Friday, October 2, 2009

Prafrasa dan parafrasa

Dalam ilmu tatabahasa terdapat dua istilah yang seakan-akan sama bentuk dan bunyinya, iaitu prafrasa dan parafrasa, walhal begitu jauh beza maknanya. Apakah maksud kedua-dua istilah ini?

Kata prafrasa merupakan istilah tatabahasa dalam bidang morfologi, yakni dalam aspek golongan kata tugas. Kata tugas termasuk sebagai salah satu empat golongan kata utama bahasa Melayu. Tiga golongan kata yang lain itu ialah kata nama, kata kerja, dan kata adjektif.

Pra ialah bentuk awalan daripada bahasa Sanskrit. Maksud pra dari segi bahasa ialah sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Perkataan prasekolah bermaksud sebelum memasuki sekolah (sekolahan dasar), dan prasiswazah bermakna sebelum lulus sebagai siswazah.

Namun, tidak setiap perkataan yang didahului di hadapannya dengan pra membawa maksud sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Misalnya, kata prasarana bermaksud keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan elektrik, air yang perlu bagi pembangunan, dan prasetia bermaksud niat atau janji yang teguh.

Dalam golongan kata tugas, kata prafrasa merupakan kata yang agak besar jumlahnya, dan kerap pula menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa Melayu. Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif. Kata prafrasa ini mendukung tugas-tugas seperti maksud yang terkandung dalam ayat, yakni tugas membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, memerikan, menyendikan, membilang, dan lain-lain

Berdasarkan tugas-tugas ini, maka kata prafrasa mengandungi sembilan subjenis, iaitu kata bantu (telah, masih, harus), kata penguat (paling, nian, sangat), kata penegas (-kah, -tah, juga), kata sendi nama (daripada, antara, seperti), kata arah (atas, segi, samping), kata bilangan (dua, segala, setiap), dan kata adverba (selalu, begitu, demikian).

Yang berikut dipaparkan satu contoh penggunaan setiap jenis kata prafrasa:

1. Pekerja itu telah pulang. (kata bantu aspek)

2. Masakan isteri saya paling sedap. (kata penguat)

3. Anak siapakah yang menangis ini? (kata tanya)

4. Ayah tidak ke pejabat pagi tadi. (kata nafi)

5. Senaman ringan adalah baik untuk kesihatan. (kata pemeri)

6. Pengawal keselamatan itu berjaga hingga pagi. (kata sendi)

7. Para pemain berlatih di tengah padang. (kata arah)

8. Ibu membubuh sedikit garam ke dalam masakannya. (kata bilangan)

9. Kami selalu memperkatakan hal itu. (kata adverba)

Kata parafrasa termasuk dalam bidang sintaksis, yakni yang berkaitan dengan pembentukan ayat. Parafrasa bermaksud pengungkapan semula kandungan sesuatu tulisan (ayat) dengan menggunakan kata-kata lain tanpa mengubah makna atau maksud ayat asal. Dengan pengertian yang lain bahawa dua atau lebih ayat dianggap berparafrasa apabila ayat-ayat tersebut mengandungi pengertian, atau memberikan penerangan yang sama, walaupun ayat-ayat yang berkenaan mempunyai struktur dan aturan kata yang berbeza daripada struktur asal, seperti ayat-ayat yang berikut:

10. (a) Haji Aziz mengecat rumahnya itu.

(b) Rumahnya itu dicat oleh Haji Aziz.

11. (a) Engku Aiman ke Melaka setiap hari.

(b) Ke Melaka Engku Aiman setiap hari.

(c) Setiap hari, Engku Aiman ke Melaka.

Jika dilihat dari segi binaannya, kedua-dua ayat 10 (a) dan 10 (b) membawa penegasan yang berlainan kerana ayat (a) memberikan penegasan kepada Haji Aziz, manakala dalam ayat (b) penegasannya pada rumahnya. Ayat 10 (a) ayat aktif transitif, manakala ayat 10 (b) ialah ayat pasif. Tetapi oleh sebab kedua-dua ayat tersebut memberikan penerangan yang sama, maka ayat-ayat ini dikatakan berparafrasa.

Demikian juga halnya dengan ayat 11 (a), 11 (b), dan 11 (c). Ayat 11 (a) menjudulkan Engku Aiman; ayat 11 (b) memberikan penekanan kepada frasa sendi nama ke Melaka; dan ayat 11 (c) menonjolkan frasa keterangan (adverba) setiap hari sebagai penegasan. Kendatipun unsur-unsur ayat berkenaan berbeza letaknya dalam ayat, namun pengertian yang tersirat dalamnya tetap sama, iaitu mengisahkan bahawa Engku Aiman ke Melaka setiap hari. Ketiga-tiga ayat contoh tersebut itu ayat tunggal yang di songsangkan unsur predikatnya.

Begitulah penerangan tentang prafrasa dan parafrasa dalam bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment