Kata motivasi

"Tiada siapa yang paling pandai dan paling bodoh di dunia ini kerana setiap yang pandai itu boleh menjadi bodoh dan setiap yang bodoh itu boleh menjadi pandai."
Jadilah Guru yang Cemerlang Dunia & Akhirat

Monday, September 24, 2012

JENIS-JENIS UJIAN


Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai. Guru juga merancang dan membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.
Ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ia penting dalam memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu ia juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan pelajar tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.
3.1.1 Ujian Pencapaian
Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik yang telah dipelajari. Ujian pencapaian boleh dijalankan dalam bentuk membuat perbandingan dengan pelajar lain dalam sesuatu bilik darjah (rujukan norma) atau membuat rujukan tertentu bagi sesuatu aras dalam topik (rujukan kriteria) sesebuah dalam kurikulum. Kebanyakan pembinaan ujian pencapaian serta penskoran adalah berteraskan ujian rujukan norma. Ujian pencapaian boleh digunakan untuk mengukur aspek pencapaian akademik, aptitud, siasah, minat, sikap dan sebagainya. Ujian pencapaian akademik dapat mengukur kebolehan, pengetahuan serta kemahiran pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Ujian ini dibina oleh guru dan pada peringkat institusi seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Penggubalan pada peringkat perseorangan dikenali ujian di bilik darjah. Manakala bagi pencapaian peringkat pusat dikenali sebagai PMR, SPM, STPM dalam sebagainya.
3.1.2 Ujian Kecerdasan
Ujian kecerdasan dikenali juga ujian mental. Ujian ini cuba mengukur perbezaan di antara individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan perkembangan bidang psikologi. Sejarah ujian ini bermula sejak tahun 1796. Ujian ini mula berkembang sejak Galton pada tahun 1969 apabila beliau cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental serta pencapaian intelektual di antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam mengukur aspek mental termasuklah Wundt, Cattell d n Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon.
Bagi kanak-kanak ujian kecerdasan tidak menekankan aspek kebahasaan. Ujian ini mencerminkan pengalaman pada peringkat kanak-kanak. Ujian kecerdasan memberikan bukti secara tidak langsung tentang potensi yang ditunjukkan murid-murid berdasarkan prestasinya. Ujian ini kerap kali digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet, Weschler, Ujian Lorge-Thorndike dan lain-lain.
3.1.3 Ujian Prestasi
Ujian prestasi memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai tambahan kepada menjawab soalan. Penekanan yang diberikan tertumpu kepada kebolehan murid-murid melakukan sesuatu tugasan yang diberi berbanding hanya menjawab soalan sahaja. Hal ini kerana maklumat personaliti seseorang tidak bernilai jika dia menyedari bahawa dia sedang dinilai. Dengan itu dia akan melakukan dengan sebaik yang mungkin. Dalam konteks ujian prestasi, tidak ada gerak balas boleh dianggap sebagai `baik’. Misalnya tidak ada ukuran baik atau buruknya minat seseorang itu pada dunia perladangan. Individu yang berminat boleh meneruskan ladang dan sebaliknya boleh memilih bidang lain yang bersesuaian dengan minatnya.
Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar. Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri pelajar sendiri menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu yang menilai peribadi diri.
3.1.4 Ujian Diagnostik
Ujian ini mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah berkenaan berlaku. Pentadbiran ujian ini bertujuan untuk menentukan kedudukan murid dalam pelajarannya dan mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kelemahan murid dalam pembelajarannya. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti maka tindakan selanjutnya dalam merancang dan memulihkan keadaan yang berlaku dapat dilaksanakan.
Ciri-ciri ujian diagnostik termasuklah ujian tidak memberikan skor atau gred kepada murid. Disebabkan ujian ini untuk memperbaiki kelemahan tertentu, maka ujian ini dilaksanakan pada masa pengajaran dan pembelajaran masih berjalan bukan pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat daripada ujian dalam ujian ini diterjemahkan dalam bentuk profil individu berasaskan skor tentang aspek-aspek pembelajaran. Profil yang dibuat dapat memperlihatkan kepada guru tentang aspek yang belum dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid. Contoh ujian diagnostik seperti ujian menilai bacaan murid yang bertujuan mengenal pasti kemahiran murid untuk mengenal huruf dan menyebut huruf.
Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga boleh dijalankan secara soal jawab, inventory, pemerhatian dan tugasan dari semasa ke semasa.
3.1.5 Ujian Kecekapan
Ujian kecekapan ialah ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji kebolehan atau kecekapan seseorang murid atau calon dalam melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti yang diberikan. Lazimnya ujian ini melibatkan penggunaan instrumen yang konkrit seperti penggunaan gambar dan radas serta tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan pensel-kertas melainkan sewaktu mendapatkan arahan. Contoh ujian kecekapan seperti ujian pada peringkat pra-persekolahan dengan meminta murid mencantum-cantumkan perkataan dengan gambar yang diberikan atau membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberi atau menjalankan uji kaji menggunakan radas tertentu.
3.1.6 Ujian Bakat
Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Suatu waktu dahulu bakat dikenal sebagai kebolehan istimewa semulajadi yang dimiliki oleh seseorang individu. Pada umumnya ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu: (i) ujian bakat yang berasaskan kajian secara besar-besaran. Misalnya pada tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota tentang bakat mekanikal; dan (ii) ujian bakat yang berasaskan kepada tujuan sesuatu ujian itu dijalankan bagi keperluan tertentu.
Pada umumnya, ujian ini memberikan maklumat asas dalam membuat telahan prestasi masa depan calon. Ujian ini lazimnya digunakan untuk pemilihan calon melakukan pekerjaan tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan sebagainya. Contoh ujian bakat seperti ujian kemasukan ke maktab perguruan (UKELP). Ujian ini juga digunakan bagi tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehan calon atau individu.
3.1.7 Ujian Personaliti
Ujian personaliti ialah ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri, personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang yang diukur melalui alat-alat (instrumen psikologi) yang berbentuk ujian, inventori, indikator dan indeks. Contoh ujian personaliti seperti Ujian Keirsey Temperament.

No comments:

Post a Comment