Rabu, 30 Mac 2016

LANGKAWI 2016 : MERENTAS REL, MENYELUSURI LAUTAN & MEMBELAH AWAN

LANGKAWI..
Tempat percutian yang aku idamkan untuk pergi bersama mak dengan ayah selepas lebih 27tahun perjalanan kami sekeluarga ke sana.. Tempoh masa yang terlalu lama, hatta aku pun masih kecil lagi untuk aku merasai dan menghargai memori yang tercipta sepanjang percutian yang dilalui dulu.. Justeru itu, inilah kesempatan waktu yang ada, diberikan sedikit rezeki oleh Allah untuk kami mencipta memori baru..

Acehhh, mukadimah entri, berbunga-bunga betul.. Hahahaha..

Ok laaa, aku teruskan pada cerita asal.. Percutian kami sekeluarga kali ni di rancang menuju ke nun jauh di utara sana, Pulau Langkawi.. Kami pergi 2keluarga iaitu keluarga aku dan keluarga cucu jagaan mak aku, keluarga abang Isa.. Keluarga abang Isa pergi dan balik menaiki kapal terbang manakala keluarga aku pergi menaiki kereta api & feri, baliknya baru naik kapal terbang.. Nak naik kereta, memang awal-awal dah angkat bendera putih sebab kenangkan jauh sangat nak ke sana, lagipun tak tahu jalan nak menuju ke jeti (nak percayakan waze pun 50-50).. hohoho..

MERENTAS REL
KTM ETS : KL SENTRAL KE PADANG BESAR
Hajat aku nak travel jauh-jauh naik kereta api akhirnya tercapai.. Kalau ikutkan cara 'tradisi' naik kereta api nak ke Langkawi, kena naik Senandung Langkawi tapi lepas aku usulkan rancangan ni, mak aku tolak mentah-mentah dengan alasan TAKUT LALU HUTAN MALAM-MALAM, ADA KOMUNIS.. Adoiii, nak nangis aku dengar jawapan mak aku.. Tabahlah wahai hati, hahahaha.. Jadi, cari alternatif lain, naik kereta api ETS dari KL Sentral ke Padang Besar.. Alhamdulillah, tahun lepas kerajaan dah panjangkan perjalanan ETS sampai ke Padang Besar yang sebelum ini sampai Ipoh saja.. Aku gigihkan diri beli tiket di kaunter tiket ETS di KL Sentral, walaupun ada perkhidmatan booking online sebabnya aku ada terbaca pasal problem semasa transaksi membeli tiket ETS online ni sebab tu aku gigihkan diri beli tiket kat KL Sentral.. Apadehal pun.. Tiketnya dibuka untuk jualan sebulan awal, jadi aku pergi sana sebulan sebelum tarikh pergi.. Beli lambat nanti habis tiket oiii.. Kalau beli dari kaunter, boleh dapat harga diskaun untuk warga emas macam ayah aku, cuma kita kena bawa salinan IC warga emas yang berkenaan.. Perjalanan dari KL Sentral ke Arau, harga bagi orang dewasa RM 76 dan warga emas RM 42.. Walaupun mahal nak dibandingkan dengan bas tapi apa salahnya sekali sekala melabur lebih sikit untuk keselesaan bersama.. Tak gitu Cik Kiah oiii?? Korang juga boleh beli tiket ETS ni di stesen yang ETS ni berhenti..

Hari yang dinanti, 12 Mac 2016, kami dah siap sampai pukul 7.30pagi di KL Sentral, ingatkan jalan kat KL sesak, alih-alih jalan lengang aje.. Kereta api bertolak pukul 9.30pagi dan sampai Arau pukul 2.50petang.. Sementara nak tunggu waktu kami berlepas, kami sarapanlah dulu dan lihat gelagat manusia yang nak bermusafir.. Ramai betul manusia waktu tu.. Waktunya sudah tiba, waktu untuk kami pula yang bergerak.. Apa yang penting kalau nak naik ETS, bawalah sweater ke, jaket ke, toto pun boleh selimut pun boleh sebab sejuk tahap Antartika duduk lama dalam tu.. Bila dah lepas stesen Tanjung Malim, memang terasa betul sejuknya, sampai pundi kencing dah vibrate banyak kali walaupun aku dah pakai jaket masa tu.. Nasiblah boleh bertahan sampai Arau, takde berlaku sebarang kebocoran..

Dalam ETS ni disediakan cafe untuk membeli makanan.. Cafenya ada di gerabak C.. Harganya boleh tahan mengancam.. Aku belikan mak dengan ayah aku nasi goreng harganya RM6 sebekas.. Lupa pula nak ambil gambar saiz bekas nasi gorengnya.. Ada juga nasi lemak, bihun goreng, maggi, air kopi.. Jadilah untuk mengalas perut walaupun harganya kebabom.. Tandas dan surau pun disediakan.. Kalau nak solat, korang install awal-awal apps yang boleh tentukan arah kiblat.. Suraunya boleh muat 1-2orang sahaja.. Dengar cerita sebelum ni ada disediakan plug untuk mengecas barangan elektronik tapi jenuh mencari tak jumpa pulak apa-apa lubang.. Kena tanya pramugari yang bertugas mungkin.. Disediakan juga tempat meletak bagasi, ruang kaki yang luas dan kerusi yang empuk, menambahkan lagi keselesaan kami sepanjang perjalanan..

ETS yang aku naik ni berhenti-henti, lebih 10 stesen berhenti dan yang ambil masa lama berhenti ialah di stesen Butterworth.. Kami duduk di coach A, bergerak pada kelajuan maksima 140km/j, perjalanan dalam kereta api benar-benar santai.. Perjalanan lebih 5jam tu macam tak terasa sangat bila leka tengok permandangan di luar.. Sepanjang perjalanan ni, dapatlah tengok kampung-kampung, kebun sayur, tasik dan sawah padi.. Nampak jugak Menara Alor Setar dengan Jambatan Pualu Pinang dari jauh.. Cuma hasrat nak tengok sawah padi menghijau bila sampai Kedah dan Perlis tak kesampaian sebab depa baru lepas musim menuai.. Tak dapat tengok pemandangan indah sawah padi menghijau dalam kereta api.. SEDIH.. Sampai sudah stesen Arau pada pukul 2.50petang.. 1st time jejakkan kaki di bumi PERLIS oiiiiiii.. Sakai kejap.. Rupanya ada geng macam aku nak ke Langkawi naik kereta api, adalah dalam 2keluarga..


**tiket untuk ayah aku..


**suasana dalam kereta api sebelum bertolak.. 
wajah riang gembira di hari raya.. hahaha..
banyak terlepas nak ambil gambar moment sepanjang perjalanan dengan kereta api, dari keadaan di stesen KL Sentral sampailah ke Arau.. RUGI!!!

Ok, masa untuk cari teksi nak ke jeti Kuala Perlis.. Memang ada teksi yang dah menunggu penumpang di kawasan parking kereta untuk membawa penumpang ke jeti.. Masa tu teksi kurang dan kebetulan ada pakcik ni nak bawa kami (kira kereta sapu laaaa), maka kami pun naik kereta dia.. Tak sampai hati pulak tengok pakcik tu walaupun salah di sisi undang-undang naik kereta sapu :) .. Bila dah naik keretanya, aku berdoa panjang lebar, berharap peristiwa di Pulau Pangkor tidak berulang kembali.. Asap berkepul-kepul keluar, member teksi yang gerak lambat pun dah siap potong kereta pakcik ni jauh kebelakang.. Sadis weiiii.. Aku hanya harap sampai jeti on time dan kereta takde masalah, itu je.. Alhamdulillah, semuanya ok.. Tambang dikenakan pakcik tu RM26 tapi kalau naik teksi mungkin lebih sikit..

MENYELUSURI LAUTAN
FERI : KUALA PERLIS KE PULAU LANGKAWI
Perjalanan menggunakan feri untuk ke Pulau Langkawi bukanlah yang pertama kali aku rasakan, cuma perjalanan kali ni lebih singkat sebab sebelum ni aku bertolak dari Kuala Kedah untuk ke Pulau Langkawi.. Aku dah siap booking online tiket feri, berlepas pukul 4.30petang dan tiket berharga RM18 untuk dewasa.. Kalau beli di kaunter, mungkin dapat murah untuk warga emas.. KLIK SINI : TEMPAHAN TIKET FERI
Jadi, kes tiket habis dan lambat bertolak dari Kuala Perlis bukan lagi suatu masalah.. Serius, memang ramai waktu di jeti Kuala Perlis waktu tu, sesak.. Kalau aku tak booking awal, memang pukul7 punya trip aku dapat.. Walaupun jadual bertolaknya pukul 4.30petang tapi ferinya bertolak sedikit lambat sebab nak menunggu penumpang lain yang masih belum masuk.. Dalam 10minit jugalah lewatnya.. Perjalanan selama 1jam itu, mata aku disajikan dengan pemandangan laut yang meluas dan gugusan pulau kecil yang menghiasi lautan dalam..


**tiket berlepas selepas dicetak..


**bergambar dulu di tempat menunggu jeti Kuala Perlis sebelum berlepas..

Alhamdulillah, perjalanan selamat dan sampai di Pulau Langkawi dalam pukul 6petang.. Hati sudah berbunga kegirangan.. Masanya untuk mencari kereta sewa yang aku dah tempah dulu sebelum datang Pulau Langkawi.. Pejabatnya sebelah 7Eleven di jeti Kuah.. Pada awalnya aku tempah kereta Nissan Almera tapi atas sebab tertentu ditukar ke kereta Honda City.. Tak mengapalah, jangan diganti kereta kancil sudahlah (senyum eksen).. Uhhhhh, dapatlah merasa naik kereta mahal walaupun untuk 3hari.. Adik aku laaa yang nak naik kereta import ni, katanya dah bosan drive MyVi.. Angkuh benor.. Harga sewaannya RM280 untuk tempoh 48jam dan dicaj tambahan RM10 untuk setiap 1jam kalau melebihi tempoh 48jam.. Harga RM280 tu mahal sebab harga waktu peak season iaitu musim cuti sekolah.. Kalau tidak harganya murah aje.. Next time nak sewa kereta Mitsubishi Lancer pulak, ehhhhh?? Kalau korang berminat, bolehlah hubungi Puan Shamsibah 012-4440109.. Sebelum tempah dengan Puan Shamsibah ni, aku dah bandingkan harga dengan sorang abang ni, yang abang long aku rekemenkan, kira Puan Shamsibah punya tawaran harga murah sikit laaa.. Kira perbezaannya tu boleh buat bajet isi minyak laaa.. Untuk tambahan, aku isi minyak kereta ni RM30 je sepanjang 3hari kat sini.. Waktu pergi ni, minyak pada harga RM1.60seliter.. Memang cukup minyaknya, dapat lebih separuh tangki..


**bergaya dengan kereta yang disewa.. dapatlah merasa naik oiii..

MEMBELAH AWAN
MALINDO AIR : PULAU LANGKAWI KE LAPANGAN TERBANG SUBANG
Inilah saat yang paling mendebarkan.. Pertama kali nak naik kapal terbang rasanya sangat luar biasa.. Aku booking tiket Malindo Air pada harga RM150 seorang, bertolak pukul 3.10petang dan mendarat di lapangan terbang Subang pada pukul 4.15petang.. Harga tiket kira mahal kot, yelaaa, 2bulan nak pergi baru booking.. Rasa teruja dan seram sejuk bercampur baur apalagi bila mengenangkan segala tragedi yang berlaku sebelum ni.. Bukan setakat tu je, segala proses nak daftar masuk yang kami perlu lalui pun aku masih BLUR walaupun dah dijelaskan abang Isa.. Kalau salah cara kang, tak pasal-pasal ke tempat lain perginya nanti.. Itu menambahkan lagi ketakutan dalam diri.. Alhamdulillah, bila dah sampai lapangan terbang, segala proses yang perlu dilalui berjalan lancar hasil bantuan pekerja di lapangan terbang tu, mungkin dorang nampak kitaorang macam terpinga-pinga nak kemana dulu.. hahahaha.. 2jam sebelum berlepas, kami sudah berada di lapangan terbang.. 3.10petang, waktunya untuk pesawat Malindo Air berlepas.. Allahuakbar, Subhanallah, itu yang meniti dibibir aku.. Melihatkan pemandangan dari atas alam ciptaanNya, terasa begitu kerdil diri ni.. Sebelum ni tak pernah terbayang pun nak naik kapal terbang tapi hari ni Allah izinkan kami rasa naik kapal terbang.. Sebelum ni, bila tengok kapal terbang lalu atas rumah, tertanya-tanya macam mana keadaan jadi 'burung', ternyata ianya sesuatu yang mengujakan.. Walaupun kadangkala cuak bila kapal terbang 'bergegar' membelah awan, tak kira lagi bila kapal terbangnya 'corner baring', kuatkan juga jiwa ni, tawakal aje.. Cuma waktu tu kadang-kadang terbayangkan keadaan kapal terbang terhempas dari atas, macam manalah keadaan penumpangnya.. Nasiblah kes kapal terbang FLYDUBAI terhempas selepas kami dah balik dari Langkawi, kalau tak, lagilah ketaqqqq nak naik kapal terbang.. Mak aku yang sebelum ni memang takut nak naik kapal terbang dan TERPAKSA naik kapal terbang ni lepas kitaorang bermatian pujuk dia, masih tetap dengan takutnya.. Ayah cakap mak banyak kali tanya DAH PUKUL BERAPA SEKARANG?? BILA NAK SAMPAI.. Sabau je laaa ayah.. huuuuu.. Syukur, tepat 4.15petang kami selamat mendarat.. Cuaca baik cuma dah nak sampai lapangan terbang Subang, cuaca baru habis hujan.. Kalau masa hujan masih kat atas, agak-agak apa rasa.. hohoho..

**muka acah-acah steady..
mak siap bagi ibu jari lagi, kira beranilah tu.. huuuu

Begitulah pengalaman yang kami lalui sepanjang percutian ke Langkawi ni.. Merasa segala pengangkutan yang ada, darat, air dan udara.. Benar-benar pengalaman yang terbaik dan meninggalkan memori indah.. Nampak begitu banyak kos yang perlu dibelanjakan tapi tak mengapalah, bukan setiap tahun pun ke sini.. Mungkin 10tahun akan datang baru datang balik Langkawi.. Sekurang-kurangnya aku dapat belajar sesuatu dari percutian ni.. Inshaallah, ianya bermanfaat untuk digunakan masa akan datang.. Semoga korang yang membaca entri ni tak bosan apa yang aku ceritakan, mungkin korang pun macam aku (ye ke??), ada pengangkutan yang belum rasa naik, bila dah naik semua benda nak cerita.. Teruja punya pasal.. Lepas ni kalau berhajat nak ke Langkawi, tak payah susah-susah nak fikir cara nak ke sana, naik aje keretapi kalau takut sangat naik kapal terbang.. Pesanan sebelum mengakhirkan kalam, cubalah dan rasailah segala kemudahan yang ada selagi dikurniakan usia kerana pengalaman yang dilalui sangat berharga..

** next entri pasal percutian di Pulau Langkawi.. 

ASSALAMMUALAIKUM!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan