Amir Nusantara

Rabu, 4 Jun 2014

Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi @ Pak Lah

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kali ini teman ingin berkongsikan serba sedikit tentang seorang tokoh yang tidak asing lagi di Malaysia...

 Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi
 


Tun Abdullah

Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi atau mesra dipanggil sebagai Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak kepada pasangan Datuk Ahmad Abdullah Fahim dan Datuk Khailan Hassan. Ayah Beliau adalah seorang ulama yang juga merupakan anak kepada seorang ulama tersohor iaitu Sheikh Abdullah Fahim. Pak Lah merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan bekas Presiden UMNO ke-6. selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tun Abdullah  menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964. Setelah tamat pengajian,Tun Abdullah menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Tun Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan ekoran tercetusnya rusuhan kaum pada Mei 1969. Tun Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian yang sama pada tahun 1974.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.


Ideologi-ideologi Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi

Antara ideologi Tun Abdullah yang masih kelihatan sehingga kini ialah tercetusnya idea Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang. Projek ini diumumkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Parlimen. Pembinaan jambatan ini merupakan alternatif bagi mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di jambatan yang sedia ada. Cadangan asal jambatan itu yang diluluskan dan diumumkan pada 2003. Jambatan ini juga telah mula beroperasi pada 2014.

Disamping itu, bertepatan dengan riwayat hidupnya yang membesar dalam keluarga ulama’. Tun Abdullah cuba menerapkan nilai-nilai keislaman dalam hal ehwal pentadbirannya. Beliau telah memperkenalkan konsep Islam Hadhari atau "Islam yang bertamadun". Islam hadari merupakan satu konsep yang cuba ditonjolkan oleh kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan dua sumber utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis. Ia bukannya satu fahaman atau kepercayaan baru, sebaliknya merupakan usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam yang sebenar yang berpandukan al- Quran dan Hadis.

Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, isyarat jelas yang diberikan oleh Dato’ Seri Abdullah sejurus dilantik menjadi PM. Beliau akan menjadi seorang ketua kerajaan yang mendekati rakyatnya.  Sehari selepas beliau mengankat sumpah beliau terus turun padang untuk bertemu dengan rakyat serta menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas dengan banjir. Pada 10 Oktober 2002 pula, beliau pernah melakukan lawatan secara mengejut untuk meninjau perkhidmatan kaunter yang disediakan oleh Jabatan Imigresen di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Tun Abdullah juga cuba mewujudkan hubungan kerjasama dengan pihak pembangkang. secara tradsisnya, pihak kerajaan dengan pihak pembangkang sudah pastinya merupakan dua pihak yang sering bertelagah dan bermusuhan dalam bidang politik. Oleh sebab itu pemimpin kerajaan jarang sekali memberi ruang kepada pemimpin pembangkang. Lain pula ceritanya dengan Tun Abdullah, beliau telah pun membawa salam perdamaian kepada pihak pembangkan sejak hari pertama pertemuan dalam parlimen. Beliau juga mempelawa pihak pembangkan untuk sama-sama berbincang dan bekerjasama dengan kerajaan.

Sebagai seorang muslim yang baik juga, beliau begitu tidak selesa tentang gejala rasuah yang berlaku dalam negara. Beliau beriltizam memerangi rasuah sehingga ke akar umbi sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri. Beliau juga meminta pegawai-pegawai kerajaan supaya jangan terlibat dengan gejala jijik itu. Beliau menunjukkan ketegasannya dalam hal ini sehingga meminta kes-kes yang berkaitan Rasuah supaya disegerakan.

“Kerja bersama-sama saya, bukan kerja untuk saya”, falsafah inilah yang dipegang oleh Tun Abdullah sepanjang menjadi pemimpin rakyat Malaysia. Dalam amanat sulungnya sehari selepas dilantik menjadi perdana menteri, Dato’ Seri Abdullah secara terbuka meminta semua orang supaya bekerja bersama beliau bukan bekerja untuk beliau dalam membangunkan bangsa, agama dan negara. Falsafah beliau jelas menunjukkan bahawa semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat merupakan rakan dan perlu berganding bahu untuk mencapai cita-cita bangsa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan