30 Jun 2011

Operasi KTMB Stesen Tanjung Pagar, Bukit Timah Berakhir



Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah di Singapura, akan tamat mulai tengah malam jam 12.00, 30 Jun 2011, apabila perkhidmatan ke republik itu berakhir di Woodlands Train Checkpoints mulai 01 Julai 2011.

Tren terakhir KTMB akan meninggalkan Stesen Tanjung Pagar mulai jam 11 malam 30 Jun 2011 menjadi noktah perkhidmatan stesen kereta api Tanjung Pagar, yang turut dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan pengangkutan itu.


Stesen Bukit Timah yang terletak antara Tanjong Pagar dan WTCP turut akan ditutup. Jarak laluan dari Stesen Woodlands ke Stesen Bukit Timah adalah sepanjang 14 kilometer, manakala laluan dari Stesen Bukit Timah ke Stesen Tanjung Pagar adalah 10.25 kilometer.

Sumber: BHarian.


KAKITANGAN KTMB, Mohd Helmy Rahim menampal poster pemberitahuan pemindahan Stesen Tanjong Pagar, semalam. Tren terakhir ke Singapura jam 11 malam selepas 60 tahun perkhidmatannya.

Mulai 1 Julai 2011, Woodlands Train Checkpoint (WTCP) menjadi destinasi terakhir KTMB bagi menurunkan penumpang ke Singapura, manakala nasib Stesen Tanjong Pagar akan ditentukan oleh kerajaan Singapura yang berjanji mengekalkannya sebagai warisan seperti yang terkandung di dalam Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) pada 1990.

Jadual ke Woodlands akan berterusan sehingga KTMB menamatkan perjalanan ke Singapura sepenuhnya yang hingga kini tarikhnya belum dimuktamadkan.

Selepas itu, tiada lagi perjalanan ke republik berkenaan menggunakan kereta api. Stesen terakhir selepas KTMB menamatkan perkhidmatan di WTCP adalah Stesen Johor Bahru Sentral.

Sumber: Utusan Online

Baca Juga: Sejarah Stesen Tanjung Pagar Dan Bukit Timah Akan Terus Kekal.

Maktab Kirkby Nostalgia Pendidikan di Malaysia

MALAYAN Teacher's College Kirby di Liverpool, England yang lebih ringkas dipanggil Maktab Kirby telah ditutup 48 tahun yang lalu. Namun, sehingga hari ini maktab itu sentiasa dikenang dalam sejarah perkembangan pendidikan negara. Apa istimewanya maktab itu?



Ia adalah sebuah institusi pertama khas ditubuhkan di luar negara bagi melahirkan guru-guru di Tanah Melayu.

Kelahiran maktab itu juga merupakan satu eksperimen pendidikan yang unik di mana sebuah negara asing dibenarkan menubuhkan maktab latihan guru di England pada 1951.

Mengikut kontrak perjanjian antara Tanah Melayu dan England, Maktab Kirby beroperasi selama 10 tahun, dari 1952 hingga 1962.


Kontrak itu juga telah menetapkan jumlah pengambilan guru pelatih sebanyak 150 orang setahun dan sepanjang tempoh itu, ia berjaya melahirkan 1,500 pelatih dengan 405 daripada mereka mendapat bantuan pakar dari Universiti Liverpool.

Berbekalkan tenaga pensyarah berpengalaman, kurikulum dan kokurikulum yang digubal khas bagi melatih guru Malaya menggunakan silibus moden, termasuk sesi latihan mengajar di sekolah-sekolah Inggeris; dan pendedahan kepada tamadun dan cara hidup masyarakat Barat, Maktab Kirby berjaya melahirkan guru-guru cemerlang dan hebat. (Rujuk: Utusan Online)


GAMBAR suasana pembelajaran bahasa Inggeris di Maktab Kirkby yang diajar oleh E Hilton.

MALAYAN Teachers Training College, Kirkby sebagai maktab perguruan mungkin nama asing kepada penduduk negara ini kerana pelajar jarang bertanya tempat latihan guru mereka. Namun, sebahagian masyarakat di Malaysia sebenarnya dilatih oleh guru keluaran Maktab Kirkby, terutama guru bahasa Inggeris.

Maktab itu penting dalam susur-galur latihan guru atau sejarah pendidikan negara kerana menjadi institusi yang ditubuhkan di England untuk melatih sumber manusia di Persekutuan Tanah Melayu.



Maktab Kirkby hanya beroperasi selama 11 tahun, iaitu antara 1951 hingga 1962 di Liverpool dan berjaya melahirkan 1,500 pendidik.

Kebanyakan mereka daripada kumpulan terakhir sudah pun menamatkan perkhidmatan lebih 20 tahun lalu dan tidak hairanlah ramai yang tidak mengetahui kewujudan maktab berkenaan.

Pelajar yang dilatih oleh guru Maktab Kirkby kini memegang jawatan penting sama ada dalama sektor awam mahupun swasta. Antara alumni Maktab Kirkby ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun (Kumpulan 1952-1954) yang juga Penaung Diraja, Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM).

Baginda kekal sebagai guru selama 22 tahun dan mendidik ribuan pelajar di Kuala Lumpur, Seremban, Raub, Taiping dan Kuantan.

Bahkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenalan dengan Tuanku Bainun di England pada 1952 ketika menyambut kumpulan kedua 150 pelajar dari Tanah Melayu yang akan meneruskan latihan di Maktab Kirkby. Kedua-dua baginda aktif dalam sukan hoki.

Kegigihan dan iltizam guru keluaran maktab itu terbukti dengan empat Tokoh Guru Kebangsaan ialah lulusan Maktab Kirkby, iaitu Harith Liki (1988), Idris Tain (1990), Lau Hut Yee (1992) dan Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim (1998).

Selain dedikasi dalam pendidikan, guru keluaran maktab itu sebenarnya serba boleh dan menceburi bidang lain selepas berbakti dalam perkhidmatan pendidikan.

Sebahagian guru keluaran Maktab Kirkby melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kemudian bertugas dalam kerjaya seperti doktor perubatan, peguam, akauntan, ahli politik dan pensyarah serta diplomat.

Kini, walaupun sudah lama pencen, kebanyakan pesara Maktab Kirkby masih aktif sama ada dalam perniagaan, kerja kebajikan atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mengajar di universiti atau kolej swasta serta menulis.

Antaranya, Timbalan Presiden PAMKM yang juga bekas pensyarah, Dr Shaari Isa yang sudah menghasilkan kira-kira 40 buku fiksyen dan ilmiah, termasuk novel Kirkby; The Life and the Loves.

Sekadar menyatakan beberapa nama lagi, alumni Maktab Kirkby ialah Datuk Baharuddin Marji yang terbabit dalam penganjuran musabaqah al-Quran sejak 1971, Sasterawan Negara dan budayawan dalam bidang teater, Datuk Noordin Hassan dan pengasas Sri Murugan Centre, iaitu NGO yang memberi tuisyen percuma kepada lebih 13,000 pelajar keturunan India yang miskin, Datuk Dr M Thambirajah.

Ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini, tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim yang juga Presiden PAMKM secara berseloroh menggelar rakan-rakannya yang masih bergiat dalam pelbagai arena itu sebagai ulamak, singkatan kepada ‘usia lanjut masih aktif’.

Yahaya sendiri pada usia 82 tahun dan bersara dari Jemaah Nazir, Kementerian Pelajaran kira-kira 25 tahun lalu masih menyumbang tenaga dan buah fikiran menerusi beberapa institusi pendidikan tinggi swasta.

Jabatan Filem Negara Malaysia berjaya menerbitkan dokumentari mengenai pengalaman anak muda berusia 19 hingga 21 tahun dari Tanah Melayu ketika itu menjalani latihan di Maktab Kirkby.

Filem kira-kira 40 minit antara lain merekodkan kumpulan pertama seramai 148 pelajar pada 1951 menaiki kapal SS Chusan dalam perjalanan 21 hari menuju Liverpool.



Sebaik tiba, mereka terkejut kerana ‘Kirkby College’ bukannya kolej dengan bangunan tinggi dan berprestij seperti institusi pendidikan lain di England, tetapi binaan kayu setingkat, iaitu bekas kemudahan tentera British yang digunakan sepanjang Perang Dunia Kedua.

Namun, mereka tetap tabah untuk menuntut ilmu dan berazam pulang untuk membantu membangunkan tanah kelahiran.

Pelatih datang dari seluruh Tanah Melayu dan dipilih daripada kalangan keluarga berada dan miskin dari luar bandar sama ada Melayu, Cina, India dan Serani.

Kepelbagaian budaya dan status masyarakat serta kemesraan penduduk Tanah Melayu yang terhimpun di Maktab Kirkby menjadikan pelatih menggelarkan kolej mereka sebagai Kampung Kirkby.



Latihan selama dua tahun dilaksana sekumpulan pensyarah berpengalaman dalam pelbagai subjek seperti Bahasa Inggeris, muzik dan seni tampak serta diikuti praktikal mengajar di sekolah sekitar Liverpool.

Dengan England yang baru tamat daripada perang dan pelajar sekitar Liverpool yang datang daripada keluarga miskin serta tidak berpendidikan tinggi, latihan di Maktab Kirkby menghasilkan guru yang kental selepas pulang dan ditempatkan di pedalaman tanah air.



Fakta tidak patut dilupakan ialah pengumuman pertama mengenai persetujuan kerajaan Inggeris memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu atau Malaya dalam bahasa Inggeris dibuat di Maktab Kirkby.

Pengumuman berkenaan dibuat pada Februari 1956 oleh Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman ketika lawatan bersama Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak ke Maktab Kirkby, sehari selepas tamat rundingan kemerdekaan.

Tunku dan rombongan bersusah payah mengambil perjalanan sejauh 340 kilometer dari London ke Liverpool untuk bertemu penduduk Malaya di maktab itu dan kemudian bersama-sama melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali.

Sumber: BHarian.

Malaysia Tewaskan Taiwan di Perlawanan Pertama Kelayakan Piala Dunia 2014

TAHNIAH !!! Kepada Skuad Bola Sepak MALAYSIA!!!!
Teruskan Perjuangan Sehingga Beroleh Kemenangan di TAIPEI Kelak........
Pastinya Nanti Dengan Usaha Yang Lebih Keras Dan Lebih Bersungguh-Sungguh di Hadapan Ribuan Penyokong Pasukan Lawan....


PEMAIN Taiwan berjalan kecewa ketika pemain Malaysia meraikan gol kedua yang dijaringkan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak. (Foto: BHarian)

Skuad bola sepak negara berjaya memperoleh kemenangan 2-1 menundukkan Taiwan dalam saingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu malam 29 Jun 2011. Bagaimanapun Malaysia dikira tidak membawa bekalan selesa ke Taipei untuk perlawanan timbal balik.

Safiq Rahim dan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak menjadi wira negara apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-28 dan minit ke-54.

Perlawanan timbal-balik pertemuan kedua akan berlangsung di Stadium Taipei, Taiwan pada Ahad ini (3 Julai).



SAFIQ (dua dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama Malaysia. (Foto: Kosmo)

Sekiranya skuad Harimau Malaya berjaya melepasi halangan Taiwan, skuad bimbingan Rajagobal itu akan menentang pula Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik tersebut pada 23 Julai.

Perlawanan timbal-balik pula dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 untuk kejohanan di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.

Sumber: BERNAMA

29 Jun 2011

Laman Sosial Google+



Enjin pencarian internet terkenal dunia, Google telah memperlihatkan produk terbarunya iaitu laman sosial Google+ (Google Plus) yang bakal menyaingi laman sosial sedia ada seperti Facebook dan Twitter.

Keupayaan Google+ ialah membolehkan pengguna membezakan kawan secara dalam talian dan keluarga dalam “bulatan” berbeza atau rangkaian dan berkongsi maklumat hanya dengan ahli dalam bulatan berkenaan.


Secara ringkasnya, melalui Google+, ianya mengabungkan pelbagai perkhidmatan Google pada satu halaman, serta menambah beberapa fungsi untuk memudahkan pengguna menguruskan, dan menikmati fungsi-fungsi sosial padanya, termasuk dengan fungsi notifikasi dan sebagainya.

Salah satu kritikan terhadap Facebook ialah sebarang kemas kini dikongsi semua kawan kecuali pengguna membuat Kumpulan Fecebook berbeza.

(Sumber: BHarian)

Antara fungsi-fungsi yang diperkenalkan dalam Google+ (Google Plus) adalah seperti Circle,Hangouts, Instant Upload, Sparks, dan Huddle.

Berikut adalah sedikit screenshot berkenaan Google+ (plus):


Circle.


Hangouts.


Instant Upload.


Sparks.


Huddle.

(Kredit: http://eiz1004.upprofits.com)

Jikalau pada Facebook, pengguna diperlihatkan dengan News Feed sebaik sahaja mendaftar masuk ke halamannya, melalui Google+, para pengguna diperlihatkan dengan Stream, dimana melaluinya, para pengguna boleh berkongsi gambar, video dan juga status dengan rakan-rakan dengan mudah. Pengguna juga boleh melihat kemaskini rakan-rakan pada halaman sama, dan mengikuti perkembangan mereka dengan mudah dan pantas.

Google membawakan fungsi Circles, yang mana berfungsi untuk membahagikan rakan-rakan dan senarai hubungan anda pada Google+ mengikut kumpulan, yang mana dikenali sebagai Circles. Menariknya adalah para pengguna boleh menambah rakan-rakan kepada sesuatu Circles dengan hanya tarik-dan-lepas sahaja.

Setiap rangkaian sosial menyokong penggunanya memuat-naik gambar dan video, dan menariknya Google membawanya kepada suatu tahap lebih tinggi, dengan turut sama menyokong fungsi meng-edit gambar, dimana pengguna boleh menambah pelbagai efek pada gambar sebelum memuat-naiknya pada laman sosial tersebut.

Buat masa ini, ianya masih lagi pada peringkat ujian. Para pengguna yang berminat boleh mendapatkan info lanjut berkaitan Google+ daripada halaman rasmi Google, dan mengikuti demo ini atau tour ini.
(Kredit: http://amanz.my)

Saya sertakan di sini video sepintas lalu tentang 'The Google+ Project'.



27 Jun 2011

Imej Bandar Misteri Di Huanshan, China

A famous superior mirage is the Fata Morgana , most frequently seen in the Strait of Messina between Italy and Sicily. However, Fata Morgana’s are also frequent in deserts, after night time radiation has cooled down the sand to temperatures lower than the air above. Distant objects appear extremely elongated, giving the impression of buildings and towns in the distance. This phenomenon is also known as ‘castles in the air’. (Rujuk: www.weatheronline.co.uk)

Berikut adalah satu fenomena yang merupakan suatu ilusi optik yang dinamakan sebagai Fatamorgana atau Logamaya.


SALAH satu imej ganjil yang menunjukkan beberapa bangunan tinggi di kaki langit bandar Huanshan, China. Berdasarkan catatan sumber foto, peristiwa ini berkemungkinan berlaku pada 16 Jun 2011.

Beberapa imej bandar dilihat muncul di langit pada awal bulan ini di bandar Huanshan, China. 'Bangunan pencakar langit di puncak gunung' kelihatan terletak di tengah-tengah Sungai Xin'an.

25 Jun 2011

Kebaikan Makan Pisang


PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.

PISANG atau nama saintifiknya Musa Paradisiaca, sememangnya digemari ramai. Sama ada dimakan begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis masakan, pisang menjanjikan keenakan tersendiri.

Pisang adalah buah-buahan tropika yang mudah ditemui di Malaysia. Selain itu, harganya agak murah berbanding dengan buah-buahan lain. [Utusan]

PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Menurut Indra Balaratnam, Pakar perunding diet dan Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

24 Jun 2011

Malaysia Ke Pusingan Ketiga Kelayakan Olimpik 2012


PENYUDAH kemas daripada penyerang skuad negara Wan Jack Haikal ketika menjaringkan gol kedua pada aksi menentang Lebanon di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

MALAYSIA melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Lebanon 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis malam 23 Jun 2011, meskipun terpaksa beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir.

Jaringan Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan laluan Malaysia ke pusingan seterusnya meskipun Chadi Atie berjaya mengubah kedudukan kepada 2-1 pada separuh masa kedua.


Aksi skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mendapat sokongan padu daripada 10,000 peminat tempatan.

Malaysia mara dengan agregat 2-1 setelah mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi pertama di Stadium Sport City, Beirut pada Ahad 19 Jun 2011.

Dengan kejayaan itu, Malaysia kini berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik dan satu slot playoff ke Sukan Olimpik 2012 di London pada September 2011. (Rujuk: Kosmo)

Undian pusingan ketiga dijadualkan pada bulan Julai oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). (Rujuk: BERNAMA).


PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan menewaskan Lubnan 2-1 bersama penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

ONG Kim Swee menyuarakan rasa yakin skuad Olimpik negara mampu membuat kejutan di pusingan ketiga nanti.

“Kita sedar pusingan ketiga nanti memang sukar, tetapi jika corak permainan sama dan disiplin tinggi dipamerkan, kita mampu membuat kejutan,” kata jurulatih skuad Harimau Muda itu. (Rujuk: BHarian).


Wan Zack Haikal (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Lebanon, Chadi Atie.

Jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee berkata pemainan pasukan itu semakin matang dan mempunyai komitmen tinggi apabila mampu menahan asakan lawan, walaupun terpaksa bermain dengan hanya sepuluh orang pada awal babak kedua perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan mutu persembahan yang telah dibuktikan oleh setiap pemain dalam mengekang asakan lawan berbaki 40 minit perlawanan.

"Sebagai jurulatih, saya kagum dengan peningkatan corak pemain muda dan ia adalah petunjuk bahawa kita telah bersedia untuk mara ke saingan peringkat ketiga nanti, iaitu pada September," katanya. (Rujuk: BERNAMA).


PEMAIN-pemain Malaysia memberi penghormatan kepada penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, selepas mengalahkan Lebanon 2-1 pada pertemuan kedua Kelayakan Olimpik 2012.

"Jika aksi sebegini dipaparkan lagi pada pusingan seterusnya, saya percaya pasukan kita mampu mencipta kejutan walaupun mungkin diundi sekumpulan dengan lawan seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia. (Rujuk: Utusan)

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Affize Faisal Mamat (Wan Zaharulnizam Zakaria), Mohamad Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail (Izzaq Faris Ramlan), Syahrul Azwari Ibrahim (Abdul Shukur Jusoh), Gurusamy Govandar Kandasamy, Gary Steven Robbat, Muhammad Zubir Mohd. Azmi, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohamad Fandi Othman.

LEBANON: Mohamad Dakramanji, Jad Noureddine, Mohamad Haidar, Omar Ouaida, Nour Mansour, Haytham Faour, Ali Bazzi, Chadi Atie (Mustapha Chahine), Kassem Leila, Mahmoud Kojok, Abdallah Taleb. (Rujuk: Utusan).

Baca Juga:
Kelayakan Pra-Olimpik: Malaysia Menang Tipis Atas Pakistan .
Malaysia Ke Pusingan Kedua Kelayakan Olimpik 2012.
Malaysia Vs Lubnan (Pusingan Kedua Kelayakan Sukan Olimpik).

19 Jun 2011

Puting Beliung Melanda Teluk Buih, Mersing,

Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering (Sila Baca Puting Beliung di Joplin, Missouri).

Dengan kuasa Allah, apa-apa pun boleh berlaku. Selama ini mungkin kita biasa mendengar puting beliung ini melanda satu kawasan tanah lapang yang luas, tanah ladang misalnya, di Amerika Syarikat. Tetapi hakikatnya tidak semestinya begitu. Puting beliung boleh berlaku dimana-mana sahaja. Akhbar hari ini melaporkan puting beliung telah melanda Mersing.


Foto: SEBUAH bot nelayan tersadai di jeti kerana diterbangkan puting beliung di pangkalan Teluk Buih, Mersing, semalam 18 Jun 2011. Angin kencang selama 10 minit turut rosakkan khemah peniaga

MERSING: Kejadian puting beliung berlaku di Mersing bermula daripada bermula dari Pulau Setindan dan kemudiannya bergerak menghala ke arah Teluk Buih. Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang kelmarin 18 Jun 2011.


Walaupun puting beliung yang dilihat bermula dari Pulau Setindan berhampiran Pantai Teluk Buih itu tidak menghala ke pasar lambak Jalan Makam, tempiasnya sudah cukup menyebabkan hampir 10 khemah peniaga rosak bersama puluhan bot gentian kaca milik nelayan yang diterbangkan angin.



Kejadian berterusan kira-kira 10 minit itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini dan menggemparkan penduduk sekitar Kampung Air Papan dan Teluk Buih. Walaupun tiada kemalangan jiwa, sekurang-kurangnya empat bot nelayan musnah dan bumbung jeti pangkalan Teluk Buih diterbangkan angin kencang.

Sumber: BHarian.

Berikut adalah gambar video yang saya ambil daripada Youtube berkaitan puting beliung di kawasan kejadian.



Berdasarkan pencarian saya menggunakan google search, ini bukan kali pertama puting beliung melanda Mersing. Puting beliung pernah melanda Pulau Besar pada tahun 2008. (Lihat: Sini)

Motosikal Elektrik Modenas CTric

Ini merupakan hasil daripada Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi hijau yang diusahakan oleh Modenas. Syabas diucapkan kepada Modenas dan Kerajaan Malaysia. Moga usaha ini mendapat sambutan daripada para pengguna dan penunggang motosikal.

Ianya dapat menyelesaikan masalah pencemaran yang berpunca daripada pembakaran bahan api fosil. Manakala bagi pengguna ia dapat mengurangkan perbelanjaan anda untuk membeli petrol.



Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) melakar sejarah apabila muncul sebagai syarikat pengeluar motosikal tempatan yang berjaya memperkenalkan sebuah motosikal elektrik pertama di negara ini melalui pelancaran Modenas CTric. Motosikal ini ditawarkan dengan harga di atas jalan adalah RM 4,888.00.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abdul Halim Ismail berkata, kenderaan yang berkuasa elektrik sepenuhnya itu dilengkapi lima unit bateri asid plumbum 12V/20AH berasaskan teknologi Gel Nano sebagai tenaga penggerak.

18 Jun 2011

Facebook Semakin Lesu

Saya percaya sebahagian besar daripada anda memiliki akaun dengan Facebook. Saya tidak pasti bila fenomena gila ber'Facebook' melanda rakyat Malaysia. Bagaimanapun saya mula mempunyai akaun Facebook sejak 2 tahun yang lalu.

Tahun pertama adalah tahun sibuk saya dengan kerja-kerja meng'update' status Facebook dan mencari rakan-rakan melaluinya. Sebahagian pemilik akaun Facebook ini pula leka dengan segala macam permainan yang disediakan di dalamnya seperti Mafia dan Farmville.



Fenomena ketagihan terhadap Facebook ini sangat membimbangkan para ibu bapa kerana anak-anak mereka mula melupakan buku pelajaran mereka. Majikan pula terpaksa mengambil tindakan menyekat akses internet ke laman sosial tersebut kerana produktiviti pekerja mula merosot berikutan kelekaan mereka melayan Facebook.

Bagaimanapun di tahun kedua sehingga kini saya mula jarang-jarang menjenguk Facebook saya itu. Rasa jemu tersebut bermula kerana maklumat yang diletakkan oleh rakan-rakan Facebook ke dalam status mereka tidak langsung membangunkan minda.


Barangkali anda pun biasa membaca status dengan ayat seperti "Bosanlah hari ini", "Aku rindu padamu", "Hari ini aku nak makan mee kari", "Hari ini nak masak apa ya..", "Lambatnya pukul 5.00, tak sabar nak balik" dan berbagai-bagai ayat status yang dikategorikan sebagai basi-basa.

Yang paling membosankan sekali adalah status yang berupa laporan pencapaian peringkat tertentu dalam applikasi permainan Facebook.

Saya biasanya akan meletakkan link berita-berita tertentu untuk dikongsi. Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada rakan facebook saya membacanya. Ini kerana saya tidak mendapat sebarang komen daripada mereka yang ditulis untuk menyatakan respons terhadap link tersebut.

Status yang lama akan berlalu begitu sahaja dan tidak akan dirujuk semula atau tidak akan dicapai oleh pembaca-pembaca pada hari-hari berikutnya. Ini merupakan satu pembaziran dalam penulisan dan curahan idea dalam perkongsian dan penyebaran ilmu.

Sejak itu saya mula menyibukkan diri kepada hobi yang baru iaitu meneroka dunia blog. Sesekali saya akan jenguk juga Facebook saya untuk Link netri-entri tertentu daripada blog saya.

Saya rasa bukan saya sahaja yang mula membiarkan Facebook tersebut bersawang. Barangkali sebahagian besar daripada anda juga sedemikian. Yang pastinya masyarakat dunia pun demikian.

Sila baca laporan berikut:



Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.

Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.

"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.

Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.

Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.

Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.

Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook pula jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini.

Sumber: Kosmo.

Baca Juga Berhati-hati Dengan Facebook.

Portal Kerajaan Digodam 'Anonymous'

Beberapa hari ini masyarakat Malaysia digemparkan dengan peristiwa penggodaman beberapa laman web kerajaan. Pihak kerajaan telah mengenalpasti 90% penggodam adalah rakyat tempatan bukan pihak antarabangsa.

Mari kita baca beberapa laporan berita yang saya kutip daripada akhbar-akhbar online tempatan.



Baru-baru ini, sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai anonymous menyatakan hasrat untuk menggodam laman web kerajaan kerana mendakwa Malaysia sebagai salah satu negara paling tegas mengenakan sekatan, bukan saja Internet malah tayangan filem dan siaran televisyen.

Mereka merancang melakukan serangan yang dipanggil 'Operasi Malaysia' itu pada pukul 7.30 petang, Rabu waktu GMT (3.30 pagi Khamis waktu Malaysia). Ancaman mereka dimuat naik ke web i.imgur.com/ PTFWh.png Selasa lalu.


Kumpulan sama sebelum ini pernah menyerang laman web kerajaan Zimbabwe, Turki, polis Sepanyol serta memuat naik banyak video lucah ke Youtube sempena satu hari yang digelarkan mereka sebagai Youtube porn day. (Rujuk: Utusan Online).



Portal kerajaan Mula Digodam.

Portal rasmi Jabatan Pengajian Politeknik dan sebuah portal pelancongan swasta menjadi mangsa pertama sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Dragon Force Malaysia di awal pagi 15 Jun 2011.

Dalam kedua-dua portal itu, penggodam terbabit menyatakan tindakan tersebut dibuat sebagai protes terhadap kerajaan Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan menggunakan Internet.

"Tiada yang selamat, terima kasih ahli Dragon Force. Kepada pentadbir, Dragon Force sudah datang. Terkejut huh? Jangan bimbang banyak yang akan datang lagi."

"Hormati kami, kami masukkan kod, kami ubah sistem anda, kami buka kata kunci anda, kami salah guna jaringan anda bukan kerana kami benci tetapi kami suka. Enjoy!," kata penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai Kambeng Merah melalui mesej yang ditinggalkan dalam portal yang digodam.

Selain itu, sebuah lagi portal milik syarikat Impressions Holidays & Resort Sdn. Bhd. iaitu www.tourmalaysia.com.my turut menjadi mangsa kumpulan sama. (Rujuk: Kosmo).

Beberapa Laman Web Malaysia Telah Digodam



Agensi CyberSecurity Malaysia mengesahkan beberapa laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan bergelar anonymous yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.

Kumpulan anonymous itu melalui satu video di laman Youtube mendakwa tindakan mereka adalah kerana tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Malaysia menapis pelbagai laman web dalam dan luar negara.

Anonymous turut menggunakan wajah Guy Fawkes, salah seorang anggota kumpulan Kristian Katolik, The Gunpowder Plot 1605 yang cuba membunuh Raja England, James I bagi menentang pemerintahan Kristian Katolik, sebagai figura mewakili kumpulan itu. (Rujuk: Utusan).

Sekurang-kurangnya 41 laman web agensi kerajaan mengalami gangguan selepas digodam sejak kelmarin tetapi tiada data peribadi atau kewangan yang terancam, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Dalam serangan oleh kumpulan penggodam antarabangsa yang menggelar diri mereka "Anonymous", 51 laman web agensi kerajaan menjadi sasaran.

Serangan itu bermula lewat malam kelmarin susulan amaran kumpulan penggodam antarabangsa itu yang mendakwa kerajaan Malaysia mengenakan tapisan internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail. (Rujuk: BHarian).

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata semua cubaan menggodam itu berjaya dipatahkan berikutan arahan berjaga-jaga yang dikeluarkan kepada semua agensi sejak kelmarin, selain persiapan awal yang dibuat untuk menghadapinya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sudah bersiap sedia menghadapi ancaman siber berkenaan serta yakin berupaya menangkis cubaan mereka.

"Sebelum ini pun ada serangan siber dilakukan terhadap laman web kerajaan tetapi kita (SKMM) dapat memulihkannya dengan pantas kerana sudah ada mekanisme dan prosedur bagi menanganinya.

"Bagaimanapun, SKMM akan terus berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman siber bagi memastikan keselamatan maklumat dan rangkaian perhubungan demi integriti pelanggan di Malaysia," katanya.

‘Anonymous' dikesan pegawai sebuah syarikat perisian keselamatan di Finland dan makluman mengenainya dibuat pada jam 4.42 pagi Selasa lalu.

Minggu lalu, 'Anonymous' melancarkan DDoS atau 'distributed denial of service' terhadap laman web Kerajaan Turki sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan itu untuk memperkenalkan penapisan internet.

Hujung minggu lalu pula, laman web Senat Amerika Syarikat diceroboh kumpulan penggodam Lulz Security tetapi gagal melepasi 'firewall' untuk memasuki rangkaian laman web yang lebih sensitif.

Rais menjelaskan Malaysia tidak pernah mengenakan sekatan internet tetapi akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web yang mengandungi unsur jenayah.

Beliau berkata, semua laman web yang berkenaan (disekat) boleh merayu kepada SKMM agar sekatan itu ditarik balik, bagaimanapun setakat ini suruhanjaya itu tidak menerima sebarang rayuan. (Rujuk; BHarian)

Serangan siber juga dipercayai dilakukan kumpulan lain berikutan pengesanan modus operandi berbeza oleh satu kumpulan tempatan, "Dragon Force", yang lebih gemar melumpuhkan laman sesuatu web dan menghiasi laman itu dengan imejnya.

Kumpulan "Anonymous" cuba mempamerkan kemarahannya terhadap tindakan Kerajaan Malaysia menyekat laman web perkongsian fail kerana ia melanggar Akta Hakcipta 1987. (Rujuk: BHarian).

Godam: 90% Dilakukan Orang Tempatan

Sembilan puluh peratus serangan penggodam ke atas beberapa laman web rasmi kerajaan dan swasta beberapa hari yang lepas, dilakukan orang tempatan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada hari Jumaat 17 Jun 2011.

"Kami sudah mendapat tahu bahawa hampir semua ini dilakukan orang tempatan, bukan pihak antarabangsa,” katanya. (Rujuk: Kosmo).

Exco Kerajaan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata rakyat tempatan yang dikenal pasti terbabit menggodam laman web kerajaan, dilabel sebagai penderhaka negara kerana tindakan mereka bermatlamat menghancurkan kerajaan.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pihak terbabit termasuk melucutkan taraf kewarganegaraan jika terbukti mereka melakukan perbuatan yang boleh dianggap tindakan subversif.

“Mereka yang melakukannya boleh dianggap menderhaka kerana berniat menghancurkan negara,” katanya. (Rujuk: BHarian)

Nota Kaki:
Berdasarkan Maklumat yang saya temui daripada www.melvister.com, ada khabar mengatakan bahawa kumpulan hacker anonymous ni juga akan menggodan atau hack beberapa laman blog yang tersenarai dalam data laman gengblogger. Gengblogger merupakan sebuah laman web terkenal khusus untuk para blogger memasukkan artikel baru mereka untuk dikongsi bersama.

Untuk melihat senarai blog yang bakal kena hack oleh anonymous, anda boleh klik di sini.

17 Jun 2011

PTPTN Henti Pinjaman Jika PNGK Bawah 2.0

Berikut ini adalah satu amaran kepada pelajar yang meneruskan pengajian mereka dengan bantuan pinjaman PTPTN. Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan tahap pencapaian anda di dalam setiap peperiksaan yang anda hadapi sentiasa cemerlang.

Tentu menjadi masalah nanti jika anda dikenakan tindakan diberhentikan pinjaman PTPTN akibat kegagalan anda mengekalkan kecemerlangan akademik anda.

"Belajar Biar Lepak, Result Biar Gempak...."



Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menghentikan pinjaman pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.0 ke bawah.


Anggota Lembaga Pengarahnya, Datuk Tajul Urus Md Zain, berkata tindakan itu bagi memastikan pelajar yang komited dengan pelajaran sahaja diberikan pinjaman.

"PTPTN tidak akan berkompromi dengan pelajar yang tidak mencapai keputusan memuaskan dan yang mendapat PNGK di bawah 2.0 secara automatik dihentikan pinjaman mereka," katanya.

Tajul Urus menasihati pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan ibu bapa dan kerajaan yang memberi pinjaman bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian.

"Wang PTPTN adalah duit rakyat...maka kita terpaksa membuat satu keputusan walaupun pahit untuk diterima," katanya sambil mengingatkan pelajar menggunakan wang itu secara berhemah. - BERNAMA

Sumber: BHarian.

3 Syarat Bina Keluarga Bahagia

Mawaddah, musyawarah, amanah sempurna rumah tangga



INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga.

Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain.

Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang.

Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.

16 Jun 2011

Sayangi Buah Pinggang Anda!



SATU dalam 10 orang dewasa di dunia menghidapi masalah ginjal atau buah pinggang. Anda juga tidak terkecuali daripada risiko itu kerana penyakit buah pinggang merupakan pembunuh senyap lantaran tanda-tanda dan gejala-gejala yang berkaitan dengannya hanya muncul di peringkat akhir.

Walaupun penyakit buah pinggang atau ginjal adalah penyakit paling kerap dihidapi dan berbahaya namun ia masih boleh dirawat.


Bersempena Hari Ginjal Sedunia yang disambut pada 10 Mac setiap tahun, Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menganjurkan sesi pemeriksaan kesihatan percuma khusus untuk orang ramai di AEON Jusco AU2, Setiawangsa 12 Mac 2011.

Dengan membawa tema ‘Lindungi Buah Pinggang Anda, Selamatkan Jantung Anda’, sesi pemeriksaan itu bukan sahaja memberikan peluang orang ramai mendapatkan pemeriksaan percuma, malah mereka turut berpeluang mendapat khidmat nasihat daripada pakar-pakar buah pinggang yang hadir sepanjang program berlangsung.

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi HKL, Datuk Dr. Ghazali Ahmad Kutti, kebanyakan orang awam sebenarnya tidak menyedari bahawa penyakit buah pinggang dan penyakit jantung adalah saling berkaitan.

“Jika seseorang itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang, risiko pesakit itu menghidap penyakit jantung adalah tinggi sekiranya ia tidak dikawal.

“Oleh itu, pemeriksaan kesihatan sebegini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memastikan bahawa mereka mempunyai dua belah buah pinggang yang boleh berfungsi dengan sihat dan baik.

“Pada masa yang sama dapat memastikan bahawa mereka tidak mempunyai faktor-faktor yang boleh meningkatkan kemungkinan mendapat penyakit buah pinggang,” kata beliau.

Melambatkan kesan

Tambah Ghazali, perkembangan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan atau dihentikan jika ia dapat dikesan lebih awal.

“Pada 2007, lebih 21,000 orang rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang tahap 5, iaitu tahap paling serius yang memerlukan mereka menjalani dialisis atau pemindahan buah pinggang.

“Namun, proses dialisis adalah satu proses yang tidak produktif selain menelan belanja yang besar kerana seorang pesakit itu perlu membelanjakan sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun dan kos ini tidak termasuk perbelanjaan ubat-ubatan,” jelas beliau.

Ghazali memberitahu, seseorang pesakit itu mungkin perlu menjalani rawatan dialisis mereka sepanjang hayat yang pastinya menjejaskan produktiviti kerja.


KAUNTER khidmat nasihat sentiasa penuh dengan pengunjung yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang tahap kesihatan mereka.

Dalam pada itu, orang ramai juga berpeluang menambah informasi mengenai penyakit buah pinggang melalui pameran mini yang diadakan.

Antara maklumat menakjubkan adalah mengani kehebatan fungsi organ itu yang mampu menapis dan membersih sehingga 200 liter darah sehari.

Hebat, bukan? Namun, ramai antara kita tidak mengambil peduli terhadap kesihatan organ yang terletak di pertengahan belakang tubuh di bawah rusuk tulang itu sehingga merosakkan fungsinya.

Organ berpasangan berbentuk kacang seberat 150 gram setiap satu itu penting dalam mengekalkan keseimbangan dalaman badan secara tetap. Uniknya, seseorang itu boleh menjalani kehidupan normal walaupun salah satu daripada buah pinggangnya rosak.

Memandangkan penyakit buah pinggang kronik tidak mempunyai sebarang tanda-tanda pada peringkat awal, ujian saringan adalah penting dalam pengesanan awal penyakit ini.

Ujian saringan yang perlu dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, ujian darah dan ujian air kencing.

Pemeriksaan awal

Oleh itu, ujian dan pemeriksaan awal adalah penting terutamanya jika seseorang itu berumur 60 tahun ke atas atau berada dalam kelompok berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, pesakit darah tinggi, ahli keluarga pesakit buang pinggang dan penghidap eritematosus lupus sistemik (SLE).

Tidak ketinggalan juga bagi mereka yang menghadapi masalah batu dalam buah pinggang, kerap makan ubat tahan sakit, akar kayu atau herba dan pernah menjalani pembedahan mengeluarkan satu ginjal.

“Banyak informasi yang dapat diperoleh melalui program sebegini berdasarkan pameran yang diadakan.

“Ia secara tidak langsung dapat menyedarkan orang ramai bahawa penyakit buah pinggang boleh menyebabkan penyakit-penyakit lain jika tidak dirawat pada peringkat awal,” kata seorang pengunjung yang turut sama melakukan pemeriksaan.

Dalam pada itu, Mohd. Zaki Mohd. Tahar, berpendapat penganjuran sambutan Hari Ginjal Sedunia harus diadakan lebih menyeluruh di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli-belah bagi menarik lebih ramai orang awam. “Ini peluang baik yang perlu direbut oleh orang awam untuk mendapatkan pemeriksaan percuma tanpa perlu bersesak-sesak dan ke hospital yang jauh dari kediaman mereka,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

15 Jun 2011

Apa Nama Lain Bagi Laut China Selatan?

Suatu petang, ketika aku dan keluarga bercuti di pantai Cherating, sedang anak-anak aku semua sedang sibuk bermain air dan pasir di pantai, tiba-tiba anak aku yang berumur 9 tahun bertanya kepada aku satu soalan.

"Abah ni laut apa?," tanya Si Angah merujuk kepada nama laut yang terbentang di depan matanya ketika itu.

"Laut China Selatan," jawabku.

"Kenapa nama dia Laut China. Laut ini kan dekat Malaysia. Sebab kat Malaysia ada cina ke? Kenapa nama dia bukan Laut Malaysia?" tanyanya lagi.

Jika soalan ini ditanyakan kepada anda, apa jawapan anda?



Sejak di zaman yang entah bila bermula, ketika saya belajar Geografi, nama Laut China Selatan atau 'South China Sea' telah digunakan. Bagaimanapun sejak krisis perebutan Kepulauan Spratly memuncak, maka terdedah suatu maklumat bahawa laut ini sebenarnya mempunyai beberapa lagi nama lain. Barangkali juga tentu ada nama khas yang diberikan oleh Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka untuk laut ini.




Pejabat Presiden Filipina, Benigno Aquino mengumumkan pada 13 Jun 2011, bahawa pihaknya menamakan semula Laut China Selatan kepada Laut Filipina Barat ketika ketegangan dengan Beijing semakin memuncak berhubung tuntutan bertindih beberapa negara melibatkan kawasan berkenaan.


Filipina, China, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam masing-masing membuat tuntutan keatas beberapa kawasan di Laut China Selatan terutamanya Kepulauan Spratly yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Jurucakap Presiden Aquino, Edwin Lacierda berkata, jabatan pertahanan dan hal ehwal luar baru-baru ini mula menggunakan nama Laut Filipina Barat bagi menggantikan Laut China Selatan dengan diikuti oleh pejabat presiden.

"Kami mengambil petunjuk daripada mereka dan merujuk Laut China Selatan sebagai Laut Filipina Barat," kata Lacierda.

Menurutnya, negara-negara lain juga melakukan amalan serupa.

"Semua negara lain menamakan Laut China Selatan berdasarkan persepsi mereka. Vietnam menggelarkannya Laut Timur justeru, adalah perkara biasa untuk kami memanggilnya Laut Filipina Barat," tambahnya.

Sejak beberapa minggu lalu, Filipina mendakwa tentera China mendalangi tujuh insiden konfrontasi dengan negara itu di sekitar Kepulauan Spratly.

Duta China, Liu Jianchao berkata, insiden tersebut hanya khabar angin tetapi menegaskan bahawa Kepulauan Spratly adalah wilayah China.



Ketika ketegangan semakin memuncak, Taiwan pada 12 Jun 2011, mengumumkan bahawa ia akan menghantar bot-bot peluru berpandu dan pasukan kereta kebal ke Laut China Selatan. (Rujuk; Kosmo).

Sumber: Kosmo.

14 Jun 2011

Pemain, Pegawai Dan Pengurus Skuad Penyu Terima Ganjaran



KUALA TERENGGANU, 14 Jun: Pemain bola sepak pasukan Terengganu, pengurus dan pegawai menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri memberikan ganjaran berupa wang tunai RM10,000 seorang.

Lebih istimewa, skuad penyu akan dibawa ke London dan penaja utama skuad penyu iaitu Top IT turut menghadiahkan komputer riba kepada pasukan itu.

Ganjaran berkenaan diberikan setelah skuad penyu berjaya meraih gelaran juara pada perlawanan akhir Piala FA, setelah menumpaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu 11 Jun 2011 (Rujuk: Keputusan Perlawanan Akhir Piala FA 2011)


Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis meraikan Skuad Penyu dan wira-wira Sukan Malaysia ke-14 di Dataran Shahbandar malam tadi yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.

Pada majlis yang sama, sekali lagi Piala FA dan Piala Sukan Malaysia diarak dan dipamerkan kepada orang ramai.

Sementara itu Ahmad mengingatkan para pemain agar tidak leka dan lalai dengan ganjaran yang diberikan kepada mereka.

Katanya dengan ganjaran yang diberikan kepada pemain diharap dapat menyuntik semangat para pemain untuk terus memburu kejayaan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Sementara itu bagi atlet Sukan Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas, kerajaan negeri memberi ganjaran wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000, perak RM3,000 dan RM2,000 bagi pemenang pingat gangsa.

Dalam pada itu Menteri Besar itu turut mengumumkan cuti umum bagi seluruh negeri itu Ahad ini sempena kemenangan membawa pulang Piala FA dan juga sempena kejayaan kontinjen Terengganu menjuarai Sukan Malaysia ke-14 di Kuala Lumpur, buat kali ketiga berturut-turut.

Sumber: BERNAMA

Wanita Muda Sedia Bermadu



Berdasarkan kajian soal selidik yang dijalankan terhadap 400 responden berusia 18 tahun ke atas baru-baru ini, ramai di antara mereka bersetuju mengizinkan suami berkahwin lain.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi menerusi rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang mencatatkan sehingga April 2011 sahaja, sebanyak 286 kes poligami dilaporkan telah didaftarkan.

Daripada jumlah itu pula, 222 permohonan poligami diluluskan atas perintah mahkamah.




Wanita negara ini terutama berusia di bawah 30 tahun lebih terbuka untuk hidup berkongsi kasih atau bermadu berbanding dengan mereka melepasi usia tersebut.

Kaji selidik rambang Utusan Malaysia ke atas 400 responden sekitar ibu kota mendapati, walaupun jumlah yang menentang poligami melebihi daripada kumpulan menerima, namun terlihat perubahan baru apabila golongan wanita muda tidak lagi kisah dengan status bermadu.

Berdasarkan jumlah responden ditemui, sebanyak 46 peratus atau 182 akan membenarkan bakal suami atau suami mereka berpoligami. Daripada 182 responden itu pula, hampir 60 peratus atau 108 orang adalah terdiri daripada wanita muda berusia di bawah 30 tahun.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus atau 213 responden, kebanyakannya berumur lebih 30 tahun pula lebih rela bercerai jika suami mereka berkahwin lain manakala satu peratus lagi secara berterus-terang mengatakan tidak berminat untuk mengetahui tindakan suami di belakang mereka.

Antara alasan diberikan mereka yang enggan berpoligami ialah tidak sanggup berkongsi kasih sayang selain mengaitkannya dengan tahap kemampuan kewangan seseorang lelaki itu.

Bagi yang bersedia untuk berpoligami, ia didorong perasaan takut menanggung dosa kerana tindakan itu dibenarkan oleh agama.

Dalam masa sama, mereka lebih menghormati suami yang bertanggungjawab dan jujur.

Berhubung soalan tentang punca wanita muda mudah terpikat kepada lelaki berstatus suami orang, ramai memilih faktor kewangan kukuh dan sikap romantik ditunjukkan mereka.

Sementara itu, berkaitan soalan - jika anda bercinta dengan suami orang, sanggupkah anda bernikah secara senyap-senyap di Thailand, hasil diperoleh ialah sebanyak 89.5 peratus responden memberikan jawapan tidak sanggup manakala 10.5 peratus lagi bersedia menghadapi apa sahaja rintangan.

Sumber: Utusan Online

Rela bermadu kerana kurang lelaki berkualiti

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, keterbukaan golongan wanita muda itu ada kaitan dengan kekurangan lelaki bujang yang berkualiti untuk dijadikan calon suami.

Ujarnya, berbanding lelaki berstatus suami orang yang rata-ratanya mempunyai kerjaya tetap dengan kewangan kukuh, kebanyakan lelaki bujang masih 'terumbang-ambing'.

Benarkah kekurangan lelaki bujang yang berkualiti menjadi antara punca golongan wanita muda kini 'merelakan' diri mereka bermadu?

"Sejak akhir-akhir ini memang ketara kecenderungan wanita muda untuk menerima poligami.

"Trend ini barangkali wujud ekoran kestabilan ekonomi golongan lelaki berstatus suami orang berbanding lelaki bujang menyebabkan mereka merasa terjamin seandainya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat.

"Apatah lagi, melihat kebahagiaan rumah tangga si lelaki yang sudah berkahwin. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak mendorong wanita muda merasakan mereka juga berpeluang untuk hidup bahagia seperti madu-madunya yang lain," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berpendapat, pemikiran wanita muda yang semakin terbuka untuk berkongsi suami secara tidak langsung menyebabkan trend berpoligami kian meningkat.

"Trend wanita berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang bukan perkara baru. Tetapi ia semakin kerap kita dengar sekarang. Tidak keterlaluan saya katakan, mereka (wanita) kini lebih mudah untuk menerima konsep 'berkongsi' suami berbanding sebelum ini.

"Hal paling ketara, mungkin disebabkan faktor gaya hidup, tahap pendidikan serta pekerjaan.

"Tak hairanlah jika golongan ini dilihat lebih 'lembut hati' untuk berkongsi suami," katanya.

Khaidzir juga tidak menolak kemungkinan seandainya suatu hari nanti isu poligami bukan lagi perkara sensitif yang perlu 'ditakuti' khususnya buat para isteri di negara ini.

"Jika rata-rata wanita mahupun isteri sudah boleh menerima hakikat ini, siapa tahu mungkin pada masa akan datang, orang sudah tidak kisah tentang isu poligami lagi," katanya.

Sumber: Utusan Online

Wanita berhak tolak poligami

Wanita mempunyai hak untuk menolak poligami sekiranya yakin, suami mereka tidak mengikut syarat yang digariskan dalam Islam.

Menurut Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, seorang isteri berhak berbuat demikian jika suami tidak berkemampuan dari segi ilmu agama mahupun kewangan.

Katanya, realiti hari ini menunjukkan kebanyakan lelaki tidak menilai kemampuan diri sebelum membuat keputusan untuk ‘pasang dua’.

“Hukum berkahwin terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

“Seandainya ketika bermonogami (berkahwin seorang) lagi lelaki itu telah menunjukkan ciri-ciri tidak adil dan tidak berkemampuan baik dari segi kewangan dan kesihatan, maka hukumnya untuk berkahwin lagi adalah haram,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nooh, wanita yang menolak poligami tanpa alasan kukuh juga dibimbangi akan terpesong akidahnya daripada ajaran Islam.

Kata beliau, poligami adalah hukum Allah SWT yang termaktub dalam al-Quran dan mesti diterima oleh umat Islam keseluruhannya.

“Golongan yang mempertikaikan kebenaran berpoligami, bermakna mereka menolak ajaran Islam,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, namun, ia sering kali disalahgunakan oleh lelaki.

“Kebenaran tersebut sering menjadi ‘tiket’ kebanyakan lelaki untuk membuka ‘cawangan baru’ sewenang-wenangnya.

“Islam tidak menggalakkan poligami apatah lagi, penceraian,” katanya.

Kata Harussani lagi, tiada siapa suka untuk berkongsi kasih kerana itu lumrah manusia.

Maka, tidak dinafikan katanya, penceraian sering sahaja menjadi pilihan wanita daripada memilih untuk hidup bermadu.

Beliau menasihatkan golongan lelaki supaya menilai kemampuan diri terlebih dahulu dan bukan berkahwin mengikut hawa nafsu semata-mata.

Utusan Online

Firman Allah Ta'ala,
"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah An-Nisaa’: Ayat 3).

Firman Allah Ta'ala,
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (diawang-awangan).” (Surah An-Nisa’:129)

Baca juga Selamat Pengantin Baru Buat Salih Yaacob.

13 Jun 2011

Lelaki Terpendek di Dunia


(Junrey Balawing)

Guinness World Records telah mengesahkan bahawa Junrey Balawing, 18 tahun dari Filipina adalah lelaki yang terpendek di dunia. Ketinggiannya hanya 23.5 inci (59.7 cm).


Balawing mempunyai kesukaran untuk berjalan dan tidak boleh berdiri terlalu lama. Menurut bapanya, Reynaldo, Balawing mula jatuh sakit ketika kanak-kanak dan berhenti membesar pada usia dua tahun.

Mereka kemudiannya merujuk perkara tersebut kepada doktor namun penyakitnya tidak dapat dikenal pasti.

Balawing sebelum ini pernah bersekolah namun terpaksa berhenti kerana kedua ibu bapanya risau akan keadaan fizikal dan keselamatannya



Junrey Balawing telah memecahkan rekod yang dipegang oleh Khagendra Thapa Magar dari Nepal yg mempunyai ketinggian 26.4 inci (67 cm).

Ini menunjukkan bahawa Junrey Balawing 2.9 inci lebih rendah dari Khagendra Thapa Magar.


(Khagendra Thapa Magar)

Sumber: Utusan Malaysia

Panda Gergasi


Kung Fu Panda !!!!



Heheheee... saya bukan nak mengemukakan cerita berkaitan Kung Fu Panda 2 The Kaboom of Doom. Tetapi ingin berkongsi artikel berkaitan dengan Panda, beruang yang comel dengan bulu yang putih bersih serta tak reti berkung-fu.

12 Jun 2011

Jawatan Kuasa Menguruskan Sijil



Katakan anda diamanahkan satu Jawatan Kuasa yang dinamakan Jawatan Kuasa Sijil dan Hadiah dalam satu Kejohanan, sebagi contoh Kejohanan Sukan Peringkat Daerah. Apakah tugas-tugas yang anda perlu laksanakan?

Ada 2 tugas yang utama perlu dilakukan bersama beberapa kerja sampingan yang perlu juga dilaksanakan.

Tugas pertama ialah penyediaan segala jenis sijil yang berkaitan. Terdapat 3 jenis sijil perlu direkabentuk dan dicetak.




1. Sijil Penyertaan. Semua peserta yang mengambil bahagian layak diberikan sijil ini.



2. Sijil Pencapaian. Sijil ini terbahagi kepada 3 jenis. Iaitu Sijil kepada peserta Johan, sijil kepada peserta Naib Johan dan Sijil kepada peserta yang mendapat tempat ketiga. Peserta yang mendapat tempat keempat juga layak mendapat sijil pencapaian. Bagaimanapun sijil tersebut akan ditulis sebagai mendapat ‘tempat ketiga’.



3. Sijil Penghargaan. Sijil ini paling banyak dikeluarkan selepas sijil penyertaan. Semua jawatankuasa atau individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengelolaan atau pengendalian sesuatu acara kejohanan layak diberikan sijil penghargaan.

Setelah sijil siap dicetak, jenis kedudukan pencapaian dan jenis acara perlu ditaip ke dalam sijil penyertaan. Manakala bahagian nama dikosongkan. Ianya perlu diisi oleh pengurus pasukan masing-masing setelah sijil tersebut mereka perolehi.

Sijil-sijil ini kemudian diasingkan mengikut pencapaian dan jenis permainan bagi sijil pencapaian. Ianya kemudian dimasukkan ke dalam sampul surat mengikut pencapaian dan jenis permainan.

Sijil penyertaan di asingkan mengikut pasukan yang mengambil bahagian dan jenis permainan.

Manakala sijil penghargaan diasingkan mengikut jawatan kuasa, agensi yang terlibat sebagai contoh penyedia penginapan, venue, PBSM, pengakap, Jabatan Pertahanan Awam, Hospital, PDRM dan sebagainya.

Sampul surat yang telah diisi dengan sijil, di’seal’kan, dan dihias dengan meletakkan reben sebagai contoh.

Akhir sekali termasuk dalam kerja jawatankuasa sijil adalah menyediakan tempat untuk meletakkan sijil semasa hari penyampaian hadiah dan sijil, mencari dulang untuk mengangkat sijil dan kemudian membawa sijil untuk dihulurkan kepada pegawai yang menyampaian sijil kepada para peserta.

Nota Kaki:
Hari ini merupakan hari terakhir berlangsungnya satu kejohanan (yang dikenali dengan singkatan ‘KAT’) di Kuantan Pahang. Saya dan beberapa orang rakan terlibat bertungkus-lumus menyediakan sijil dan lain-lain keperluan yang berkaitan dengan sijil dan hadiah.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan pengediaan sijil dan hadiah. Terima kasih kepada Kak Mala yang member tunjuk ajar. Terima kasih kepada Badri yang membantu menaip di atas sijil, Mela dan Leha yang membantu menampal label dan membuat reben pada sampul surat, Zaini yang membantu memasang dan mengilatkan piala, zuraidah dan fazil yang membantu mengira medal dan meletakkan reben pada piala.

Terima kasih kepada Che Ros dan Aimi yang mencari bakul berisi buah, Kak Ani yang menolong mencari Kain Tenun Pahang (Cantik gubahan kain dalam bakul yang Kak Ani buat). Tidak lupa Intan, Shana, Dayah yang turut membantu mengira bilangan sijil. juga Zakiah yang membantu ‘laminating’ sijil. Halim dan Syukri yang membawa kami berulang-alik ke tempat pertandingan.

Kerjasama anda amat dihargai demi memastikan kejayaan dan kelancaran program.

Bagaimanapun, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Walau bagaimana kemas perancangan, akibat sesuatu kesilapan (di pihak yang lain yang menukar skrip serta merta di luar pengetahuan kami) menyebabkan kelancaran majlis penyampaian piala terganggu.

Ianya pasti menjadi suatu kenangan yang menjatuhkan 'air muka' kami. Sebagaimana kata bos kami, orang tidak akan melihat kesilapan pihak lain yang mengumumkan. Tetapi mereka melihat kesilapan jawatankuasa hadiah menyusun hadiah.

Mujur bos kami amat memahami bahawa kesilapan tersebut bukan berpunca dari kami. Beliau sendiri telah memastikan sebelum majlis bahawa penyusunan sijil dan piala adalah selari dengan skrip.

Terima kasih bos kerana tidak menuding jari terhadap kami.

Keputusan Perlawanan Akhir Piala FA 2011

GOL! GOL! Yahoo.... Yahooo...
Demikianlah jeritan anak aku apabila Terengganu memperolehi jaringannya yang kedua.



KELANTAN dan pasukan tetangga, Terengganu telah selesai dengan pertarungan mereka dalam final kejohanan bola sepak Piala FA pada 11 Jun 2011.

Malam aku yang turut sama menyokong penyokong Terengganu yang ada dalam rumah aku ni, mengadap TV1 perlawanan antara Kelantan dan Terengganu.

Pada separuh masa kedua Kelantan mendapat jaringannya yang pertama menerusi gol Mohd Nurul Azwan Roya pada minit ke-79. Selepas daripada jaringan tersebut, perlawanan dilihat di mana pasukan Kelantan lebih banyak 'bermain-main' daripada 'bermain'.


Apabila masa semakin hampir ke penghujung perlawanan, para penyokong Terengganu di rumah ini mulai hampa kerana tiada sebarang jaringan atau sekurang-kurangnya jaringan penyamaan daripada Terengganu.

Bagaimanapun di saat sangat hampir kepada masa penamat permainan (hanya menunggu wisel penamat dibunyikan), rezeki memihak kepada Terengganu kerana mendapat satu jaringan 'tak terduga' akibat tandukan yang silap pemain Kelantan sehingga menghasilkan gol sendiri oleh Mohd Daudsu Jamaluddin pada masa kecederaan. (Jika bukan rezeki, nasi yang sangat hampir disuap masuk ke mulut pun akan jatuh ke tanah).

Kini kami penyokong Terengganu kembali bersemangat untuk terus menonton perlawanan tersebut.

Akhirnya kemenangan di pihak pasukan Terengganu apabila mendapat satu lagi jaringan di dalam separuh masa kedua masa tambahan. Gol kemenangan Terengganu ini dijaringkan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-109.



Keputusan Perlawanan Akhir Piala FA 2011:
11 Jun 2011;
Perlawanan: Terengganu Vs Kelantan (2 - 1).
Venue: di Stadium Nasional Bukit Jalil



Tahniah kepada Pasukan Terengganu. Tahniah kepada ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim. Tahniah kepada Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh.

GANU NELANG!!!

Pasukan Terengganu nampaknya benar-benar telah melupakan kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super pada Isnin lalu bagi memastikan mereka tampil lebih mantap pada aksi final malam ini.

Piala FA milik Terengganu untuk kali kedua selepas muncul juara pada tahun 2000.

Pastinya para pemain amat bergembira dengan kemenangan ini. Apa yang mereka nantikan kini adalah ganjaran yang dijanjikan oleh kerajaan Terengganu daripada kemenangan ini. (Rujuk: Pemain, Pegawai Dan Pengurus Skuad Penyu Terima Ganjaran)

Berikut sedikit Artikel berkaitan piala FA 2011 oleh Kosmo.

Pasukan yang muncul juara (Terengganu) bakal dikenang sebagai pasukan terakhir menjulang trofi yang mula diperkenal pada final edisi 2005 itu.

Ini kerana, satu trofi baharu akan diperkenalkan bermula pada Piala FA musim depan menggantikan trofi sedia ada itu yang hanya sempat digunakan untuk tujuh edisi final.

Sebelum itu, trofi pertama Piala FA digunakan pada 15 edisi terdahulu iaitu dari 1990 hingga 2004 dan pasukan Perak selaku juara pada final pertama dan terakhir diberi penghormatan menyimpan terus trofi tersebut.

Sambutan wira juara Piala FA



Lebih 5,000 orang membanjiri Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam bagi menyambut kepulangan wira mereka bersama trofi Piala FA selepas mengalahkan Kelantan 2-1.

Mereka kemudian menaiki konvoi pacuan empat roda yang diarak sambil diiringi para penyokong dari Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) menuju ke Dataran Shahbandar. (Rujuk: Utusan)

p/s: Baca juga:
1. Dialek serikan final Piala FA.
2. Pemain, Pegawai Dan Pengurus Skuad Penyu Terima Ganjaran