Wednesday, August 12, 2009

KHALID AL-WALID & AMRU AL-AS MEMELUK ISLAM

KHALID AL-WALID DAN AMRU AL-AS MEMELUK ISLAM

Dua orang pahlawan yang sangat penting sebelum Islam kerana menentangnya dan selepas memeluk Islam menjadi tenaga jihad yang sangat penting di medan perang mengalahkan musuh dan memberikan kemenangan besar kepada Islam dan umatnya ialah Khalid al-Walid r.a. dan Amru bil al-As r.a.

KHALID AL-WALID MEMELUK ISLAM

Cahaya Islam mula menembusi hati Khalid al-Walid r.a. apabila melihat perkembangan dan kemenangan Islam yang tidak boleh dihalang oleh segala kekuataan kebendaan walau sebesar manapun. Keadaan lebih nyata apabila beliau memimpin tentera berkuda musyrikin Mekah untuk menghalang Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya dari memasuki Mekah untuk mengerjakan ibadat haji.

Khalid al-Walid bersama 200 orang tentera berkudanya menunggu di Kurra’ul-Ghamim yang menjadi jalan utama ke Mekah ketika itu. Beliau merancang untuk menyerang rombongan Rasulullah s.a.w. ketika mereka solat Asar iaitu ketika mereka rukuk dan sujud. Sewaktu hendak melancarkan serangan mengejut itu Allah SWT telah menurunkan hukum cara-cara sembahyang ketika kecemasan iaitu solat Khauf. Menyebabkan hilanglah peluang mereka untuk menyerang rombongan Rasulullah s.a.w.

Kadang-kadang terlintas dalam fikiran Khalid al-Walid untuk pergi ke Habsyah kerana rajanya telah memeluk Islam, berada di sana lebih aman. Kadang-kadang dia berfikir untuk menganut Yahudi atau Nasrani dan bernaung di bawah Raja Rom. Tiba-tiba datang sepucuk surat dari saudaranya al-Walid bin al-Walid menyatakan Rasulullah s.a.w. mencarinya ketika datang mengerjakan umarah qada’.

Saudaranya menceritakan di dalam surat itu, Rasulullah s.a.w. menganggap orang seperti Khalid al-Walid tidak jahil berkenaan Islam, kalau dia jadikan kepintarannya itu bersama umat Islam adalah lebih baik kepadanya, dan dia akan diletakkan di tempat yang lebih baik dari orang lain. Oleh itu datanglah menemui Rasulullah s.a.w. dan jangan lepaskan peluang ini. Kedatangan surat ini menambahkan semangat Khalid al-Walid menganut Islam. Ketika itu juga Khalid al-Walid bermimpi dia berada di suatu tempat yang sempit dan kering kontang, kemudian dapat melepaskan diri ke negeri yang luas dan subur menghijau. Mendatangkan suatu alamat baik seperti yang ditafsirkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Khalid al-Walid menceritakannya iaitu keluar dari kesempitan syirik kepada kebaikan dan kebenaran Islam.

Khalid al-Walid tidak mahu pergi seorang diri berdepan Rasulullah s.a.w lalu mengajak Safwan bin Umaiyyah, tetapi dia menolaknya. Kemudian mengajak Ikrimah bin Abu Jahal juga menolak. Lalu Khalid mengambil binatang kenderaannya untuk ke Madinah bersendirian, tiba-tiba dia bertemu Uthman bin Abi Talhah dan memujuknya bertemu Rasulullah s.a.w., Uthman bersetuju lalu mereka pun menuju Madinah di tengah malam. Setelah waktu fajar merka sampai di Al-Hudat dan bertemu Amru bin Al-As. Kamu hendak ke mana? Tanya Amru al-As. Mereka menjawab “Kami nak masuk Islam dan menjadi pengikut Rasulullah s.a.w.” . Amru menjawab “Akupun begitu juga”. Bertolaklah mereka bertiga ke Madinah.

Sampai di Madinah Khalid al-Walid menemui saudaranya al-Walid bin al-Walid dahulu, lalu saudaranya menyuruh ia segera bertemu Rasulullah s.a.w. kerana baginda sedang menunggunya dengan sangat gembira. Khalid al-Walid menemui Rasulullah s.a.w dan mengucap dua kalimah syahadah. Baginda memanggil Khalid al-Walid supaya menghampirinya dan berkata “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah memberi petunjuk untukmu kepada Islam, sesungguhnya aku lihat engkau adalah seorang yang mempunyai akal fikiran yang pintar, dan berharap bahawa Allah menunjukmu kepada Islam untuk membawa kebaikan kepada Islam”. Khalid menjawab: “ Wahai Rasulullah s.a.w.! Aku masih teringat kepada apa yang aku lakukan menentang Islam dan aku membersihkan diri daripadanya, mintalah supaya Allah mengampunkan aku”. Rasulullah s.a.w menjawab “Islam menghapuskan itu semua”, baginda berdoa “Ya Allah ya Tuhanku, ampunkan Khalid, apa yang pernah dilakukan bagi menentang Allah dan RasulNya”.

AMRU AL-AS MEMELUK ISLAM

Amru al-As r.a. pernah menegaskan: “Aku antara orang yang paling bermusuh dengan Islam dan menentangnya dengan keras, pernah menyertai perang Badar tetapi aku masih selamat, menyertai perang Uhud tetapi aku masih selamat, menyertai perang Khandaq/ Ahzab tetapi aku masih selamat”. Dan aku pernah menegaskan: “Kalau semua orang-orang Quaraisy masuk Islam nescaya aku tidak masuk Islam”.

Cahaya keimanan mula memancar kepadanya apabila beliau ditugaskan oleh Musyirikin Mekah bertemu Raja Habsyah untuk mendapat keizinan bagi menghalau umat Islam yang berhijrah ke Habsyah. Kebetulan ketika itu Amru al-As terserempak dengan utusan Rasulullah s.a.w. yang membawa surat kepada Raja Habsyah supaya masuk Islam iaitu Amru bin Umaiyyah Ad-Damri dan Raja Habsyah telah pun menerima Islam tanpa disedari oleh Amru al-As.

Sebaik sahaja utusan Rasulullah s.a.w. keluar dari majlis, Amru al-As mengambil kesempatan mengadap Raja Habsyah dengan memberi hadiah yang banyak dari Mekah. Raja Habsyah menerima hadiah tersebut dan melayannya dengan baik. Amru al-As berkata: “Tadi aku melihat ada seorang yang datang mengadap dan membawa surat. Sebenarnya dia adalah utusan musuh kami, yang melakukan masalah kepada kami dan membunuh pemimpim-pemimpin dan orang-orang bangsawan di kalangan kami, serahkan dia kepadaku supaya aku dapat membunuhnya”

Tiba-tiba Raja Habsyah meradang dan mengangkat tangannya menampar muka Amru al-As lalu mengenai hidungnya sehingga berdarah, lalu raja berkata: “Hai Amru! Adakah engkau minta kepada aku supaya aku serahkan kepadamu utusan dari seorang yang didatangi malaikat Jibril yang pernah menemui Musa a.s. dan menemui Isa a.s., supaya aku membunuhnya”. Amru al-As menceritakan perasaannya ketika itu, jika ada lubang bumi untuk menyelamatkan diri, nescaya aku terjun ke dalamnya ketika itu. Aku berfikir adalah orang-orang Arab dan bukan Arab percaya kepadanya tetapi mengapa aku tidak percaya?

Amru al-As bertanya: “Adakah tuanku percaya kepadanya?”. Raja Habsyah menjawab: “Ya! Aku mengaku di sisi Allah percaya kepadanya. Demi Allah dia di pihak yang benar, dia mesti menang menghadapi orang-orang yang menentangnya, seperti Allah memenagkan Nabi Musa a.s. menghadapi firaun dan bala tenteranya, adakah engkau berjanji kepadaku masuk Islam?”. Jawab Amru al-As: “Ya”. Lalu Raja Habsyah memerintahkan dibasuh darah dan diberikan pakaian baru.

Amru al-As terus keluar dari Habsyah dengan menaiki kapal menyeberangi Laut Merah, setelah sampai ke darat membeli seekor unta menuju ke Madinah, dalam perjalanan menemui Khalid al-Walid dan Uthman bin Abi Talhah. Kedatangan mereka amat mengembirakan Rasulullah s.a.w. kerana mereka adalah pahlawan yang gagah berani dan terkenal dengan kepintarannya.

Amru al-As tidak berdaya mengangkat mukanya kerana malu di atas perbuatannya menentang Islam di masa lalu, beliau berbai’ah dan meminta Rasulullah s.a.w. berdoa mengampunkan dosanya. Rasulullah s.a.w memberi jaminan bahawa Allah telah mengampunkan dosanya yang lalu.

Rasulullah s.a.w telah meletakkan kedudukan mereka di dalam Islam kena pada tempatnya sehingga mereka inilah yang banyak memberikan kegemilangan pada Islam di masa-masa hadapan.

“Orang-orang pilihan di masa jahiliyyah menjadi orang-orang pilihan juga di masa Islam kalau mereka faham”

No comments:

Post a Comment

Kalam Mu Ya Hayyu Ya Qayyum...

Hayatilah manusia ciptaan Allah SWT...

Arahan Bernas mu Ya Rasulullah SAW...