Selasa, 16 April 2013

WANITA ADA YANG MALU....BAGAIMANA REMAJA...WANITA DAN LELAKI BERAHI...MUNGKIN MENYUMBANG KEPADA ZINA....NI KESAN JAHIL DAN TAK TAKUT ALLAH SERTA TAK INGAT MATI

7 calon PAS Sarawak terima surat watikah

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUCHING: Kesemua tujuh calon Parlimen PAS di Sarawak semalam menerima watikah dan surat pengesahan sebagai calon dari Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mereka adalah AJK PAS Pusat Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan, Dr Mohd Jolhi (Batang Sadong), Jurina Mut (Tanjung Manis), Nani Sahari (Mukah),  Ajiji Fauzan (Igan), Robby Tandang (Sibuti) dan satu-satunya calon bukan Islam PAS di negeri itu Dr Ambrose Labang Jamba bagi kerusi Julau.

Dalam pada itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut memberikan nasihat kepada kesemua calon agar menunaikan amanah yang diberikan parti dan juga rakyat.

Kesemua calon uturut diperkenal pada satu sidang media selepas itu di pejabat PAS Kota Samarahan semalam.

Wanita muda malu dihidang video lucah

Hazayani Zakaria, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Wanita muda menolak keras budaya politik fitnah dan lucah yang digunakan untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin dari mana-mana parti politik sekalipun.

Pengerusi Ameerah Zon Selatan, Anis Afida Mohd Azli (gambar) yang juga calon PAS di Parlimen Pengerang berkata, budaya politik tidak bermoral sedemikian akan mencalarkan maruah seseorang dan memberikan imej yang negatif dan tidak sihat dalam masyarakat.

"Sebagai ahli politik seharusnya kita beradu kekuatan berdasarkan idea dan berlumba-lumba dalam memberikan manfaat kepada rakyat bukan seperti yang berlaku hari ini, menjatuhkan pihak musuh dengan fitnah dan taktik jahat dalam pilihan raya," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Minggu lalu, beberapa blog pro-Umno memuatkan video yang didakwa melibatkan seorang lelaki mirip Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dengan seorang wanita tidak dikenali dalam sebuah bilik hotel.

Mengecam tindakan tersebut, Anis yang juga Pengerusi NGO Pengerang juga berkata, media juga bertanggungjawab memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya kepada umum.

"Selain itu, pengamal media dan orang awam juga seharusnya bersama-sama menitikberatkan perkara ini dan memberikan kerjasama dalam mengekalkan suasana yang aman dan bersih dalam negara Malaysia.

"Saya sangat mengharapkan suasana yang aman dan sihat akan berlaku dalam pilihan raya akan datang nanti," katanya.

20 pondok di Kelantan pertahan kepimpinan ulama

Aslani M | Foto Zamani Md Zain, 15 Apr 2013


KUBANG KERIAN: Pusat-pusat pengajian pondok akhirnya muncul dengan deklarasi mempertahankan kepimpinan ulama di Kelantan dan mendokong perjuangan mara ke Putrajaya.


Sebanyak 16 wakil pusat pengajian pondok tampil ke hadapan bagi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka mewakili Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Padang Kala, Pondok Beta Hilir, Pondok Tunjung, Pondok Lubuk Stol, Pondok Sri Permai Seligi, Madrasah Rahmaniah Neting, Pondok Padang Pak Amat.

Selain itu Pondok Gelang Mas, Pondok Banggol Stol, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian, Pondok Sungai Bayu dan Pusat Pengajian Pondok Kandis.

Deklarasi tersebut dibuat memandangkan ada pihak yang mendakwa mewakili institusi pondok di Kelantan iaitu Gabungan Sekolah Pondok Kelantan (Minda Pondok) dan Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Umati) mengajak orang ramai menyokong Umno.

NGO yang ditaja Umno tersebut turut dikenali sebagai Ikatan Cendikiawan Islam Kelantan (Icik) dan Selamat Tinggal PAS (STP).

Fatwa mereka kononnya mengundi PAS adalah haram kerana bekerjasama dengan DAP menyebabkan institusi pondok yang sah berdaftar tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Ustaz Abdul Aziz Che Mat dari Pondok Padang Kala berkata, manusia hendaklah hidup berpandu kepada peraturan yang ditetapkan Allah Taala.

“Kami menyokong kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz dan berdoa mudah-mudahan Islam tersebar lebih meluas ke seluruh Malaysia pulau di nusantara,” katanya.

Ustaz Jalaluddin As Sayuti dari Pondok Beta Hilir memberitahu pusat-pusat pengajian pondok di Kelantan tetap istiqomah memperjuangkan Islam.

Menurutnya, guru-guru pondok dan pelajar sentiasa menyokong kepimpinan ulama.

Ustaz Azmi Daud dari Pondok Tunjung berkata, pondok menjadi benteng bagi mempertahankan Islam dan memastikan syariat Allah dapat ditegakkan di muka bumi.

“Adalah wajib syarie bagi orang Islam mengundi calon PAS pada pilihan raya umum ke-13. Begitu juga calon lain dari Pakatan Rakyat perlu disokong melalui Tahaluf Siyaasi bagi menumbangkan kerajaan yang zalim.

“Malang sungguh ada pihak yang mengaku Minda Pondok tidak faham erti Tahaluf Siyaasi. Mereka memahami agama menggunakan akal semata-mata,” kata Ustaz Zulkifli Zakaria dari Pondok Banggol Stol Rantau Panjang.

Mereka melafazkan sokongan padu yang tidak berbelah bagi itu pada Ijtimak Ulama dan Guru-Guru Pondok di Pondok Pasir Tumbuh malam tadi. (Gambar atas)

Ijtimak yang bermula selepas solat Asar dihadiri lebih 4,000 guru dan pelajar dari 20 pondok di seluruh Kelantan.

Perasmian penutup disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub. Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Ketua Dewan Ulamak PAS PAS negeri, Datuk Mohamed Daud dan timbalannnya, Ustaz Hassan Mohamood.

TS Kadir dakwa pakar khas diupah buat video fitnah

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) hari ini mendakwa beliau mendapat maklumat wujudnya pasukan khas yang ditubuhkan pihak tertentu untuk membuat video fitnah bagi merosakkan imej pemimpin politik tertentu.

Pemimpin veteran Umno yang menghubungi sendiri Harakahdaily berkata, pasukan khas itu terdiri daripada beberapa pakar video yang yang dibayar dengan upah khas.

"Saya diberitahu bahawa terdapat suatu pasukan khas yang pakar dalam kerja-kerja video ini telah ditubuhkan, dengan mendapat pembiayaan dan upah khas, bagi menjahanamkan imej tokoh-tokoh politik tertentu menerusi video-video seks.

"Mereka ini adalah pakar yang boleh memetik video-video tertentu dari internet dan diadunkan sedemikian rupa agar menyerupai imej pemimpin-pemimpin tertentu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video fitnah terbaru yang mengaitkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Kadir yang juga Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyifatkan pembikinan video fitnah itu sebagai sangat jijik, kejam dan tidak masuk akal.

"Dan sekarang ini pula, yang ganjil dan pelik, terhadap seorang yang terkenal, bersih dan kuat beragama, Datuk Mustapha Ali," katanya sambil menyifatkan sangat mengenali peribadi Mustafa yang bersih, bermoral dan berprinsip tinggi sejak beliau menjadi Ketua Pemuda PAS pada awal 70an lagi.

Baliau juga yakin rakyat kini muak dan jijik dengan pihak yang menggunakan cara tidak bermoral itu dalam kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Saya yakin seluruh rakyat Malaysia mengutuk dan menjijikkan kempen politik seperti itu, dan saya berharap ianya dapat dihentikan serta merta.

"Sejak berpuluh tahun lamanya negara dan rakyat kita telah berpolitik secara yang begitu gentleman dan bersih, dan selepas 50 tahun lebih kita harus lebih dewasa dan lebih matang berpolitik," katanya.

Lot kediaman: PR Perak tawar hak milik kekal

Muhammad Faeez Azahar, 15 Apr 2013



IPOH: ‘Telus, Amanah, Kebajikan, Wawasan, Adil’ adalah janji Pakatan Rakyat Rakyat kepada rakyat di negeri ini.

Demikian diumumkan pada pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Perak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat Negeri termasuklah Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Persuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty, dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham. (Gambar atas)

Hadir sama ialah bakal-bakal calon Pakatan Rakyat dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta ratusan penyokong.

Pelbagai tawaran menarik disajikan kepada rakyat antaranya berkomitmen membasmikan keluarga miskin tegar dengan bantuan bulanan supaya pendapatan isi rumah mencapai sekurang-kurangnya RM760 sebulan.

Setiap Dun akan diperuntukkan sebanyak RM250,000 setahun tanpa mengira fahaman politik bagi projek-projek kecil dan program kebajikan rakyat.

Selain itu, 20 meter padu air percuma akan diberikan kepada keluarga yang berpendapatan isu rumah kurang daripada RM1,000 sebulan.

Pakatan Rakyat juga akan membina rumah mampu milik dengan menyediakan 30,000 unit kediaman baharu untuk 5 tahun dengan membuka kampong tersusun baharu.

Dalam manifesto itu juga, Pakatan Rakyat juga akan menawarkan surat hak milik kekal kepada rakyat yang sedang menduduki lot kediaman di kampung tersusun, kampung baru dan peneroka kampung tradisional.

Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memperluas urusan kontrak kerajaan melalui tender terbuka yang telus dan sistem perolehan kerajaan melalui sistem E-Tender.

Sistem demokrasi juga akan disegarkan dengan mengadakan pemilihan ketua kampung dan membebaskan hak penggunaan premis kerajaan kepada semua pertubuhan sah tanpa batasan kaum, agama dan politik.

Nasib Orang Asal akan dibela dengan memberikan hak milik kekal kepada keluarga yang layak disamping berusaha menyediakan  bantuan  makanan kepada warga tua dan miskin tegar.

Pakatan Rakyat akan mengupayakan belia dengan meningkatkan bantuan pelajar ijazah pertama yang memasuki IPTA sehingga RM2,000 kepada anak-anak Perak yang layak di samping menawarkan biasiswa khas bagi melanjutkan di peringkat PhD.

Dari aspek memartabatkan Islam, Pakatan Rakyat akan mengekalkan status dan menaik taraf kemudahan di semua sekolah agama kerajaan negeri seperti SM Izzuddin, SM Taayah dan SM Raja Nazrin disamping menubuhkan Akademi Latihan Imam bagi melahirkan imam yang mencukupi dan berkelayakan bagi seluruh masjid di negeri Perak.

Penghafaz Al-Quran juga akan disediakan insentif khas dan memberi peluang pekerjaan tanda pengiktirafan kepada mereka.

Pakatan Rakyat juga akan menubuhkan unit latihan pengurusan masjid yang moden dan sistematik bagi meningkatkan fungsi masjid sebagai pusat kecemerlangan ummah khsus dalam bidang pendidikan, dakwah dan kebajikan.

Calon: Umpama pengayuh beca pakai jam Rolex

Muhammad Faizal, 15 Apr 2013
SHAH ALAM: PAS menyifatkan tindakan Umno Kelantan memilih ulama sebagai calon sebagai terdesak dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 pada 5 Mei nanti.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata jika Umno ingin meniru PAS dalam pemilihan calon yang terdiri dari golongan ulama, mereka sepatutnya tiru semua yang mengikut pegangan Islam.

"Umno sekarang terdesak hendak tiru PAS dengan memilih ulama sebagai calon mereka, kalau nak tiru biarlah tiru semua sekali, bukan separuh.

"Tetapi tidak, Umno tolak Islam tetapi nak mengambil hati pengundi cari ulama, kenapa mereka tak pilih calon mereka sendiri," jelasnya pada program Bicara Cinta di Kompleks Karangkraf pagi tadi.

Katanya lagi, ulama yang dipilih Umno ini palsu apabila lebih mementing kedudukan dari ajaran Islam itu sendiri.

"Di Kelantan, kita tengok orang yang kayuh beca itu pakai jam tangan Rolex, jenama ni mahal tapi bila kita tanya, murah je, beli di Rantau Panjang.
"Itulah ulama yang dipilih Umno, luaran sahaja menggambarkan ulama tapi palsu apabila ketepikan Islam," sambung beliau lagi yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau yang turut bangga dengan sikap orang Cina yang tidak lagi takut dengan Islam.

"Syukur kerana orang Cina tidak lagi takut dengan Islam, ini terbukti apabila DAP dapat bersama kita dan sanggup menggunakan logo PAS jika DAP dihalang menggunakan logo mereka.

"Di Malaysia ini yang takut dengan Islam cuma Umno, orang Cina dah berubah tapi Melayu Umno belum berubah," tambah beliau lagi.

Tuan Guru Nik Aziz yang turut memberitahu kejayaan PAS paling besar di Kelantan adalah dapat mengubah minda dan pemikiran rakyat terutamanya golongan bukan Melayu dapat mengenali Islam dengan lebih dekat tanpa ada rasa takut.

Komuniti niaga Cina selesa dengan polisi Pakatan

Abdul Aziz Mustafa, 15 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Andaian kononnya kepentingan perniagaan jadi asas pengundian orang-orang Cina adalah penghinaan kepada mereka, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tuduhan kononnya orang-orang Cina hanya mengundi kerana kepentingan perniagaan semata-mata adalah penghinaan kepada mereka.

"Ia sekaligus menuduh orang-orang Cina hanya mementingkan duit dan perut mereka sahaja," kata beliau.

Sedangkan, katanya, dari pertemuan-pertemuan yang dibuat dengan masyarakat Cina, mereka terbukti begitu prihatian terhadap masa hadapan dan keamanan negara.

"Isu-isu seperti rasuah, pengendalian ekonomi negara yang lebih baik dari sekarang dan keharmonian antara kaum dan agama adalah antara perkara yang sering mereka bangkitkan.

"Dalam isu hubungan antara kaum dan agama misalnya, mereka jelas tidak yakin sama sekali kepada kepimpinan yang diterajui oleh Umno yang semakin rakus mengapi-apikan perkauman," kata Mahfuz.

Beliau juga menyifatkan andaian itu agak dangkal kerana bukan semua orang Cina berniaga.

Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula, jika suasana yang lebih kondusif kepada perniagaan yang menjadi kriteria untuk memberikan sokongan, ia lebih menguntungkan Pakatan Rakyat (PR).

"Kami sudah berjumpa dengan komuniti perniagaan masyarakat Cina dan mereka selesa dengan polisi-polisi PR," katanya.

Mahfuz seterusnya menyatakan beliau yakin orang-orang Cina dapat melihat siapakah yang lebih pro-perniagaan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan pengurusan fiskal yang baik oleh keempat-empat negeri yang ditadbir oleh PR dari segi perolehan pendapatan.

"Dengan prestasi pengurusan pendapatan dan kewangan yang lebih baik yang dibuktikan oleh Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah seperti yang diperakui oleh laporan Ketua Audit Negara, terbukti pentadbiran PR lebih kondusif kepada perniagaan," katanya.

Dari segi rasuah pula, kata Mahfuz, selepas 2008, walaupun jelas terbukti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak seperti singa kelaparan untuk menerkam dan menghukum pemimpin-pemimpin negeri-negeri yang ditadbir oleh PR, mereka tidak ada kes untuk berbuat demikian.

"Pentadbiran yang berjaya meminimakan rasuah adalah pentadbiran yang lebih kondusif kepada perniagaan dan PR telah membuktikannya.

"Sedangkan, pada masa yang sama, Umno disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri," katanya.

Tiada ulasan: