dan hari yang hanya dikhususkan bagi kaum Muslimin dan merupakan salah satu syiar Islam. Bagi orang yang telah dapat menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan dengan sebenar-benar puasa sudah tentu akan bergembira dan bersyukur dengan kedatangan satu Syawal kerana hari raya adalah hari menerima ‘hadiah’ atau ganjaran daripada Allah S.W.T. khusus bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya R.A. baginda bersabda yang maksudnya:

"Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum Muslimin menghadap Tuhan yang Maha Pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail, maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya, maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu, maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Al-Jaizah (hari mendapat ganjaran)".

Sebenarnya hari raya Aidil Fitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah berjaya berhadapan dengan ujian di bulan Ramadhan. Dengan kejayaan tersebut, mereka layak menerima anugerah daripada Allah S.W.T. Walaupun hadiahnya tidak berbentuk sijil atau syahadah dan tidak disampaikan di atas pentas dewan pada pagi hari raya, tetapi anugerah tersebut tetap tersimpan untuk diserahkan di pentas hari akhirat kelak.

Hadiah bagi ‘pemenang’ ujian di bulan Ramadhan

Apakah hadiah-hadiah yang bakal diterima oleh mereka yang telah berjaya menempuh ‘peperiksaan’ di bulan Ramadhan itu?. Di antara janji-janji yang disediakan kepada ‘pemenang’ di bulan Ramadhan adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Usahakanlah pada hari raya untuk dapat berzikir dan melakukan amal-amal kebaikan dan kebajikan seperti sembahyang, zakat, bertasbih dan bertahlil. Kerana sesungguhnya hari raya ialah hari di mana Allah Taala mengampuni dosa-dosa kamu sekalian dan memperkenankan doamu sekalian dan memandang kamu sekalian dengan rahmat”.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Apabila tiba saat hari raya, Allah Taala mengirim para malaikat. Maka turunlah mereka ke bumi pada setiap negara. Maka berseru: “Hai umat Muhammad! Keluarlah kamu sekalian menuju Tuhan yang Maha Pemurah”. Maka apabila mereka keluar menuju tempat sembahyang masing-masing, Allah berfirman: “Saksikanlah wahai para malaikat-Ku bahawa sesungguhnya Aku memberikan pahala bagi puasa mereka ialah keredhaan-Ku dan keampunan-Ku”.

Berdasarkan dua hadis tersebut, antara hadiah yang Allah akan anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. kerana kejayaan berhadapan dengan ujian Ramadhan boleh disimpulkan sebagai berikut:

Pertama: Mendapat keampunan-Nya
Kedua: Doa dimakbulkan oleh-Nya
Ketiga: Mendapat rahmat-Nya

Keempat: Mendapat keredhaan-Nya


Bagaimana mengetahui siapa yang berjaya dan siapa yang gagal dalam ujian Ramadhan

Dapatkah seseorang itu mengetahui dalam kalangan mereka, siapakah di antara mereka yang telah berjaya menempuh ujian Ramadhan dan bakal menerima ‘hadiah’ daripada Allah S.W.T. dan siapakah pula di antara mereka yang telah gagal dalam ujian di bulan tersebut. Jawapannya, tiada seorang pun yang dapat mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui siapa yang berjaya dan siapa yang gagal atau kecundang. Bahkan para malaikat pun tidak mengetahuinya. Sebab itulah Allah mengatakan bahawa pahala puasa, Dia sahaja yang membalasnya.

Walau bagaimanapun, orang yang layak menerima anugerah sempena kejayaannya menghadapi ujian di bulan Ramadhan mempunyai tanda-tanda lahiriah yang dapat disenaraikan seperti berikut:

Pertama: Fikirannya telah dibersihkan oleh Al-Quran dari sebarang khurafat, tahyul, isme dan ideologi yang diakal-akalkan oleh manusia. Fahaman kebendaan dan kepentingan diri turut terhapus.
Kedua: Nafsu mereka telah terdidik hingga mudah melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya.
Ketiga: Memiliki sifat-sifat mahmudah samada dengan Allah dan juga sesama manusia seperti pemurah, sabar, redha, tawakal, kasih sayang, sopan santun dan lain-lain lagi.
Keempat: Melalui latihan di bulan Ramadhan akan menjadikan mereka sabar dan tabah berhadapan dengan sebarang ujian selepas bulan tersebut.

Inilah di antara tanda-tanda mereka yang berjaya mendapat anugerah daripada Allah S.W.T. Tanda-tanda ini boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai dan menyuluh terhadap apa yang diamalkan sepanjang sebulan Ramadhan yang lalu.

Sesiapa yang berjaya, dialah yang layak merayakan hari raya. Sebaliknya mereka yang gagal sepatutnya terasa malu untuk meraya dan memeriahkan hari tersebut. Malahan mereka yang gagal inilah yang bersukaria dan bergembira memeriahkannya. Apa yang terjadi hari ini, mereka yang tidak bersungguh-sungguh berhadapan dengan ujian Ramadhan lebih bersiap sedia untuk memeriahkan hari raya.

Mereka sebenarnya tidak tahu menilai diri, sebaliknya telah menganggap dirinya berjaya. Sebab itulah apabila berhadapan dengan hari raya, mereka cemarkan hari tersebut dengan melakukan pelbagai macam maksiat dan dosa. Mereka ini sudahlah gagal berhadapan dengan ujian di bulan Ramadhan, sebaliknya terus terperangkap dengan jebak syaitan pada hari raya.

Di antara adab berhari raya

Pada ketika ini kita semua sedang dalam suasana menyambut Aidilfitri. Dalam keghairahan, kemeriahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat Islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam yang hanya akan mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan sepanjang bulan Ramadhan. Ini kerana dibimbangi hari raya yang dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai anugerah kerana kejayaan hamba-hamba-Nya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadhan.

Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan. Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya, perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman.

Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku. Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syarak mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah.

Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah S.W.T. Wallahu A’lam.

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online