Isnin, 12 September 2011

????????...

    Persis kelelahan sebuah kapal yang sedang menuju ke sebuah pelabuhan, begitulah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang penuh dengan segala macam kegetiran. Dan dari sisa-sisa hidupnya yang pahit itulah dia cuba menagih sedetik kedamaian.
    Paling akhir, di dalam sisa-sisa hidupnya yang kian semput itu,dia sudah tidak punya apa-apa. Konsep hidup humurisma yang dianutinya selama ini telahpun dikapankannya di dalam sebuah upacara damai. Bersama upacara itu juga, dia cuba melupakan setiap wajah yang pernah mendatanginya.


    Tapi sayang, di antara wajah-wajah yang cuba dilupakannya itu, ada sebuah wajah yang masih mendepang matanya. Wajah itu tidak mau pergi, tidak mau lenyap dari ingatannya. Di sebaliknya, wajah itu tetap hidup bernadikan sisa-sisa hidupnya.
    Di sore itu, untuk kesekian kalinya, tubuh dan wajah yang tidak mau pergi dari ingatannya itu datang lagi. Wajah itu datang dengan menggunjunginya di wad H.B.K.T. Dan di setiap kali dia dikunjungi, di setiap itulah perbualan mesra di antara dia dengan tamu itu tertunas, berputik dan berbuah.
   "Untuk apa kau harus selalu datang mengunjungiku, Az? tanyanya sebaik saja tamu itu duduk disisinya.
   "Untuk tidak kehilanganmu, Ani," jawab tamu itu sambil meraih anak-anak rambut yang runtuh di dahinya.
   "Untuk tidak kehilanganku!" Dia ketawa sinis sambil melepaskan batuk-batuk kecil yang menggigit anak tekaknya.
   " Ya, Ani. Aku tak mahu kehilangan kau. Aku takut kalau kau pergi dariku. Aku takut kerana...."
   "Kerana cinta kau terhadapku kan?"
   "Benar Ani. Kerana keutuhan cintaku pada kau."
   "Tapi, kau tidak cintakan isteri kau? Kau tidak sayangkan anak-anak kau, Az?"
   "Aku cintakan isteriku. Tapi aku tidak pernah membisikan cintaku padanya. Aku juga sayangkan anak-anakku. Tapi aku belum pernah melafazkan kata sayangku pada mereka."
   "Kenapa sekejam itu sikap kau terhadap mereka, Az? Tidakkah kau kesian kepada mereka. Isteri kau dan anak-anak kau sendiri?
   "Tapi hatiku senang bila berada di samping kau, Ani!"
   "Kau tidak seharusnya begitu, Az. Dalam hidup kau kurasa, isteri dan anak-anak kau adalah lebih bererti dari aku. Merekalah tempat penghibur hati penawar duka sekurang-kurangnya."
   "Sayangnya tidak begitu buatku, Ani. Terus terang kukatakan, bahawa hatiku tidak pernah terhibur bila aku bersama-sama mereka. Apa yang aku rasakan adalah sebaliknya."
   "Tapi kenapa sampai begitu sekali, A?"
   "Entahlah Ani, aku sendiripun tak tau."
   Mereka terdiam seketika. Azman melemparkan pandangannya ke arah beberapa orang tetamu yang sedang melewati katil pembaringan Zaini. Salah seoran daripada tetamu itu menghadiahkan mereka dengan sebuah senyuman. Tetapi senyuman itu mati di situ saja.
   "Az..."
   "Ani..."
   "Boleh aku bertanya sesuatu pada kau, Az?
   "Katakanlah apa dia, Ani."
   "Apakah kau harap-harapkan dari sisa-sisa hidupku ini, Az?"
   "Entahlah, Ani. Aku sendiripun tak tahu. Cuma yang kurasakan...."
   "Apa yang kau rasa?"
   "Mata hitammu yang memberikan aku ilham. Keayuan wajahmu dan kelembutan senyumanmu membangkitkan semangatku untuk berjuang dalam kejaya dan hidupku.
   "Selain dari itu, Az?"
   "Entahlah..."
   "Kau mendustai aku, Az!"
   "Pada hakikatnya tidak, Ani."
   "Tapi Az..."
   "Dalam hidupku, aku rasa aku belum pernah mendustai sesiapapun, Ani."
   "Tidak juga pada isteri dan anak-anak kau, Az?"
   "Ya, tidak juga kepada mereka!"
   "Jadi... mereka tau kau kemari?"
   "Tentu sekali."
   "Isteri kau tidak marah?"
   "Apakah yang harus dimarahnya pada ku, Ani?"
   "Mengunjungi isteri orang seperti aku ini!"
   "Itu bukan persoalan pokok, Ani."
   "Tetapi sekurang-kurangnya rasa curiga isteri kau tetap ada kan?"
   "Dia tahu hatiku dan dia tahu siapa aku, Ani."
   "Kau terlalu mementingkan diri sendiri, Az!"
   "Sekali lagi aku katakan Ani, bahawa pada hakikatnya tidak begitu!"
   "Tapi..., tidakkah kau membodohkan diri kau saja, Az?"
   "Membodohkan diri?"
   "Ya, seorang isteri yang telah memberikan kau empat orang anak, harus kau tinggalkan dipetang-petang
   begini? Bukankah ada baiknya kau bawa mereka bersiar-siar di tepi laut? Ataupun sekurang-kurangnya
   duduk berehat-rehat dengan kau di rumah?"
   "Tapi aku tidak pernah merasa damai dengan mereka, Ani!"
   "Az, kalau kau sendiri tidak pernah memberikan kedamaian kepada mereka, masakan mereka dapat memberikan kedamaian itu pada kau, Az."
   "Entahlah, Ani. Bingung aku memikirkannya."
   "Az,"
   "Ani."
   "Aku cinta pada kau Az, Aku kasihankan isteri kau dan aku juga sayangkan anak-anak kau. Jadi...."
   "Jadi.... bagaimana Ani?"
   "Atas nama cinta, kasih dan sayangku terhadap mereka aku tidak mahu melihat satu keruntuhan rumahtangga yang telah bertahun-tahun kau bina itu, Az! Malah aku sendiri tidak mahu menerima tuduhan sebagai perosak rumahtangga orang nanti!"
  "Tapi, Ani!"
  "Aku tahu hati kau, Az. Aku tahu perasaan kau. Dan aku juga lebih tahu perasaan hati kaum sejenisku."
  "Ani..."
  "Aku juga seorang isteri, Az. Aku telah masak dengan pengalaman-pengalaman semalam yang lebih mencabar. Meskipun sukar bagiku untuk melupakan kau, tapi dalam soal ini aku rela kehilangan kau, Az.
Aku lebih rela begini!"
  "Tapi aku tidak mahu kehilangan kau, Ani!"
  "Bagaimana kalau keadaan telah memaksa, Az?"
  "Kau adalah Mona Lisa dalam hidupku, Ani! Kaulah yang telah memberikan nafas dalam setiap hasil karyaku selama ini! Bila aku kehilangan kau, bererti aku telah kehilangan sebutir mutiara yang tidak dapat ditukar ganti.
  "Az, kalau beginilah sikap semua manusia seniman seperti kau, aku rasa kesannya lebih buruk dari kesan peperangan di Viatnam."
  "Peperangan di Viatnam itu bisa dihentikan, Ani. Tapi cintaku pada kau tak mungkin!"
  Zaini ketawa tiba-tiba mendengarkan kata-kata terakhir dari Azman itu. Tawanya, macam tawa seorang anak kecil yang dielitik ketiaknya.
  "Kau ketawakan aku, Ani?"
  "Az, Az, sekali lagi aku bertanya, untuk apalah cinta kau bagi seorang isteri orang seperti aku ini ha? Bukannya kau boleh memiliki aku.
  "Itu bukan suatu yang mustahil, Ani. Dalam soal cinta tidak mengenal isteri orang atau tidak."
  "Tapi bagaimana dengan isterikau?"
  "Kenapa dengan isteriku, Ani?"
  "Cinta kau terhadapnya?"
  "Mempunyai seorang isteri, bukanlah bererti menyintai seorang perempuan, Ani!"
  "Tapi isteri kau berhak untuk mendapat cinta kau tu, Az! Itulah haknya. Hak seorang isteri dari seorang suami seperti kau ni, Az!"