Showing posts with label Syawal. Show all posts
Showing posts with label Syawal. Show all posts

Monday, July 4, 2016

Salam Hari Raya 1437Hijrah

Selamat Hari Raya 1437Hijrah

Kepada Semu Pengunjung Blog Ini
Alhamdulillah segala pujian khusus bagi Allah serta Selawat
dan Salam untuk baginda Nabi Muhammad SAW Utusan
Allah yang mulia.
Syukur kehadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkah serta menganugerahkan kita dengan Aidilfitri di bulan Syawal yang mulia ini.
Di kesempatan ini saya dan keluarga ingin mengucapkan ;
Selamat Hari Raya Aidilfitri

 Disamping itu sekiranya di pihak kami mempunyai sebarang
dosa kesalahan dan kesilapan dari segi niat, tutur kata, tingkahlaku, dsb. yang menyinggung perasaan dan hati tuan/puan dan keluarga kami mohon ampun dan maaf
zahir batin awal dan akhir.
Begitu juga apa-apa yang termakan, terminum dan terpakai, dsb. oleh kami secara sengaja dan tidak, kami mohon dihalalkan.

Manakala dari pihak kami pula dengan rela hatinya  kami sedia memaafkan sebarang dosa kesalahan dan kesilapan tuan/puan terhadap kami sekeluarga.

Semoga dengan berkah Ramadhan dan Syawal ini kita semua mendapat keampunan  dan balasan yang baik daripada Allah SWT, mendapat perlindunganNya, keselamatanNyaditetapkan iman dan Islam, dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, murah rezeki serta diberi kebaikan hidup di dunia dan akhirat, Insyallah.  AMIN

Sekali Lagi Blogger Juga ucapkan
Salam Aid Mubarak


Saturday, August 2, 2014

Selawat, Doa Dan Ucapan Sempena Ziarah Hari Raya I'dilfitri

Selawat, Doa Dan Ucapan Hari Raya
(Sempena  Ziarah Hari Raya I'dilfitri)

Teks Selawat Ziarah Hari Raya


Teks Doa Ziarah Hari Raya

Maksudnya :
“Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan pentadbir seluruh alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w yang semulia-mulia utusan dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah wahai Tuhan pentadbir seluruh keadaan Tuhan yang maha pemurah dan maha tinggi kedudukannya, dengan limpah dan kemurahanMu tukarkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dan berkatilah kami dan seluruh umat Islam dengan keberkatan bulan Syawal.

Ya Allah wahai Tuhan sebaik-baik tempat permohonan, perkenanlah permintaan kami dan kembalikan lagi peluang kepada kami bulan ini tahun demi tahun dan tahun-tahun seterusnya dan berkatilah Tuan rumah ini ………… dan seluruh ahli keluarganya dan panjangkanlah umur mereka dengan iman dan kurniakanlah kepada mereka rezeki yang halal dan jauhkanlah mereka daripada rezeki yang haram dengan rahmatMu wahai Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.

Selawat dan salam daripada Allah ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan pentadbir seluruh alam”.

Teks Ucapan Bermaafan Ziarah Hari Raya
Alhamdulillah segala pujian khusus bagi Allah serta Selawat
dan Salam untuk baginda Nabi Muhammad SAW Utusan
Allah yang mulia. 
Syukur kehadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkah serta mempertemukan kita dengan Aidilfitri 
di bulan Syawal yang mulia ini.
Di kesempatan ini kami rombongan marhaban dan keluarga ingin memanjangkan ucapkan ;
Selamat Hari Raya Aidilfitri
 Disamping itu sekiranya di pihak kami mempunyai sebarang
dosa kesalahan dan kesilapan dari segi niat, tutur kata, tingkahlaku, dsb. yang menyinggung perasaan dan hati tuan/puan dan keluarga kami mohon ampun dan maaf
zahir batin awal dan akhir.
Begitu juga apa-apa yang termakan, terminum dan terpakai, dsb. oleh kami secara sengaja dan tidak, kami mohon dihalalkan.

Manakala dari pihak kami pula dengan rela hatinya  kami sedia memaafkan sebarang dosa kesalahan dan kesilapan tuan/puan terhadap kami sekeluarga.
Semoga dengan berkah Ramadhan & Syawal ini kita semua mendapat keampunan  dan balasan yang baik daripada Allah SWT, mendapat perlindunganNya, keselamatanNyaditetapkan iman dan Islam, dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, murah rezeki serta diberi kebaikan hidup di dunia dan akhirat, Insyallah.  AMIN


Kredit kpd  : http://surauassyakirinsb.blogspot.com/2014/08/marhaban-berselawat-doa-dan-ucapan-hari.html 

Di Kesempatan Ini Blogger Juga Ingin Mengucapkan
Salam Aid Mubarak

Wednesday, August 14, 2013

Puasa Enam Syawal Persoalan Qadha Dan Gabung ?

Puasa Sunat Enam Syawal
Persoalan Sunat Sebelum Qadha Dan Gabung Qadha dan Sunat

Ibadah puasa adalah amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam.  Selain puasa fardhu Ramadhan, umat  Islam juga boleh melakukan ibadat  puasa sunat. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, Asyura  dan enam hari dalam bulan Syawal). Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman (dalam hadis Qudsi):  Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”

(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Di sini ini akan dibincangkan tentang puasa sunat ini. Dalil Puasa Sunat Enam Syawal. Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata:  Rasulullah saw bersabda:  Maksudnya: “Sesiapa yang  berpuasa Ramadhan kemudian dia  mengiringinya dengan enam hari dari  bulan Syawal maka seperti ia berpuasa  sepanjang tahun.” [Muslim no: 1164].

Di dalam hadis tersebut Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Hukum Puasa Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam alSyafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama  yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:  Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara     terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. 

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:  Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat. Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Syaban yang akan datang. Aisyah ra berkata: Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Syaban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Muslim no: 1146. Al-Bukhari, no: 1950]

Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa„id. Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Syaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun rang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Rasulullah saw mensyaratkan  “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra. Menurut Imam An-Nawawi rh,Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan keduaduanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Mughni Al-Muhtaj 2/184, Hasyiah Asy-Syarqawi 1/428, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid).

Wajarlah, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula).Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah  Rasulullah saw. Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya.

Sumber Asal :

Monday, August 5, 2013

Sunnah Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Cara Menyambut Hari Raya Aidilfitri



Al-Quran dan sunnah adalah sebagai petunjuk dalam mengendalikan tatacara menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui ibadah puasa dan pengisiannya di bulan Ramadan kerana matlamat utama yang terdapat dalam ibadah puasa ialah membentuk golongan muttaqin (orang yang bertakwa).

Amalan-amalan yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w semasa menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri ini antaranya ;

1. Bertakbir

Bertakbir pada 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah disyariatkan bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

2. Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

3. Mandi pada pagi hari raya

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri.

Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

4. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.

Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

5. Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.


6. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

7. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.


8. Tempat perlaksanaan solat hari raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w.

Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

9. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

10. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.

Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.  Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

11. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.


Afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang itinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

TAKBIR HARI RAYA AIDILFITRI DAN PENGERTIANNYA

TAKBIR HARI RAYA AIDILFITRI DAN PENGERTIANNYA



Hari Raya Aidilfitri adalah kurniaan daripada Allah  SWT sebagai hadiah kemenangan kepada umat Islam, kerana kita telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa di bulan Ramadhan. 

Islam ada tatacaranya yang tersendiri untuk menzahirkan kegembiraan semasa merayakan hari raya. Hari raya hari adahlah hari kemenangan dan kita disunatkan untuk melaungkan takbir yang tujuannya untuk mengagungkan dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran terhadapNya disamping dapat menyedarkan diri betapa kerdil, hinanya dan bergantungnya kita terhadap-Nya.

Dengan bertakbir, kurniaan Hari Raya Aidilfitri akan dapat dirasai sesuai dengan maksud tujuan takbir iaitu mengagungkan Allah  SWT dengan melafazkan kalimah ‘Allahu Akbar’.  Mafhum firman Allah SWT  dalam al-Qur’an:

“Dan juga supaya kamu  cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”  (Surah Al-Baqarah: 185)


Lafaz Takbir Hari Raya

KLIK IMEJ UNTUK BESARKAN

KLIP VIDEO TAKBIR AIDILFITRI


Lafaz takbir Hari Raya sebagaimana yang di sebut dalam kitab-kitab fiqh ialah:

Ertinya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha  Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.”

Lafaz takbir tersebut disunatkan membaca sebanyak 3 kali.

Disunatkan selepas bertakbir tiga kali itu membaca :

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak, Maha  suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun  dibenci oleh orang-orang kafir, tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.”

Waktu Melaungkan Takbir

Takbir pada Hari Raya Aidilfitri dinamakan sebagai takbir mursal atau  muthlaq iaitu takbir yang tidak  terikat waktunya selepas solat yang sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja mulai maghrib 1 syawal sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri. 

Imam Ibnu Hajar  RA, salah seorang daripada ulama ‘asy-Syafi‘iyyah berkata:

“Sunat melaungkan takbir (Hari Raya Aidilfitri) sama ada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara  jahr (nyaring), bermula dari terbenam  matahari pada malam Hari Raya (1 Syawal) dan berterusan sehingga imam mengangkat takbiratulihram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir itu adalah sebagai syi‘ar Islam bagi menandakan waktu Aidilfitri itu telah tiba maka adalah lebih awla (utama) dikerjakan atau disambut dengan takbir.”

Melaungkan takbir dengan suara jahr (nyaring)  adalah disunatkan bagi kaum lelaki sahaja, dan bagi perempuan atau  khunsa, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara  jahr ketika ada orang lain yang bukan mahram hadir bersama mereka.

Manakala had waktu bertakbir bagi orang yang sembahyang sunat Hari Raya secara bersendirian pula, adalah dikira sehingga dia mengangkat takbir sembahyang Hari Raya Aidilfiri untuk dirinya.

Menurut asy-Syabramallisiy  Rahimahullah, Apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca surah al-Kahfi dan bershalawat kepada Nabi SAW.

Dengan bertakbir itu sudah cukup membuktikan bahawa Hari Raya Fitri bukan Hari untuk kita berpesta bahkan untuk  kita beribadah dengan melafazkan rasa syukur di atas anugerah Allah  SWT melalui takbir dan ibadat-ibadat lain yang kita lakukan.

Dengan ini juga membuktikan bahawa Hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan Hari Raya orang bukan Islam, apatah lagi ia disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau orang bukan Islam berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya sebaliknya Hari Raya bagi orang Islam adalah ibadah. 

Pengertian Yang Perlu Diambil Daripada Lafaz Takbir

Jika umat Islam benar-benar menghayati dan menginsafi maksud lafaz takbir yang dilaungkan, UMAT ISLAM TIDAK AKAN :

1. Tunduk kepada 'tuhan-tuhan' ciptaan manusia

2. Bersekutu dengan Kuffar untuk memerangi umat Islam yang   
    lain dalam menegakkan agamaNya

3. Menjadikan Hari Raya sebagai pesta hiburan berbanding hari
    kemenangan dan hari kesyukuran dengan membesarkan Allah.

4. Takbir dan tahmid yang dilaungkan tidak sekadar menjadi     
    senandung penuh kepiluan semata-mata tanpa difahami lafaznya.


Sumber Asal (dengan sedikit suntingan) :

 http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2008/bil296.pdf