NO_PIC“Sesungguhnya syaitan itu ibarat serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka jauhilah kamu dari berpecah belah dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid” (Hadith Riwayat Ahmad)  

Manakala, Dalam Surah As Shaff: 4, Allah berfirman yang bermaksud;

 

“Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambanya yang berperang pada jalan Allah dalam satu barisan yang tersusun rapi, seperti sebuah bangunan yang terbina kukuh”

 

Kedua-dua dalil naqli di atas menunjukkan kekuatan sesuatu kelompok masyarakat boleh dinilai dengan kesatuan dan perpaduan yang disulam kukuh dalam jiwa-jiwa insan, dan begitulah sebaliknya. Perpecahan akan menjerumuskan sesebuah masyarakat kepada kejatuhan dan kehancuran serta menyebabkannya terdedah kepada kejahatan yang sentiasa menanti peluang untuk memecahbelahkan ummat. Ini terbukti melalui kejatuhan tamadun Islam itu sendiri yang dicorakkan pengkhianatan dan sifat rakus inginkan kekuasaan.

 

Kedua-dua rujukan sumber teragung umat Islam ini turut secara jelasnya menukilkan perintah agar insan untuk sentiasa berada dalam kesatuan yang kukuh dalam menjaga urusan agama bagi mengelakkan umat Islam terpedaya dengan mehnah-mehnah dan tribulasi serta ancaman musuh-musuh Islam yang sentiasa menanti peluang untuk menjatuhkan agama Islam sepertimana yang telah dilakukan sejak berzaman, sepertimana firman Allah  dalam surah Al-Baqarah:120 yang bermaksud:

 

“Orang-Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar”.