Tuesday 20 November 2012

Mengenal kraf Tradisional


SENI ANYAMAN


Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji.

                                   
     





    Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar mengkuang, kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.

Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.


Akhir sekali, terdapat bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar mengiri, kelarai beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara utama yang diperhatikan ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang digunakan. Jumlah mata menentukan saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai, bilah-bilah dicelupkan dua warna yang bertentangan atau berkontras. Misalnya, kuning dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan perang. Kadangkala warna ketiga digunakan sebagai tanah atau latar corak. Bilah-bilah berwarna yang dianyam tindih-menindih dan berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman mengkuang dan pandan.






Bakul Pandan



Kelarai bunga cempaka

Kelarai tampuk jantung




Bidang : Kraf Tradisional 
Aktiviti : Anyaman
Tajuk : Anyaman Kelarai
Media:  Kertas warna, kertas A4 bercetak,
Alat : Gunting, pembaris