17 Ogos 2016

WARKAH UNTUK ANAK

Buah hati ibu...

Tak terasa kini usia Yusuf sudah sepuluh tahun.  Terasa cepat sangat Yusuf membesar.  Yusuf membesar menjadi kanak-kanak yang sihat dan ceria.  Meskipun kadang-kadang juga masih sering cengeng.  Ibu sedia maklum meskipun terkadang ibu marah jika Yusuf nakal.  Percayalah apa yang ibu lakukan semua adalah untuk kebaikan Yusuf.  Agar Yusuf dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk dan menjadi manusia yang berbudi dan berakhlak tinggi.



Anakku sayang..

Belajarlah lebih giat lagi.  Kerana dizaman yang penuh persaingan ini segalanya hanya boleh diperolehi melalui ilmu.  Yusufkan saudah pandai membaca.  Banyak-banyaklah membaca kerana buku adalah jendela dunia.  Bermimpilah dengan cita-citamu setinggi-tingginya.  Jadilah orang yang selalu haus akan ilmu.  Tetapi maafkan ibu sayang sebab kadang-kadang ibu tidak meluangkan masa mengajar kamu.



Cinta hati ibu...

Ibu sangat mengasihi Yusuf sampai Yusuf dewasa nanti.  Mempunyai keluarga yang boleh dibanggakan adalah impian ibu, sebagaimana atuk dan uwan mendidik ibu, arwah paklong, pak lang, ayah, mak tih, pak ndak dan mak su sehingga sekarang ini.  Yusuf boleh melihat betapa rukunnya kami, saling mengasihi dan menyokong satu sama lain.



Mentari kecil ibu...

Beribadatlah kepada Allah.  Taati dan jalani segala perintahNya dan jauhi segala laranganNya. Jadilah anak yang soleh dan berbakti kepada keluarga.  Belajarlah ilmu agama kerana ilmu agama adalah ilmu yang diwajibkan oleh Allah untuk kita pelajari.  Percayalah selalu janji Allah bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.  Oleh sebab itu jangan digadaikan agamamu hanya untuk memperoleh kenikmatan dunia yang tidak akan kekal.



Anakku sayang buah hati ibu...

Ibu bangga Yusuf berusaha menjadi anak yang soleh seperti yang ibu harapkan.  Namun begitu ibu rasa belum cukup lagi melengkapkan diri kamu dengan ilmu-ilmu agama.  Hanya padamu Ya Allah Ya Rabbi aku mohon, jadikanlah anakku ini anak yang soleh.  Anak yang dapat menjadi penyejuk hati ibu di hadapan Mu Ya Allah.   Bantu ibu dengan doa-doamu ye nak.....

Anak kesayangan ibu...

Wajah tembammu..tawamu, suara kamu... membawa kebahagiaan tersendiri.  Maafkan ibu bila ibu sering marah padamu.  Itu kerana ibu sangat sayang pada Yusuf.  Ibu tak ingin melihat Yusuf tersesat jalan.  Surat cinta ini sengaja ibu tulis hanya untuk Yusuf seorang.  Ibu sangat menyayangimu.  Peluk cium sayang hanya untuk mu..



IBU...