NUFFNANG

Thursday 14 August 2008

UiTM: Khalid enggan mohon maaf

UiTM: Khalid enggan mohon maaf

SHAH ALAM 13 Ogos – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan memohon maaf kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berikutan cadangannya supaya universiti itu membuka 10 peratus kemasukan pelajar kepada penuntut bukan bumiputera dan asing.

Katanya, beliau tidak akan memohon maaf kerana berpendirian cadangan yang dikemukakannya itu bukan untuk mempersoalkan hak istimewa bumiputera dan penubuhan UiTM.

Sebaliknya, ia merupakan pandangan daripada kerajaan negeri bagi mempertingkatkan mutu dan kualiti pendidikan tinggi termasuklah di UiTM selain mahu membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada pelajar Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini, Abdul Khalid menyalahkan pihak tertentu termasuk media yang dituduhnya sengaja “mencetuskan perkara itu yang menjurus kepada isu perkauman”.

“Kita bukan hendak minta maaf tetapi hanya untuk menerangkan perkara ini. Saya tidak bermaksud untuk mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera lain serta tujuan UiTM ditubuhkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya cadangkan sebelum ini hanya pandangan yang dikemukakan oleh pihak media kepada saya.

“Oleh itu, saya harap isu ini tidak lagi dipanjangkan dan UiTM tidak perlu lagi menumpukan kepada isu kuota ini tetapi memberi fokus kepada usaha meningkatkan taraf dan kemudahannya untuk menjadi sebuah universiti yang disegani,” ujar beliau.

Ahad lalu, Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengemukakan cadangan supaya UiTM membuka kuota kemasukan sebanyak 10 peratus kepada bukan bumiputera dan asing bagi membolehkan universiti itu bersaing dalam era globalisasi.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada banyak pihak termasuk para pelajar universiti itu yang menyifatkan Abdul Khalid ‘pengkhianat’ yang cuba menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera selain menggugat keseimbangan antara kaum di negara ini.

Semalam, lebih 5,000 pelajar universiti tersebut mengadakan perhimpunan dan perarakan di Shah Alam sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Abdul Khalid di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor itu turut memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan beberapa universiti yang terletak di Selangor untuk memberi kefahaman berhubung isu-isu penting.

kzso - khalid....khalid... are you alone in pkr on this issue? what say anwar, hadi, hassan ali, lim kit siang, lim guan eng, karpal singh on this?

No comments: