NUFFNANG

Thursday 12 December 2013

Syed Ali ramal PKR akan berkubur, Anwar bersara daripada politik selepas PRU ke-1

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan bertahan lama kerana sifat parti itu bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sebaliknya kata beliau, PKR hanya memperjuangkan kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita besar untuk memegang jawatan Perdana Menteri.
"PKR yang dilahirkan hasil daripada politik jalanan hanya bersandarkan kepada perjuangan individu yang penuh rasa dendam dan kebencian melampau terhadap UMNO," tegasnya.
Kerana ketagihkan jawatan Perdana Menteri, beliau menjelaskan bahawa Anwar sanggup bersekongkol dengan pihak Barat memburukkan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Katanya, di mana-mana Anwar pergi termasuk di negara-negara Asia khususnya di Indonesia agenda utamannya ialah mencerca kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan mendakwa demokrasi sudah mati di Malaysia.
"Di Barat, dia menggunakan media negara asing untuk menyerang UMNO dan memburuk-burukkan negara ini menerusi pelbagai rupa bentuk provokasi, perbuatan tersebut adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan.
Tambah beliau, menyedari PKR semakin hilang pengaruhnya di kalangan orang Melayu Anwar terpaksa merancang perhimpunan jalanan ala 'Arab-Spring' bertujuan menjatuhklan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara tidak demokratik.
Bagaimanapun tegas Syed Ali, PKR selepas ketiadaan Anwar kelak akan terus lumpuh kerana pemimpin parti itu yang ada sekarang ini tidak memiliki keupayaan dan kekuatan sepertimana Anwar.
"PKR seperti parti-parti serpihan UMNO sebelum ini, yang ditubuhkan kerana perasaan kecewa dan dendam tetapi akhirnya berkubur begitu sahaja setelah tidak mendapat sokongan rakyat," ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang dipetik menerusi sebuah portal berita hari ini yang mendakwa PKR akan terus hidup walaupun penasihatnya, Anwar tidak lagi aktif dalam politik.
Azmin turut menjelaskan bahawa masa depan parti tersebut bukan terletak kepada Anwar, sebaliknya rakyat yang akan terus menyokong parti tersebut.
“Namun perlu saya tegaskan di sini bahawa PKR ini bukan Anwar centric parti. Ini bukan parti milik Anwar, ini parti milik massa yang berteraskan reformasi,” katanya," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Bagi menyokong hujahnya, Azmin berkata, semasa penubuhan awal Parti Keadilan Nasiona(PKN) tidak menyaksikan kehadiran Anwar selaku pemimpin, tetapi diterajui oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas Anwar meringkuk dalam penjara.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata kenyataan Azmin itu hanya bersandarkan kepada 'pengharapan' yang tidak berpijak di bumi nyata.
Menurut beliau, walaupun Wan Azizah sebagai Presiden tetapi sifatnya adalah sekadar 'boneka bernyawa' yang hanya mengikut telunjuk Anwar.
"Dia boleh kata PKR akan  tetap hidup tanpa Anwar tetapi pada hakikatnya mereka yang menyertai parti itu merupakan segerombolan pengikut yang taksub secara membuta-tuli kepada Anwar," uajrnya.
Oleh sebab itu katanya, pemimpin PKR yang memahami nilai perjuangan sebenar sudah lama keluar parti itu dan menyertai UMNO kerana insaf bahawa sasaran politik Anwar hanyalah untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
"Kini hanya tinggal dalam PKR adalah segelintir orang Melayu, termasuk Azmin yang tidak tahu apa sebenarnya makna perjuangan membela nasib rakyat," katanya.
Justeru tegas beliau, Azmin terpaksa mempertahabnkan kredibiliti Anwar walaupun sudah tercemar dengan pelbagai isu moral kerana beliau sendiri tidak boleh berpatah balik kerana terlalu banyak termakan budi daripada Anwar.
Beliau meramalkan bahawa Anwar akan bersara daripada politik selepas PRU ke-14 dan selepas itu rakyat boleh melihat detik-detik kehancuran PKR.
"Selama ini pun PKR tidak memiliki kekuatan dan tidak mendapat sokongan pengundi Melayu, mereka hanya mengharapkan belas ehsan daripada DAP dan PAS," ujarnya.

No comments: