يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
[Surah At-Tahrim 66: Ayat ke 6]
“ Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu… Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agamaMu"

Pages


2.02.2012

Rahsia Tarbiyah Ibu Sultan Muhammad al-Fateh


Bagaimana Tarbiyah seorang ibu terhadap anaknya, sehingga lahir seorang manusia mulia, Sultan Muhammad Al-Fateh???

Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Kostantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya (menakhluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera"


Ini sabda Rasulullah SAW, hampir 1000 tahun sebelum Konstantinopel ditawan.

Sabda Rasulullah SAW ini menjadi inspirasi kepada kaum Muslimin selepas zaman baginda untuk berusaha menakluk Konstantinopel. 800 tahun kaum Muslimin berusaha, raja bertukar raja, jeneral bertukar jeneral, tetapi tetap tidak mampu menakluk Konstantinopel yang ampuh itu.

Sebaik-baik raja, dan sebaik-baik tentera. Bukan mudah, sesuatu yang luar biasa.

Peranan Tarbiyah dalam melahirkan generasi unggul

Seorang guru saya ada pernah berkata:
“Tarbiyah anak itu sebenarnya bermula dari pencarian pasangan kita”

Diceritakan bahawa, semenjak Muhammad Al-Fateh lahir, ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh pergi keluar dari istana dan berdiri di sebuah tebing, di mana tebing itu menghadap ke arah Konstantinopel. Ibunya akan berkata:

“Wahai anakku, di sana terdapat Kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda: Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya (menakluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkau lah orangnya”

Setiap hari, tanpa bosan, ibunya berbuat begitu. Dari dalam gendongan hinggalah Muhammad Al-Fateh boleh berjalan, ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh ke tebing itu dan menunjuk ke arah Konstantinopel kemudian membacakan Hadith Rasulullah SAW tadi.

Persoalannya adakah ibunya tahu bahawa hadith itu untuk Muhammad Al-Fateh. Sebenarnya sama sekali tidak! Ibunya tidak tahu bahawa hadith itu untuk Muhammad Al-Fateh. Namun tindakannya itu sebenarnya untuk memotivasikan anaknya agar menjadi lelaki yang mulia itu.

Akhirnya kita dapat melihat, dari tangan ibu yang juga bercita-cita besar, yang sabar dan tabah mendidik anak untuk menjadi seorang manusia yang hebat, lahirlah seorang Sultan, yang pada umurnya sangat muda yakni 23 tahun, dia berjaya menawan Konstantinopel dalam masa sebulan lebih, sedangkan kaum muslimin telah berusaha 800 tahun sebelumnya dan tidak berjaya.

Hari ini, siapakah antara kita yang bercita-cita besar untuk Islam, seterusnya mendidik anak-anak kita degan didikan yang mampu merealisasikan cita-cita itu?

Ibrah (Pengajaran) dari sejarah:

1. Pengajaran yang besar dalam kisah ini adalah, peranan tarbiyah yang benar terhadap anak-anak sejak mereka masih kecil. Perlu disedari bahawa ibu bapa adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Didikan yang benar sejak anak-anak masih kecil merupakan muqaddimah kepada proses yang seterusnya dalam melahirkan generasi soleh yang berkualiti . Didiklah anak-anak ini dengan akhlak yang terpuji juga qudwah yang baik. Betapa dahsyatnya setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut si ibu, Allah mengangkatnya dengan mudah. Adakah kita sudah berbuat sebagaimana ibu Sultan Muhammad? Adakah kita sentiasa memanggil anak-anak kita dengan perkataan-perkataan yang bakal membawa kehebatan peribadi muslim yang unggul? Disini menunjukkan betapa kesedaran dan mujahaddah si ibu bukan sedikit tetapi peranan dan tanggungjawabnya sungguh besar sehingga sinonim dengan kata-kata hikmah 'tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia'!


2. Bergerak menjadi Muhammad Al-Fateh, inspirasinya adalah hadith tadi. Dengan hadith itu, dia berusaha untuk menjadi Sultan yang diramalkan. Bukan untuk kebanggaan diri. Tetapi untuk mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Dia berusaha dengan penuh keyakinan. Jika Rasulullah SAW bersabda sebaik-baik raja, pastinya sebaik-baik raja di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW tiada katanya yang dusta.

Maka siapa antara kita yang bergerak menyahut ratusan janji-janji Allah SWT dan Rasulullah SAW di dalam Al-Quran dan hadith?

Justeru marilah kita sama-sama mengambil teladan dan inspirasi daripada tarbiyyah ibu kepada manusia mulia ini semoga akan lahir generasi akan datang yang akan menjadi pejuang kepada Agama Allah. Akan lahirnya Sultan Muhamaad Al Fateh yang seterusnya...bukan sekadar nama tapi pada perjuangannya.

0 comments:

Post a Comment