Saturday 28 September 2013

Semua Inginkan Perhatian

Assalamualaikum, semua...

     Dah lama tak update blog.. Banyak yang nak dicerita pasal aktiviti sepanjang cuti semester 2. Tapi, pics banyak kena tranfer dari phone n usb pula pada kawan. So, kita cecite lain dulu la ye (^_^)

     Pada jam 1 petang tadi, tamatlah Modul LPPKP yang ke-3 kami sebagai pelajar farmasi semester ke-3. Untuk modul kali ini, kami belajar mengenai KPO. Bukannya Kopi O ye, tapi KPO - Kepimpinan & Pengurusan Organisasi. Pada hari Rabu adalah ceramah dari jam 2 petang sampailah jam 7.30 malam, dan tadi adalah aktiviti LDK - Latihan Dalam Kelas dari jam 8 pagi hingga jam 1 petang.

     Saya dan kawan-kawan sekumpulan dapat Fasi RD (bukannya R&D - Research & Development tau, kesian Fasi RD, ni sebagai nama samaran aje). Kami dapat banyak input dari beliau mengenai isu-isu semasa. Bila sesi berkenalan, 'terkantoi'lah yang saya ni anak sulung = anak tengah = anak bongsu dalam keluarga saya. Kebetulan pula, keluar isu pasal seorang pelajar cemerlang (ambil engineering tuuu) tetapi ada masalah dengan sikap dan adab dia.

From http://projectbambino.com/tag/nursery-art/

     Bila diungkap kisah tersebut, didapati bahawa pelajar berkenaan bersikap sedimikian rupa kerana inginkan perhatian dari orang tuanya. Sebenarnya, dari dulu terdetik dalam hati saya yang perlakuan setiap orang adalah untuk mencuri, mencari, mendapatkan perhatian dari orang lain. Makwe merajuk, untuk dapatkan perhatian dari pakwenya. Anak kecil menangis untuk dapatkan perhatian dari ibu dan ayahnya. Malah, ahli ibadah khusyuk melakukan ibadah untuk mendapatkan perhatian dari-Nya. Betulkan??

     Dikatakan bahawa pelajar berkenaan tidak suka akan bidang yang dia ambil. "Kalau tak suka, kenapa ambil???" Mungkin ada segelintir orang yang akan berfikir sedemikian. Saya mungkin faham masalah pelajar ini. Dia terpaksa mengambil aliran tersebut kerana itulah kehendak orang tuanya. Lagipula, dia merupakan anak tunggal seperti saya.

     Pada pendapat saya sebagai seorang anak tunggal, ibu bapa adalah segala-galanya. Sejujurnya, saya sendiri masih keliru dengan aliran yang saya ambil. Benarkah ini jurusan yang 'click' dengan jiwa saya? Saya memang meminati bidang sains dan kesihatan, tapi pada masa yang sama saya juga meminati bidang komputer, sastera dan seni. Jadi???



From http://www.prevention.com/health/healthy-living/5-situations-when-you-should-question-your-doctors-advice

     Dari kecil, saya telah dibesarkan dengan harapan keluarga besar bahawa pada suatu hari nanti saya bakal menjadi seorang doktor. Tetapi apakan daya, hasrat mereka tidak kesampaian. Keputusan saya tidak melayakkan saya untuk mengambil jurusan perubatan di mana-mana IPTA di sini. Saya adalah satu-satunya harapan keluarga. Jadi, apabila saya mendapat tahu bahawa saya sudah menghancurkan harapan mereka, saya menangis sepuas-puasnya. Saya menangis bukannya kerana saya tidak berjaya menapak selangkah mencapai cita-cita utama saya sebagai seorang doktor. Tetapi saya menangis kerana saya merasa saya adalah seorang anak yang boleh dianggap 'tidak berguna' kerana saya telah menghancurkan harapan mereka yang mereka tanam dalam diri saya sejak saya kecil lagi.

     Harapan ini bukan sahaja dari ibu dan bapa saya. Malah, ia adalah impian arwah datuk dan nenek saya. Mengenangkan perkara tersebut, bertambah hancur hati saya. Walaupun saya masih lagi berada dalam bidang sains & kesihatan, saya masih merasa bahawa ibu bapa saya masih lagi mengharapkan saya dapat belajar perubatan di UM. Ianya menambahkan lagu keraguan dalam diri saya. Adakah mereka ikhlas dengan jurusan yang saya ambil kini??? Hanya Allah dan mereka sahaja yang tahu.

From http://gainesvilletech.com/2013/07/02/whats-the-difference/

     Apabila Fasi RD membandingkan kami berdua dan berfikir bagaimana saya dapat menangani stress kehidupan sebagai anak tunggal, ianya membuatkan saya berfikir sejenak. Jika saya tidak mengawal emosi saya, mungkin sahaja saya sudah menjadi seperti pelajar berkenaan. Pelajar berkenaan stress kerana segalanya telah ditentukan oleh ibu bapanya sejak dia lahir. Sebenarnya, tiada beza antara kami. Hala tuju hidup saya juga sudah ditentukan dari saya kecil. Minat itu disemai dalam diri saya sejak kecil, hinggalah pada suatu ketika dahulu, ada sahabat yang menegur,

     "Jangan terlalu bergantung dengan minat yang disemai itu. Belum tentu itu adalah minat sebenar kita. Kita belum pernah berhadapan dengan dunia luar yang mungkin bakal mencungkil minat kita yang baru, minat kita yang sebenar-benarnya minat kita,"

     Cerita di atas ni benar-benar tergantung sampai di situ sahaja kerana saya pun tidak tahu apa yang harus saya perbuat. Ini semua hanyalah sebagai pandangan saya sebagai salah seorang insan yang menghuni bumi ciptaan Ilahi ini.

     Pada saya, jika kita tidak berapa sepahaman dengan ibu bapa, bawalah berbincang dengan mereka. Memberontak bukanlah satu jalan penyelesaian kerana ianya akan membuka jurang yang lebih luas antara ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa juga, janganlah terlalu keras dan membangkang setiap perkara yang diminati oleh anak. Tidak semestinya apa yang kita hendak itu sehaluan dengan minat anak-anak. Jika anda menekankan minat anda kepada anak anda, dan ternyata itu bukanlah minat anak anda, bukankah anda telah memkasa mereka melakukan sesuatu dalam keadaan paksa-rela??? Dapatkah mereka belajar seikhlas hati?? Berfikir dan bertindaklah dengan rasional (KPO-KI). Bawalah berbincang kerana ibu bapa adalah penggerak dan pemimpin organisasi sesebuah keluarga.

     Akhir kata, mari kita amalkan apa yang telah kita pelajari selama ini. Insyaallah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin kita dah selalu mendengar ayat, 'Allah tidak akan menguji hambanya dengan ujian yang melampaui kemampuan hamba-Nya' dan kita seringkali berfikir dugaan itu tak tertanggung dek bahu kita sebagai seorang insan yang lemah.

From http://aysyahaljaidi.blogspot.com/2011/11/put-your-trust-in-allah.html

     Di sini saya ada selitkan halaman cerita yang Insyaallah akan memberikan satu inspirasi yang baru; http://www.ezsoftech.com/stories/mis30.asp#bandage (Thank You Allah (SWT) : Bear problems with patience)

Wassalam...

No comments:

Post a Comment