Friday, September 07, 2007

Lelaki Oh Lelaki di mana kamu ?

Dalam tempoh lima tahun lalu, dominasi penuntut perempuan di IPTA amat ketara.Kekurangan itu mengambil kira pelajar lelaki lebih berminat kepada latihan berbentuk teknikal dan menceburi bidang pekerjaan.

Selain itu, gejala sosial yang banyak membabitkan pelajar lelaki terutama di peringkat sekolah menengah turut mempengaruhi kekurangan itu.Ahli akademik sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Dr Adnan Nawang, berkata isu kekurangan penuntut lelaki harus dilihat dalam skop luas kerana ia turut membabitkan pelbagai faktor terutama pencapaian akademik, kerajinan mengulang kaji dan terjebak dengan gejala sosial.Menurutnya, faktor itu mewujudkan jurang perbezaan fizikal dan mental ketara antara dua gender.
“Kebanyakan pelajar lelaki tidak mahu dikongkong. Mereka juga tidak memberi komitmen 100 peratus berbanding penuntut perempuan yang rajin dan bijak merencana masa depan.“Mereka juga lebih matang membuat persediaan. Ini dapat dilihat dengan keputusan seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sebahagian besar diungguli perempuan.“Pelajar lelaki tetap cemerlang tetapi jumlahnya kecil,” katanya.Kekurangan itu menyebabkan Kementerian Pengajian Tinggi bertekad meningkatkan jumlah penuntut lelaki kepada 45 peratus berbanding purata 35 peratus sekarang.Menterinya, Datuk Mustapha Mohamed, berkata ada universiti awam mempunyai pelajar perempuan mencecah 80 peratus walaupun purata pelajar golongan itu di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara adalah kira-kira 65 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya tidak bercadang menjadikan usaha mencapai sasaran seperti 60 peratus perempuan dan 40 lelaki (60:40) atau 55:45 sebagai satu dasar.Kementerian Pelajaran pula akan melaksanakan sistem penyesuaian rangkaian universiti awam kepada pelajar lelaki pada peringkat sekolah menengah untuk mengimbangi jumlah penuntut lelaki dan perempuan di kampus.Antaranya melakukan kajian meliputi prestasi peperiksaan, sesi temu duga untuk mengetahui minat dan kegiatan kokurikulum pelajar sebelum pilihan universiti yang sesuai dikemukakan.Mengulas senario itu, Dr Adnan berkata, langkah itu boleh membantu namun keputusan mungkin tidak boleh dilihat dalam tempoh terdekat.Menurutnya, proses dan transformasi pendidikan tidak boleh berlaku sekelip mata, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang.“Perancangan itu harus dilaksanakan sejak awal bagi memastikan tujuan tercapai. Proses pendidikan yang terlalu menekankan kepentingan akademik menyebabkan sesetengah pelajar lemah tercicir.“Walaupun tiada kajian khusus, boleh dikatakan sebahagian besar yang tercicir adalah lelaki yang lebih minat aspek teknikal berbanding pembacaan.“Ini menyebabkan jumlah tercicir meningkat.
“Pelajar perempuan pula lebih menumpukan kepada pelajaran mungkin disebabkan kawalan keluarga,” katanya.Katanya, keupayaan pelajar lelaki dan wanita sama, cuma komitmen dan kerajinan memisahkan mereka.“Kebanyakan keluarga pula masih mempunyai skeptikal, anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukkan lebih masa dengan keluarga.“Justeru, kebanyakan mereka memilih bidang yang bersifat akademik dan tidak hairan jumlah mereka di universiti ramai,” katanya.Mengenai ramai pelajar lelaki terbabit dalam jenayah dan penagihan dadah, Dr Adnan berkata, itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana jumlah itu kecil jika dibandingkan dengan penduduk negara ini yang berjumlah 23 juta orang.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI), seramai 22,811 penagih dadah dikesan tahun lalu. Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 30.47% berbanding tempoh masa sama tahun lalu (32,808 orang). Menurutnya, walaupun terbabit dengan gejala sosial, masih ada ramai penuntut lelaki di alam persekolahan rendah dan menengah. Jika dididik dengan baik, masalah gejala sosial dapat dielakkan.“Bukan semua terbabit dalam gejala sosial, kita perlu melihat latar belakang dan mengapa tidak mahu masuk universiti. Mungkin ada daripada keluarga kurang berkemampuan. “Bagi menampung ekonomi keluarga, mereka sanggup mengorbankan masa depan dengan bekerja atau tidak minat belajar dan mahu menjadi usahawan.“Justeru, mekanisme sesuai perlu dicari seperti mewujudkan banyak program yang menawarkan bidang pengajian teknikal untuk menarik minat.“Syarat kelayakan juga boleh dipertimbangkan supaya mampu merapatkan jurang dalam tempoh minimum,” katanya.
Seorang mahasiswa di IPTA tempatan, Mohd Anas Ali, 22, mengakui ketidakseimbangan itu disebabkan kursus ditawarkan kurang menarik.Menurutnya, kebanyakan penuntut lelaki lebih mencari kepuasan melalui bidang teknikal menyebabkan memilih bidang pekerjaan atau melanjutkan pengajian di institusi lain.“Jurang wujud bukan disebabkan lelaki tidak mahu belajar tetapi peluang memperoleh pengajian berbentuk teknikal kurang.“Pada masa sama, tarikan dunia pekerjaan turut menyumbang kerana berpendapat lebih menjamin masa depan berbanding melanjutkan pengajian,” katanya.

No comments: