Tuesday 29 April 2014

USAHA UNTUK MENGGALAKKAN MASYARAKAT MEMBELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA



Lihat logo di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha – usaha untuk menggalakkan masyarakat membeli barangan buatan Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



USAHA UNTUK MENGGALAKKAN MASYARAKAT MEMBELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA




                Barangan buatan Malaysia bermakna barangan atau produk yang dihasilkan di Malaysia .Salah satu kejayaan tanah air kita ialah barang buatan Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kereta buatan Malaysia seperti Myvi dan Proton telah dijual di banyak negara, termasuk England, Australia dan lain-lain lagi. Ironinya, rakyat Malaysia masih ragu-ragu terhadap kualiti barangan Malaysia. Lantaran,  semua pihak yang terlibat patut mengaturkan usaha yang bersepadu untuk menggalakkan rakyat kita membeli barangan Malaysia supaya mata wang Malaysia tidak mengalir ke luar negara.
               
                Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kempen berterusan perlu dilakukan untuk menggalakkan anggota masyarakat supaya membeli barangan buatan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Tegasnya, kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”
               
                Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk memperluaskan perniagaan dengan mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat ialah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna.  Sebagai contohnya, ekspo kosmetik  dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara. Jelasnya, promosi dan ekspo mampu memperluaskan perniagan barangan buatan Malaysia.

                Para pengusaha industri kecil dan sederhana serta usahawan korporat perlu berusaha meningkatkan kualiti barangan hasil mereka sama ada bahan pertanian, penternakan atau buatan kilang sehingga mencapai kriteria ISO atau SIRIM.  Dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia bukan sahaja perlu bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam. Oleh itu, kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

                Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu berbangga terhadap barangan Malaysia yang bermutu tinggi. Seisi negara patut seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah bersinergi dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini.