Monday, May 9, 2011

Majlis Soft Launching dan Sidang Media Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011


Pada 27 April 2011(Rabu) bertempat di Ruang Legar Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Aras 9, Kompleks D8, Jakim Putrajaya telah diadakan satu majlis Soft Launching dan Sidang Media sempena Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011 yang akan diadakan pada 2-5 Jun 2011 bertempat di Perkarangan Masjid Negara dan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.
 
Majlis yang dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tuan Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan Tuan Haji Razali Bin Sahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.
 
Dalam Sidang Media itu, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B) berkata, karnival selama empat hari yang kali kedua diadakan itu akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan sasaran 300,000 pengunjung. Karnival Inovasi Islam ini dianjurkan melalui perkongsian pintar (smart partnership) dengan kerjasama agensi kerajaan di peringkat  persekutuan dan negeri, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), badan berkanun, institusi penganjian tinggi, serta pihak swasta.
 
Antara tujuan karnival ini diadakan adalah untuk menonjolkan idea-idea kreatif  dan berinovatif serta produk-produk inovasi Islam di samping memberi pengiktirafan kepada mana-mana pihak yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang inovasi Islam di Malaysia.
 
Sebanyak 20 aktiviti utama dilaksanakan sepanjang karnival berlangsung. Ia terdiri daripada pelbagai program seperti Anugerah Inovasi Islam 2011, pameran produk inovasi, demonstrasi produk-produk inovasi dan robotik, seminar, bengkel dan diskusi serta ekspo. Sebanyak 160 buah boothterlibat dalam pameran dan ekspo sempena Karnival Inovasi Islam 2011 serta pelbagai acara program lainnya yang disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM1).
 
Turut hadir dalam majlis Soft Launching dan Sidang Media tersebut antaranya ialah Ketua-ketua Agensi di Bawah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil daripada MOSTI, KPT, YIM, KPM, Institut Islam Hadhari, Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, PDRM, Pengarah-Pengarah Bahagian JAKIM dan juga para media serta wartawan.
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image

No comments:

Post a Comment