Apr 22, 2008

Jadikan Anak Pusaka Peninggalan

SEORANG ibu dan ayah itu perlu menjadikan anak-anak sebagai pusaka peninggalan yang akan memberi manfaat kepada mereka setelah mereka meninggal dunia. “Jika anak itu anak yang soleh maka dia ada keupayaan untuk memberi bantuan kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia,” demikian kata Ustaz Roslan Mohamed, pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Sehubungan dengan itu, katanya, kita dianjurkan berdoa, antara lain, “Ya Allah, jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertakwa.” “Maknanya, anak tadi perlu menjadi warisan atau pusaka. Anak yang soleh itu warisan. Kalau dulu si ibu dan si ayah mungkin orang yang kuat agama, insya-Allah dengan kesolehan anak, ia boleh beri kelebihan pada emak dan ayah yang telah meninggal dunia.” Menurutnya, umat Islam tidak boleh memandang ringan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Bukhari) Untuk itu, mahu tak mahu, anak-anak perlu dididik agar menjadi soleh agar dapat membantu kita di alam barzakh kelak. “Kita selalu berfikir kalau hendak tinggalkan anak, anak nak makan apa, bimbang kalau anak tak ada harta, tak ada rumah nak duduk. Tapi tak ramai yang berfikir, apakah ilmu yang aku dah tinggalkan pada anak-anak, apakah agama yang aku dah tinggalkan, apa batas agama yang anak aku tahu, apa nilai-nilai Islam yang aku dah didik.
Jarang yang berfikir begini, sebaliknya hanya fikir tentang masalah fizikal dunia saja,” ujarnya lagi. Beliau berkata, bukanlah bermakna harta tidak penting dalam kehidupan, tetapi ada yang lebih penting. “Dalam Islam ada kaedah, mendahulukan yang lebih penting daripada yang penting. Ada benda yang penting, tapi yang lebih penting itu kita dahulukan. Misalnya, makan penting tapi makan sesuatu yang halal itu lebih penting. Kalau kita letakkan makan itu penting tapi kita tak peduli yang lebih penting iaitu soal hukum, payah. "Beliau memetik kata-kata seorang Sahabat besar bahawa ilmu yang dimiliki itu akan menjaga kita, sedangkan harta pula, kita yang perlu menjaganya. “Dalam konteks anak-anak, kalau anak-anak ditinggalkan dengan ilmu, jangan bimbang, dia boleh berdikari, boleh hidup. Tapi kalau ditinggalkan harta semata-mata, belum tentu anak itu boleh hidup. Kita tinggalkan anak dengan 20 ekar tanah sebagai contoh, kalau ilmu tak ada, dalam masa dua tahun, habis. Dengan rumah-rumah sekali terjual. Tapi kalau anak itu ditinggalkan dengan ilmu, insya-Allah.”
Masalahnya, kata beliau, ramai ibu bapa yang lebih memikirkan soal harta mengatasi soal ilmu. Sedangkan anak yang telah diberi ilmu secukupnya hingga menjadi soleh, dia akan tahu mencari harta dan rezeki sebab sudah berilmu. Seterusnya mampu membina kehidupan yang sejahtera dan dapat pula memberi kesejahteraan kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia. Ukuran ‘Soleh’ Di Usia Tadika? Sekarang ramai ibu bapa menghantar anak mendapat didikan agama sejak kecil. Ini satu perkembangan yang bagus. Bagaimanapun, kata Us. Roslan Mohamed, masih ada di kalangan ibu bapa yang beranggapan bahawa cukup dengan sedikit didikan agama yang diterimanya di sekolah tadika sewaktu kecil untuk membolehkan anak itu menjadi anak yang soleh. “Ibu bapa kadang-kadang masih tak faham. Mereka mahu anak jadi soleh tapi kesolehan anak itu hanya di sekolah, sedangkan di rumah tak diberi didikan yang cukup. Anak hanya tau baca doa di sekolah, masa makan dengan cikgu, tapi di rumah, ada tak baca doa tadi? Sampai satu tahap, anak tak soleh juga akhirnya. “Jadi di mana tahap kesolehan itu? Adakah hanya pada tahap umur lima, enam tahun? Cukupkah itu untuk melayakkan dia jadi soleh?” soal beliau. Us. Roslan berkata, kesolehan anak yang telah disemai di peringkat usia tadika tadi mesti dipupuk secara berterusan, bukan terputus di tengah jalan sebaik-baik memasuki darjah satu dan seterusnya. “Soleh yang dimaksudkan dalam hadis bukan setakat umur lima, enam tahun. Soleh tu di peringkat umur yang sudah mukallaf. Sudah baligh. Sudah bermulanya kewajipan beribadah. Di situlah tahap bermula kesolehan dan diterimanya doa,” jelas beliau.
Jalan Keluar Buat Pasangan Tiada Anak Sebut pasal anak sebagai saham akhirat, bagaimana dengan pasangan yang tak ada anak tetapi hanya ada anak angkat? Sampaikah doa anak angkat yang soleh untuk ibu bapa angkatnya yang telah meninggal dunia? Menurut Ustaz Roslan, doa seorang anak angkat juga didengar oleh Allah. “Islam ini adil,” katanya sambil memberi contoh Nabi s.a.w. sendiri yang merupakan anak yatim dan dipelihara sebagai anak angkat oleh datuknya Abdul Muttalib dan kemudian bapa saudaranya Abu Talib. “Ada beberapa keadaan, Nabi s.a.w. sentiasa mendoakan bapa saudaranya dan datuknya. Banyak mendoakan mereka. Antaranya, doa Nabi untuk bapa saudaranya agar menerima Islam, mendapat hidayah dan kemuncak dari itu adalah ketika Abu Talib hendak mati, baginda meminta Abu Talib terima Islam tetapi Abu Talib enggan dan tetap mati dalam keadaan kufur. “Kita lihat di sini, Nabi bukan anak kandung Abu Talib tapi anak saudaranya. Tetapi dalam konteks ini didapati bahawa ada hak bagi seorang anak yang bukan berbinkan ayah angkatnya, untuk mendoakan orang yang telah memeliharanya. Jadi kita boleh mengambil iktibar bahawa sebagai anak angkat yang dipelihara oleh satu keluarga, kesolehan dan doanya tetap sampai kepada ibu ayah yang memeliharanya. ”Apatah lagi, tambahnya, jika ibu bapa angkat itu memang mendidik anak angkatnya untuk jadi anak yang soleh. Menurutnya, mengambil anak angkat itu sendiri, Islam tak larang kerana ia satu bantuan kemanusiaan. Anak itu mungkin anak yatim, kematian ayah dan ibu, jadi dengan adanya orang yang memeliharanya maka terbela hidupnya dan terbela agamanya, insya-Allah. “Dalam keadaan begitu, kalau anak itu seorang anak yang soleh, walaupun ayahnya ayah angkat, tapi kesolehannya tadi akan sampai kepada ayah angkatnya yang telah mati,” ujar beliau sambil mengiaskannya dengan doa yang terdapat di dalam hadis dan menjadi rukun khutbah, iaitu permohonan ampun untuk sekalian orang Islam dan orang mukmin. “Apabila kita baca doa ini, mungkin termasuk emak ayah kita, keluarga kita, rakan taulan kita, orang yang kita kenal dan tak kenal. Kenapa kita diminta berdoa begitu? Sebab, kesolehan kita boleh memberi manfaat kepada orang lain, apatah lagi kalau emak ayah kita sendiri (termasuklah ibu bapa angkat). Di sini cantiknya Islam.” “Sampaikah doa anakku?” Bagaimana halnya dengan ibu bapa kandung yang anak-anaknya telah diserahkan ke dalam jagaan orang lain sejak kecil, adakah doa dan kesolehan anak-anaknya itu sampai pahalanya kepada mereka apabila mereka telah meninggal dunia? “Dalam hukum agama, tetap sampai,” jelas Us. Roslan Mohamed. Bermakna, anak yang soleh itu masih tetap menjadi pusaka peninggalan walaupun telah diserah ke dalam jagaan orang lain. Katanya, walaupun si anak tadi umpamanya telah terputus hubungan dengan keluarga kandung, tinggal berjauhan atau mungkin telah berjauh hati, tapi sampai satu saat dia ingat balik pada emak yang telah melahirkan dia. “Mungkin si emak telah meninggal tapi dia teringat balik sejarah hidup emak yang telah melahirkannya dan keinsafan tu datang, lalu dia mendoakannya, minta Allah permudahkan ke syurga, minta keampunan untuknya. Sampai.
Ini disepakati oleh ulama.” Katanya, Abdullah Nashih Ulwan dalam kitabnya Pendidikan Anak-anak Di Dalam Islam (terjemahan) menyebut bahawa setiap doa yang dilafazkan dalam keadaan ikhlas, dengan hati yang ikhlas maka doa itu akan sampai, tidak kira pada siapa. Hatta doa kepada orang yang kita tak kenal. “Tapi tidaklah sekuat doa seorang anak kepada ibu bapanya,” ujarnya.
Sumber: ukhtie_murfiqah on Wednesday 09 January 2008 - 22:10:45

Apr 21, 2008

Bukan selama-lama gagal

Oleh MOHD. RIDUWAN WAHAB

Memang tidak dapat dinafikan bahawa peratus pelajar yang memperoleh kejayaan dalam peperiksaan awam di seluruh negara kian meningkat saban tahun secara keseluruhannya. Namun, bagaimanakah pula dengan nasib mereka yang tidak dapat memenuhi impian ibu bapa dan guru yang mengharapkan kejayaan mereka?.

Wajarkah mereka disisihkan dalam keghairahan kita meraikan kejayaan yang lain?
Justeru, usah kita lupa akan nasib ratusan ribu pelajar yang tercicir daripada arus pendidikan perdana pada setiap tahun kerana jumlah ini akan kian bertambah. Mereka yang kurang cemerlang dalam peperiksaan ini tidak seharusnya dibiarkan sama sekali. Ini kerana ada pendapat mengatakan bahawa kecemerlangan bukan sekadar dapat diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.
Dalam hal ini, penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, sahsiah, dan budi pekertinya juga perlu diambil kira bagi melengkapkan pakej pelajar cemerlang yang bakal dilahirkan untuk mewarisi tampuk pemerintahan negara.
Justeru, ibu bapa tidak sepatutnya menganaktirikan anak-anak yang kurang cemerlang akademiknya sedangkan mereka cemerlang dalam bidang kemahiran. Daripada laporan yang diberikan, ternyata ramai pelajar yang menunjukkan minat yang tinggi dalam bidang kemahiran tertentu.
Oleh itu, ibu bapa berperanan menilai dan mengadaptasi kecenderungan, kebolehan, bakat dan potensi anak-anak dengan mencungkil kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Anak-anak sewajarnya diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan masing-masing supaya ibu bapa dapat mengenal pasti keperluan mereka.
Dengan ini, ibu bapa boleh membaiki cara asuhan mereka dan persekitaran pendidikan anak-anak agar mereka dapat berkembang dan membesar dengan baik. Kerana anak-anak merupakan individu yang berbeza antara satu dengan yang lain. Terpulanglah kepada kesungguhan ibu bapa untuk menggilap kualiti yang ada pada anak-anak mereka.
Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis Baginda yang menyatakan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam usaha mencorakkan peribadi anak-anak. Waktu pendidikan yang paling sesuai untuk memulakan usaha ini ialah ketika mereka masih kecil. Sesungguhnya bijak pandai pernah berkata, “mengajar ketika kecil laksana mengukir di atas batu, manakala mengajar ketika dewasa laksana mengukir di atas air”.
Oleh demikian, ibu bapa tidak lagi boleh menjadikan kegagalan anak-anaknya dalam pendidikan sebagai alasan untuk memberhentikan persekolahan mereka di pertengahan jalan. Sebaliknya, ibu bapa perlu sedar bahawa pendidikan merupakan pelaburan untuk masa hadapan keluarga.
Ibu bapa harus bersedia untuk berkorban demi masa hadapan anak-anak kerana dengan ini, anak-anak akan lebih bermotivasi untuk belajar dan menghargai apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Kejayaan
Percayakah kita bahawa ada dalam kalangan pelajar yang berjaya dalam peperiksaan tersebut pada suatu masa dahulu pernah mengalami kegagalan? Namun, kegagalan yang dialami itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit semula mencipta kejayaan malah lebih berjaya daripada individu yang pernah berjaya sebelum ini.
Inilah semangat positif yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu bagi mengelakkan berlakunya keciciran di kalangan remaja yang kononnya disebabkan oleh sikap putus asa akibat gagal dalam peperiksaan. Orang tua-tua pernah berkata, ‘gagal hari ini tidak bermakna kita akan gagal untuk selama-lamanya’.
Malah ada dalam kalangan para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang ini terdiri daripada golongan kurang upaya. Bahkan, ada yang mencatatkan sejarah tersendiri dengan menempatkan diri sebagai pelajar terbaik di kalangan rakan-rakannya yang normal.
Kegigihan mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar yang normal seharusnya mendapat pujian dan wajar dicontohi. Selain itu, ada juga di kalangan mereka yang berasal daripada keluarga miskin dan tinggal di luar bandar.
Mereka tidak pernah menyesal dengan kekurangan yang dimiliki sebaliknya menjadikan perkara ini sebagai motivasi dan cabaran untuk merangkul kejayaan. Sekali gus mereka menafikan tanggapan masyarakat umum yang mengaitkan kemiskinan sebagai salah satu faktor penghalang untuk berjaya.
Dalam masa yang sama, hal ini telah membersihkan imej pelajar di kawasan luar bandar yang sebelum ini sering dianggap ketinggalan dalam pelajaran tertentu dengan adanya peningkatan keputusan dalam subjek teras termasuk Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada peperiksaan yang lalu.
Apa yang dilakukan oleh pelajar-pelajar gigih ini seumpama titisan air yang akhirnya berjaya melekukkan batu yang besar. Ternyata kejayaan ini tidak datang bergolek, malah memerlukan usaha yang tidak mengenal erti penat.
Bayangkan betapa sukarnya untuk pelajar istimewa mengulang kaji pelajaran. Dengan berbekalkan buku rujukan biasa yang diterjemahkan kepada tulisan Braille hasil bantuan rakan-rakan yang normal dan guru-guru, mereka menggagahkan diri untuk berhempas-pulas semata-mata untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Jiwa dan semangat mereka begitu kental. Jika tidak, masakan mereka mampu melakukan ini semua. Sikap rajin dan tidak pernah berputus asa di samping mempunyai perasaan ingin tahu serta berfikiran positif turut membantu mereka dalam hal ini. Ditambah pula dengan dorongan dan sokongan moral yang kuat daripada kaum keluarga dan guru-guru, kejayaan yang diimpi kian menjadi realiti.
Bagi pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berada pula, tentunya matlamat untuk mengubah taraf hidup keluarganya dijadikan sebagai pemangkin dan pembakar semangat untuk mereka berjaya.
Kemiskinan yang dialami selama ini bukanlah belenggu yang mustahil untuk dibolosi. Sebaliknya, dengan adanya pendidikan, seseorang individu mampu mengecap kehidupan yang lebih baik berbanding apa yang dirasai oleh ibu bapanya dahulu.
Perkara ini telah banyak dibuktikan dalam sejarah negara. Ternyata, rata-rata kebanyakan personaliti yang berjaya hari ini dahulunya adalah seorang kanak-kanak yang lahir dalam keluarga miskin yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang serba kekurangan. Namun, berkat kesungguhan mereka, kini individu-individu yang terbilang ini mampu menerajui kepimpinan negara dan menyumbang ke arah pembangunan negara dalam pelbagai bidang.


Sumber: Utusan Malaysia/22 April 2008 / 15 Rabiul Akhir 1429

Tutup aurat biar sempurna

Malam tadi sempat jeling-jeling acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian kat TV3. Ada sesuatu yang agak menyakitkan mata. Pertama, seperti biasa artis-artis ni memang gemar berpakaian dedah sana sini. Kedua, artis yang bertudung nampakkan pakai tudung sekadar tutup rambut. telinga dan leher terdedah pula.

Kita amat mengalu-alukan perubahan artis yang dulunya tidak bertudung kemudiannya sedia untuk menutup aurat–terutamanya selepas balik dari Tanah Suci. Alhamdulillah. Namun nampaknya macam ada satu evolusi tudung. entah siapa yang mula saya tak tahu. Tapi saya takut trend bertudung nampak leher ni berjangkit pula pada anak-anak gadis yang selama ini bertudung sempurna.

Saya harap para artis ni lebih berhemah. Cuba kembali tanya soalan asas: Kenapa anda bertudung? Adakah tudung anda menepati agama? Adakah anda merujuk ilmuan Islam atau pereka fesyen dalam memilih tudung yang sesuai? Di bawah ini saya paparkan satu artikel tentang penutupan aurat. Agar kita semua bersemangat untuk menjaga syariat Allah ini.
Tutup aurat menawan dan dapat pahala

SUNGGUH mengagumkan apabila fesyen terutama untuk wanita membuka ruang diskusi dan perdebatan, dari pentas peragaan di Paris dan New York hingga ke padang pasir berkerikil di negara Arab mengenai pakaian lelaki dan wanita sama ada dipandang dari sudut negatif atau positif. Beberapa tahun lalu, perdebatan berkisar isu pakaian wanita Islam hebat diperkatakan dan aspek yang sangat mempesonakan ialah kebanyakan perdebatan itu didominasikan bukan Muslim.

Kepada sesetengah pihak, wanita bertudung lingkup dari kaki hingga kepala didakwa sebagai satu penindasan, manakala yang lain cuba memahami logik yang tersirat di sebaliknya, sementara bakinya tidak mempedulikannya malah berpendapat penerimaan cara berpakaian hak individu.

Sesuatu pakaian boleh dikatakan fesyen atau tidak bukannya berdasarkan faktor negara semata-mata. Jika anda dari Afrika Barat, contohnya warna terang, pakaian panjang dan aneka hiasan lazimnya mendominasi fesyen pakaian.

Jika anda dari Pakistan, mungkin menjadi cantik dengan ’salwar kameez’ (baju dan seluar yang longgar) yang ditakrifkan sebagai sentuhan menarik. Tetapi sekiranya anda mengenakan gaya berfesyen ekstrem dari Barat, norma atau kebiasaan yang perlu dibayar terlampau mahal harganya.

Beberapa tahun lalu, kita mendapati peningkatan bilangan remaja perempuan Islam mengenakan tudung untuk menutup kepala dan berpakaian dengan gaya sederhana.
Walaupun ia mungkin menjelakkan bagi golongan yang cenderung kepada ‘kebebasan’ dalam berfesyen, aliran itu semakin meningkat.

Ketika fesyen golongan lelaki tidak mendapat perhatian sebagai tajuk besar, fesyen wanita adalah sebaliknya mempunyai pengaruh kuat dalam hubungan sosial dan ekonomi.
Jika kita menyelidik lebih dalam, kita akan menemui sejumlah wanita Islam yang cenderung kepada pakaian sederhana.

Kita juga akan menemui wanita mengenakan tudung kerana pelbagai sebab dan alasan.
Di kebanyakan negara majoriti penduduknya Muslim, terutama negara Arab, transformasi kepada kesederhanaan berpakaian menunjukkan peningkatan dramatik beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda boleh terus menyelidiki senario ini, bilangan wanita memakai tudung kerana menjadi amalan masyarakat dari generasi ke satu generasi, wanita memakai tudung kerana sebahagian daripada fesyen atau mereka mengubah suai sehingga mewujudkan pelbagai gaya pemakaian tudung.

Kemudian, anda juga boleh menemui keseimbangan wanita yang mengutamakan kepercayaan agama, malah memahami kepentingannya dan oleh kerana itu memilih untuk memakai tudung.
Jika kita menoleh ke perbatasan Indo-Pakistan, ada kecenderungan berbeza dalam aspek ini. Pakaian wanita lebih sederhana, sama ada dengan ’salwar kameez’ atau ’sari’.

Tetapi di kalangan masyarakat Islam, wanita juga ada kelihatan tidak menutup kepala atau menutupinya secara acuh tidak acuh. Di sini mungkin ada alasan berbeza, tetapi secara asasnya menutup kepala secara sempurna adalah tanggungjawab beragama.

Adakah anda pernah bertanya pada diri anda. “Kenapa saya memakai pakaian begini? Adakah bagi mematuhi peraturan agama kerana pengaruh budaya atau sosial? Kemudian, apakah cita rasa cara berpakaian anda dipengaruhi agama yang anda anuti, kewarganegaraan anda, atau masyarakat anda? Apakah anda juga dipengaruhi aliran fesyen tempatan atau antarabangsa? Maryam, 19, dari Ghana, berkata jika mengikut budaya wanita di negaranya, mereka mengenakan pakaian panjang dan menutup kepala.

“Tetapi dengan semua yang berlaku seluruh dunia, kini saya mempunyai banyak persoalan dan mahu mengetahui agama lebih baik.
“Saya mula memakai hijab dan berasakan lebih banyak kebaikan mengenainya. Walaupun tiada yang ingin mendekati saya dan ini mungkin satu masalah, menutup kepala adalah tuntutan agama dan budaya. Saya memilihnya kerana tuntutan agama,” katanya.
Ruqayya, 22, dari Afrika Selatan, yang menggemari fesyen pakaian, berkata sebelum ini dia berpendapat aktiviti berfesyen bercanggah dengan agama.

“Tetapi sekarang saya tidak berfikir demikian. Saya percaya anda dapat memberikan komitmen kepada agama dan terus berfesyen, selagi anda memenuhi tuntutan syariat dan kod pakaian yang ditetapkan Islam.
“Hanya dua tahun lalu, saya mula berfikir mengenai hijab,” katanya yang sentiasa berpakaian sederhana (baju labuh dan berseluar atau berkain labuh).
“Saya mahu menutup rambut dan saya suka berbuat demikian dalam majlis tertentu. Saya tahu ia tidak sepatutnya dalam majlis tertentu. Bukan bermakna saya enggan memakainya, tetapi apabila saya mahu memakainya, saya mahu niat saya ikhlas,” katanya.
Huda, 16, dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), berkata: “Saya berfesyen untuk menarik hati.
Memang bukan begitu sepatutnya, tetapi saya hanya menjelaskan sikap jujur saya.” Dia bukannya mengenakan pakaian untuk menunjuknunjuk, tetapi dia memang suka kepada aksesori dan kelihatan anggun.

“Saya tidak kisah apa yang rakan saya fikir terhadap pakaian saya. Saya suka pujian dan berbual mengenai fesyen terbaru,” katanya.

Mengenai fesyen, secara langsung atau tidak, secara sedar atau tidak, orang akan sentiasa terpengaruh dengannya. Aliran fesyen bergerak pantas dan ramai remaja mendapati mereka tertekan apabila mahu menyesuaikan diri dengan gaya fesyen terkini.
Tetapi segelintir dapat menenangkan diri mereka daripada menghadapi kekalutan itu.
Ketika sesetengah memberikan alasan, fesyen membuatkan orang kelihatan anggun, sebaliknya ia juga boleh membawa masalah apabila ia mempengaruhi harga diri orang.
Penting untuk mengetahui alasan anda berpakaian sedemikian. Dengan cara itu, anda dapat menerima pilihan gaya anda dengan alasan munasabah. Apa yang penting pakaian anda menepati hukum Allah.
Sumber:http://abimuslih.wordpress.com.

Kenalakan Remaja Mengikut Islam.

Oleh: Ghafani bin Awang Teh

Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah merujuk kepada perbuatan dan aktiviti remaja yang berlawanan dengan norma-norma masyarakat, undang-undang negara dan agama, seperti mencuri, merompak, merogol, berzina, membunuh, menagih dadah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana remaja dianggap belum matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah yang mereka lakukan tidak dikenakan hukuman berat. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka ialah remaja itu ditempatkan di pusat-pusat pemulihan akhlak dan diberi pendidikan khas.

Ahli-ahli sains sosial berbeza-beza pendapat tentang had umur remaja. Ada yang mengatakan alam remaja di antara 10 – 18 tahun atau 13 tahun – 12 tahun. Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya. Lingkungan baligh ialah mencapai umur 15 tahun atau kanak-kanak lelaki sudah bermimpi bersetubuh dan kanak-kanak perempuan pula telah keluar haid dalam tempuh umur antara 9 hingga 15 tahun.

TEORI TABIAT MANUSIA

Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Corey (1986) menyatakan beberapa teori penting yang menjelaskan tentang tabiat itu ialah:

Pertama: Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

Kedua: Teori Analisis Transaksi: Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.

Ketiga: Teori Behaviorisma: Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

Keempat: Teori Pemusatan Klien: Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.

Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran dan kajian itu dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat.

Sebagai contoh, walaupun pendapat Frued dikritik hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya adalah berkaitan dengan perasaan nafsu Ammarah yang mewakili unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia.

Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan: terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:

a. Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.

b. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.

c. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d. Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.

Seorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.

a. Manusia yang baik tabiatnya. Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat;
b. Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.

c. Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya. Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.

Konsep Diri Remaja

Kadangkala ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.

Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers (1985) menyatakan antara perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:

a. Perubahan pada fizikal

Bagi anak lelaki didapati mengalami perubahan jelas pada jasmani di mana anggota badan kelihatan mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si gadis pula mula menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid, buah dada membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Apabila sampai pada peringkat akhir remaja simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga rangsangan seksual yang mula meningkat.

b. Perubahan Emosi dan Fikiran

Di peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak lelaki setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak skrip hidup hariannya ditentukan oleh ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara spontan tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah ke alam remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang dewasa yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya. Keadaan ini menimbulkan konflik nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian, berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan cara berfikir. Orang yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular, pelawak, tokoh ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung kepada pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh remaja itu.

c. Narcisma

Narcisma adalah merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta dan dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga. Apabila anak itu mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai.

Narcisma amat kuat wujud pada gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya bersifat pasti di mana ia memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar dari rasa kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja lelaki yang sebaya dengan umurnya.

Jika narcisma ini digunakan secara positif maka remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti menghisap dadah, mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan seumpamanya.

Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.

d. Menyertai Kumpulan

Perubahan emosi dan fikiran remaja telah mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka memperluaskan rakan sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial yang sama.

Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang pelik, tertarik dengan aktiviti yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja dalam kelompok sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan yang sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam kelompok itu disalahgunakan, maka ia akan mengheret remaja berkenaan dalam aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang negara.

Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa sering mempunyai pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam usaha memberi bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.

e. Menentang Kekuasaan

Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa lakukan.

Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan lancar, tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.

Faktor Kenakalan

Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:

Pertama : Faktor keluarga

Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;

a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.

b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.

c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.

d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.

e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.

Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor.

Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.

Ketiga : Faktor sekolah.

Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:

a. Disiplin sekolah yang longgar.

b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.

c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

Keempat : Faktor Persekitaran

Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.

Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:

i) Persembahan konsert rock

ii) Pusat-pusat video game

iii) Pengguguran

iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan

v) Penyiaran gambar lucah

vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks

vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.

Rawatan Kenakalan

Persoalan yang timbul kepada ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah). Allah telah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaiknya.”
(Surah Al-Tiin:4)

Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.”
(Riwayat Bukhari)

Sejarah Rasulullah s.a.w. membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan belenggu nafsu kehaiwanan memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak manusia. Antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan kemahiran keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:

PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati

Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau salah.

Penemuan Frued itu adalah menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah berfirman:

Maksudnya:

“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)

Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa orang yang bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).

Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:

a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim

Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.

KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat Khusus

Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)


Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)

Ibadat sembahyang dianggap senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan berikut:

a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;

b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.

c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.

d. Sembahyang adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.

KETIGA: Kaedah Qiyamullail

Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)

Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:

Maksudnya:
“Bukankah Aku Tuhan kamu”

Roh-roh manusia menjawab:

“Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.”
(Surah Al-A’raf:172)

Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana itulah cara untuk meletakkan taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah mensifatkan manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah berfirman:

Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.”
(Surah Al- Anfaal: 55)

Kemahiran Keibubapaan

Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:

a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)

c. Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya.
(Surah Al-Baqarah:233)

d. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)

Berdasarkan pandangan Islam dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan yang perlu dikuasai oleh ibu bapa ialah:

a. Model Ibu bapa Yang Salih

Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.’

Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.

b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang

Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.

c. Terima Anak Tanpa Syarat

Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:

i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa;

ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku;

iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak;

iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan

v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.


d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak

Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

e. Peka terhadap Pergerakan Anak

Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:

i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;

ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;

iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;

iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk;

v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan

vi. Keupayaannya untuk berdikari.

Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.

f. Jangan Salah Guna Kuasa

Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga.

Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.

g. Kesabaran

Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman.
Silap Memberi bimbingan Dan Kaunseling

Abu Said al-Khudri meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”

Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.

Isu penting dalam kisah ini ialah:

a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan marahnya;

b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan

c. Taubat orang tersebut diterima Allah.

Hidayah Allah

Hidayah Allah adalah juga faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah berfirman:

Maksudnya:
“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)

Walau bagaimanapun kita lihat Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat al-Qur’an, walhal Umar sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya.

Manusia adalah sebaik-baik kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah selain daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.

Penutup

Mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.

































Pembangunan Sekolah Berkesan

Pembangunan Sekolah Berkesan

"Imagination is the beginning of creation. You imagine what you desire,
you will what you imagine; and at last you create what you will."
~George Bernard Shaw

Pendahuluan

Perubahan dan pembaharuan di dalam bidang pendidikan negara berlaku begitu pesat sejak beberapa dekad yang lalu telah memberikan dampak yang bukan sedikit terhadap keseluruhan perancangan, pembangunan, dan presatasi melibatkan semua peringkat dan tahap pendidikan sama ada pendidikan rendah, menengah atau pun pendidikan tinggi. Isu-isu pendidikan tidak jemu-jemu dan tidak putus-putus diperkatakan dan dibahaskan oleh semua lapisan masyarakat menggambarkan bahawa pendidikan adalah satu aspek yang amat penting dalam pembinaan satu negara-bangsa yang bersatu, bersetia, beretika dan beragama, berkeupayaan dan berketrampilan memainkan peranan aktif dan produktif dalam masyarakat antarabangsa.

Semuanya ini bermula dari satu 'tempat' yang dinamakan sekolah. Inilah tempatnya kalau kita mahu ianya diberi nama jolokan sebagai 'kilang mendidik dan membangun insan'. Sekolah tidak sahaja dijangkakan menghasilkan produk dalam bentuk insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran yang relevan dengan kehidupan dan zaman tetapi lebih dari itu adakah insan-insan ini benar-benar terdidik dalam erti kata menjadi insan yang berperikemanusiaan, berhati perut dan berperasaan, berbudi dan berakal, berani menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran, seorang yang soleh lagi muslih, dan tunduk dan patuh kepada khaliknya, Tuhan seru sekalian alam.

Masanya Akan Tiba...

Harapan dan jangkaan ibu bapa dan penjaga khasnya serta masyarakat amnya hari ini terhadap prestasi dan kecemerlangan sekolah tidak dapat dipandang remeh lagi. Setiap ibu bapa mengharapkan segala yang terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka daripada pihak sekolah. Sekarang pun sudah berlaku terdapatnya ibu bapa yang terlalu memilih sekolah. Mengapa wujud kecenderungan ini? Sedarkah kita bahawa suatu masa nanti akan berlaku fenomena ada sekolah-sekolah dikategorikan sebagai sekolah 'laris', 'sederhana laris' atau 'sekolah tak laku'?

Di negara maju sendiri berlaku dan meningkatnya ketidakpuasan hati dengan keadaan sekolah-sekolah awam kini. Salah satu alternatif yang popular sekarang ialah apa yang dipanggil 'home schooling'. Di Saskatchewan, bilangan murid-muird yang mengikuti 'home schooling' telah meningkat sehingga 30% setiap tahun sejak 1993. The Saskatchewan Home-Based Educators menjangkakan bilangan murid-murid 'belajar di rumah' akan mencapai 3,000 orang menjelang alaf baru. Tidak mungkinkah senario seumpama ini akan wujud di negara kita satu masa nanti?

Rasa tidak puas hati dan rasa kecewa dengan sekolah-sekolah awam bukannya omong kosong. Masyarakat mengejar keputusan; mereka hendak melihat sekolah-sekolah yang baik dan berkesan. "In schools, treading water is no longer an option. School people must either propel themselves in some direction, be towed, or sink" (Barth, 1990). Dengan itu jelas sekali aliran sebegini membuktikan betapa mendesaknya sekolah-sekolah menilai dan mengambil langkah-langkah perlu dalam konteks menjadi sekolah-sekolah yang lebih dan betul-betul berkesan.

TINJAUAN KAJIAN

Kritikan terhadap persekolahan semakin ketara sekitar tahun 60-an, sikap masyarakat menjadi pesemistik kepada pemikiran yang mengatakan latar belakang dan pengaruh sosial menentukan pencapaian murid-murid lebih daripada pengajaran rasmi di sekolah (Madaus, Airasian & Kellaghan, 1980). Kemudian sekitar tahun-tahun 70-an dan 80-an daripada kajian-kajian oleh Edmonds (1979) dan Goodlad (1984) mendapati bahawa tanpa mengambil kira latar belakang murid sesetengah sekolah lebih 'berkesan' atau 'memuaskan' daripada yang lain. Di Britain, Rutter, Maughan, Mortimore dan Oustan (1979) telah mengenepikan mitos bahawa sekolah-sekolah mempunyai pengaruh terhad ke atas pembentukan diri insan (murid). Daripada kajian-kajian ini beberapa ciri sekolah berkesan telah dikenalpasti.

Semua ini berkait rapat dengan apa yang kita panggil 'profesionalisme'. Inilah aspek yang patut ditekan dan diutamakan dalam seluruh ruang dan masa setiap orang guru ketika bertugas di sekolah lebih-lebih lagi bagi Guru Besar sebagai pemimpin institusi.

Abdul Rahman Arshad (1989) mengatakan, "Kalau kita hendak menebus mutu pendidikan negara ini, yang paling penting bukan di sekolah menengah. Apa sebabnya?" Bagi beliau beberapa keadaan di sekolah-sekolah rendah memerlukan 'perubahan' dan 'pembangunan' yang amat mendesak jika 'keberkesanan' sekolah sekaligus mutu pendidikan dan pencapaian para pelajar hendak dipertingkatkan. Keadaan-keadaan yang beliau sebutkan ialah:

suasana di sekolah rendah ini dari segi persekitarannya tidak begitu menggalakkan;
oleh kerana tahap akademik juga rendah, maka profesionalismenya juga rendah;
sekolah-sekolah itu kecil; oleh itu kaitan dan perhubungan dari segi membangunkan fikiran hampir tidak ada;
terdapat guru-guru di sekolah rendah yang kurang mendapat latihan dalam perkhidmatan. Majlis Guru Besar hendak dibangunkan secaras lebih luas, jangan jadi satu badan yang "ceremony"; badan yang bertemu hanya untuk melantik jawatankuasa, tetapi majlis ini mempunyai orang yang perlu melihat dari segi kesesuaian buku teks, sistem mengajar, kaedah-kaedah yang digunakan, perbincangan mengenai pencapaian. Inilah keutamaan untuk meningkatkan profesionalisme.

KONSEP PEMBANGUNAN SEKOLAH BERKESAN

Istilah sekolah berkesan bukan baru bagi kita di Malaysia kerana telah sering diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan kita sama ada di dalam persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat atau pun sesi dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah (Creemers, 1992), Britain (Rutter, Maughan, Mortimore & Ouston, 1979; Mortimore, Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan, Renihan & Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sesebuah sekolah di mana seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan dan pencapaian (Rutter et.al.1979).

Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya merupakan komposit perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi antara murid-murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan kakitangan lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa dan masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh 'keberkesanan pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.'

Aspek atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya pembangunan berterusan adalah:
1. kepemimpinan pengajaran yang berkesan
2. tujuan yang jelas
3. iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat
4. jangkaan penguasaan minima semua murid
5. ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah' program
6. matlamat akademik yang jelas
7. penglibatan ibu bapa dan penjaga
8. wujudnya kesejawatanan (collegiality)

Kini perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan keadaan-keadaan yang merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan. Ini menjadi cabaran dan satu tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational school leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif, mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara kolektif.

Sesungguhnya kepemimpinan adalah fungsi kunci di dalam keberkesanan sekolah, budaya dan imej sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa peranan Guru Besar wajar dibentuk semula daripada 'jaga' kepada 'pemimpin pengajaran'. Ciri-ciri yang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin sekolah yang berkesan antaranya, pertama ada sikap berani menghadapi risiko, tidak berpuas hati dengan status quo, tidak pula dihalang oleh sekatan-sekatan organisasi. Selain itu pemimpin seperti ini menjadi teladan kepada guru-gurunya dan berpegang kepada keyakinan bahawa sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan pendekatan 'empowerment' yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin begini berjaya mempengaruhi "the capacity to improve from within". Keduanya pemimpin berkesan mempunyai satu komitmen yang amat kuat kepada pengupayaan guru-guru melalui permuafakatan.

Sergiovanni (1992) menggariskan matlamat-matlamat seorang pemimpin transformasional di dalam satu budaya sekolah seperti berikut:

1..komitmen kepada nilai-nilai teras (core values) yang dipersetujui dan dilaksanakan oleh semua staf,
2. mengamalkan etika penyayang,
3. mewujudkan visi yang jelas dan hala tuju dengan staf,
4. menggalakkan lebih banyak membuat keputusan secara permuafakatan.

BUDAYA SEKOLAH BERKESAN

Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai "tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-for-granted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri". Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai "konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka". Ringkasnya kedua-dua definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal...dan faktor-faktor peluang. peranan penting (antara peranan-peranan lain) pemimpin dalam membangun budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah. Sekolah-sekolah yang menuntut 'mengongsi visi' digelar sebagai 'high consensus schools'.

Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah ini?

Menghargai permuafakatan: di mana semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.

Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa pula yang tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak dijangka atau perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.

Ciri ketiga budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru. Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

MEMBANGUN SEKOLAH BERKESAN

Pembangunan tidak sahaja kepada sesuatu yang sudah runtuh dan musnah, pembangunan kepada situasi dan keadaan yang sedia adalah juga termasuk dalam pengertian pembangunan. Pembangunan perlukan perubahan pemikiran dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat dan instrumen serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh mengadaptasi 'permintaan' dan 'konflik'. Perubahan yang paling berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.

Peranan menangani perubahan bagi membangun budaya sekolah berkesan yang harus dimainkan oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut:

Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara menghalang.
Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan jawapan-jawapan.
Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar merancang atau mengarahkannya sahaja.
Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The first rule of leadership, everything is my fault."
Pemimpin mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang merupakan asas kepada kewujudan komuniti sesebuah sekolah.

Membangunkan suatu budaya sekoah yang sihat berkait rapat dengan amalan-amalan kepemimpinan yang berkesan di pihak Guru Besar. Budaya ialah nadi yang menggerak dan mengarahkan serta menggambarkan segala komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi, sekolah akan mempersembahkan suatu imej yang menggambarkan budaya sekolah itu kepada seluruh warganya iaitu murid-murid, ibu bapa mereka dan masyarakat umum.

IMEJ SEKOLAH : SEKOLAH BERWATAK

Renihan dan Renihan (1998) mendefinisikan imej sekolah seabagai "keseluruhan pandangan-pandangan yang subjektif mengenai kualiti pembelajaran dan persekitaran sosial..'perasaan' kolektif yang terbina oleh masyarakat sebagai hasil daripada pemerhatian dan pengalaman terhadap sesebuah sekolah itu."

Membaiki dan membangunkan imej sekolah mesti ada keazaman yang kuat kepada keberkesanan imej yang sedia ada. Renihan dan Renihan membahagikan imej sekolah kepada lima jenis, masing-masing jenis itu pula diperjelaskan dengan dua dimensi yakni: cakna pastoral (memupuk perhubungan berkesana, hormat-menghormati, keterbukaan) dan cakna kosmetik (mempromosikan kejayaan sekolah dalam masyarakat, beri perhatian kepada penampilan). Jenis-jenis imej sekolah yang dimaksudkan itu seperti berikut:

sekolah synergistik - tinggi kedua-dua pastoral dan kosmetik
sekolah 'candy store' - tinggi penampilan, rendah perhubungan
sekolah 'disaffected' - rendah kedua-dua aspek pastoral dan aspek kosmetik
sekolah monastik - rendah penampilan, tinggi aspek perhubungan
sekolah 'survivor' - sederhana dalam kedua-dua dimensi.

Jadi tugas dan peranan Guru Besar ialah memantau dan membuat pengukuran secara berterusan terhadap imej sekolahnya, secara formal dan tidak formal, menerusi 'stakeholders'. Soalan-soalan yang harus dijawab seperti apa imej yang dikehendaki? Adakah unsur-unsur tertentu terdapat di sekolah? Bagaimanan unsur-unsur ini dapat bersepadu dengan visi dan kepercayaan sekolah? Patutkah dilakukan perubahan? Bagaimana perubahan hendak dipantau?

Dengan demikian seseorang Guru Besar sebagai pemimpin transformasional mestilah berkeupayaan dan mampu menangani perubahan, walaupun ianya tidak popular tetapi amat kritikal dan genting dalam konteks meningkatkan imej dan seterusnya 'keberkesanan sekolah' secara menyeluruh dalam semua aspek iklim dan budaya sekolah. Pemimpin sekolah mestilah mengenalpasti apakah 'penyakt-penyakit' yang sedang menular di kalangan staf atau kakitangan terutamanya yang perlu dibanteras dan diperbetulkan 'kiblat' dan 'arahnya' supaya semua orang tidak tersasar daripada tugas hakiki dan bagi mendapatkan sepenuh komitmen merealisasikan sekolah berwatak dan berkesan ini. Menangani perubahan dan mendapatkan komitmen padu seluruh ahli organisasi adalah salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi dan di atasi jika kita mahu melihat kejayaan dan keberkesanan program pembangunan yang dilakukan. Segala-galanya hendaklah diurus dan ditangani dengan bijak dan penuh hikmah.

KOMITMEN

Kajian-kajian yang dijalankan mendapati secara konsisten telah membuktikan bahawa terdapatnya perkaitan yang amat rapat antara iklim sekolah yang positif dengan lain-lain ciri pengukuran terhadap kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik, disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan.

Eugene Howard (1987) menggariskan sebelas faktor (lapan ciri khusus dan tiga lagi ciri umum) yang menyumbang kepada pembangunan iklim sekolah yang positif.

Faktor khusus:

Pertumbuhan akademik dan sosial yang berterusan.
Hormat: murid dan staf punyai 'harga-diri' dan saling bertimbang rasa.
Kebolehpercayaan: rasa percaya yang tinggi kepada orang lain.
Morale yang tinggi: murid dan staf berasa selesa dan baik berada di situ.
Kejelekitan: adanya rasa kepunyaan dan kekitaan.
Peluang kepada input: mampu dan boleh menyumbang idea dan mengambil bahagian.
Pembaharuan: adanya keterbukaan kepada perubahan dan penambahbaikan.
Penyayang: murid dan staf merasakan orang lain mengambil berat tentang mereka.

Faktor umum:

Program-program kurikulum, aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi.
Proses mengajar dan stail pembelajaran, penyelesaian masalah dan komunikasi.
Sumber-sumber bahan dan kemudahan-kemudahan di sekolah.

Apa pun faktor dan keadaan atau ciri-ciri yang telah kita kenal pasti, atau yang sedia kita ketahui dan alami sebelum ini tidak akan memberi apa-apa erti dan makna jika kita sebagai pemimpin di peringkat sekolah tidak berupaya memberikan komitmen yang bulat dan padu dalam membentuk, membangun dan seterusnya melahirkan sekolah berkesan apatah lagi sekolah berwatak yang dapat dikenali daripada sesuatau ciri atau aspek yang menonjol, tersendiri dan unik. Pemimpin transformasional yang berkesan mesti menyedari dan menghayati ungkapan watak General Hopper dalam filem animasi In A Bug's Life: " The first rule of leadership, everything is your fault." Dengan kata-kata lain kemunduran, kegagalan, ketidakberkesanan, kelewatan, kelederan dan ketidakcaknaan adalah salah diri kita, berpunca daripada diri kita selaku pemimpin yang tidak berkesan, pemimpin yang tidak berwawasan; ringkasnya peminpin yang lemah.

Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam mempengaruhi secara positif kepada kualiti imej sekolah secara keseluruhan, dan biasanya Guru Besarlah orangnya yang diletakkan segala harapan bagi menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang dari masa ke semasa. Omar Hashim (1993) dalam Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan menyebut; " Bahawa bagaimana guru besar, begitulah sekolahnya! Kenyataan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita betapa besarnya tanggungjawab seseorang guru besar dalam urusan untuk melahirkan "corak" sekolahnya itu, sama ada untuk kebaikan atau pun sebaliknya."

Di sekolah guru-guru bergantung kepada kepemimpinan seorang pemimpin dalam aspek berikut:

1. Visi;
2. Komitmen kepada nilai dan norma;
3. Bersikap asertif, menghargai usaha guru-guru; dan
4. Pemupukan unsur kesejawatanan yang berkesan.

VISI: Visi adalah 'gambaran mental' atau bersifat imaginatif di mana sseseorang pemimpin itu 'melihat ke depan' tentang rupa bentuk, iklim, budaya dan imej sekolahnya yang hendak dibentuk, dibangun dan dicapai menerusi pelan tindakan yang terancang, dan tersusun menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang rasional dan praktikal.
KOMITMEN kepada nilai dan norma; visi tanpa komitmen samalah dengan 'bermimpi di siang hari'. Komitmen adalah satu sikap diri yang ditunjukkan dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Komitmen yang tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan kebajikan murid umpamanya dapat dilihat daripada perilaku guru-gurunya yang datang awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada kerja dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Orang-orang yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa dapat mematuhi dan menepati norma-norma organisasi atau masyarakat sama ada norma-norma yang tersurat atau pun yang tersirat. Ringkasnya komitmen adalah manifestasi kepada 'second creation' di mana visi adalah 'first creation'nya.
BERSIKAP ASERTIF, menghargai usaha guru-guru; merupakan satu lagi aspek penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin transformasional, iaitu imbangan di antara ketegasan dan desakan. Seorang yang asertif bijak dalam 'mendesak dan menggesa' daripada orang-orang bawahnya supaya sesuatu perancangan dan tindakan dapat dipenuhi dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Oleh kerana 'pemimpin' tidak wujud tanpa 'pengikut', seorang pemimpin yang berkesan sentiasa menyedari bahawa kerjasama apatah lagi komitmen yang padu tidak mungkin diperolehi tanpa 'kesetiaan' dan 'kesediaan' pengikut-pengikut untuk bekerja bersama-samanya bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan; maka pemimpin berkesan sentiasa menunjukkan penghargaan kepada sumbangan guru-gurunya dalam pelbagai bentuk dan cara.
PEMUPUKAN unsur kesejawatanan yang berkesan; di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain membantunya atau terlibat sama. Kesejawatanan atau "collegiality" bermaksud satu budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama, bantu-membantu, hormat-menghormati, nasihat-menasihati atau tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar profesionalisme. Jadi pemimpin yang berkesan mestilah berkeupayaan mewujudkan suasana kesejawatanan ini di kalanngan guru-gurunya, mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang masa di samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme, nepotisme, favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-domba, fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam interaksinya dengan staf dan kakitangan lain di sekolah.


KESIMPULAN

Menjadi seorang pemimpin di peringkat sekolah, sama ada sebagai Guru Besar, Penolong Kanan atau pun Guru Kanan Mata Pelajaran, tidak semudah yang disangka. Sifat-sifat terpuji diri peribadi berserta beberapa ciri kepemimpinan perlulah ada dan dikuasai pada tahap yang cemerlang dan tinggi supaya matlamat, misi dan visi sekolah, masyarakat dan negara dapat dicapai. Merealisasikan sebuah sekolah yang berkesan dan berwatak, dengan iklim yang positif dan budaya yang tersohor tidak mungkin dicapai dengan berangan-angan sahaja. Semua warga sekolah mestilah memahami konsep berhubung keberkesanan dan kecemerlangan in secara menyeluruh di samping menumpahkan segala komitmen dengan semangat kesejawatanan yang tinggi dalam menggarap dan mewujudkan sekolah berkesan dan berwatak.

Adalah menjadi tugas utama seorang pemimpin trasnformasional pendidikan berupaya dan berkebolehan menjadi role-model yang dapat memberi inspirasi dan motivasi kendiri kepada anak didik dan guru-gurunya di sekolah dan kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid. Pemimpin berkesan mesti boleh menunjukkan 'keikhlasan' dalam melaksanakan tugas, di samping dapat mengenalpasti mana-mana guru yang bekerja dengan tidak ikhlas; yakni melakukan sesuatu dengan mengharapkan 'balasan' atau imbalan. Orang-orang hipokrit amat merbahaya kepada organisasi. Perbuatan tidak ikhlas ini akan mendatangkan bibit-bibit tidak puas hati, sakit hati dan iri hati di kalangan staf-staf yang lain pula. Bagaimana kesejawatanan dan keberkesanan sekolah hendak diwujudkan jika keadaan ini berlaku dan mencengkam hati dan perasaan mereke yang melihatnya sebagai satu 'ketidakadilan' di pihak kepemimpinan sekolah?

Pemimpin yang berkesan mestilah memiliki ciri-ciri akauntabiliti dan kredibiliti dalam semua tindak-tanduknya di sekolah. Edmund R. Murrow menyatakan: " To be persuasive, we must be believable; to be believable, we must be credible; to be credible, we must be truthful." Orang yang tidak berkata benar, tanda hatinya tidak ikhlas; juga tandanya seorang yang tidak dapat dipercayai dan tidak ada kredibiliti dan akuntabilti. Bagaimana jika orang macam ini jadi pemimpin organisasi?

Sebagai pemimpin transformasional pendidikan, kita sangat wajar mengenalpasti hati dan budi guru-guru kita dalam melaksanakan tugas mengajar dan mendidik, adakah guru-guru kita bekerja kerana 'takut' atau kerana 'cinta'? Orang yang bekerja kerana takut walau nampak taat dan rajin namun jauh di lubuk hatinya masih bersarang perassn ria' halus, dan akan melahirkan emosinya apabila tidak mendapat anugerah 'menegak' atau pun 'melintang'. Rabi'ah al-Adawiyah diriwayatkan menjawab pertanyaan Sufian al-Thauri apabila dipersoalkan hakikat iman, sebagai berkata; "Aku menyembah-Nya bukan takut kepada neraka-Nya dan bukan cintakan kepada syurga-Nya. Kalau itulah tujuannya samalah seperti buruh yang tidak baik, jika dia takut dia bekerja, bahkan aku menyembah-Nya kerana cinta dan rinduku kepada-Nya."

Hanya apabila 'cinta' kepada tugas dan cinta kepada organisasi di mana seseorang itu berkhidmat, tanpa berselindung dan berpura-pura, barulah wujud komitmen sejati yang akan melahirkan warga pendidik yang menepati ciri seorang yang soleh lagi muslih. Omar Hashim (1993) menyebut; "Kalaulah kita mahukan pendidikan kita pada hari ini berperanan serta bertujuan untuk mengangkat martabat kemanusiaan anak-anak kita masa depan supaya menjadi individu-individu yang soleh dan berbudi, maka kita sebagai pendidik "wajib" membentuk diri kita terlebih dahulu sebagai manusia yang soleh dan berbudi. Bagaimanakah kita hendak mendidik anak-anak kita supaya bermoral sedangkan kita sendiri tidak bermoral? Bagaimana kita hendak mendidik supaya anak-anak kita gemar membaca, sedangkan kita sendiri tidak mempunyai minat membaca? Bagaimana kita hendak mendidik anak-anak kita supaya berperikemanusiaan, sedangkan kita sendiri bersikap kasar dan tidak bertimbang rasa?"

Kerja memimpin dan membimbing adalah suatu kerja yang tidak ada penghujungnya perlu dijadikan keutamaan dalam senarai tugas kepemimpinan pendidikan di sekolah. Mengenali ciri dan memahami konsep serta mewujudkan komitmen dalam membangun diri (dan organisasi) agar dapat menjadi guru sebenar guru, ke sekolah tidak jemu, mengajar tidak lesu; patut menjadi agenda utama dalam merealisasikan sekolah berkesan dan sekolah berwatak.Ù±

Rujukan

Abu al-Wafa' al-Ghanimi al-Taftazani (Dr.) (1996). Perkembangan Tasawwuf Islam. Terjemahan Prof. Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan Dr. Mudasir Rosder. Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Howard, Eugene (1987). The Importance of Positive School Climate, in Handbook for Conducting School Climate Improvement Projects. Phi Delta Kappa Educational Foundation, 1987.

Bolender, Mary (1997). A Study of The Evolving Image of A New School Within the Context of School Effectiveness. SSTA Research Centre.

Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ramaiah, AL. (Dr.) (1992). Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. IBS Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

_____________________ Suara Pendidik Keluaran Khas 1988/1989; Sempena Ulang Tahun ke-20. Persatuan Pendidikan Malaysia, Institut Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Sumber: (Hamzah Mohamed)

Moral pelajar - Tanggungjawab ibu bapa lebih berat.

Moral pelajar - Tanggungjawab ibu bapa lebih berat.

Saiz kelas dan kurikulum pendidikan tidak memberi pengaruh yang besar dalam menentukan sikap dan moral seseorang pelajar. Walau banyak mana sekalipun perubahan yang dilakukan dalam dasar pendidikan negara, sikap seseorang pelajar sebenarnya banyak dipengaruhi oleh keluarga dan masyarakat sekeliling.

Menurut Timbalan Pengetua Maktab Perguruan Islam (MPI) Mohd Yasin Sulaiman, guru sebenarnya telah berjaya mengajar nilai-nilai baik kepada para pelajar di sekolah berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Namun penghayatan dan pengukuhan perlulah daripada ibu bapa kerana dari segi masa dan hubungan, mereka adalah insan yang paling dekat dengan pelajar, katanya.

``Hubungan guru dan pelajar hanya beberapa jam sahaja berbanding ibu bapa terutama waktu cuti sekolah,'' katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Mohd. Yasin menambah, selain guru agama, guru lain juga memainkan peranan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa para pelajar.

Sebagai contoh katanya, guru mata pelajaran Sejarah, selain mengajar subjek tersebut turut mengajar pelajar tentang jati diri. Justeru itu katanya, adalah tidak tepat jika ada pihak mengatakan bahawa guru tidak menekankan nilai-nilai murni kepada murid-murid.

``Hendak mengubah sikap dan mengamalkan ini perlulah kerjasama daripada semua pihak tetapi yang penting adalah peranan ibu bapa itu sendiri,'' katanya. Menurutnya lagi, peranan guru agama juga kini semakin luas selain terpaksa mengajar sehingga 30 jam seminggu mereka juga terpaksa mengajar kemahiran menulis jawi dan khat.

``Walaupun perkara ini tiada kaitan dengan agama tetapi ia berkait rapat dengan kefahaman pelajar terutama dalam mata pelajaran yang membabitkan al-Quran dan Muqaddam,'' katanya. Beliau berkata, dalam teori pendidikan terdapat beberapa bidang yang menghubungkan guru dan pelajar.

Antaranya menurut beliau ialah kognitif yang berkaitan mental. ``Ini bidang yang disifatkan mudah iaitu guru mengajar dan apa yang diajar dikeluarkan dalam peperiksaan,'' katanya. Namun bidang afektif iaitu sikap pelajar, yang menjadi isu kini, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada guru-guru.

``Bidang ini memperuntukkan guru mengajar nilai-nilai yang baik seperti jangan bercakap bohong dan sebagainya tetapi perkara inilah yang meletakkan guru dalam dilema kerana masyarakat meletakkannya sebagai tanggungjawab penuh seorang guru,'' katanya.

Berita Harian, 19 September, 2001

Tarbiah Melahirkan Generasi Rabbani.

TARBIAH MELAHIRKAN GENERASI RABBANI

Tarbiah Islamiah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah SWT.
Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da'i yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman Ibn Affan dan Abdul Rahman al-'Auf.

Semua ini adalah peribadi yang lahir hasil daripada tarbiyah imaniyah yang berjalan di dalam madrasah Rasulullah SAW. Didikan Rasulullah SAW bukan untuk melahirkan ahli falsafah atau kumpulan sufi yang asyik dengan riadah ruhiyah semata-mata tanpa menghiraukan tipudaya musuh yang ingin menghancurkan Islam. Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki yang ingin mengasingkan diri untuk beribadah dan meninggalkan jihad. Kata Rasulullah SAW kepada lelaki itu;

"Jangan kamu lakukan demikian. Sesungguhnya tegak seseorang kamu di jalan Allah (berjihad) adalah lebih utama daripada ia sembahyang di rumahnya selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka Allah mengamponkan kamu serta memasukkan kamu ke dalam syurga? Berjihadlah pada jalan Allah. Sesiapa yang berperang pada jalan Allah di atas belakang unta , maka wajiblah baginya syurga"
(Hadis riwayat At-Tarmizi).

Hasan al-Banna pernah menyebutkan:

'Jihad adalab fardu yang berjalan terus sampai hari kiamat."

Sabda Rasuluilah SAW:

"Barangsiapa mati padahal dia tidak berjihad dan tidak pernah berniat berjihad, maka matinya seperti mati jahiliyah.'

Serendah-rendah tingkat iihad itu ialah dengan cara membantah di dalam hati, dan setinggi-tingginya ialah perang fi sabilillah kerana kebenaran. Di antara kedua-dua tingkatan itu terdapat cara-cara jihad yang lain seperti berjihad dengan lidah, berjihad dengan pena, berjihad dengan tangan dan bejihad dengan cara berani bercakap benar di hadapan raja yang zalim. Semua sifat dan tingkatan jihad tersebut akan lahir melalui proses Tarbiyah lmaniyah, lnsyaallah.

Proses Tarbiyah mesti berterusan
Proses Tarbiyah lmaniyah mestilah berterusan, tidak boleh diabaikan atau dihentikan separuh jalan atau ditamatkan. Silibusnya mencakupi sepanjang hayat seorang muslim. Menurut Al Syekh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyah dan pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan layu dan kering. la akan terus hidup subur jika dibajai dan disirami. Demikianiah manusia. Hidup sebenarnya bagi individu atau jemaah adalah kerana adanya iman. Hidup manusia sebenarnya adalah hidup hatinya dengan keimanan bukan hidup jasad yang akan fana. Iman di dalam hati itulah yang akan melahirkan kehidupan yang bermakna. Hati perlu digilap seialu kerana ia mungkin berkarat. Rasuluilah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesunggubnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sababat-sababat bertanya: Apakah pengilapnya wahai Rasulullah?. Rasulullah menerangkan: membaca Al Quran dan mengingati maut (mati).' (HR Al Baibaqi)

lman yang berada dalam iiwa manusia sentiasa terdedah kepada kelunturan dan kelemahan kerana dijangkiti oleh berbagai penyakit seperti kesibukan urusan duniawi, dan lain-lain. Oleh itu kita perlu banyak memohon pertolongan kepada Allah SWT dengan sentiasa memperbaharui keimanan kita. Sabda Rasuluilah SAW:

"Sesungguhnya iman itu boleb lusuh seperti lusuhnya pakaian, maka bendaklah kamu memobon doa kepada Allah SWT supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu.'
(HR Al Hakim dan At Tabrani)

Faktor kejayaan Tarbiyah lslamiyah
Dr. Yusuf AI Qardhawi dalam bukunya, telah menjelaskan bahawa di sana ada beberapa faktor yang membantu menjayakan Tarbiyah lslamiyah, antaranya :

i. Keyakinan sepenuhnya bahawa tarbiyah adalah satu-satunya wasilah yang paling berkesan untuk merubah masyarakat, melahirkan rijal dan seterusnya mencapai kejayaan. Melalui tarbiyahlah Rasulullah SAW berjaya membentuk generasi rabbani sebagai contoh yang sukar ditandingi. Jalan Tarbiyah adalah jalan yang jauh, jalan yang sukar dan jalan yang bertahap-tahap. Sedikit sekali yang mampu mengharungi jalan ini, tapi ianya satu-satunya jalan untuk sampai kepada kejayaan.

ii. Hanya Tarbiyah Islam yang mempunyai manhaj dan matlamat, lengkap dalam semua aspek dan jelas dari segi sumber, proses don perancangannya.

iii. Tarbiyah lslamiyah mampu mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni. Suasana ini membantu setiap anggota masyrakat hidup secara Islam. Masyarakat dididik tentang cara memberi tunjuk ajar, cara bersimpati, memberi pertolongan dan sebagainya. Setiap anggota merasa sedikit dengan dirinya dan merasa banyak dengan sahabat. Dia merasa lemah bila bersendirian dan merasa kuat dengan berjemaah.

iv. Adanya pemimpin yang bersifat pendidik dengan fitrah yang Allah anugerahkan kepadanya. Pengetahuan dan pengalamannya menjadikan Tarbiyahnya lahir daripada hati sanubari yang bersih dan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Setiap perkataan yang keluar dari hati akan masuk ke hati-hati yang lain tanpa sekatan. Perkataan yang hanya lahir dari lidah semata-mata tidak akan mampu melewati telinga pun. Perpatah ada menyatakan: "Orang yang kehilangan sesuatu benda nescaya ia tidak akan dapat memberikannya."

v. Mempunyai pendidik-pendidik yang ikhlas, berwibawa dan beramanah mengikut jalan pemimpin agong Muhammad SAW. Tidaklah dimaksudkan pendidik di sini mereka yang keluar dari pusal-pusat pengajian tinggi dalam bidang tarbiyah atau pendidikan, dengan ijazah masters atau PhD. Yang dimaksud dengan pendidik di sini ialah mereka yang mempunyai keimanan yang tinggi, kerohanian yang kuat, jiwa yang bersih, kemahuan yang kental, simpati yang luas dan kewibawaan yang memberi kesan kepada orang lain. Dia mungkin seorang jurutera atau seorang pegawai biasa atau seorang peniaga atau seorang buruh yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip atau sistem pendidikan.

vi. Menggunakan berbagai-bagai wasilah seperti kegiatan-kegiatan di dalam halaqat, usrah-usrah, dan katibah-katibah yang dijuruskan ke arah matlamat pembangunan insan muslim yang soleh dan sempurna.

PENUTUP
Menjadikan Islam sebagai satu alternatif penyelesaian kepada masalah umat manusia mestilah lahir daripada keyakinan yang berteraskan keimanan, bukan disebabkan kegagalan sistem sistem lain. Islam hanya boleh memainkan peranannya untuk menyelesaikan masalah manusia apabila ianya diambil secara syumul dalam bentuk konkrit. Oleh itu setiap pekerja (amilin) Islam mestilah dibentuk dan diproses berteraskan aqidah tauhid yang bersumberkan daripada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Islam tidak akan dapat dibangunkan tanpa rijal (pahlawan). Rijal tidak dilahirkan tanpa melalui proses Tarbiyah. Dan Tarbiyah tidak akan memberi sebarang kesan tanpa penglibatan dan penghayatan yang bersungguh-sungguh daripada setiap individu. Adalah menjadi harapan dan keyakinan setiap muslim bahawa masa depan adalah milik Islam.

Peranan Ibu Bapa : Membentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak ke arah Kecemerlangan di Dunia dan di Akhirat.

Peranan Ibu Bapa :
Membentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak ke arah Kecemerlangan di Dunia dan di Akhirat.

MUQADDIMAH

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini sekaligus sebagai ulamak pewaris para nabi. Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama. Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak. Ibu bapa yang jumud dalam kekolotan akan terus menghadapi masalah kekalutan dan kemelut dalam menghadapi ledakan arus permodernan yang akan menyebabkan mereka dipandang remeh, bahkan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan anak-anak mereka yang mergelumang dengan berbagai ledakan budaya songsang yang mereka anggap sebagai aliran peredaran zaman yang patut diikuti dan dicontohi. Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya ada pada diri ibu bapa cemerlang adalah sebagai punca sebenar kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia. Pendek kata ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada anak- anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang dunia akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan akhlaknya. Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha membentuk generasi yang cemerlang.

PERANAN IBU BAPA
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan sebagai bukti kegagalan kita sendiri. Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan orang lain, sedangkan dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. Tetapi peranan ibu bapa itu bukan sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri semasa di dalam rumah dan di luar rumah malah terhadap anak-anak jiran, rakan, hingga kepada sesiapa sahaja, sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang sering kita baca, iaitu berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan kepada (mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai bukti kita orang yang beriman dan beramal soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya adalah golongan orang yang rugi. Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh, proses persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan sehingga anak kita itu dijemput kembali kepada Allah. Semasa nak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk mengikuti pendidikan formal dikelas-kelas TADIKA, TABIKA atau TASKI, maka ketika itu ibu bapa adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka dalam pendidikan informal dalam institusi keluatga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori) sebagai ikutan dan contoh teladan kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah mendapat pendidikan formal dari guru dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih tetap berperanan sebagai pemegang saham terbesar dalam memainkan peranan mentarbiah anak-anak mereka. Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung supaya senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau kita gagal meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan risiko yang semakin rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada mengingatkan kita "MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih, maka terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya mengikut kemahuan mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapanyalah (yang berperanan) menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi". Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau Nasrani atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka. Jika anak-anak kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti "rock","punk" menagih dadah, pergaulan bebas dan lain-lain, itu membuktikan kita gagal menerapkan ajaran suci Islam dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita sendiri.

ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU
Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada risiko yang rumit untuk membentuknya. Walau bagaimanapun peranan kita sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk melentur buluh kita terpaksa menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap langkah, buluh akan pecah atau patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu kepada kemahiran dan pengalaman serta maklumat yang luas untuk melihat hasilnya yang memuaskan. Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggungkan api yang berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi kita perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi. Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita terpaksa melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan berbagai alat untuk membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi serbuk baru boleh membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu tidak mahu kita perlu sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman. Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita dengan segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini juga tidak akan pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu kita hendaklah memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah SWT kerana kita telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kita. sambil memohon ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah diri dan zuriat kita disamping tidak putus-putus berdoa.

KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL?
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak.

Faktor Pertama : BALASAN
Sebenarnya resiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan.

Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu". Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik

Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK
Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jentina).

Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya.

SOLAT/SEMBAHYANG?Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?

Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama". Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya) dari (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)". Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.

ROTAN/PUKUL-DERA?Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".

Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.

KITA DAN ROTAN Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya. Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka. Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.

TINDAKAN SUSULAN Kalau kita telah berjaya membentuk anak-anak kita mengikut acuan cemerlang seperti yang kita kehendaki sesuai dengan tuntutan agama yang disarankan oleh orang yang tidak akan bercakap kecuali yang diwahyukan kepadanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu sitausinya lebih mencabar. Bukan sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya.

Berjuang ditengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala mengheretnya secara paksa. Oleh itu kita sebagai ibu bapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan anak kita dari masa kesemasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah terus membuat tindakan susulan yang berkesinabungan dari masa kesemasa, tanpa mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibu bapa selagi mereka masih menghirup udara Tuhan. Ibu bapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila telah kembali 'kerahmatullah'. Ibu bapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh' (alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonos' yang diperolehi dari kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud : "Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya". Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh adalah tanggungjawab ibu bapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan ganjaran yang bakal diterima.

ANAK YANG SOLEH Untuk mempastikan anak-anak terus soleh dalam hidup dan penghidupannya, sebagai tindakan susulan yang berterusan maka perkara-perkara berikut mestilah berjalan seiring sebagai motivasi dan galakan kepada mereka supaya terus kekal dalam kesolehannya. PERANAN KITA SETERUSNYA IALAH: 1. Memberi semangat.2. Memberi dorongan.3. Memberi galakan. 4. Memberi perangsang. 5. Mengambil berat. Kesemua elemen tersebut hendaklah sentiasa berlaku dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antara kelima-lima elemen tersebut, yang paling penting sekali ialah "Mengambil Berat". Ini adalah kerana, ramai anak-anak merasa diri mereka tidak dikasihi, tidak disayangi apabila ibu bapa gagal mengambil berat tentang diri mereka. Ada dikalangan anak-anak yang semacam sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibu bapa mereka semata-mata menagih simpati dan perhatian dari ibu bapa mereka yang pada anggapan mereka telah tidak mempedulikan mereka lagi. Mereka berharap dengan melakukan satu-satu kesilapan, ibu bapa akan kembali memberi perhatian terhadap mereka. Perasaan ini selalu wujud dalam jiwa remaja. Akhirnya mereka akan bertindak membelakangkan ibu bapa dan ketika itu pengaruh rakan sebaya menjadi alternatif kepada kekosongan jiwa yang mereka rasakan. Sebenarnya orang yang paling cepat merebut peluang mengisi kekosongan jiwa mereka ialah "syaitanir Rajim", lalu syaitan dan segala konconya memainkan peranan proaktif untuk mempastikan mangsanya benar-benar masuk ke dalam jeratnya. Matlamat yang ingin dicapai oleh syaitan ialah supaya anak itu menjadi derhaka kepada ibu bapanya, kemudian ia akan terus memujuk anak itu supaya mengikut telunjuknya sehingga matlamatnya yang terakhir berjaya iaitu menyeret anak itu masuk ke dalam neraka.

MENGAMBIL BERAT Mengambil berat, ambil hirau atau ambil pusing atau ambil peduli sepatutnya menjadi 'rutin' kepada ibu bapa, kerana kalau perkara ini hanya berlaku sekali sekala sahaja sudah tentu tidak akan mendatangkan kesan yang memuaskan, bahkan mungkin anak-anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan kita yang boleh menimbulkan rasa jengkel dan meluat dalam diri mereka. Kalau sikap mengambil berat ini menjadi rutin dalam kemeseraan antara ibu bapa dan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan meresa diri mereka diambil berat diambil pusing, yang ditafsirkan oleh perasaan murni mereka sebagai kasih dan sayang. Perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat atau yang patut sentiasa dihiraukan sebagai rutin antaranya ialah:
1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan anak kita? Adakah ianya mencukupi?Tidakkah anak kita kekurangan apa yang dia perlukan, atau apakah yang kita sediakan lebih dari mencukupi atau ianya terlalu berlebihan. Kalau ia tidak mencukupi sudah tentu ia perlu meminjam dari kawan-kawan, ini mungkin akan mengajar anak kita sifat kurang baik, kerana kalau ia terbiasa meminjam sudah tentu ia akan mendapat cemuhan dari kawan-kawan. Cemuhan ini akan bertambah serius jika anak kita dituduh menghilangkan apatah lagi dituduh mencuri. Tetapi kalau yang kita sediakan terlalu berlebihan, akan lain pula jadinya. Kalau hanya setakat 'spend' kawan sahaja tidaklah menjadi hal, tetapi apa yang kita takutkan, dia akan membeli benda-benda yang tidak berfaedah, melalaikan dan merosakkan atau yang kita tidak ingini ia akan menjadi mangsa peras ugut rakan sebaya.

2. Bagaimana perkembangan anak-anak kita semasa berada di sekolah, atau di tempat kerjanya, perkembangan prestasinya yang berkaitan dengan akademik dan juga akhlaknya, atau mutu kerjanya. Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau insentif?Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk kerjayanya? Tetapi kalau kita hanya memandang sepi segala kemajuan yang ditunjukkan (dicapai), mereka mungkin berangapan yang diri mereka tidak lagi diberi perhatian. Inilah perkara yang patut kita sering ingat dan cuba elakkan dari pernah berlaku.

3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak-anak kita dalam bidang yang mereka ceburi? Kalau difikirkan mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras seperti rotan (rotan didikan), kita harus segera bertindak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Kalau kita lambat apatah lagi gagal bertindak sewajarnya, kita akan menanggung resiko akibat kecuaian kita. Cuba fikirkan apakah pula yang patut kita ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti berakhlak baik dan berdisiplin.4. Kita mesti mengambil tahu hal keadaan anak-anak kita semasa mereka berada di rumah. Pastikan apapun yang mereka kerjakan adalah yang baik, bermanfaat dan jauh dari bahaya, samada bahaya pada fizikal mereka mahupun yang boleh membahayakan mental mereka, yang lebih utama ialah spiritual mereka. Apatah lagi jika mereka keluar atau di luar rumah. Membiarkan begitu sahaja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah yang besar pula nanti. Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka mempelajari sifat-sifat negatif yang menjanjikan wujudnya anak derhaka. Jadi bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala sepak terajang mereka setiap masa. Kita bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi kita juga bertindak sebagai guru, bahkan sebagai polis atau 'mata-mata gelap' dalam mempastikan anak-anak kita benar- benar beraksi di atas paksi yang luhur yang dikehendaki oleh lunas-lunas agama.

MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan masa yang secukupnya untuk meladeni (melayani) karenah anak-anak.

Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana sibuk mengurus anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab kita kepada tugas yang diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah lagi kalau sampai melalaikan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan kepada kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu adalah (umpama) emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau kita gagal merebutnya maka kita akan rugi. Maka tidak heranlah kenapa Allah SWT sendiri bersumpah dengan (keutamaan) masa, seperti firmannya yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh (berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan (menlaksanakan) kebenaran, dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)

BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG
Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya dibuktikan oleh kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa kita telah berjaya mengwujudkan 'keluarga bahagia' dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni rumah itu dapat merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku". Bahkan suasana tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga mahupun para tamu yang datang berkunjung, yang tidak pernah diminta (komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi bagaikan manis madu rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan ibu bapa begini juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada ibu atau bapa "mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga bahagia dan cemerlang.

Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatan pun, di mana sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan, akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala sifat-sifat yang terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan kerana inginkan pujian, amat teliti dalam segala tindakan dengan mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut kepada (kejian) caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang", bahkan majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya dinaikkan pangkat atau dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain insentif.

BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan cemerlang peribadi dan jiwanya dengan akhlak yang mulia.
Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan kecemerlangan agamanya dapat dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini tidak akan mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan ditumbukkan kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh melihat dalam keadaan terang mahupun gelap, yang nyata mahupun yang tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan dua malaikat "Kiraman Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga kita semua) lakukan. Begitulah kuat imanya terhadap setiap rukun iman (yang enam) itu sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.

Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan penuh kometmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira masa dan tidak tertakluk kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan merasakan bahawa gaji yang diterimanya dari majikan bukanlah satu keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang menjadi sifatnya yang paling utama dalam mencari keridaan Allah SWT.

KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa, samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan dalam agenda mentarbiah anak-anak dari masa kesemasa dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas, maka usaha yang murni (artikel) ini sudah tentu dapat membantu mengwujudkan generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan (hidup) di dunia dan juga di akhirat nanti.
Maka semua ini terpulanglah kepada ibu bapa itu sendiri samada mahu mencuba dengan usaha yang bersungguh-sungguh ataupun mahu terus mencuba teori-teori yang cuba diketengahkan oleh musuh-musuh Islam yang kadang-kala bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama kita yang maha suci.

Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan bermohon doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin ya Rabbal 'alamin.

Wallahu a'alamu bissowab.
Selamat mencuba dan selamat berjaya.
Wassalam!
AZHARI(S)30JUN 2000