NUFFNANG

Friday 10 January 2014

AMARAN LIM KIT SIANG KEPADA UMNO JOHOR DAN RAKYAT JOHOR! Johor penentu kemenangan Pakatan dalam PRU14, kata Lim Kit Siang

Johor penentu kemenangan Pakatan dalam PRU14, kata Lim Kit Siang

JANUARY 10, 2014
DAP hari ini meletakkan Johor sebagai anak kunci untuk Pakatan Rakyat (PR) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setelah pembangkangberjayamemenangi lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri kubu Umno itu pada PRU13 lepas.
Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) berkata, pertandingan memenangi kerusi di Johor bagi merampas Putrajaya adalah satu cabaran besar bagi DAP dan akan dibincangkan pada konvensyen negeri di Batu Pahat pada Ahad ini.
“Pencapaian PR dalam PRU13 itu tidak mencukupi. Bagi meletakkan sasaran merampas Putrajaya pada PRU14, PR mesti memenangi separuh kerusi Parlimen di Johor. Bagi merealisasikan cita-cita itu, kerusi Bakri dan Batu Pahat perlu dipertahankan selain yang baru sahaja dimenangi seperti di Kluang, Kulai dan Gelang Patah.
“PR juga harus merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) seperti di Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai. Jika PR berjaya merampas kerusi tersebut, PR akan mempunyai 13 daripada 26 kerusi Parlimen pada PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata antara strategi yang perlu diperkukuhkan adalah meningkatkan komitmen parti dalam PR di peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan serta meningkatkan sokongan rakyat terhadap PR sebelum tiba PRU14.
Katanya, bagi merealisasikan harapan itu, proses persempadanan semula yang akan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak perlu adil, memfokuskan pengundi luar bandar serta mengekang fitnah dan propaganda BN.
“Persempadanan semula yang adil sangat diperlukan di Johor apabila Labis, kawasan yang paling kecil mempunyai 37,714 pengundi pada PRU13 berbanding 106,726 pengundi di kawasan Parlimen Gelang Patah.
“Antara peranan yang dapat dimainkan SPR mengurangkan jumlah pengundi seperti di Gelang Patah, Pulai dan Pasir Gudang untuk dikurangkan kepada 80,000 pengundi dan tidak adil sekiranya masih ada kawasan yang mempunyai 40,000 pengundi namun itulah yang dilakukan SPR pada persempadanan semula 2003 apabila Pengerang dan Kota Tinggi mempunyai sekitar 30,000 pengundi,” katanya.
Pada PRU13 lalu, DAP memenangi empat daripada enam kerusi Parlimen yang ditandingi manakala PKR hanya berjaya memenangi satu kerusi Parlimen daripada 12 yang ditandinginya di Johor manakala PAS tidak berjaya memenangi kerusi Parlimen di negeri itu meskipun bertanding di lapan kawasan Parlimen.
Di peringkat DUN pula menyaksikan DAP berjaya memenangi 13 daripada 14 kerusi yang ditandinginya manakala PAS menang 4 daripada 31 kerusi dan PKR hanya menang satu kerusi daripada 12 kerusi DUN Johor yang ditandinginya.
PRU13 menyaksikan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman ditewaskan oleh Lim dengan majoriti 14,762 undi dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Dr Mohd Puad Zarkashi tewas kepada calon PKR Datuk Mohd Idris Jausi dengan majoriti 1,732 undi. – 10 Januari, 2014

source : MI

No comments: