Thursday, December 28, 2006

Budaya membisu ancam keberkesanan mesyuarat

Benar bagai dikatakan oleh Pena Budiman dan Salleh Khalid dr Sg Petani berkenaan sindrom bisu para pegawai kerajaan semasa mesyuarat. Maka usaha dan tekad untuk memperbetulkan mestilah ada, sindrom ini sudah jadi budaya masa kini. Justeru itu, usaha tangani dan memulihkan nya akan mengambil masa yang lama.
Maka generasi, atau barisan pelapis kepimpinan yang ada untuk masa depan akan jauh berbeda bila anak didik kita yang melalui pendidikan teras bawah KBSR dan KBSM yang mentadbir. Saya kira generasi ini akan lebih hebat dari semua serba serbinya.
Abah...masa akan sampai
Pena Budiman dan Salleh Khalid sendiri adalah segenerasi dengan penulis, maka sikap malu alah rendah diri segan, hormat, . Selain itu para pegawai atasan kita yang terdidik dengan sistem 'masak' dengan Barat amat egois, penuh keakauan, tak payahlah pegawai kecil nak terlibat dalam membuat dan menentu dasar, kalau kita sekadar wakil atau tutut hadir statusnya, jika beri pandangan kita akan diserga h aje. maka tunggulah sindrom bisu ke depan ni tak ada dah....
Bacalah keluhan Salleh Khalid tentangnya....

SETELAH membaca rencana bertajuk Apabila membisu menjadi satu budaya dalam ruangan Pena Budiman, Utusan Malaysia 23 Disember 2006, saya rasa terpanggil untuk sama-sama berkongsi pandangan dan pengalaman.
Secara ringkasnya rencana itu mengutarakan ‘fenomena’ mendiamkan diri oleh kebanyakan pegawai yang menghadiri sesuatu mesyuarat, sedangkan mesyuarat itu sendiri seperti sedia maklum adalah bertujuan sebaliknya.
Fenomena seumpama itu dikatakan berlaku bukan sahaja pada mesyuarat di peringkat dalaman sesuatu jabatan tetapi juga di luar, yakni antara jabatan-jabatan.
Saya bersetuju dengan pandangan dan kenyataan yang diutarakan itu. Ini adalah berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian saya sendiri.
Atas kapasiti saya sebagai ‘ketua jabatan’ di peringkat daerah bagi sebuah agensi kerajaan selama lebih dua puluh tahun, saya telah mendapat kesempatan menghadiri pelbagai mesyuarat kerana terlibat dengan berbagai jawatankuasa yang dibentuk.
Pernah beberapa kali ketika bertugas di peringkat negeri saya diarah mewakili ketua jabatan peringkat negeri dan kadangkala sebagai anggota ‘turut hadir’ sahaja.
Apa yang saya perhati dan dapat rasakan, kegiatan bercakap di dalam sesuatu majlis mesyuarat adalah bergantung secara langsung atau tidak langsungnya kepada kedudukan gred perjawatan seseorang .
Ini jelas apabila kebanyakan yang aktif mengambil bahagian bercakap atau melontarkan pandangan di dalam sesuatu majlis mesyuarat terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan gred yang tinggi atau mereka yang ada ‘kedudukan sosial’ yang lebih baik.
Sedangkan mereka yang terdiri daripada kumpulan gred perjawatan lebih rendah, kurang mengambil bahagian atau mungkin akan ‘membisu’ seribu bahasa, melainkan jika diperlukan di dalam mesyuarat.
Fenomena itu besar kemungkinan adalah disebabkan oleh perasaan rendah diri atau wujudnya perasaan ‘segan’ atau ‘malu’.
Sekiranya ini boleh dijadikan asas, maka tidak syak lagi bahawa perbezaan gred perjawatan dan disertai pula dengan perasaan rendah diri atau rasa segan merupakan punca kepada wujudnya budaya membisu di dalam sesuatu mesyuarat.
Perasaan sebegini memang amat biasa berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi di kalangan orang-orang Melayu.
Ini mungkin kerana mereka telah dibudayakan sedemikian rupa melalui proses sosialisasi institusi keluarga dan masyarakat.
Barangkali ini tidak ada pada masyarakat lain, terutama sekali di luar negara.
Oleh itu tepatlah seperti apa yang disebutkan di dalam rencana tersebut bahawa fenomena membisu ini tidak berlaku pada mesyuarat-mesyuarat di luar negara, sebaliknya masing-masing mengambil bahagian dengan penuh aktif untuk bercakap dan memberikan pandangan.
Seperti mana lazimnya di negara kita, setiap mesyuarat perlu diwakili oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing yang menganggotai sesebuah jawatankuasa yang diwujudkan.
Malahan sesetengah jawatankuasa tertentu kehadiran ketua jabatan sangat penting kerana memudahkan membuat keputusan bila diperlukan di dalam mesyuarat.
Mereka yang berada pada kedudukan gred yang lebih tinggi atau status sosialnya lebih tinggi, sudah tentu ia merupakan suatu sumber keyakinan diri untuk memberi pandangan.
Justeru ia akan menjadi penggerak untuk bercakap lebih banyak.
Suasana seumpama ini jika sekalipun tidak berlaku pada semua mesyuarat atau tempat, namun apabila ia berlaku kesannya kepada fungsi dan matlamat mesyuarat itu sendiri akan tersasar.
Oleh itu bagi mengelakkan daripada berlakunya fenomena membisu ini berpanjangan di dalam mana-mana majlis mesyuarat di negara kita, saya berpendapat satu anjakan paradigma diperlukan.
Antaranya, semua anggota perlu digalakkan menggunakan kesempatan serta ruang untuk bercakap dan memberi pandangan mereka tanpa segan silu dan tanpa mengambil kira gred perjawatan dan kedudukan masing-masing.
Ini penting supaya suasana mesyuarat kelihatan lebih ‘hidup’ dan aktif di mana semua anggota ada ruang untuk memberikan pandangan.
Peranan utama di dalam menjuruskan suasana ini tentu tidak lain lagi daripada pengurusi mesyuarat.
Merekalah yang sebenarnya memegang kunci tersebut.
Pada masa yang sama, saya rasa mereka yang berkedudukan di peringkat gred yang lebih rendah perlu juga membuang segala perasaan rendah diri dan segan untuk memberikan pandangan serta bercakap.
Di samping itu, mereka juga wajar menyiapkan diri dengan hujah-hujah yang baik dan lebih ‘memukau’.

Justeru, selain mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam bidang tugas sendiri, kemahiran lain juga diperlukan.
Ini termasuklah kemahiran menguasai pengetahuan am yang luas, kemahiran bercakap secara formal di depan khalayak dan sebagainya.
Kemahiran-kemahiran ini akan membantu membina keyakinan diri ketika berhujah.
Semua ini boleh ditimba melalui pembacaan, latihan dan perbincangan.
Di sini saya rasa kursus pengucapan awam sangat penting kepada pegawai-pegawai, terutama kepada mereka yang dilantik atau berpotensi untuk menjadi ‘ketua’ di peringkat daerah, unit atau seumpamanya.

No comments: