Tuesday, December 20, 2011

INDAH WATER KONSORTIUM (IWK) : SISTEM PEMBETUNGAN DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA

SISTEM PEMBETUNGAN DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA


Written by Foon Weng Lian   
Tuesday, 15 November 2011 04:05
 
Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami sepenuhnya jenis sistem pembetungan yang terdapat di negara ini.

Mereka beranggapan bahawa jika mereka berjaya mengepam bahan buangan mereka melalui tandas, maka mereka percaya ada pihak yang akan menguruskan segalanya.

Anggapan seperti ini menyebabkan ramai yang belum dapat menghayati kepentingan perkhidmatan pembetungan memandangkan ia tidak memberi apa-apa kesan secara terus kepada mereka.

Kefahaman terhadap sistem pembetungan yang terdapat di Malaysia akan membantu masyarakat menilai tentang perkhidmatan pembetungan  dan memahami peranan masing-masing ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan yang diinginkan.

Sistem Bersambung dan Tangki Septik
Terdapat dua jenis sistem pembetungan di Malaysia, iaitu sistem bersambung dan tangki septik. Sistem bersambung adalah satu sistem yang rangkaian paip pembetungan akan membawa kumbahan dari premis ke suatu loji rawatan kumbahan yang terletak di luar kawasan premis. Manakala sistem tangki septik pula tidak melibatkan rangkaian paip di luar kawasan premis kerana rawatan dilakukan di kawasan premis.

Sistem tangki septik telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Sistem rawatan kumbahan oleh tangki septik tidak menyeluruh dan tidak berupaya untuk mematuhi piawaian yang telah ditentukan. Penggunaan sistem jenis bersambung adalah lebih efisien dan sesuai untuk merawat kumbahan dalam kuantiti yang lebih banyak dan boleh dirancang bagi menerima kumbahan dari kawasan-kawasan berhampiran.

Pengesahan Jenis Sistem
Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti jenis sistem pembetungan yang sedang dinikmati di premis masing-masing, maka perlu bagi penghuni premis untuk mengetahui sistem pembetungan yang digunakan di premis mereka. Oleh itu, cara yang paling mudah adalah dengan meneliti penutup lurang yang terdapat di luar premis. Sekiranya terdapat konfigurasi penutup lurang yang selari dan melebihi 1 buah penutup (2 atau 3 buah), maka premis berkenaan mempunyai sistem tangki septik.

Kebanyakan sistem jenis bersambung tidak mempunyai penutup lurang yang berdekatan di antara satu dengan yang lain.

Tanggungjawab Penyelenggaraan
Semua sistem bersambung yang telah diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK) perlu diselenggara dengan baik supaya sistem pembetungan dapat berfungsi dengan berkesan. Bagi kawasan yang belum diambil alih oleh IWK, maka Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan masih bertanggungjawab terhadap semua sistem pembetungan bersambung.

Pada masa yang sama, terdapat juga sistem bersambung yang dimiliki oleh pihak tertentu secara persendirian, contohnya hotel, institusi pengajian dan perubatan.

Oleh itu, pemilik sistem bersambung persendirian  perlu mempunyai lesen kelas dari SPAN serta mempunyai permit khas bagi tujuan menyelenggara sistem tersebut.

Tanggungjawab Pemilik, Perbadanan Pengurusan dan Penghuni

Di bawah Seksyen 3, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik, penghuni atau perbadanan pengurusan mana-mana premis yang bersambung ke tangki septik perlu :
  1. Mengenyahenap cemar tangki septik dalam premis sekurang-kurangnya 1 kali setiap 36 bulan. Disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.
  2. Memberi akses kepada tangki septik untuk dinyahenap cemar oleh IWK / Majaari ataupun kontraktor mengenyahenap cemar yang berdaftar dengan SPAN.
  3. Menyimpan salinan perakuan penyiapan perkhidmatan penyahenap cemar.
  4. Enapcemar perlu dilupuskan di tempat yang telah diluluskan oleh JAS / SPAN.
  5. Tidak boleh melepaskan, melupuskan dan meletakkan sisa bukan domestik ke dalam tangki septik. Disabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih daripada 1 tahun.
Bayaran Perkhidmatan Mengenyahenap cemar
Tuan punya premis boleh berunding dengan pemegang permit / kontraktor yang berdaftar dengan SPAN untuk jumlah serta cara bayaran yang dikenakan. Walau bagaimanapun, sekiranya tuan punya premis memerlukan perkhidmatan IWK, maka bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300 bagi setiap meter padu.

Bayaran yang lebih tinggi yang dikenakan oleh IWK  berbanding dengan kontraktor lain adalah disebabkan IWK tidak boleh menolak mana-mana permintaan perkhidmatan nyahenap cemar yang dibuat oleh tuan punya premis.

Bahaya Kelimpahan Kumbahan atau Efluen
Sehingga kini, lebih kurang 10% daripada 1.3 juta tangki septik yang telah  dinyahenapkan di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan efluen yang dikeluarkan tidak dapat mencapai tahap yang dikehendaki.

Ia merupakan punca pencemaran alam sekitar yang ketara bagi sesuatu kawasan perumahan. Selain itu, risiko kesihatan umum juga timbul memandangkan tanpa rawatan kumbahan yang sempurna, efluen yang mengandungi bakteria boleh merebak dengan cepat.

Oleh sebab itu, nyahenap cemar mesti dilaksanakan dengan kadar yang segera sekiranya premis tersebut tidak pernah dinyahenap cemar tangki ataupun lebih daripada 3 tahun tidak dilakukan nyahenap cemar demi kesejahteraan hidup pengguna premis dan masyarakat setempat.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

No comments:

Post a Comment