Laporan Bola Terkini

Sekitar Kolokium Bahasa Melayu Pelajar Sarjana Bahasa Melayu di UUM

Sekitar Slide Bukit Gambang, Kuantan

18 September 2009

Analisis Simbol Binatang Dalam Pantun Melayu




Pengenalan
Pantun adalah penghasilan karya seni atau sastera masyarakat Melayu yang masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat kontemporari. Sebagai satu genre sastera yang popular sudah tentu ia mempunyai keunikan dan keistimewaan. Penggunaan simbol, merupakan salah satu unsur kebijaksanaan orang Melayu dalam menyampaikan hasrat hati mereka secara berkias. Peribahasa Melayu menyatakan, kalau kerbau tahan palu sedangkan manusia tahan kias. Justeru itu, pernyataan rasa hati diselindungkan dengan pemakaian simbol flora dan fauna, sebagai mewakili perkara yang ingin dinyatakan secara tersirat. Oleh demikian, dalam pantun tradisi terdapat pemakaian simbol seperti ayam, puyuh, kerbau, kucing,gunung,laut,dan sebagainya lagi.

Esei ini membincangkan penggunaan simbol binatang dalam pantun Melayu. Penggunaan simbol binatang dalam pantun dapat dilihat dalam pembayang atau maksud. Ini kerana simbol binatang sudah sebati dalam diri masyarakat Melayu. Simbol binatang digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai kiasan. Ianya bertujuan untuk mendidik masyarakat tersebut. Dalam esei ini, penggunaan binatang seperti ayam, harimau, gajah, burung dan ikan akan dibincang sebagai salah satu simbol dalam pantun Melayu.

Penggunaan simbol burung.
Pantun percintaan:
Kalau tuan pergi ke tanjung,
Bawalah kain barang sekayu;
Kalau tuan menjadi burung,
Saya menjadi si ranting kayu.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hlm.250)



Pantun ini bertemakan percintaan terutama golongan muda-mudi. Percintaan sering terjadi tanpa diundang. Apabila disebut percintaan, maka wujudlah lelaki dan perempuan dalam menghiasi suasana ini. Dalam erti kata yang lain, akan wujud pasangan.
Dalam situasi pantun di atas, pasangannya antara burung dan ranting kayu. Simbol burung dan ranting kayu dianggap secocok. Ini kerana burung akan sentiasa hinggap di ranting kayu. Burung dan ranting kayu dijadikan simbol tersebut.

Penggunaan simbol ikan
Pantun Nasihat:
Tikar pucuk tikar mengkuang,
Pakaian raja tanah Melayu;
Ikan busuk jangan buang,
Buat perencah taruknya kayu.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hlm 141)



Dalam konteks pantun di atas ikan merupakan aspek simbol. Pemilihan kata terbabit membawa maksud yang mudah difahami, iaitu sesuatu yang busuk tidak semestinya dibuang. Mungkin yang busuk itu masih berguna. Sebagai contoh, ikan yang busuk itu boleh dibuat pekasam atau ikan jeruk.
Dalam konteks pantun di atas juga, nasihat yang diperolehi, iaitu jangan membazir. Masyarakat Melayu memang arif, membazir amalan yang tidak baik dan dalam Islam, membazir itu pekerjaan syaitan. Oleh sebab itu, simbol ikan telah digunapakai oleh masyarakat Melayu dan merupa suatu keunikkan kerana mengaitkan ikan dengan kehidupan. Ikan yang telah busuk atau buruk masih dapat diproses dalam pelbagai cara, di antaranya dibuat pekasam, kerepok lekor dan sebagainya. Dengan kata lain walaupun busuk masih boleh menghasilkan sesuatu bahan.


Penggunaan simbol ayam
Pantun nasihat:
Cengkerik-cengkerik memakan bayam,
Rama-rama memakan pegaga;
Carik-carik bulu ayam,
Lama-lama bercantum jua.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hlm 158)



Ayam merupakan sejenis haiwan yang lazimnya dipelihara oleh masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman lagi. Kebiasaannya, ayam jantan selalu menjadi pilihan kerana masyarakat Melayu suka menyabung ayam. Oleh kerana itu ayam juga dipilih menjadi simbol dalam setiap pantun.
Hubungan kekeluargaan dapat dijadikan panduan dalam pantun di atas. Kebiasaannya perbalahan adik beradik atau suami isteri jarang berpanjang. Masyarakat Melayu menjadikan bulu ayam sebagai simbol untuk mengurangkan ketegangan di antara kedua pihak. Lama-lama kelamaan, perbalahan tersebut dapat didamaikan.

Penggunaan simbol harimau
Anak merpati disambar helang,
Terbang ke titi di dalam huma;
Harimau mati meninggalkan belang;
Manusia mati meninggalkan nama.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hlm 159)



Harimau merupakan sejenis haiwan perlindungan oleh Perhilitan. Nilanya sangat mahal. Harganya mencecah puluhan ribu ringgit, malah sanggup dibeli oleh masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Harimau juga terkenal sebagai simbol binatang yang garang. Masyarakat Melayu melihat harimau sebagai simbol kekuatan, terutama dalam menghadapi suasana peperangan. Hal yang sedemikian, apabila harimau mati, belang yang terdapat di badan harimau masih digeruni. Malah dalam sejarah yang lepas, simbol harimau digunapakai di bendera. Lukisan berbentuk logo harimau terpapar di bendera.
Dalam konteks pantun di atas, masyarakat Melayu mengaitkan simbol harimau. Harimau meninggalkan belang, manusia meninggalkan nama. Jasa seseorang terhadap negara akan dipalit, tidak kira di mana tempat. Sejarah telah membuktikan perjuangan Tengku Abdul Rahman dan pengorbanan Tun Abdul Razak. Jasa, kedua-dua tokoh ini tidak terkira. Amat sesuailah penggunaan pantun di atas menggunakan simbol harimau.

Penggunaan simbol gajah
Anak gajah anak beruang,
Duduk berhenti hilangkan megah;
Sesama gajah bila berjuang,
Pelanduk mati di tengah-tengah.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hlm. 167)

Gajah merupakan spesis haiwan yang berbadan besar. Dalam konteks pantun di atas, pemilihan gajah sebagai simbol amat bertepatan. Fitrah alam, setiap yang besar mempunyai kekuatan. Setiap kekuatan mempunyai kelebihan dan kelebihan itu ialah kemenangan. Peperangan, pergaduhan atau perjuangan yang melibatkan sesuatu yang besar sudah pasti memberi impak kepada sesuatu yang kecil. Dalam erti kata yang lain, sesuatu yang kecil akan menjadi mangsa. Pantun di atas memperlihatkan bagaimana pelanduk menjadi mangsa akibat pergaduhan gajah.
Dalam konteks kenegaraan, negara yang besar seperti Amerika dan Russia, apabila berperang negara kecil akan menjadi mangsa. Lihat sahaja negara Vietnam, dan Afganistan, kerana peperangan negara itu menjadi mundur. Begitu juga di Semenanjung Gaza, kerakusan Yahudi telah menyebabkan rakyat Palestin menderita.
Penutup
Konklusinya, pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun, orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai-bagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang menarik dan indah. Pantun mempunyai berbagai fungsi dan tujuannya dan lazimnya, leluhur Melayu menggunakan pantun dengan tujuan untuk mendidik anak-anak serta memberi nasihat yang berguna kepada mereka.
Penggunaan simbol binatang dalam pantun Melayu memang banyak. Masyarakat Melayu kaya dengan budi bahasa dan budi bahasa itulah yang menjadi kiasan yang hendak disampaikan. Medium yang terbaik ialah melalui pantun. Jadi, penggunaan simbol binatang menjadi pilihan masyarakat Melayu.




Rujukan
Zainal Abidin Bakar. Peny. (1992). Kumpulan pantun Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah (1989). Puisi Melayu tradisional : Satu pembicaraan genre dan fungsi. Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sekitar Sambutan Majlis Penyampaian Zakat dan Majlis Berbuka Puasa

BUKIT MERAH LAKE TOWN RESORT