• Banjir
1 / 1
KOTA BHARU - Kerajaan memberi jaminan mangsa yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir di negeri ini, akan menduduki kediaman sementara sebelum sesi baharu persekolahan bermula 11 Januari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan, Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata, mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan di sekolah, akan ditempatkan sementara termasuk di dewan orang ramai, Pusat Sivik Gua Musang dan kem tentera.
"Kerajaan juga akan menyediakan khemah untuk mangsa banjir ini di samping kerajaan negeri mengenalpasti tanah (tapak) yang sesuai untuk pembinaan rumah transit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas itu di sini, hari ini.
  
Shukry yang juga Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, berkata kediaman sementara itu akan dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
Mengenai bekalan elektrik, beliau berkata pembekalan elektrik bagi seluruh negeri ini telah mencapai 97 peratus dan baki tiga peratus lagi dijangka dibekal dalam tempoh lima hari lagi.
Katanya, pembekalan air oleh syarikat Air Kelantan Sdn Bhd secara keseluruhannya mencapai 84.2 peratus dengan 23 daripada 35 loji telah beroperasi manakala baki 12 loji masih dalam baikpulih dan dijangka pulih dalam tempoh sembilan hari lagi.
Shukry berkata, Jabatan Pelajaran Kelantan memutuskan pelajar yang terbabit dengan banjir boleh berpakaian biasa ke sekolah.
Beliau juga berkata, lebih ramai anggota sukarelawan diperlukan untuk kerja pembersihan termasuk di rumah dan kemudahan awam yang terjejas akibat bencana alam itu. - Bernama