Thursday, March 28, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua, pembaca sekalian. Kali ini saya ingin berbicara mengenai makanan. Memang sangat sedap jika dapat menjamu makanan yang panas-panas ketika cuaca sejuk, Maklumlah sedang musim hujan, pasti perut akan berasa lapar.
Disebabkan perut yang agak kelaparan, saya singgah di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran depan kampus untuk membeli kuih sebagai kudapan waktu petang. Semasa saya sedang sibuk memilih untuk membeli kuih, datang seorang lagi pembeli lain dan dia bertanya kepada penjual “ Makcik, goreng pisang ada tak?”.
Sebagai pelajar yang mengambil program Pendidikan Bahasa Melayu, saya hanya mampu tersenyum dan mengelengkan kepala kerana pelajar terbabit menggunakan bahasa Melayu yang salah. Penggunaan perkataan “ goreng pisang” adalah salah kerana melanggar hukum D-M. Hal ini demikian kerana dalam hukum D-M, perkara yang diterangkan haruslah hadir dahulu sebelum perkara yang menerangkan. Dalam hal ini, ‘goreng’  merupakan perkataan yang menerangkan tentang ‘pisang’. Perkataan sebenar ialah pisang goreng.
Jika perkataan ‘goreng’ dihadapankan, frasa tersebut merupakan frasa kerja bukannya kata nama. Yang musykilnya, kenapa tiada orang menyebut ‘goreng nasi’? Pandai pula hendak menyebutnya dengan betul ‘nasi goreng’. Jadi sama-samalah kita fikirkan dan cuba untuk menuturkan bahasa Melayu yang sebetulnya.
Sekian, coretan saya pada hari ini. Selamat malam.

No comments:

Post a Comment