24 Oktober 2011

PERTANDINGAN KEBERSIHAN TANAH KUBUR PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2011


Setelah menjadi naib johan pertandingan kebersihan tanah perkuburan peringkat daerah bagi tahun 2011, masjid Guntung Luar sekali lagi dikunjungi oleh 8 orang ahli panel bersama Al-Fadhil Pegawai Agama Daerah Setiu pada 19hb Oktober 2011. Kehadiran mereka adalah bertujuan menyempurnakan penghakiman pertandingan kebersihan tanah perkuburan peringkat negeri Terengganu.

Komitmen yang jitu oleh 30 orang ahli jawatankuasa masjid, JKKK Guntung Luar dan Badan Khairat Kematian yang setia menanti kehadiran ahli panel membuktikan kesungguhan mereka dalam menyahut cabaran merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah tanah perkuburan yang cantik dan selesa bagi pengunjungnya. Apatah lagi keindahan itu sebenarnya satu arca kepada agama Islam yang maha suci.

Para ahli panel telah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Masjid Guntung Luar, saudara Hamdan bin Hamzah dan kemudian telah dibawa melihat sekitar tanah perkuburan Islam.

Sesungguhnya menjaga tanah perkuburan merupakan satu tanggungjawab kita sebagai umat Islam.

06 Ogos 2011

KEMBARA RAMADHAN JALUR GEMILANG 2011

NIKMAT KEMERDEKAAN

Kemerdekaan merupakan satu anugerah Allah kepada kita di bumi Malaysia. Sesungguhnya marilah kita sama-sama menjaga nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita. Renungilah

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7)

“Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu).” (Al-Maidah: 20)

Pada 4hb Ogos 2011, Jam 5.00 tibalah rombongan yang dinantikan oleh ahli kariah masjid Guntung Luar. Rombongan ini membawa suatu harta yang amat berharga untuk seluruh rakyat Malaysia iaitu nikmat kemerdekaan. Setibanya di Kampung Guntung Luar, para rombongan dan ahli kariah masjid Guntung Luar sama-sama menunaikan solat Asar berjemaah.

Peserta konvoi kemudiannya bergerak ke Dataran Pusat Pertumbuhan Desa Guntung Luar disambut oleh para belia dan masyarakat kampung. Kehadiran Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Halim bin Jusoh, Ahli Dewan Undangan Kawasan Permaisuri memberi makna yang berharga kepada program ini. Komitmen yang diberikan oleh beliau memberi semangat kepada warga Guntung Luar untuk terus berusaha menjayakan segala apa yang dirancang demi kepentingan dan kemajuan Kampung Guntung Luar.

Seterusnya beliau meletakkan bendera di kenderaan ahli Kelab Volvo dan pacuan empat roda. Konvoi yang disertai oleh berpuluh buah motosikal dan kenderaan ahli kelab VOLVO berarak mengebarkan jalur gemilang melalui jalan Kampung Guntong - Kampung Bahagia - Kampung Bintang dan kembali ke Masjid Guntong Luar untuk majlis berbuka puasa.

YB. Tuan Haji Abdul Halim bin Jusoh juga menyampaikan sumbangan kepada 25 orang anak yatim dan 25 orang warga emas dan oku. Semasa ucapannya di hadapan lebih 350 orang tetamu beliau berharap agar seluruh masyarakat khususnya warga Guntung Luar menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi.

Selepas majlis berbuka puasa, peserta konvoi bersolat maghrib bersama para jemaah dan juga bersama-sama menunaikan solat sunat tarawih. Pada sebelah paginya pula, peserta konvoi sekali lagi bersama-sama bersahur dan mendengar kuliah subuh di masjid Guntung Luar.

Pengurusan Masjid Guntung Luar mengucapkan tahniah kepada usaha jabatan penerangan untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat tentang nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dianugerahkan Allah. Sesungguhnya

Pengurusan Masjid Guntung Luar juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penerangan, Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, JKR Daerah Setiu, PDRM Daerah Setiu, Komuniti Bestari Mukim Guntung, Pengerusi-Pengerusi JKKK Mukim Guntung dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.

Pengurusan Masjid Guntung Luar juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada ahli kariah masjid khususnya golongan wanita yang berkerja bersungguh-sungguh (sampai tidur di masjid) demi untuk mempastikan program ini dapat dijayakan dengan sempurna.


23 Julai 2011

DI AMBANG RAMADHAN

Sempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak, Masjid Guntong Luar adalah antara tiga buah masjid di daerah Setiu yang dipilih untuk menjayakan program sempena kedatangan bulan Ramadhan.

Program Ceramah Agama akan diadakan pada 24hb Julai 2011, hari Ahad, malam Isnin. Penceramah terkenal, iaitu Ustaz Kamalrudin bin Omar, Pegawai Agama kepada YAB Menteri Besar Terengganu akan menyampaikan ceramah selepas Solat Maghrib.

Dijemput semua muslimin dan muslimat hadir ke majlis Ilmu yang dijanjikan Allah penuh dengan keberkatan.

11 Jun 2011

MASJID GUNTUNG LUAR MASJID ANGKAT PEJABAT AGAMA DAERAH SETIU

Masjid Guntung Luar telah dipilih sebagai masjid angkat Pejabat Agama Daerah Setiu. Pemilihan ini telah diumumkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu semasa kunjungan beliau dan rombongannya ke masjid ini pada 9hb Jun 2011 yang lalu.

Pengurusan Masjid Guntung Luar merakamkan ucapan terima kasih di atas pemilihan ini dan berharap dengan pemilihan ini, usaha untuk menambah baik aktiviti dan program masjid akan dapat dilaksanakan oleh Pejabat Agama Daerah Setiu. Di samping itu juga pengurusan masjid berharap kemudahan yang disediakan akan ditambah baik bagi keselesaan pengguna.

Terima kasih.


KUNJUNGAN PESURUHJAYA HAL EHWAL AGAMA TERENGGANU

9hb Jun 2011 Masjid Guntung Luar mencatat sejarah baru. Masjid Guntung Luar telah menerima kunjungan rombongan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Tuan Haji Mohd Rozali bin Salleh. Rombongan ini juga turut disertai oleh Ketua-Ketua Penolong Pesuruhjaya dan Pegawai-pagawai kanan JHEAT. Turut serta juga pegawai-pegawai agama daerah-daerah negeri Terengganu.

Majlis ini merupakan majlis taaruf bagi tujuan merapatkan hubungan antara pihak JHEAT dengan masyarakat kampung. Ianya bertujuan untuk melihat dan mendapatkan pandangan berkaitan dengan situasi dan masalah masjid di seluruh negeri Terengganu.

Di dalam majlis berkenaan, Tuan Haji Mohd Rozali berharap masyakarat kampung akan terus mengimarahkan masjid. Adalah menjadi harapan pihak JHEAT supaya rumah Allah akan terus hidup dan diimarahkan sepenuhnya. Beliau juga berharap solat berjemaah setiap waktu dipenuhi oleh ahli kariah sama seperti solat Jumaat.
Majlis ini mendapat sambutan masyakarat kampung di mana hampir 300 orang telah turut sama hadir ke masjid. Turut sama di dalam majlis ini ialah para imam, pengerusi dan ahli JKKK serta masjid dari daerah setiu.
Masjid Guntung Luar menyambut baik saranan dan harapan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Daya usaha senantiasa diambil oleh Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid Guntung Luar untuk terus memakmurkan masjid.
Seluruh ahli kariah masjid merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya dan rombongannya di atas kesudian memilih masjid Guntung Luar untuk dikunjungi.