Latar Belakang

Latar Belakang Bahagian Teknologi Pendidikan :

Berdasarkan sejarah di dalam Sistem Pendidikan Malaysia, Program Teknologi Pendidikan telah pun diperkenalkan di dalam sistem pendidikan Negara semenjak sebelum merdeka lagi, melalui alat pandang dengar. Penggunaan alat-alat pandang dengar ini akan membawa kepada pembelajaran di sekolah yang lebih menarik dengan kombinasi teks, gambar-gambar dan oudio. Pada tahun 1949, sebuah Jawatankuasa Ad-Hoc Alat Pandang Dengar (APD) Persekutuan telah pun dibentuk bagi membuat penyelarasan dalam penggunaannya. Reaksi yang positif telah membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Alat Pandang Dengar Negeri dan Pusat Alat Pandang Dengar Negeri pada 1950-an. Kemudian satu Jawatankuasa sepenuh masa yang diketuai oleh seorang setiausaha telah pun dibentuk pada tahun 1956. Pada peringkat awal, perkhidmatan Unit alat Pandang Dengar diletakkan di Bahagian Latihan Guru. Walau bagaimanapun, rombakan di dalam Kementerian Pelajaran pada tahun 1963 telah memindahkan Unit APD ke Bahagian Sekolah-Sekolah dan seterusnya membentuk Sebuah Pusat APD Kebangsaan dan 302 buah Pusat APD Daerah di seluruh Negara untuk memberi perkhidmatan.

Usaha dalam menyampaikan pendidikan di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia diteruskan dengan melancarkan siaran radio ke sekolah-sekolah rendah. Pada tanggal 2 Mei 1966, satu usahasama di antara Kementerian Penerangan dan Penyiaran dan Kementerian Pelajaran telah memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Kemudian program ini telah diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah menengah pada 1967. Pada 18 Mei 1970, perkhidmatan siaran radio ini telah diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran namun masih menggunakan kakitangan daripada Kementerian Penerangan dan Penyiaran sehingga Kementerian Pelajaran dapat menyediakan kakitangannya sendiri. Perkembangan di dalam konsep multimedia yang berselarasan dengan pelancaran siaran rangcangan televisyen pada tahun 1963 telah membawa kepada dua projek rintis oleh Kementerian Pelajaran iaitu 1965 di sekolah rendah dan tahun seterusnya di sekolah menengah yang bertujuan untuk mengkaji kesesuaian dalam mengadakan perkhidmatan TV Pendidikan. Dapatan projek ini amat menggalakkan dan seterusnya membawa kepada cadangan penubuhannya.

Pada tahun 1968, Kementerian Pelajaran telah melantik En. Alan Hancock dari The Centre for Educational Television Overseas (London) bagi menjalankan kajian kemungkinan gabungan perkhidmatan alat bantu mengajar, radio pendidikan dan televisyen pendidikan. Hasilnya, pada tahun 1971, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Manakala Projek TV Pendidikan dijadikan sebagai salah satu projek perkembangan pendidikan di dalam Rancangan Malaysia Kedua. Dalam tahun 1988, nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan telah ditukarkan kepada Bahagian Teknologi Pendidikan apabila fungsinya diperluaskan Merangkumi Pusat Sumber Sekolah. Kini, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) mempunyai 11 sektor dan 15 buah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) termasuklah BTPN Sabah.

Pada tarikh 31 Julai 2001, satu lagi peristiwa bersejarah telah dicatatkan apabila upacara perletakan batu asas bagi bangunan baru BTPN Sabah dilaksanakan oleh Datuk Yahya Husin iaitu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah. Manakala, perpindahan secara rasmi telah dicatatkan pada 1 Oktober 2003 dari bangunan lama (Kompleks RTM) ke bangunan baru BTPN Sabah di Penampang.Pada hari ini, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Sabah mempunyai 6 buah rangkaian di peringkat bahagian dan 27 buah rangkaian di peringkat daerah. Rangkaian di peringkat bahagian dikenali sebagai Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian (PTPB), iaitu terdiri daripada PTPB Kota Kinabalu, PTPB Kota Belud, PTPB Beaufort, PTPB Keningau, PTPb Tawau dan PTPb Sandakan. Manakala, rangkaian di peringkat daerah pula dikenali sebagai Pusat Kegiatan Guru yang mula beroperasi secara rasmi pada 9 Disember 1991.