Saya amat terpanggil untuk memberi ulasan mengenai perkembangan isu penjualan arak di negeri Selangor. Saya merasa amat pelik dengan pendirian Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang langsung tidak sensitif terhadap isu ini. Malah, lebih memeranjatkan beliau tidak melihat ada sebarang isu mengenai perkara itu walaupun PAS dan DAP berperang sakan mengenainya.

Rakyat mahu penjualan arak dibendung dan pihak berkuasa telahpun mengambil tindakan sewajarnya dengan merampas araak di premis berkenaan, tetapi seorang EXCO kerajaan negeri dari DAP mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam memulangkan kembali rampasan itu.

Kata EXCO itu, dia bertindak atas kuasa EXCOnya tetapi Menteri Besar yang beragama Islam itu menyalahkan umat Islam sendiri kerana membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai penjualan arak di kedai serbaneka itu.

Malah, Menteri Besar juga berkata aduan itu tidak wajar kerana tidak mengikut saluran dan orang awam tidak tahu cara-cara mengatasinya.` Pendek kata, mengikut MB yang bijaksana itu, orang yang membuat aduan dan membenteras penjualan arak khususnya di kalangan umat Islam itu adalah bodoh dan salah.

Yang betul dan pandai ialah MB dan barisan EXCOnya. Kata Khalid, kawalan penjualan arak sepatutnya diserahkan kepada peniaga berkenaan sendiri. Wahai MB yang bijaksana… mana ada peniaga pilih pembeli. Yang ada hanyalah pembeli pilih peniaga.

Adakah Khalid semasa menjadi ahli korporat dahulu memilih pelanggannya - ada yang boleh jual dan ada pula yang sebaliknya. Pelik wal ajaib.

Usaha Datuk Dr. Hassan Ali (EXCo dari PAS) untuk cuba menangani masalah ini nampaknya tidak kesampaian kerana kata Khalid, tiada isu untuk dibincang atau nak bising-bising. Dulu mengenai usaha membuka ladang ternakan babi di negeri itu juga tidak dianggap sensitif.

Jelaslah bahawa MB yang ada tidak membawa apa-apa makna bagi orang Melayu. Isu babi, isu azan subuh, isu penjualan arak, isu EXCOnya berbogel, isu percambahan pusat maksiat termasuk Spa dan kegagalan menjana dana negeri sehingga mahu menggunakan wang zakat rakyat nampaknya membuktikan betapa rakyat Selangor kini dalam kerugian.

MB atau partinya PKR jelas tidak boleh membuat apa-apa. Mereka hanya berserah kepada DAP untuk mentadbir negeri berstatus maju yang telah dicapai pada tahun 2005 itu.

PAS pula boleh buat apa…? Datuk Hassan mahu tindakan diambil terhadap Ronnie Liu, tetapi nampaknya macam dia sendiri yang akan dikenakan tindakan.

Dahulu dalam menghadapi sebarang isu, khususnya yang berkaitan dengan agama Islam PAS akan cepat-cepat melaungkan takbir di seluruh pelosok negara, tetapi kini di negeri Darul Ehsan ini, mereka mungkin hanya mampu setuju dengan DAP untuk melaungkan pekikan baru iaitu ‘ take beer’ menggantikan takbir.

Malek Hassan,Bangi


source : agendadaily.com.my