Saturday, July 25, 2009

TEKS UCAPAN - Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN DAN MESYUARAT AGUNG GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA
PADA 21 JULAI 2009, JAM 11.00 PAGI
BERTEMPAT DI ALISON KELANA RESORT, SEREMBAN
Bismillahirrahmanirrahim.
YAB Dato Seri Utama Mohammad bin Hj Hassan,
Menteri Besar Negeri Sembilan
Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Zulkarnian Hj Awang,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia
Yang Berbahagia Tan Sri Alimuddin bin Hj Mohd Dom,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Yang Berusaha Encik Roslan bin Madun,
Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia
Wakil-Wakil MGB Negeri dan Daerah
Dato’-Dato’, Datin-Datin, para peserta persidangan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
1. Alhamdullilah, setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah perkenanNya dapat saya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan di majlis yang amat bermakna pada pagi ini. Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia bagi tahun 2009. Syabas dan tahniah kepada Gabungan Majlis Guru Besar Kebangsaan kerana telah berjaya menganjurkan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung ini.
2. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua guru besar kerana telah melaksanakan tanggungjawab mengurus dan memimpin bidang pendidikan yang telah diamanahkan dengan jayanya. Dari setahun ke setahun kita dapat melihat kemajuan yang membanggakan dari segi kualiti pengurusan sekolah di negara ini. Ini adalah kerana usaha yang berterusan Kementerian Pelajaran dan juga tuan-tuan dan puan-puan untuk meningkatkan kecemerlangan pengurusan sekolah dan memartabatkan profesion keguruan. Saya yakin, berkat usaha yang bersungguh-sungguh pastinya kita akan berjaya meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.
3. Saya dimaklumkan bahawa perhimpunan pagi ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Majlis Guru Besar Daerah dan Majlis Guru Besar Negeri dari seluruh negara yang mewakili lebih 7,600 orang guru besar. Sampaikan salam takzim saya kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama pada pagi ini. Sesungguhnya saya amat gembira dapat bertemu tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana pertemuan seumpama ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pandangan dan mendengar suara hati guru-guru besar mengenai pelbagai isu yang menyentuh aspek pendidikan negara.
4. Persidangan tahunan ini juga tentunya amat penting kerana tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja berkesempatan untuk bersua muka dan mengeratkan silaturrahim dengan rakan sejawat, malah dapat mencetuskan kebijaksanaan baru (new wisdom) yang relevan dengan peranan dan tanggungjawab kepimpinan pendidikan. Saya percaya, persidangan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia pada kali ini dapat mewujudkan ruang perbincangan yang menyentuh pelbagai isu pendidikan, khususnya yang melibatkan pendidikan rendah di negara ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
5. Pendidikan adalah wahana yang mampu memacu kemajuan dan kejayaan bangsa dan negara. Di bahu guru-guru besar tergalas amanah dan tanggungjawab sebagai pengurus pendidikan untuk memastikan sekolah yang dipimpin dapat memainkan peranan sebagai agen sosialisasi dan pembudayaan yang berkesan dalam menerapkan nilai-nilai yang positif dalam kalangan para pelajar.
6. Sesungguhnya pengurus pendidikan mempunyai kebertanggungjawaban sosial yang tinggi terhadap pelajar dan rakyat. Oleh itu, aspek kualiti dan kecemerlangan pendidikan harus menjadi fokus utama dalam setiap program mendidik para pelajar. Pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu melahirkan modal insan yang unggul dan berkemahiran, malah akan menyediakan aset pembangunan sosial yang dinamik dan berdaya saing. Sememangnya adalah menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini secara berterusan.
7. Ini adalah selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang telah mengumumkan ENAM bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang menjadi fokus kerajaan dalam merealisasikan pendekatan ”Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”. Salah satu daripada enam bidang penting ini ialah memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti. Sudah tentulah bidang ini bersangkut-paut secara langsung dengan peranan Kementerian Pelajaran.
8. Penyediaan pendidikan berkualiti bukan sahaja melibatkan aspek pembangunan prasarana pendidikan yang serba lengkap dan moden, tetapi juga aspek kualiti kurikulum dan guru. Bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan ketiga-tiga aspek ini diberikan keutamaan. Di samping itu, untuk mewujudkan persekitaran yang selamat di sekolah, Kementerian Pelajaran juga memberikan perhatian yang serius kepada usaha meningkatkan mutu disiplin di kalangan pelajar, terutamanya dengan menangani gejala gangsterisme dan perlakuan-perlakuan anti-sosial yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.
9. Selain daripada itu, kepimpinan sekolah juga mempunyai peranan yang penting dalam memastikan penyampaian pendidikan yang berkualilti kepada pelajar. Ini kerana kualiti pendidikan di sekolah amat bergantung kepada ketrampilan dan profesionalisme yang dimiliki oleh guru-guru besar dan guru-guru. Guru Besar juga perlu berupaya menawarkan kepimpinan dan pengurusan yang berkualiti dalam mengurus pembelajaran formal dan tidak formal di sekolah masing-masing. Kualiti pelajar hanya akan terjana menerusi amalan pengurusan yang berkualiti dan beretika serta mementingkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
10. Kita sedar bahawa kualiti bukanlah satu destinasi, tetapi satu perjalanan yang berterusan. Sesuatu yang dianggap berkualiti pada hari ini mungkin tidak lagi berkualiti pada hari esok, atau pada masa akan datang. Oleh itu, pencapaian kualiti memerlukan perubahan. Jika kita tidak berubah seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi, kita akan ketinggalan. Kita perlu mempunyai semangat dan kemahuan untuk berubah ke arah kebaikan kerana semangat ini akan membuatkan kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa bentuk cabaran sekalipun.
11. Kita juga perlu mengurus perubahan dengan cekap. Untuk berjaya mengurus perubahan kita perlu melakukan perubahan minda serta membuat penyesuaian nilai dan norma yang menjadi pegangan. Pada hemat saya, dalam konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, kepimpinan pendidikan perlu menekankan tentang pentingnya penyesuaian dibuat sebagai respon kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Kepimpinan pendidikan perlu mempunyai keupayaan untuk melakukan perubahan sosial yang membina, dengan mengenalpasti kelemahan dan seterusnya mengambil pendekatan strategik untuk menangani sebarang isu dan permasalahan.
Saudara dan saudari yang dihormati,
12. Seperti mana kita sedia maklum, Kementerian Pelajaran sedang memberikan fokus untuk menjayakan setiap teras di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Pertama ialah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan. Usaha-usaha berterusan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan telah diletakkan sebagai agenda utama Kementerian. Untuk menjayakan agenda ini, kita perlu mengikis keraguan tentang keupayaan sekolah kebangsaan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti. Kita harus mempunyai keyakinan penuh bahawa sekolah kebangsaan adalah wadah terbaik untuk memupuk perpaduan dan membangunkan potensi diri para pelajar secara holistik.
13. Peranan Majlis Guru Besar (MGB) adalah amat penting dalam usaha untuk memperkasakan sekolah kebangsaan. MGB mempunyai segala sumber dan kekuatan untuk bersama-sama menjayakan agenda ini. Saya mengesyorkan agar persidangan pada kali ini turut mebincangkan secara terperinci mengenai pendekatan-pendekatan strategik untuk memperkasakan sekolah kebangsaan termasuk aspek pembangunan ”soft infrastructures”.
14. Aspek kedua yang menjadi fokus Kementerian Pelajaran ialah untuk meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan di luar bandar dan pedalaman bagi merapatkan jurang pendidikan. Sejak negara ini mencapai kemerdekaan, usaha membela nasib masyarakat di luar bandar telah dilaksanakan tanpa kompromi. Akses, ekuiti dan kualiti pendidikan bukan semata-mata mecangkupi penyediaan prasarana yang serba lengkap bagi pelajar-pelajar, khususnya di luar bandar, tetapi juga penempatan guru-guru terbaik dan berpengalaman untuk berkhidmat di luar bandar dan pendalaman.

15. Sejajar dengan hasrat ini, pihak Kementerian secara dasarnya telah bersetuju untuk menempatkan guru-guru terbaik di sekolah-sekolah di luar bandar. Buat permulaan, guru-guru bahasa Inggeris yang cemerlang akan diberikan keutamaan untuk berkhidmat di luar bandar apabila strategi memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris mula dilaksanakan pada tahun 2012. Ini memandangkan antara mata pelajaran yang paling rendah pencapaiannya di kalangan pelajar luar bandar ialah bahas Inggeris. Insentif akan diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris cemerlang yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Saya berharap agar Majlis Guru Besar dapat sama-sama Kementerian Pelajaran dalam memastikan keberhasilan matlamat ini.

16. Aspek ketiga yang menjadi fokus ialah meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesion keguruan. Pada hemat saya martabat profesion perguruan berkait rapat dengan usaha mengembalikan penghormatan masyarakat terhadap guru dengan peningkatan ketrampilan guru. Guru yang berketrampilan akan berjaya meraih penghormatan masyarakat. Jika guru gagal memainkan peranan yuang sewajarnya dan mengabaikan kebertanggungjawaban sosial, martabatnya akan terlucut dari pandangan masyarakat. Hanya guru sahaja yang boleh menentukan sejauh mana mereka mahu berbangga dengan profesion mereka, menerima profesion mereka sebagai satu tanggungjawab yang mulia dan, bagi seorang Muslim, menerima dengan sepenuh hati bahawa tanggungjawab mendidik adalah satu ibadah.

17. Aspek keempat yang hendak saya sentuh di sini ialah aspek pelaksanaan kurikulum. Bagi memastikan matlamat pendidikan tercapai sepenuhnya, pelaksanaan kurikulum perlu diperkukuhkan. Pengurusan kurikulum yang membawa maksud pendekatan strategik dan seragam dalam melaksanakan aktiviti akademik dan bukan akademik bagi mencapai matlamat pendidikan perlu dilaksanakan secara profesional.
18. Saya percaya Majlis Guru Besar boleh memainkan peranan memastikan pengurusan kurikulum menepati definisi dan kehendaknya. MGB juga boleh membantu meningkatkan keupayaan pengurusan kurikulum di kalangan ahli-ahli. Antara ciri-ciri utama Guru Besar sebagai pemimpin kurikulum ialah berkeupayaan untuk melaksanakan kepimpinan transformasional; mengendalikan “developmental supervision” dan merancang latihan-latihan yang tersusun untuk membimbing guru-guru di bawah kawalan masing-masing. Di situlah terletaknya peranan sebenar seorang guru besar yang profesional. Saya amat yakin, jika ciri-ciri kepimpinan profesional ini dapat diterapkan di sekolah-sekolah, matlamat Kementerian untuk melahirkan guru-guru yang berketrampilan dan pelajar yang cemerlang pasti dapat dicapai.
19. Proses memperlengkapkan dan memperbaiki potensi dan pencapaian murid perlu dilakukan sepanjang masa di sekolah. Konsep “Sekolah Berkesan” perlu menjadi amalan budaya semua sekolah, lebih-lebih lagi di sekolah rendah di mana bibit-bibit kecemerlangan perlu sentiasa disemai, dipupuk dan disuburkan. ‘Sekolah yang berbudaya belajar’ merujuk kepada budaya guru besar dan guru yang sentiasa kreatif dan inovatif, yang sentiasa bersedia mempelajari apa yang terbaik dan menyesuaikannya untuk dijadikan amalan sekolah.
20. Jika kita berjaya melaksanakan keempat-empat aspek yang saya sebutkan tadi, saya menaruh keyakinan bahawa kita akan dapat melonjakkan sistem pendidikan kita ke tahap yang terbaik. Oleh itu, saya ingin menyarankan TUJUH perkara yang boleh dilaksanakan oleh Majlis Guru Besar untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.
  • Pertama, mengamalkan prinsip kepimpinan yang terbuka, proaktif dan responsif terhadap tuntutan-tuntutan baru dan mengamalkan pendekatan mengutamakan pelanggan.
  • Kedua, mengekalkan perpaduan dalam kesatuan dan tidak berkompromi dengan anasir yang boleh memecahkan kesatuan.
  • Ketiga, mempamerkan semangat kebangsaan yang jitu dan pemahaman yang tulen terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
  • Keempat, melaksanakan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam setiap urusan bagi mengutamakan prestasi.
  • Kelima, menambah nilai akademik dan profesional yang berterusan supaya menjadi pemimpin yang beketrampilan dan sentiasa berdaya saing.
  • Keenam, memberikan sumbangan bermakna dalam meningkatkan kehidupan moral dan cendiakawan masyarakat melalui penyebaran maklumat dan gerakan pembaharuan sosial yang dinamik.
  • Ketujuh, mencetuskan kebijaksanaan baru (new wisdom) untuk membangunkan masyarakat secara lebih menyeluruh dan mampan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
21. Dalam era globalisasi yang semakin kompetitif, Majlis Guru Besar perlu menggembeleng tenaga dan pemikiran untuk membina semula (reconstruct) ciri-ciri pengurusan dan penampilan sebagai organisasi profesional yang mampu untuk menangani pelbagai isu dengan pantas. Ini sejajar dengan trend pengurusan masa kini yang memberikan keutamaan kepada kepimpinan dan pengurusan sumber manusia yang berpaksikan kepada nilai-nilai pembaharuan dan kepantasan.
22. Seperti juga dengan pihak-pihak lain, guru besar juga kadangkala mempunyai pendapat dan pendirian peribadi terhadap sebarang dasar dan tindakan kerajaan. Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa, guru besar sebagai pelaksana dasar, perlu bersama-sama dengan Kerajaan dalam melaksanakan segala dasar kerajaan yang digubal demi kepentingan rakyat dan masa depan negara. Guru besar dan kerajaan mesti berdiri di saf yang sama, di atas satu hasrat dan landasan yang sama, iaitu untuk membawa negara ke mercu kegemilangan.
23. Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada guru-guru besar untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan sekolah. Saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan sebagai pemimpin sekolah akan terus memberikan khidmat yang cekap dan berkesan, sekali gus menjana potensi pelajar ke tahap yang optimum. Saya menyeru kepada ahli persidangan sekalian agar menggunakan segala kesempatan dan ruang perbincangan yang ada dalam persidangan ini untuk menghasilkan natijah yang boleh dijadikan garis panduan dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan. Akhir sekali, saya mendoakan semoga persidangan ini beroleh kejayaan dan keberkatan Allah s.w.t.
“Selamat Maju Jaya dan Selamat Bersidang”
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam horma

2 comments:

noris said...

Assalamualaikum kawan2,
Saya,Al-Awal, Kak Kiah,Hafiz dan ada kawan2 kumpulan A ada bersama di majlis ini.Ucapan Penutup dari Dato' Noor Rezan Bapoo Hashim mengatakan jika sekolah itu prestasinya menurun 3 tahun berturut-turut, Pengurus/pentadbir nya akan masuk pool.Tak kira sek. ren.atau menengah.Ada masa sebulan lagi untuk UPSR.Harap usaha kita berjaya lahirkan kecemerlangan. Amin....Inshaallah...

tok lebai said...

ada insentif kalu gb / pengetua kalu sekolah dia mencapai prestasi yg membanggakan, ada tak dia sebut hal tu?

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites