Saturday, September 18, 2010

:: Malaysia 47 tahun: Anugerah Tokoh Malaysia



Kisah di sebalik penerima Anugerah Tokoh Malaysia

KOTA KINABALU 17 Sept. – Empat tokoh termasuk dua yang berperanan besar membawa Sarawak dan Sabah menyertai Persekutuan Malaysia diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini semalam.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya‘kub; bekas Menteri Kerja Raya, Tan Sri Abdul Ghani Gilong; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Zainal Abidin Sulong dan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Yuen Yuet Leng.

Berikut adalah latar belakang penerima anugerah berkenaan:

Tun Abdul Rahman Ya‘kub:

* Dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Kampung Jepak, Bintulu Sarawak.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Anchi dan Sekolah St. Joseph, Miri sebelum meneruskan pelajaran sekolah menengah di Madrasah Melayu Kuching.

* Menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 11 tahun (1970-1981).

* Menerima Ijazah Undang-Undang (Kepujian) daripada University Southampton, England.

* Mendapat pendidikan daripada School of International Law, Hague di Belanda.

* Lulusan Barrister-at-law dari Lincoln‘s Inn, London.

* Tokoh utama dari Sarawak yang dipilih oleh Tunku Abdul Rahman untuk meyakinkan rakyat negeri tersebut menyertai pembentukan Malaysia.

Tan Sri Abdul Ghani Gilong:

* Dilahirkan di Ranau, Sabah pada 30 Mei 1932.

* Memberi sumbangan besar dalam menyuntik semangat rakyat Sabah menyokong pembentukan Malaysia.

* Bersama Tun Mohamad Fuad Stephens membantu Suruhanjaya Cobbold menjelajah ke pedalaman khususnya di Ranau, Kundasang, Tambunan, Keningan, Kudat, Sandakan dan Kinabatangan untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang kebaikan dan kelebihan yang bakal diperolehi Sabah jika sama-sama membentuk negara baru Malaysia, Suruhanjaya Cobbold berjaya mendapat pungutan suara rakyat Sabah yang menyokong pembentukan Malaysia.

* Jawatan pertama beliau dalam Kabinet Tuanku Abdul Rahman ialah sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam.

* Pernah menjawat jawatan Menteri Kehakiman dan Menteri Pengangkutan.

Tan Sri Zainal Abidin Sulong:

* Dilahirkan pada 3 Mac 1933 di Kota Bharu, Kelantan.

* Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Krai, Pasir Putih, Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Sultan Ismail College Kota Bharu, Kelantan, sebelum ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

* Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Pengajian Melayu dari Universiti Malaya, Singapura pada 1957.

* Sepanjang berkhidmat di Kementerian Luar, Zainal pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Papua New Guinea, Kesatuan Soviet, Finland dan Bulgaria.

* Berkhidmat sebagai Setiausaha Ketiga, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mulai 1980 hingga 1984 dan seterusnya Setiausaha Kedua, Wakil Tetap Malaysia ke PBB (1984-1986).

* Memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri mulai 1984 hingga 1983.

Datuk Seri Yuen Yuet Leng:

* Dilahirkan di Larut, Matang, Perak pada 15 September 1927.

* Mula berkhidmat dengan pasukan polis sebagai Inspektor Pelatih Asia pada 1 Disember 1950 atas kesedaran untuk menjamin keamanan negara.

* Beliau kemudian ditugaskan di 20 Federal Jungle Company, Titi Gantung, Perak.

* Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak memberi sumbangan menentang pengganas komunis dan pernah menjejaki Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng selama dua hari pada 1952 dari Sungai Perak hingga sempadan Thailand dan memusnahkan unit komunis hutan.

* Pernah dua kali ditembak iaitu pada 1951 dan 1952.

*Dianggap sebagai wira negeri Perak kerana semasa menyandang jawatan Ketua Polis Perak, beliau berjaya melindunginya daripada jatuh ke tangan pengganas komunis sehingga Perak berjaya diisytiharkan sebagai kawasan putih.

* Menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan polis sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 1984.