Pendidikan Khas


APA ITU PENDIDIKAN KHAS ?


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Hari ini saya nak kongsi kepada semua tentang pendidikan khas. Hal ini kerana, saya bakal menjadi seorang guru pendidikan khas. Oleh sebab itu, saya sangat tertarik dan ingin memberikan sedikit pengenalan tentang apa itu pendidikan khas.


Menurut kasmawatilaturi (2012), Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan 
pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi(pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.


Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid. 

Bilangan murid pendidikan khas rendah dan menengah di seluruh 
Malaysia adalah seramai 2912, manakala guru pula ialah seramai 630. Terdapat sebanyak 28 buah sekolah rendah, iaitu lima(kanak-kanak buta), dan 23 (kanak-kanak pekak). Manakala bagi sekolah menengah rendah pula, terdapat tiga buah sekolah pendidikan khas iaitu, satu (kanak-kanak buta) dan tiga (kanak-kanak pekak). Bilangan murid pendidikan khas integrasi pula adalah seramai 11 961, manakala gurunya pula adalah seramai 2587 orang.


Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pendidikan khas pula adalah; Tadika(berusia tidak kurang 6 tahun), Sekolah Rendah(berusia 6+ hingga 14+ tahun) dan Sekolah Menengah (13+ hingga 19+ tahun. Semua kanak-kanak ini mestilah mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan individu atau orang lain.






KATEGORI DAN CIRI-CIRI MURID BERKEPERLUAN KHAS


PENGENALAN

Berdasarkan Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, Pendidikan Khas ertinya pendidikan bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di suatu sekolah khas atau di sekolah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI) pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah atau pendidikan lepas menengah. Dalam sistem Pendidikan Khas di Malaysia, PPKI merupakan penyumbang utama enrolmen Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan dilaksanakan di seluruh negara.
“Murid Berkeperluan Khas ertinya murid yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak, sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi atau ketidakupayaan serta masalah yang telah dinyatakan di atas”.
Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013.



Kategori Murid Berkeperluan Khas

Kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK) perlu disahkan oleh pengamal atau pakar perubatan sebelum dibuat penempatan dan pendaftaran OKU. Guru Pendidikan Khas seharusnya mengenal pasti semua kategori MBK berdasarkan pengesahan doktor untuk mengesan ciri-ciri MBK berasaskan kategori sebagai langkah awal menyediakan data dan maklumat murid sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Kategori murid boleh dirujuk kepada Buku Garis Panduan Pendaftaran OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2014.
Kategori MBK adalah seperti berikut:



Ketidakupayaan Penglihatan (BL)

Ketidakupayaan penglihatan bermaksud tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di keduadua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:
- Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation;
- Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation;
- Buta sebelah mata bermaksud hanya sebelah mata sahaja berfungsi dengan sempurna dan sebelah lagi penglihatan kurang daripada 3/60 atau kurang dari 20 darjah dari fixation bermaksud buta.



Ketidakupayaan Pendengaran (BD)

Ketidakupayaan pendengaran bermaksud murid yang mempunyai masalah pendengaran. Masalah pendengaran terbahagi kepada empat peringkat kehilangan deria pendengaran berdasarkan tahap desibel (dB) iaitu:
- Ringan (Mild: ) iaitu 25-40 dB;
- Sederhana (Moderate) iaitu 41-60 dB;
- Teruk (Severe) iaitu 61-90 dB;
- Sangat Teruk (Profound) iaitu 91 dB dan ke atas.
Pilihan komunikasi bagi kanak-kanak masalah pendengaran bergantung kepada kesediaan intervensi awal kanak-kanak tersebut. Bagi kanak-kanak yang menggunakan alat bantuan pendengaran dan mempunyai keupayaan bertutur maka komunikasi yang dipilih adalah pertuturan biasa dengan bantuan peralatan.



Ketidakupayaan Pertuturan

Ketidakupayaan pertuturan terdiri daripada empat masalah iaitu:
- Masalah sebutan
Kecenderungan meninggalkan suku kata atau mengubah bunyi sesuatu perkataan atau dikenali sebagai pelat.
-Masalah gagap
Merupakan gangguan terhadap kelancaran percakapan. Aliran pertuturan terganggu di mana seseorang itu mungkin mengulang, berhenti seketika atau mencelah dengan suku kata atau perkataan. Gagap kerap berlaku apabila individu tersebut teruja dan ingin menyatakan sesuatu dengan cepat.
- Masalah suara
Berkaitan dengan kualiti suara seseorang. Ia mungkin terlalu lantang, lembut, garau, kasar, sengau, nada yang tinggi, rendah atau nada yang sama dan tidak berubah.
- Masalah bahasa
Berkaitan dengan sistem saraf pusat. Masalah ini mengganggu kefahaman atau penggunaan perkataan. Istilah yang digunakan ialah aphasia, bermaksud seseorang yang menghadapi kesukaran mentafsir bahasa dalam sesuatu perbualan dan kesukaran menggunakan perkataan yang sesuai semasa berkomunikasi. Masalah pertuturan menyebabkan kanak-kanak berasa tidak selesa dalam situasi sosial serta memberi kesan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.



Ketidakupayaan Fizikal

Ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan atau tiada suatu anggota atau ketidakupayaan di manamana bahagian badan yang mengalami keadaan seperti hemiplegia, paraplegia, tetraplegia, kehilangan anggota, kelemahan otot-otot yang mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan aktiviti asas seperti penjagaan diri, pergerakan dan pertukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau ketidakfungsian sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan lain-lain.
Contoh ketidakupayaan fizikal:
- Limb defects (congential/acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
- Spinal Cord Injury - hanya sekiranya tiada
- Stroke - pengembalian fungsi
- Traumatic Brain Injury - selepas enam (6) bulan
- Kerdil (Achondroplasia) iaitu _ 142cm bagi lelakidan _ 138cm bagi wanita
- Celebral Palsy



Masalah Pembelajaran (BP)

Masalah pembelajaran dianggap sebagai masalah neurologi. Ianya berkaitan dengan cara otak menerima, memproses, menganalisis dan menyimpan maklumat. Masalah pembelajaran merupakan kecelaruan dalam satu atau lebih daripada satu proses psikologi yang melibatkan kefahaman, penggunaan bahasa lisan atau bertulis. Kecelaruan ini boleh menjejaskan keupayaan mendengar, berfikir, bertutur, membaca, menulis, mengeja atau mengira. Masalah pembelajaran termasuklah masalah pembelajaran akademik, bahasa, ingatan, sosioemosi, kemahiran motor dan koordinasi serta hiperaktiviti.
Kategori murid-murid masalah pembelajaran seperti Disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Slow Learner, Autisme, Sindrom Down, Terencat Akal Ringan dan Pintar Cerdas (Jas Laile Suzana Jaafar,1996, Haliza Hamzah, Joy N. Samuel, 2009, Mohd Sharani Ahmad, 2006).



Ketidakupayaan Pelbagai (MD)

Ketidakupayaan pelbagai ialah kombinasi ketidakupayaan seperti yang berikut:
- Masalah pembelajaran dan masalah penglihatan;
- Masalah pembelajaran dan masalah pendengaran;
- Masalah pembelajaran dan masalah fizikal, masalah penglihatan dan masalah pendengaran;
- Masalah penglihatan dan masalah fizikal serta masalah pendengaran dan masalah fizikal.




KATEGORI DAN CIRI-CIRI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS MASALAH PEMBELAJARAN

1. Sindrom Down
2. Pintar Cerdas
3.Hyperaktif
4.Selebral Palsi
5. ADHD/ ADD (Tumpuan perhatian singkat)
6. Autisme




1. Sindrom Down
·         Seperti orang Mongol
·         Rambut yang jarang dan lurus (majoriti berambut lurus dan lembut)
·         Bahagian kepala dan muka leper
·         Hidung kemek dan kecil
·         Bentuk muka yang kecil
·         Mata yang kecil dan senget ke atas
·         Lidah yang tebal dan kerap terjelir
·         Jari pendek dan lebar.
·         Tapak tangan hanya ada satu lipatan
·         Jari kelengkeng tangan melekung
·         Jarak ibu jari kaki dengan jari kedua lebar
·         Senang dijangkiti penyakit telinga, mata dan hidung
·         Kelopak mata berlipat-lipat
·         Lelangit tinggi
·         Cuping telinga tidak sempurna
·         Bermasalah pertuturan
·         Otot lembik
·         Sendi longgar
·         Garisan pada tapak tangan yang jelas
·         IQ rendah
·         Kerencatan akal (bermasalah mental)
·         Hadapi masalah bersosialisasi
·         Tingkah laku kurang matang dan kebudak-budakkan
·         Selalu menangis
·         Tidak dapat mengawal emosi



2. Pintar Cerdas
·         Kebolehan yang luar biasa
·         Mempunyai masalah psikososial seperti masalah kelakuan dan emosi
·         Pergaulan dengan kanak-kanak lain
·         Perkembangan bahasa yang lambat
·         Perbendaharaan kata yang kemas
·         Tidak perlukan banyak tunjuk ajar ketika belajar
·         Kemukakan soalan yang bertalu-talu
·         Suka bergaul dengan orang yang lebih tua
·         Suka mencari helah



3. Hyperaktif
·         Aktiviti fizikal yang agresif dan berlebihan
·         Tindakan yang berlebihan terhadap rangsangan cahaya, bunyi dan warna
·         Tidur yang tidak tetap
·         Terlalu kerap menangis atau ketawa
·         Sukar beri tumpuan terhadap permainan atau kerja yang dilakukan
·         Suka menganggu orang lain
·         mengubah aktiviti atau tindakan secara mengejut
·         Mudah mengamuk bila kehendaknya dihalang
·         Sukar menyesuaikan diri dan berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya



 4. Selebral Palsi
·         Kecacatan anggota (tangan, kaki tubuh badan)
·         Masalah pergerakan
·         Masalah postur
·         Kekejangan
·         Pergerakan tidak terkawal
·         Masalah komunikasi
·         Masalah motor halus/ kasar
·         Masalh tulisan
·         Masalah perkembangan motor halus/ kasar

  

5. ADHD/ ADD (Tumpuan perhatian singkat)
·         Lambat menyiapkan tugasan
·         Mudah terganggu
·         Masalah konsentrasi
·         Masalah menguruskan tugasan
·         cepat lupa
·         Impulsif
·         Membuat tugasan lain tanpa menyiapkan tugasan sebelumnya
·         Memerlukan pengawasan yang lebih
·         Masalh menunggu giliran



6. Autisme
·         Perlakuan yang bongkak
·         Ketawa dengan tiba-tiba
·         Perkataan yang diulang berkali-kali dan gagap
·         Tidak mengenali bahaya
·         Tidak merasai kesakitan
·         Menangis dan marah tanpa sebab
·         Permainan yang luar biasa
·         Tidak mahu didakap
·         Tidak dapat menyesuaikan diri dengan kanak-kanak lain
·         Berkelakuan seperti orang pekak
·         Tiada perhubungan mata bila bercakap
·         Memutar barang
·         Tidak mengawal keseimbangan fizikal
·         Tingkah laku aktif keterlaluan
·         Tidak mahu pelajaran biasa
·         Menggigit kuku, hisap jari dan mencederakan diri
·         Takut dan cemburu berlebihan