E-Mail: lippikmkk@gmail.com

03 Mac 2009

PUNB Melahirkan Syarikat Helikopter Pertama Di Malaysia

MHS Aviation (MHSA) Sdn Bhd muncul sebagai salah satu syarikat Bumiputera yang berjaya di bawah pakej keusahawanan PUNB sehingga mencapai standard antarabangsa.


mhs.jpg

Ir. Ma'som Mahadi

Nama MHSA dikenali di peringkat antarabangsa sebagai satu-satunya syarikat Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan sewaan helikopter dan pesawat ringan.Kejayaan yang dikecapi adalah hasil didikan dan bantuan PUNB melalui pelbagai sokongan korporat, pembangunan usahawan dan latihan secara tersusun. PUNB memberikan latihan berbentuk keusahawanan dan kemudahan kewangan kepada MHSA untuk membangun perniagaan unik ini. Kursus-kursus keusahawanan yang dilaksanakan oleh PUNB dijadikan pemangkin oleh MHSA untuk mencapai kejayaan. Bukan itu sahaja, MHSA turut mendapat sokongan bantuan kewangan daripada beberapa institusi perbankan seperti Maybank dan Bank Pembangunan Malaysia.

"Kejayaan ini merupakan hasil usaha semua kakitangan dan lembaga pengarah MHSA. Terima kasih kepada PUNB kerana membantu kami dan menyokong usaha MHSA selama ini. Matlamat PUNB untuk membangun usahawan Bumiputera yang berjaya merupakan satu semangat bagi kami untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa usahawan Bumiputera juga setanding usahawan bangsa lain," ujar Ir. Ma'som Mahadi, Pengerusi Lembaga Pengarah MHSA.


PUNB berfungsi memberikan khidmat nasihat, latihan keusahawanan dan kemudahan kewangan kepada MHSA untuk tempoh empat tahun. Dalam tempoh tesebut,dengan berteraskan keyakinan dan usaha yang gigih, MHSA berjaya membeli balik pegangan saham PUNB dan membayar balik semula pinjaman dalam tempoh yang telah ditetapkan.


"Kami turut bersyukur kerana usaha kami mendapat sokongan sepenuhnya daripada PUNB. Kami melihat PUNB sebagai 'ibu' untuk melahirkan usahawan Bumiputera. Namun segala-galanya terletak di bahu usahawan itu sendiri untuk menentu hala tuju perniagaan," tegasnya lagi.


MHSA yang diterajui oleh Ir. Ma'som Mahadi merupakan satu-satunya syarikat pengangkutan helikopter dan pesawat ringan pesisir pantai di Malaysia. Ia menawarkan perkhidmatan pengangkutan untuk operasi carigali minyak, merangkumi perkhidmatan mencari dan menyelamat, sewaan helikopter, perkhidmatan penerbangan kecemasan dan pelbagai bentuk latihan dalam industri penerbangan. MHSA turut memberi sumbangan dalam bentuk latihan , kejuruteraan dan teknikal kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).


Fungsi utama MHSA ialah memberi khidmat sokongan penerbangan kepada operasi carigali kepada syarikat minyak seperti Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Shell Berhad dan Exxon Mobil Esso Production Incorporation. Kini MHSA mempunyai 21 helikopter jenis IFR dengan enjin berkembar dan 2 buah pesawat ringan.


Menurut Ir. Ma'som Mahadi, idea penubuhan syarikat ini tercetus ekoran kata-kata bekas Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu menaiki helikopter dalam suatu majlis pada tahun 1981. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersoalkan tentang keupayaan orang Malaysia menawarkan perkhidmatan sewaan helikopter dan pesawat ringan seperti yang disediakan oleh syarikat antarabangsa di luar negara. Ekoran kata-kata itu maka tercetuslah penubuhan MHSA pada tahun 1981 dan ianya dikorporatkan pada tahun 1991.


"Keupayaan MHSA dapat dilihat dari aspek pengalaman selama lebih 20 tahun dalam industri ini. Kami mempunyai 620 kakitangan pelbagai peringkat dan 24 juruterbang terlatih dan bertauliah yang memenuhi standard antarabangsa," ujar Ir. Ma'som Mahadi.


Antara anugerah yang diterima oleh MHSA daripada pelanggannya sepanjang tempoh 20 tahun beroperasi ialah Safety Awards daripada Shell berasaskan “Lost Time Injury Free Performance”. Lebih membanggakan, pihak Esso Production Incorporation mengiktiraf khidmat penerbangan MHSA 12 tahun berturut sebagai selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa setelah 130,000 jam penerbangan.


"Kami mementingkan aspek keselamatan dan mematuhi standard antarabangsa. Pada 31 Julai 2002, kami mencapai tahap 350,505 jam penerbangan bebas kemalangan. Setiap helikopter dan pesawat ringan berada dalam kawalan kualiti tertinggi dan dipantau oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) serta jurutera bertauliah," jelas Ir.Ma'som Mahadi.


Justeru itu MHSA melihat aspek latihan sebagai satu aset yang penting untuk melahirkan tenaga kerja yang terlatih dan mahir. Kesan daripada latihan dan seminar yang dihadiri di PUNB, MHSA merancang pelbagai bentuk latihan untuk semua kakitangannya bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat pengurusan.


Latihan dan kursus-kursus tersebut merupakan satu usaha untuk mengekalkan prestasi yang telah dicapai . Terdapat dua bentuk latihan yang berikan kepada kakitangan syarikat ini iaitu latihan dalaman dan luaran. Latihan berbentuk dalaman kepada juruterbang dikendalikan oleh jurulatih MHSA sendiri. Namun begitu, mereka diwajibkan menghadiri kursus peringkat asas penerbangan di Institut Penerbangan Malaysia (MIAT) di Sepang dan mempunyai lesen daripada Jabatan penerbangan Awam (DCA).


Para juruterbang juga dihantar ke luar negera untuk mengikuti latihan simulator penerbangan supaya lebih cekap dan terlatih. Apa yang unik tentang syarikat ini ialah ahli lembaga pengarahnya juga mampu mengendalikan helikopter dan menerbangkan pesawat ringan milik mereka kerana sebahagian darinya adalah bekas juruterbang terlatih yang telah bersara daripada angkatan tentera.


MHSA mampu berbangga kerana telah berjaya menerokai pasaran antarabangsa seperti di Sudan, hasil dari usahasama dengan Petronas. Kini mereka sedang meninjau pelbagai peluang untuk menerokai pasaran di Myanmar dalam tempoh masa setahun dua lagi. Hakikatnya, kejayaan MHSA menjadi kebanggaan golongan kaum Bumiputera dan PUNB sebagai badan pembangunan keusahawanan Bumiputera yang mampu melahirkan satu-satunya syarikat helikopter pertama di Malaysia.


Sumber: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu