Sabtu, 1 Disember 2007

PILIHANRAYA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Dalam hadith yang agak panjang baginda melarang umat Islam dari mengikut faham racialisme, kebangsaan sempit dan kekabilahan. Menurut Redaksi Fatwa Islam Online: Baginda Rasulullah pernah mencela faham asabiah yang keji itu dengan mengatakan: Tinggalkan amalan berkenaan kerana dia tengek atau busuk. Dalam Sunan al Nasai diriwayatkan hadith berikut ( Hadith 4046): “Siapa yang berjuang di bawah panji-panji buta (sesat), berjuang kerana motif Asabiah; marah kerana dorongan Asabiah maka kematiannya adalah (atas landasan) jahiliah.”
Penerangan Hadis:
Memandangkan pilihanraya umum semakin hampir maka umat Islam kerap berhadapan dengan pandangan yang mengajak mereka menjauhkan diri dari persepsi agama atau Islam dengan alasan bahawas; berfikir dan berperinsip berdasarkan agama dalam pilihanraya akan mencemarkan agama (Islam). Manakala yang wajarnya ialah tidak menurut landasan atau tujuhala agama. Pandangan seperti ini sebenarnya adalah lanjutan dari faham sekularisme yang mahu memencilkan Islam dari menjadi asas atau landasan perjuangan umat.
Menurut pandangan golongan sekularis ini, menjadikan tuntutan agama sebagai asas pertimbangan dalam politik dan pilihanraya adalah suatu tindakan mencemarkan agama. Manakala amalan sekularisme yang membelakangkan atau malah tidak menghiraukan ajaran agama (Islam) adalah satu cara pemurnian amalan beragama berkenaan. Inilah bentuk kesilapan akidah yang menjadi amalan golongan sekularis. Pemikiran herot dan keliru seperti ini mereka hendak jaja dan popularkan agar menjadi amalan umat Islam di negara kita. Pada hemat kita kekeliruan seperti ini perlu didedahkan agar tidak menyesatkan keyakinan dan penghayatan umat Islam kepada agama Islam yang suci.
Dalam hubungan ini ada baiknya kita petik ucapan dasar YDP PUM dalam Muktamar 2003 yang menegaskan antara lain:
“Dalam konteks Malaysia umat Islam dan rakyat Malaysia perlu ada keyakinan terhadap dasar agama dan jatidiri yang telah menjadi asas negara Malaysia. Islam yang menjadi agama rasmi perlu dipatuhi dalam setiap aspek tuntutannya agar apa yang dirancang tidak lari dan bercanggah dengan dasar-dasarnya. Kerajaan dan rakyat diajak agar mengamalkan syariat dan nilai-nilai keadilan yang divine berteraskan paradigma Islam.
Kerajaan dan rakyat diseru agar berusaha keras menghapuskan rasuah, nepotisme, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan jentera kerajaan, di samping membangun sebuah pentadbiran yang bersih, telus dan bertanggungjawab kepada Allah dan rakyat.
Isu Pilihanraya dan Peranan SPR
Dalam kesibukan mengundi kadang-kadang kita terdengar pandangan sumbang yang memandang remeh pilihanraya sebagai suatu yang tidak ada pada zaman Rasulullah. Pada hal ini adalah suatu kewajiban agama dan politik yang sah. Tanpa kesedaran ini umat Islam mungkin sukar untuk membuat perubahan dan reformasi dalam masyarakat. Dalam menegaskan perkara ini Syaikh Faisal Maulawi menerangkan: Orang-orang Islam berkewajiban melaksanakan amr ma’ruf dan nahy ‘anil munkar dalam masyarakat di mana dia hidup. Pilihanraya adalah salah satu cara di mana dengannya dia dapat menunaikan kewajipan itu. Jadi dengan berlandaskan kaedah meraih yang paling kurang mudharat orang Islam boleh mengundi calon-calon tertentu dalam pilihanraya. Justeru itu berhak memilih calon yang lebih baik dari perspektif Islam. Kalau dia tidak temui yang lebih baik maka ia wajar memilih calon yang kurang mudharatnya terhadap umat Islam. Dengan cara itu ia berupaya menolak mudharat daripada orang Islam setakat yang terdaya. Dengan itu juga penglibatan dalam pilihanraya adalah satu bentuk jihad. Saya berpendapat bahawa ikut serta dalam proses pilihanraya itu adalah merupakan jihad yang utama; Ia jihad sebab:
1) Ia memerlukan pengorbanan tenaga yang bukan sedikit untuk memenangkan Islam dan orang Islam. Atau sekurang-kurangnya menghindarkan mereka dari sebahagian kesusahan. Atau dapat menangkis beberapa kemunkaran dari kehidupan mereka sedaya yang boleh.
2) Ia merupakan jihad yang utama sebab ia merupakan kewajipan masa kini menurut diskripsi ulama. Masalah Islam hari ini ialah masalah penyimpangan para pemerintah dari agama Allah. Mereformasikan pemerintah atau menggantikan mereka dengan yang lain adalah jihad yang terbesar. Manakala ikut serta dalam pengundian adalah cara yang lumrah untuk zaman sekarang. Itupun dalam batas kemampuan.
Manakala kumpulan Islam yang tidak ikut serta dalam proses ini pasti terlepas dari peluang melaksanakan kewajipan ini. Memang mereka mempunyai beberapa kewajipan lain yang mereka boleh laksanakan. Tapi itu bukan alasan untuk tidak melaksanakan kewajipan mengundi ini mengikut pandangan kami. Mereka juga tidak dapat melepaskan diri dari dosa tidak menunaikan kewajipan ini. Perlaksanaan kewajipan ada pahalanya. Manakala cuai dalam melaksanakannya tetap berdosa. Allah berfirman : “Pada hari Kami memasang timbangan keadilan pada hari kiamat kelak, (pada waktu itu) tidak ada sesiapa pun yang teraniaya.(Amalan) walau sebesar zarrah pun akan Kami tampilkan dalam pertimbangan Kami. Memadailah Kami sahaja sebagai penghitung (yang membuat pengadilan)” Beliau menegaskan lagi: Dari sudut Syara’ jika seseorang itu diberi kesempatan untuk menentukan penguasa (pemerintah) maka ia wajib memilih pemerintah Islam yang akan memerintah berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Dalam pilihanraya orang Islam dilarang membeli atau menjual undi sebab itu adalah semacam rasuah. Mufti Islam online menegaskan:Pilihanraya adalah salah satu mekanisme dimana seorang muslim boleh – melaluinya- menegakkan kewajipan Amr Makruf dan Nahi Anil Munkar. Oleh itu orang Islam wajib mengundi calon yang terbaik untuk memberi khidmat kepada Islam. Orang Islam harus sedar bahawa suaranya atau undinya adalah amanah. Amanah wajip ditunaikan mengikut cara yang diredhai Allah; jauh dari memikirkan kepentingan diri dan hawa nafsu. Mengundi ini adalah suatu jihad Madani, malah sebagai suatu cara menyokong kebenaran dan menumpaskan kebatilan. Pengundi Islam mesti menghindarkan diri dari membeli atau menjualkan suara atau undinya; justeru itu adalah termasuk dalam rasuah yang diharamkan. Bila mengundi ia hendaklah memilih orang yang kelihatannya baik dan soleh, orang yang bersedia untuk memberi khidmat kepada agamanya; jauh dari syubhah.
Dalam konteks yang lain, SPR perlu menetapkan keutamaan dari perspektif Islam yang betul dan wajar. Di samping pemahaman yang jelas terhadap mandat dan tanggungjawabnya. Ia tidak boleh beranggapan bahawa isu poster / panji adalah lebih penting daripada skandal pengundi hantu, penyalahgunaan seperti politik wang, penyalahgunaan sumber awam dan media yang tidak adil. Sekurang-kurangnya terdapat lapan bidang tugas penting yang harus diberi perhatian oleh SPR, iaitu:
1. Menggariskan senarai pengundi yang bersih dengan menghapuskan tiga juta pengundi hantu dalam operasi yang melibatkan semua parti politik. Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir dan Timbalannya, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berkata bahawa mereka mempunyai bukti mengenai 2.8 juta pengundi hantu. Ini merupakan suatu kecacatan atas kebebasan, profesionalisme dan integriti SPR jika 30% daripada 10 juta pengundi ialah pengundi hantu dan SPR tidak bersedia untuk menyelesaikan masalah ini;
2. Memastikan senarai pengundi yang komprehensif dengan peratusan pengundi berkelayakan yang paling tinggi dalam senarai itu. Wan Ahmad berkata bahawa terdapat 1.5 juta rakyat Malaysia berumur di antara 21 dan 30 tahun yang belum berdaftar sebagai pengundi. Bersama dengan pengundi yang berumur 30 tahun dan belum berdaftar, jumlah ini mungkin mencapai dua juta di negara ini. SPR harus menumpu untuk mendaftarkan sekurang-kurang 90% daripada dua juta pengundi yang belum berdaftar dalam masa enam bulan akan datang. Tambahan pula, dalam era teknologi maklumat, pengundi pasti dapat berdaftar dalam masa satu bulan sebelum hari pengundian sedangkan di New Zealand, pengundi boleh mengundi dalam pilihan raya umum selepas 24 jam berdaftar.
3. Memastikan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih, dengan menyediakan pengawasan terhadap proses mengundi oleh calon-calon dan parti politik yang berminat di semua bangunan polis dan pertahanan yang digunakan sebagai pusat pengundian.
4. Melarang liputan media yang tidak adil, tidak jujur dan berat sebelah, sama ada media bercetak, radio, televisyen menjelang kempen pilihan raya supaya jenaka, penulisan, siaran televisyen dan iklan yang tidak beretika terhadap parti pembangkang dalam pilihan raya umum 1999 tidak wujud semula.
5. Melarang politik wang oleh calon-calon dan parti politik serta perbelanjaan pilihan raya yang berlebihan.
6. Melarang penyalahgunaan sumber kerajaan dan tabung awam menjelang kempen pilihan raya.
7. Kod tingkah laku yang menyatakan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh Kerajaan Sementara selepas Parlimen dibubarkan.
8. Pelaksanaan "akujanji" oleh Pengerusi SPR, ahli-ahli dan pegawai untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih; mempertahan dan melindungi kebebasan, profesionalisme dan integriti SPR dan memastikan tingkah laku etika seperti menghalang pegawai menerima anugerah kebangsaan atau negeri, gelaran dan pengurniaan lain yang akan menjejaskan kebebasan, kredibiliti dan kesahan mereka.Memandangkan SPR, seperti yang dinyatakan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) di Universiti Kebangsaan Malaysia menghadapi krisis kredibiliti, kesahan dan keyakinan, dan salah satu pembaharuan utama yang harus dilaksanakan ialah jawatan Pengerusi dan Pesuruhjaya SPR hendaklah diisi dari kalangan orang terkenal dari pelbagai latar belakang misalnya, kehakiman, akademi, badan profesional dan bekas diplomat kanan yang kuat berpegang kepada prinsip keadilan, mempunyai integriti yang tinggi dan tidak memihak kecuali kepada kebenaran Menurut Sdr YB Nasaruddin Md. Isa: Pihak Barisan Nasional telah memperkenal 4 akta baru yang mana ianya melibatkan Akujanji Parti Politik yang bertanding, Akujanji Calon, penubuhan Pasukan Pemantau yang diketuai oleh Pegawai Daerah dan Pegawai Kanan Kerajaan sebagai pemerhati, serta undang–undang pendaftaran parti. Menurut beliau, apa yang melucukan ialah mengenai para 3.3.3 dalam akujanji parti politik ialah pihak SPR tidak membenarkan agar para penyokong menggunakan telefon bimbit semasa pilihanraya. “Ini adalah sesuatu yang amat malang, sedangkan negara mempunyai berbagai kemudahan ICT, MSC dan sebagainya yang di war-warkan oleh kerajaan, kini tidak membenarkan para penyokong menggunakan kemudahan tersebut."Lebih malang lagi jelas beliau ialah bagaimana wang deposit yang dikenakan sebanyak RM 10,000 keatas calon yang bertanding dalam pilihanraya kawasan Parlimen, akan mudah kehilangan wang deposit tersebut dengan alasan apabila tamatnya tempoh pilihanraya, pihak SPR tidak mahu walau satu pun bendera yang dipasang kelihatan, jika tidak, wang tersebut di kira hangus. Malahan jika para penyokong sesebuah parti politik ditahan atas kesalahan dalam akta pilihanraya, maka calon tersebut di kira tewas. ”
Sumber : Laman web PUM

Tiada ulasan: