Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Khamis, 25 April 2013

Duhai Hati



Hati,
di kala sepi kau menjadi peneman diri
usah kau bertanya mengapa dan kenapa kesepian itu
singgah dan menjengah ruang di sanubari ini

Hati,
kini aku sendirian lagi
hanya dirimu yang mengenaliku selama ini
kuatkanlah diriku

Hati,
aku tidak dapat berkata-kata lagi
hanya pena ini yang masih terus dibuai
untuk melegakan segalanya.   

Ahad, 25 Disember 2011

Secangkir ruang ingatan

AsSalamualaikum.......


Alhamdulillah bersyukur ke hadratNya kerana dapat bertemu kembali.  Terasa begitu lama tidak menarikan jari-jari ini untuk mencurahkan secangkir idea dan sekelumit kisah yang tak bertepi.

Terasa terlalu sukar untuk kita menghadapi andai terasa diri tidak dihargai..terasa diri dipinggirkan, terasa diri tidak diperlukan, terasa diri senang untuk sesiapa sahaja memperkotak-katikkan atas segala kesusahan, kejujuran dan keikhlasan yang telah kita berikan.

Bukannya semua yang kita berikan itu untuk diharapkan balasan kerana sesungguhnya balasan Allah S.W.T. sahaja yang kita harap dan kita dambakan.  Semoga segala usaha dan penat lelah kita atas segala kejujuran dan keikhlasan yang kita berikan akan dibalas oleh Allah S.W.T.

Memang sukar untuk kita membaca hati dan fikiran manusia..kerana manusia mempunyai sifat-sifat positif dan sifat-sifat negatif.  Kadang kala manusia berada di atas dan kadang kala berada di bawah.  Semuanya tidak terduga dan terjangkau di dalam fikiran.  Manusia akan mudah berkata-kata apabila telah bersalah, akan mudah meminta maaf, pendek kata mudah berubah-ubah, lupa diri, lupa ingatan, dan lupa kesahsiahan.  Frasa menarik meminta maaf memang mudah disebut dan diungkapkan tetapi adakah selari dengan niat dan hati yang ikhlas.  Semuanya terlalu sukar dan terlalu kompleks untuk dihujahkan dan dibicarakan.

Apapun, manusia pada hari ini, aku tetap aku, aku tetap begini, aku tetap begitu.  Biarlah orang melakukan apa sahaja kepadaku asal sahaja aku tidak melakukan kepada mereka.  Terasa terlalu kerdilnya diriku.  
Biarlah apa orang nak kata.  Yang penting aku tetap memaafkan mereka dan hanya aku mengharapkan balasan dari Allah S.W.T.   

Alangkah indahnya hidup andai kita dapat mempraktikkan kata-kata ini agar hidup kita penuh dengan kemanisan.

"Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah." (Abu Bakar As-Siddiq). 

Rabu, 23 November 2011

Satu Pengajaran

             Malam sunyi sepi setelah petang tadi hujan turun mencurah bumi.  Hujan rahmat di bulan tengkujuh memberi kesedaran agar kita sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga.  Berita di televisyen telah semarak dengan berita banjir di beberapa buah negeri dan meminta orang ramai berjaga-jaga dan bersiap siaga.




             Aku pula entah melayang ke mana.  Fikiranku rasa tenang dan gembira kerana telah menemui satu pengajaran dalam hidupku.  Sekembalinya dari bercuti tiga hari dua malam bersama-samanya memberikan aku kekuatan dan memenuhi ruang keinsafan dalam diriku.  Barulah aku sedari bahawa selama ini aku tersalah dalam menilai dirinya.  Aku sendiri buntu dengan dilema yang menghantui diri.  Aku telah mengerti segala penjelasan sahaja yang dapat menjernihkan keadaan. 




           Apapun aku terlalu kagum dengan apa yang ada dalam dirinya.  Dia terlalu ikhlas, dia terlalu baik, dia terlalu menyayangiku, dia terlalu mengerti tentang diri ini.  Dia memberiku harapan dan kekuatan.  Dia memberiku apa yang aku kurang.  Aku mengagumi sikapnya, dirinya, tingkah lakunya, perangainya, gerak gerinya, dan senyumannya.  Aku gembira dan sangat berbangga kerana menemuinya, mendapatnya dan mengenalinya.  Apabila bersama-samanya aku merasa sangat bahagia, gembira dan ceria.    Harapan yang tinggi agar hubungan ini sehingga ke syurga firdausi.


         

Selasa, 15 November 2011

****bicara hati****

                

               Di keheningan malam ini, aku sendiri lagi.  Mengelamun jauh mengenangkan nasib diri.   Aku sendiri lagi.  Aku sendiri lagi.  Kali ini aku hanya bertemankan bunyi cengkerik dan katak memenuhi ruang kamar mendendangkan lagu sepi.  Sementelahan, petang tadi hujan turun lebat membasahi bumi ciptaan Illahi.  Syukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan rahmat hujan menyimbah bumi.   Namun, sedu hati aku sendiri siapa yang tahu.  Ah..tak usahlah hati engkau merintih..tidak ada gunanya. tidak ada maknanya.  Usahalah hati engkau berdikari sendiri.  Usahalah hati engkau bangun kembali walaupun hati engkau rapuh mudah retak dan patah sendiri.




                  Bagaimana harus aku teruskan kehidupan ini?...aku perlu menjadi insan tabah tanpa mengharapkan sesiapa lagi.  Walaupun hati ini tidak dapat berbohong dan berdusta.  Apa yang harus aku fikirkan.  Ah...tak perlu fikir apa-apa.  Teruskan sahaja kehidupan ini seperti biasa.  Kelak hati engkau akan biasa sendiri.  Hati engkau tidak dapat berbohong...hati ini kosong, hati ini sepi, hati ini rindu, hati ini sayang, hati ini kasih, hati ini ego, hati ini terlalu mendalam, dan entah apa-apa lagi.





                  Hati ini sebenarnya masih sayang kepadanya..tak sanggup berpisah, apatah lagi kehilangannya.  Aku terlalu menyayanginya, terlalu merinduinya, terlalu menyenanginya, terlalu mengasihinya, terlalu menyukai, namun, rasa dilema terlalu berat yang terpaksa hati ini tanggung keseorangan.  Tidak dapat untuk aku titipkan di mana-mana.  Perasaan dilema itu sering menjejaki aku ke mana-mana sahaja aku pergi.  Dia setia mengekoriku.  Akupun tidak mengerti mengapa aku jadi begini.  Hati ini terlalu dikerumuni rasa bersalah, gelisah, resah, kesal, tidak dihargai, berbelah bahagi, rasa menyusahkan, dan seumpamanya.  Hatiku menjadi kusut ibarat benang yang tak dapat dirungkai di manakah puncanya.  




                 
                 Berdetik di hati ini rasa bersalah yang teramat.  Mengapakah aku memperlakukan dia sebegitu.  Dia tidak bersalah.  Dia di pihak yang benar.  Dia terlalu ikhlas.  Dia terlalu baik.  Entahlah aku sendiri bagai di awang-awangan tak tahu mengapa begini terjadi akhirnya.  Tidak ada niat untuk aku membuat dia terseksa begitu.  Aku sahaja yang amat memahaminya...tetapi adakah diriku dan hatiku difahami oleh orang lain termasuk dia.  Ah....tak mahu aku mempersalahkan dia atau  sesiapa. Tidak sesekali aku menyalahkan orang lain.   Biarlah hati ini yang menanggung bebannya.  Hati ini tahu dia telah banyak terseksa dengan semua ini, tetapi bukan niat hati ini untuk merancang semuanya.  Salam kemaafan yang tidak terhingga dihulurkan untuknya agar dia benar-benar memahami.  Walaupun hati ini tahu tentunya hatinya tertanya-tanya.  





              Kini, aku amat merinduinya. Aku sungguh menyayanginya. Sungguh.  Aku begitu menyayanginya hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu tetapi aku merasakan tidak mungkin aku dapat bersamanya lagi.  Terlalu banyak kesilapan yang aku lakukan sehingga rasa malu bersarang.  Banyak sudah yang aku menyusahkannya sehingga aku tak mahu dia terganggu lagi.  Terlalu banyak aku menganggu sehingga aku takut dia rasa tak keruan.       Aku terlalu kerdil dan aku terlalu kecil.. mana mungkin aku dapat bersamanya lagi. 




                  Mengapa aku  jadi begini?. Banyak persoalan yang bermain di fikiran.  Kadang kala resah mengundang, rasa tidak dihargai bertandang, rasa bersalah kian bersarang, rasa malu turut tertumpang.  Kendatipun, apa persoalannya, niatku hanya satu kerana aku  terlalu ingin menjaga hati semua pihak.  Biarlah aku menjadi lilin membakar diri menerangi orang lain.  Tidak mungkin manjaku itu dapat memahaminya.  Tidak mungkin orang  lain dapat memahaminya.  Tidak mungkin..kerana terlalu kompleks untuk dihuraikan apatah lagi dibicarakan lagi.  Tidak mengapa hanya Allah S.W.T sahaja tempat aku mengadu..hanya Dia Yang Maha Mengetahui tentang hamba-hambaNya.  Hanya kepasrahan yang hinggap di hati ini. 





                    Hati ini teringin sungguh untuk mengucapkan sekalung terima kasih kepadanya kerana telah banyak mengajarkanku erti sebuah kehidupan dan apakah itu rasa kasih sayang melalui  sebuah pengalaman.   Tanpa pengorbanan tentunya pengalaman itu tak terkesan.  Hati ini akan terus menyayanginya selagi hayat dikandung badan.    Tidak pernah ada rasa benci dalam hati ini kepadanya.  Jauh sekali mendendami.  Semoga dirinya terus  dipelihara dan dirahmati dalam perlindungan Allah SW.T. dengan penuh rasa kasih sayangNya.                            




Kutahu kutak seberapa
jika dibanding mereka yang jauh lebih megah 
dari diri ini

Apa yang mampuku berhias
Hanyalah hati yang ikhlas
Terpendam simpan untuk dia yang sudi

Mencintai aku dengan seadanya
Mencintai aku bukan kerana rupa
dalam waktu sedu dalam waktu hiba
kuharapkan dia rela

Mencintai aku dengan seadanya
Sanggup menerima insan tak sempurna
atau mungkin cinta sebegitu hanya kisah dongeng saja

Belum pernah kumerasakan
dipeluk dalam dakapan 
eratnya melindungi jiwa rapuh ini

Sanubariku memerlukan
kehadiran seorang teman
tulus mencurah kasih sepenuh hati. 
  

Pahit manis sesi persekolahan ini.

Assalamualaikum...



     Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan izinNya, kita masih diberi ruang dan peluang dalam ruangan ini.



      Cuti persekolahan hampir bermula..cuma tinggal tiga hari sahaja lagi.  Seperti biasa, di sekolah, kedatangan para pelajar yang semakin berkurangan tidaklah menghairankan.  Ada di antara kelas cuma ada enam orang pelajar walaupun di sekolah minggu terakhir ini bukanlah minggu pengajaran dan pembelajaran lagi. 





     Di sekolah, diadakan karnival ko-kurikulum.  Karnival seumpama ini dirangka dengan pelbagai aktiviti yang dikira menarik untuk memperkenalkan kepada para pelajar sukan dan permainan yang hampir kepupusan.  Antaranya seperti permainan bola sepak, bola jaring, futsal, batu serimban, ting ting, galah panjang, dan lain-lain lagi.  
    

      Apapun, para pelajar seronok kerana inilah masa mereka menunjukkan bakat yang terpendam dan dapat dicungkil bakat-bakat baru yang boleh menjadi pelapis bagi mencari atlet sekolah. 
    




    Selain itu, tidak kurang juga dalam minggu-minggu terakhir ini kerap pula lawatan atau rombongan diadakan.  Wahh....bila bab berjalan bagilah kepada para pelajar ini.  Pantang lawatan ke mana sahaja.  Setiap lawatan mesti ada muka dia.  Antaranya lawatan ke kilang coklat di KL, rombongan ke Genting Highland, siap bermalam lagi, lawatan yang dianjurkan oleh PSS ke KL, aktiviti pelajar-pelajar asrama bagi kem motivasi dan "adventure" di Kuala Gandah bersama-sama Jabatan Perhilitan.  Pendek kata, minggu-minggu terakhir persekolahan begitu menyeronokkan.  Itu bagi sesiapa yang terlibat.  
   




    Bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pula, mereka mula peperiksaan pada minggu terakhir persekolahan iaitu pada 14hb.11.2011.  Ramai guru memberi sokongan.  Diharapkan para pelajar pada tahun ini dapat menjawab dengan baik dan tenang.  Semoga Allah S.W.T mempermudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan.  Penuhi harapan ibu bapa dan guru-guru untuk melihat kejayaan dan kecemerlangan mereka.


 


     Bagi guru-guru pula, seperti biasa banyak tugas yang perlu diselesaikan sebelum tutup sekolah bagi penyerahan tugasan tahun semasa.  Banyak perkara yang perlu dibereskan dengan buku rekod mengajar, fail-fail bagi jawatan-jawatan berkenaan, pengurusan kelas, pemulangan buku teks, dan lain-lain lagi.  Pendek kata selagi belum tutup mata, kerja, kerja, kerja.  Walau apapun,  SMKB tetap di hati.



      Itulah tugas yang harus dipikul dan dilaksanakan.  Apapun, perjuangan masih belum selesai..walapun pada tahun ini semakin hampir berakhir.   Namun,  dalam kekalutan dan kerencaman itu terselit banyak kenangan dan pengalaman yang dapat dicatatkan bagi sesi persekolahan pada tahun ini.  Pahit manis dalam sesi persekolahan tahun ini diharapkan dapat menjadikan diri ini lebih matang dan berpengalaman menimba segalanya dalam mencari reda Illahi.        






Ahad, 13 November 2011

Kadang kala........?


Segalanya telah berlaku. Segala yang berlaku biarlah berlalu. Berlalu dihembus angin malam yang menderu.  Biar ianya tidak kelihatan lagi dan menjadi sejarah yang tercatat dalam memori.  Tak perlu dikenang lagi kerana ianya akan bisa menyakiti dan melukakan hati.






Hidup perlu diteruskan jua kerana sebagai khalifah di muka bumi ini, masih punya banyak tugasan yang harus digalas,  dipikul dan dilaksanakan kerana perjuangan masih belum selesai.






Hati ini perlukan kekuatan.  Hati ini perlukan ketenangan.  Hati ini perlukan kesabaran.  Hati ini perlukan pengorbanan.  Hati ini perlukan bimbingan.  Hati ini perlukan kasih sayang.  Biarpun ia kosong tak terisi tetapi hidup perlu diteruskan.






Segala konflik dan kemelut yang menyelubungi diri, anggaplah sebagai ujian terbaik yang perlu ditempuhi untuk mematangkan diri dan membina peribadi agar dapat menjadi insan yang tabah dan cekal mengharungi segala kepayahan dan kerenyahan hidup.



Ya..Allah, terima kasih atas ujian ini.  Ujian ini medan untuk mematangkan diri dan menguatkan jiwa yang rapuh dalam meniti kehidupan ini.  Ujian ini juga dapat mendekatkan diri denganMu dan meneruskan kehidupan dengan penuh rasa syukur.  Terima kasih...ya rab.    


Satu pesanan dan ingatan buat diri, usahlah terlalu berharap kepada sesuatu yang belum pasti kelak hati akan kecewa sendiri kerana apa yang diharap belum tentunya menjadi.  Oleh itu, pasrah dan reda adalah kunci terbaik untuk membentuk kekuatan diri.






Hidup ini terlalu sukar untuk dimengertikan.  Hidup ini juga ada pahit manisnya.  Tidak selalunya kemanisan itu datang dan tidak semestinya yang pahit itu tidak terjangkau dan tidak ditelan.  Semua itu adalah asam garam dalam kehidupan ini yang perlu dirasai kenikmatannya.






Oleh itu, kemanisan yang datang jangan terus ditelan dan kepahitan jangan terus dibuang kerana yang manis itu belum tentu menjadi penawar dan yang pahit itu belum tentunya menjadi racun.  Setiap yang manis dan yang pahit itu saling melengkapi antara satu sama lain.






Samalah dengan pasang surutnya dilambung ombak badai.  


Kadang kala di atas, kadang kala di bawah
kadang kala disanjung, kadang kala ditindas,
kadang kala disayangi, kadang kala dibenci,
kadang kala diterima, kadang kala dibuang sahaja,
kadang kala diturut kata, kadang kala tidak diendahkan sahaja,
kadang kala diperlukan, kadang kala diketepikan,
kadang kala dirapati, kadang kala dijauhi,
kadang kala bermanfaat, kadang kala bersubahat, 
kadang kala disenangi, kadang kala disakiti,
kadang kala bahagia, kadang kala merana,
kadang kala tersenyum, kadang kala mencuka,
kadang kala bergembira, kadang kala berduka,   
kadang kala tertawa, kadang kala menangis,
kadang kala bermimpi, kadang kala berilusi,
kadang kala memberi, kadang kala rasa mengemis,
kadang kala terberi, kadang kala terperasan sendiri,
kadang kala menginsafi, kadang kala rasa tak sedar diri,
kadang kala malu, kadang kala lupa diri,
kadang kala terkenang, kadang kala terbuang,
kadang kala diingati, kadang kala dilupai,
kadang kala berbaik-baik, kadang kala menyerabutkan,
kadang kala mengubati, kadang kala mengecewakan,
kadang kala rasa dihargai, kadang kala rasa terhina,
kadang kala rasa memerlukan, kadang kala rasa menyesakkan,
kadang kala menyenangkan, kadang kala menyusahkan,
kadang kala rasa diperlukan, kadang kala rasa disisihkan.


Itulah hakikat yang perlu diterima diri sendiri.




Yang pasti jatuh dan bangun itu menjadi lumrah kehidupan
Pahit dan manis menjadi rencahnya
Suka dan duka menjadi rodanya
Gembira dan sedih menjadi bahannya
Rasa dihargai dan rasa tersisih menjadi ronanya
Namun, jangan ada rasa dendam dan rasa benci 






Andainya perpisahan tercipta, berubah hala serta memungkiri janji 
jangan ada rasa benci 
Kita harus tabah dan bersedia
menghadapi kemungkinan yang tiba
kadang kala yang berlaku di luar kemahuan kau dan aku.
biarlah kita matang dalam ruang lingkup kita sendiri.