Sunday, March 29, 2009

Asal usul pemberian nama Arafah

Kata Arafah kini sudah menjadi nama tempat. Namun asal usul penamaannya adalah lebih daripada sebuah kisah. Ada yang mengatakan bahawa ketika Adam dan Hawa a.s diturunkan dari syurga, keduanya berpisah tempat. Ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t melalui surah Thaha ayat 123 yang bermaksud, “turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka jika datang petunjuk daripada-Ku, lalu barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka”. Adam dan Hawa diturunkan di tempat yang berasingan. Masing-masing mencari teman hidupnya sehingga mereka berjumpa kembali di suatu tempat bernama Arafah.


Selain itu ianya juga merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim a.s iaitu bagaimana Allah memberitahukan kepadanya (‘Arrafahu) tempat Arafah itu. Pada suatu petang ketika sedang tidur, Ibrahim melihat dalam mimpinya ia sedang menyembelih puteranya Ismail. Ini merupakan satu masalah yang amat besar bagi Nabi Ibrahim sebagai seorang bapa terhadap anaknya. Kerana itulah setelah bermimpi, Ibrahim duduk merenungi fikirannya dengan cermat. Oleh sebab itu hari Arafah dinamakan pula hari Tarwiyah (renungan). Setelah ia yakin bahawa mimpinya benar dan ia harus menyembelih puteranya Ismail maka ia menamakan tempat mengetahui hakikat mimpinya itu dengan Arafah.

Di samping itu terdapat pula kisah yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s diberitahu oleh malaikat Jibril cara melaksanakan manasik haji di tempat ini. Jibril bertanya, “Arafta’, tahukah kamu?” Ibrahim menjawab, “Araftu’, aku mengetahuinya”. Dengan demikian boleh jadi ini beerti bahawa di tempat itu manusia mengenali Robbnya, dan manusia datang ke tempat itu untuk mengakui dosanya serta untuk memohon keampunan Robbnya dengan penuh kerendahan.

Namun walau apapun asal nama Arafah dan kegiatan ibadah pada hari itu dinamakan dengan nama Hari Arafah ataupun Hari Tarwiyah, apa yang pasti hari itu merupakan hari yang mulia iaitu hari yang dibanggakan Allah Taala kepada para hamba-Nya sepertimana yang dijelaskan Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud : “Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku itu. Mereka telah meninggalkan semua yang dimilikinya dan mendatangi-Ku dengan kusut dan berdebu, memohon keampunan dan rahmat-Ku. Aku bersaksi dengan kamu bahawa Aku telah mengampuni mereka…”.

No comments:

Post a Comment