Tuesday 22 May 2012

ISKANDAR RASMIKAN KARNIVAL SELANGORKU TG. KARANG.

Tanjong Karang, 30 September 2011 : Program Karnival Selangorku 2011 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong yang diadakan mulai dari semalam sehingga 4 Oktober telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad, menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak dapat hadir.

Walaupun hujan turun lebat pada waktu pagi, namun ia tidak menghalang orang ramai hadir bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh pimpinan Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam majlis tersebut juga, Iskandar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor, turut menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor kepada asnaf fakir miskin dalam DUN Sungai Burong. Seramai lebih 50 orang asnaf yang layak telah hadir menerima bantuan dalam bentuk hamper berupa barangan keperluan harian.

Selain itu, Iskandar, turut berkesempatan mencukur jambul, bayi yang baru lahir dalam program yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang turut mengadakan pameran dalam karnival tersebut.

Beliau kemudiannya telah melawat beberapa gerai jualan dan pameran daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor seperti SMUE, YAWAS, Lembaga Zakat Selangor, PPAS termasuk PAS Kawasan Tanjong Karang yang turut membuka gerai pameran.

Selepas itu, beliau turut mengadakan lawatan ke mini pesta buku yang diadakan di Dewan Dato' Hormat dan telah disambut oleh Pengarah PPAS, Mastura Mohamad yang turut mengadakan lawatan pada hari tersebut.

Hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Haji Azahari Sairin, Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohd Judi Sarjo, Timbalan YDP, Drs Mohamad Rashdi Deraman, yang juga Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Ahli-ahli Majlis, MDKS, Nor Az Azlan Ahmad, Mohd Faizal Mohd Barja, Faizah Ismail dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Parlimen Tanjong Karang - SUMBER PKM SG. BURUNG.