PESERTA : WAKIL BAGI SETIAP NEGERI : PENSYARAH IPG, PEGAWAI JPN,
GURU INOVATIF, GC
TEMPAT : HOTEL NOUVELLE, SERI KEMBANGAN SELANGOR
TARIKH : 27 HINGGA 29 OKTOBER 2014
MASA : 8.00 PAGI HINGGA 10.00 MALAM
Proses pendidikan sentiasa sinonim dengan aktiviti perubahan. Teori behaviorism
misalnya menekankan perubahan tingkah laku sebagai ukuran keberkesanan
pencapaian objektif pembelajaran. Pendirian berkenaan juga disokong oleh
sarjana perancangan kurikulum seperti Ornstien yang melihat reka bentuk
kurikulum sebagai memenuhi keperluan perubahan.
Di Malaysia, dinamika perubahan dalam dunia pendidikan diberikan
pelbagai nama seperti inovasi, reformasi dan transformasi. Hakikatnya,
tanpa slogan yang muluk-muluk pun, pendidikan tetap tidak boleh lari
daripada momentum perubahan. Namun, manusia memang tertarik dengan
susunan kata yang indah seperti cogan kata dan tema tertentu.
Sambutan hari guru kali ini membawa tema "Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara". Inovasi atau pembaharuan sudah menjadi
antara tugas asasi guru, terutama dari segi amalan terbaik pendidikan.
Guru wajib mencari jalan untuk menolong murid masing-masing menuju
puncak jaya, selaras dengan semangat pendemokrasian pendidikan iaitu
pendidikan bermutu untuk semua murid.
Syarat penting inovasi ialah sikap properubahan dan tidak terikat dengan
status quo. Istilah zon selesa sebenarnya tidak wujud dalam kamus
seorang guru inovatif. Segala ikhtiar intervensi ialah bukti betapa kaum
guru sentiasa iltizam dengan ikrar keguruan untuk membawa anak bangsa
ke mercu kecemerlangan.
Bijak pandai mengatakan bahawa harapan ialah roda utama yang menyebabkan
manusia terus bergerak. Guru sentiasa menyalakan harapan terhadap
sebahagian murid yang berasa rendah diri justeru latar belekang
sosioekonomi dan pengalaman hidup mereka yang tidak setara dengan rakan
sebaya yang lebih bernasib baik. Dorongan dan kata-kata semangat oleh
seorang guru inovatif yang peka terhadap potensi dan fakulti kanak-kanak
umpama titisan air yang memulihkan daun-daun yang hampir layu.
Guru bukan lilin yang membakar diri, tetapi umpama matahari yang
menyebarkan cahaya harapan dalam kehidupan insan. Kini, kaum guru telah
menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran sebagai balasan kepada
perkhidmatan yang diberikan. Walaupun agak ketinggalan jika dibandingkan
dengan kerjaya ikhtisas yang lain, kaum guru telah diberi penghargaan
yang cukup tinggi.
Sekadar senarai, ciri guru inovatif termasuk:
1 sentiasa mencari jalan bagi menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah
2 sentiasa peka akan tema keperluan murid dan memberikan tindak balas yang sesuai
3 cenderung kepada saranan ikhtisas: dapatan kajian tindakan sendiri / orang lain
4 membimbing murid dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang
5 menghormati buah fikiran dan pendapat rakan sekerja
6 memberi kerjasama dan sumbangan dalam program kecemerlangan sekolah
7 memudahkan jalan penerokaan idea dalam kalangan murid
8 mengoptimumkan potensi pengajaran sebaya di bilik darjah
9 menggunakan pengukuhan sebagai daya tarikan pembelajaran
10 menanamkan perasaan selesa dan selamat kepada semua murid dalam persekitaran bilik darjah
Proses transformasi pendidikan tidak lagi berlaku dalam skala yang
kecil. Murid harus disediakan untuk berhadapan dengan cabaran global
yang tidak menentu. Walaupun daya saing diutamakan, jati diri mesti
kekal sebagai modal sosial masyarakat.
Negara maju berpendapatan tinggi bergantung kepada modal insan minda
kelas pertama yang datang dari dunia pendidikan. Aplikasi pengetahuan,
kemahiran dan sikap dibimbing oleh tujuan yang suci. Peranan guru
inovatif tidak akan pernah berhenti...