Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 21 Julai 2007

PIALA ASIA DAN MALAYSIA BOLEH???

OLEH : Budi ( budi_abuya@yahoo.com.my )



Semuanya sudah terjawab, bukan sahaja kalah malah memalukan. Bermulanya dengan kekalahan kepada China 5-1, Uzbekistan 5-0 dan terakhir kepada Iran dengan 2-0. Maknanya Malaysia hanya mampu menghasilkan 1 gol dengan membiarkan pihak lawan membolosi sehingga 12 gol dalam 3 perlawanan. Pasukan Negara dengan imej Harimau Malaysia telah menjadi harimau sarkas, tiada taring malah hilang garangnya. Slogan keramat "Malaysia Boleh" yang biasa dilaungkan setiap kali ingin memulakan apa – apa perlawanan, harus disemak kembali atau diganti lain. Telah ada orang yang mempersendakan dan mempersoalkan, boleh apa ? boleh dibelasah ? Boleh diperbudakkan atau boleh blah ?

Kita dapat lihat ketegangan yang timbul sebelum bermulanya kejohanan Piala Asia dimana ketika itu di Malaysia terbabit perlawanan separuh Akhir piala FA yang membabitkan pasukan dari Selangor, Kedah, Perlis dan Johor PG. Semua pasukan yang saya nyatakan rata-rata terdiri daripada pemain yang akan mewakili pasukan kebangsaan untuk kejohanan Piala Asia. Apa yang menimbulkan masalah ialah kerjasama tiada dapat diwujudkan oleh FAM mahupun persatuan bola sepak negeri berkenaan isu ini sehingga menyebabkan penyerang Selangor yang juga penyerang utama negara iaitu Akmal Rizal mengalami kecederaan di dalam pertemuan separuh akhir piala FA. Kenapa tiada ketegasan dari pihak FAM berkenaan isu ini. Cikgu Jan ( Norizan Bakar ) pula hanya mampu berdiam diri dan dari pandangan saya yang beliau begitu kecewa dengan persatuan bola sepak negeri yang lebih mengutamakan persatuan mereka daripada tuntutan pasukan kebangsaan. Lihatlah bagaimana ketegasan yang ditunjukkan oleh Jurulatih Korea Selatan yang bekerja keras mempertahankan anak buahnya dari terlibat dalam perlawanan kelab demi membentuk sebuah pasukan yang mantap serta mengelakkan anak buahnya mengalami kecederaan awal. Dari sini saya sudah boleh meramalkan kenapa Malaysia boleh dijadikan sebagai pasukan belasahan dalam kejohanan Piala Asia...

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat kecewa dengan pencapaian pasukan bolasepak negara pada masa ini. Era 70 an pasukan negara boleh dianggap antara yang terbaik di Asia. Saya masih ingat semua nama pemain pada masa itu. Bukan sahaja Mokhtar Dahari yang digeruni lawan dibahagian serangan bahkan yang lainnya juga cemerlang diposisi masing- masing. Siapa yang tidak kenal penjaga gol, 'Spiderman' Arumugam, kapten Chin Aun, bek Santokh Singh atau perancang tengah Isa Bakar.

Sebelum kita mencari punca kemerosotan bolasepak negara, kita harus akui bahawa dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini kita gagal mencari walau seorang pun pengganti yang setaraf atau lebih baik dari nama – nama yang saya nyatakan. Mereka bangkit dan bersinar pada masa Malaysia hanya ada pertandingan "Piala Malaysia" sahaja. Hari ini berbagai liga diadakan namun pencapaiannya tidak kemana. Pada ingatan saya , FAM pernah menubuhkan pasukan bawah 21 tahun atau sebagainya untuk dijadikan pelapis namun tidak diketahui kewujudannya lagi.

Selepas dibelasah oleh China dan Uzbekistan, jurulatih skuad negara menyalahkan pemain yang menurutnya terlalu banyak melakukan kesilapan. Itu jawapan 'standard' mana – mana jurulatih pun apabila kalah. Benarkah pemain kita yang bertaraf professional melakukan kesilapan yang dimaksudkan itu.

Pemain tidak sepatutnya dipersalahkan (kecualilah mereka menjual perlawanan). Saya yakin perkara tersebut tidak berlaku. Sudah sampai masanya dilakukan satu rombakan besar pada induk persatuan bolasepak Malaysia (FAM). Berilah peluang muka baru yang lebih kreatif dan bertenaga untuk menggalas tanggungjawab besar. Kenapa perlu takut untuk membuat perubahan. Bukankah terbukti kita gagal mencapai kemenangan sepanjang dua puluh tahun ini, jangankan diperingkat Asia, di Asia Tenggara pun kita lingkup.

Akhirnya saya melihat, persatuan bolasepak di Malaysia ini hendaklah dibebaskan dari cengkaman dan pengaruh orang politik. Seperti KM Melaka yang mempengerusikan MAFA, beliau bukanlah ahli dalam sukan bolasepak. Adakah beliau mampu memberi pandangan yang baik dalam memajukan bolasepak. Begitu juga pasukan tajaan pemuda UMNO - My Team, adalah jelas mereka yang berselindung disebalik pasukan ini ada agenda tersendiri, mencari pengaruh dan habuan kewangan .

Jadikanlah piala Asia ini sebagai satu pengajaran untuk kita menilai kembali kesilapan dan seterusnya membuat satu perubahan positif. Sepatutnya kita telah lama maju setanding Jepun, Korea mahupun negara timur tengah. Saya yakin kita akan berjaya. Malaysia Boleh, FAM boleh....tetapi kenalah berubah.

Tiada ulasan: